| SEJARAH DAN MASA DEPAN PERJUANGAN POLITIK ISLAM DI MALAYSIA | 
Oleh : Ahmad Fadhli bin Shaari
 
“Dan tidak ada yang
lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan
mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil
berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah
bulat-bulat kepada Allah)!" – [1]
 
Muqaddimah
Adalah
menjadi satu pekara yang tidak mungkin dapat disangkal akan kewajipan setiap
muslim untuk menafkahkan dirinya dalam perjuangan Islam. Setiap yang ingin
dirinya digelar sebagai pejuang sewajarnya menyoal dirinya sendiri setiap saat
dan waktu “Apakah yang telah aku lakukan untuk Islam?”.  Lalu adalah menjadi satu keperluan
kepada setiap individu muslim terutama sekali pelajar-pelajar agama yang
merupakan generasi tunas dalam gerakan Islam membuka minda dan meluangkan masa
untuk sama-sama berfikir bagaimana untuk menjadikan agenda perjuangan Islam
sebagai satu realiti. 
Dari
konteks Malaysia, untuk meihat masa depan perjuangan Islam maka sudah tentulah
tidak dapat tidak harus disorot dari segi sejarah. Ini kerana sejarah sudah
tentu menjadi cermin kepada masa yang akan mendatang. Dalam memperkatakan
mengenai sejarah perjuangan Islam di Malaysia, saya akan lebih menumpukan
perbincangan kepada perjuangan Islam melalui politik khususnya PAS. Bukan saya
bermaksud untuk menafikan harakah atau jemaah Islam yang tidak melibatkan diri
dengan politik, namun kaitan politik secara tidak langsung dengan aktiviti
gerakan Islam khususnya di Malaysia sama sekali tidak boleh dinafikan. Tambahan
pula, poltik adalah tumpuan utama setiap rakyat terbanyak pada masa lalu, kini
dan akan datang. Bagi memudahkan perbahasan, saya membahagikan kronologi
perjuangan politik Islam di Malaysia kepada 4 peringkat :
1.                  
Sebelum
1955
2.                  
1955
– 1983
3.                  
1983
– 1997
4.                  
1998
– hari ini 
 
Perjuangan
Islam di Tanah Melayu Sebelum 1955
Fakta
: Perjuangan
Islam di Tanah Melayu bermula semenjak kedatangan Islam di Tanah Melayu yang
masih merupakan polemik di kalangan ahli-ahli sejarah. Namun seara khususnya
kebangkitan para ulama’ di beberapa buah negeri di Tanah Melayu untuk menentang
penjajah adalah merupakan titik tolak kepada kemaraan golongan agama dalam
arena politik. Dari sudut yang lain, kebangkitan perjuangan Islam adalah selari
kalaupun tidak lebih awal dari kebangkitan nasionalisme. Sebelum gerakan
kemerdekaan berlaku secara menyeluruh, Tanah Melayu sudah digegarkan dengan
kebangkitan Abdul Rahman Limbong di Terengganu, Tok Janggut di Kelantan dan
beberapa lagi penentangan yang dipelopori oleh golongan ulama’. Walaupun
kebangkitan ini berlaku di merata-rata tempat, namun kesedaran menyeluruh untuk
membebaskan diri dari penjajah masih belum berlaku. 
Namun,  penjajahan Jepun merubah senario ini.
Pada tahun 1945, Dr. Burhanuddin Helmi memperkenalkan pemikiran politik Islam
melalui penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM). Seterusnya ekoran dari
gagasan Malayan Union pada tahun 1946, orang-orang Melayu mula bersatu melalui
seruan “Hidup Melayu” di bawah kepimpinan seorang tokoh nasionalisme, Dato’ Onn
bin Jaafar.  Pada awalnya,
tokoh-tokoh ulama berada di bawah payung UMNO bersama dengan Dato’ Onn untuk
memperjuangkan kemerdekaan lebih-lebih lagi apabila Hizbul Muslimin diharamkan
oleh British pada tahun 1948. Penyertaan golonagn ulama pada masa itu bukanlah
menunjukkan persetujuan mereka dengan dasar nasionalis tetapi kerana mereka
melihat adalah lebih penting untuk mewujudkan penyatuan terlebih dahulu.[2]
Namun, akibat beberapa pertembungan pendapat  dengan pimpinan UMNO yang secara rasminya beraliran
nasionalis sekular, tokoh-tokoh ulama beramai-ramai keluar dari UMNO untuk
menubuhkan Persatuan Ulama yang terpisah dari UMNO pada tahun 1951. Beberapa
bulan kemudian, ia bertukar nama menjadi Persatuan Islam Se-Tanah Melayu (PAS)
di mana Tuan Haji Ahmad Fuad menjadi Yang diPertuanya yang pertama. PAS
seterusnya menyertai pilihanraya pada tahun 1955 namun gagal untuk membentuk
kerajaan persekutuan.
Ulasan
: Perjuangan
Islam pada masa Tanah Melayu masih bergegar dengan tuntutan kemerdekaan tidak
dapat meyakinkan rakyat bahawa perjuangan mereka adalah yang terbaik. Tambahan
pula pada masa tersebut, rakyat masih dihantui dengan kekejaman Bintang Tiga
dan masih terngiang-ngiang dengan penindasan oleh tentera Jepun. Oleh yang
demikian, mereka memilih untuk mengambil jalan selamat iaitu dengan mengundi
pihak yang boleh memerikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Pihak terdekat yang
dimaksudkan ialah UMNO. Ini sama sekali tepat dengan kehendak penjajah British
yang seboleh-bolehnya mahukan pihak yang akan memerintah bekas tanah jajahan
mereka akan terus menjalankan dasar-dasar pro-penjajah. Kerana itulah,
Hizbul-Muslimin telah diharamkan oleh pihak penjajah pada tahun 1948. Namun,
dalam masa yang sama kegagalan pihak ulama’ untuk merebut peluang tampil ke
hadapan juga merupakan satu faktor perjuangan Islam ditolak oleh kebanyakan
rakyat pada masa itu. Tambahan pula, perjuangan yang dipelopori oelh golongan
ini masih bercampur-gaul dengan ideologi kebangsaan. Seandainya pihak ulama’
mampu membentuk satu barisan alternatif bersama dengan barisan kepimpinan
bangsa-bangsa yang lain, besar kemungkinan perjalanan sejarah politik di
Malaysia akan berubah.
 
1955
- 1983
Fakta
: Apabila
Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Tunku Abdul Rahman selaku
pemimpin tertinggi UMNO yang kedua secara automatik memimpin kerajaan Perikatan
bersama dengan barisan kepimpinan bangsa-bangsa yang lain. Selaku kerajaan yang
baru sahaja dibentuk, maka sudah tentulah mereka menghadapi pelbagai masalah
yang menggugat kerajaan mereka. Pelbagai pihak di dalam negara masih sukar
untuk dikongkong agar menjadi penyokong kerajaan. Akhbar-akhbar masih
berperanan dengan bebas mengkritik pelbagai dasar yang berakhir dengan proses
‘penelanjangan’ kebebasan akhbar pada tahun 1962.[3]
Pada peringkat ini jugalah berlakunya proses peralihan perjuangan PAS sebagai
sebuah parti politik nasionalis yang mempunyai nilai Islam kepada sebuah parti
politik yang mempunyai konsep jemaah dan benar-benar menjadikan Islam sebagai
dasar perjuangan. Ini berlaku seriingan dengan pelbagai peristiwa-peristiwa
yang berlaku di Malaysia. Kronologinya secara umum bolehlah dirumuskan seperti
berikut : 
1963 :     Pembentukan Malaysia
menyatukan Singapura, Sabah dan Sarawak. PAS yang masih merupakan parti politik
nasionalis bercorak Islam mengambil sikap menentang yang sederhana.
1963 :     Ideologi perjuangan
Ikhwanul Muslimin mula meresap masuk ke dalam PAS. Di bawah pimpinan Prof
Zulkifli Muhammad, PAS menghantar Haji Yusuf Rawa, AJK PAS Pusat ke Timur
Tengah untuk memperkenalkan PAS sebagai sebuah gerakan Islam. Dialog demi
dialog diadakan khususnya dengan pimpinan Ikhwan.
1964 :     PAS
di bawah Prof Zulkifli menghantar sepuluh orang pelajar-pelajar Malaysia yang
pertama untuk melanjutkan pelajaran ke Iraq. Secara sulitnya, ia adalah
persediaan awal untuk melahirkan satu generasi perjuangan yang berlainan dengan
generasi yang sedia ada.
1964 :     Prof Zulkifli Muhammad
meninggal dunia dalam satu kemalangan. Tidak lama selepas itu, PAS kehilangan
pula Dr. Burhanuddin. Seterusnya, PAS dipimpin oleh Dato’ Asri. Kepimpinan
beliau dikatakan semakin 
mengukuhkan lagi semangat ideologi kebangsaan Melayu dari dasar rasmi
PAS iaitu Islam. Oleh yang demikian, PAS seterusnya benar-benar tidak dikenali
sebagai gerakan Islam.
| 1968 :      Al-Arqam
  ditubuhkan oleh Ashaari Muhammad. Dalam satu jangka masa yang panjang, ia
  mewujudkan satu senario yang benar-benar tidak disangka. Walau bagaimanapun,
  saya merasakan perbahasan mengenai Al-Arqam tidak wajar disentuh di peringkat
  ini.[4] | 
1969 :     Perlantikan beberapa
orang ustaz-ustaz muda ke jawatan penting khususnya Ustaz Hassan Shukri yang
baru saja pulang dari Iraq. Beiau terus dilantik sebagai Ketua Pemuda PAS
Pusat. Beliau dan rakan-rakannya 
mula memerkenalkan konsep tarbiyyah ala Ikhwan. Pada masa tersebut,
bermulalah secara rasmi apa yang dinamakan ‘pertembungan dalaman’ antara
pimpinan yang sedia ada dengan ahli peringkat bawahan yang mehukan pembaharuan
dalam halatuju perjuangan PAS.
1969 :     Rusuhan kaum di Kuala Lumpur
ekoran rasa tidak puas hati akibat jurang perbezaan ekonomi antara kaum. PAS
khususnya tidak melihat ini sebagai peluang untuk menyerang habis-habisan pihak
kerajaan ekoran kegagalan mereka membina perpaduan kaum. Adalah tidak
dinafikan, pergolakan dalaman PAS merupakan penyebab kepada kegagalan mereka
untuk berfungsi dengan sebaik mungkin.
1971 :     Penubuhan Angkatan Belia
Islam Malaysia (ABIM).  Ia
sebenarnya ialah alternatif kepada golongan muda yang benar-benar mahu
merealisasikan tuntutan perjuangan Islam ala Ikhwan. Pemikiran Sayyid Qiutb
yang sebelum ini berkisar di kalangan ahli-ahli PAS mula diambil alih oleh
ABIM. Penubuhan ABIM sebenarnya banyak dipelopori oleh bekas tokoh-tokoh
pelajar yang radikal seperti Anwar Ibrahim, Kamaruddin Mohd Noor, Razali
Nawawi, Sidiq Fadhil dan lain-lain. Ia juga turut menarik golongan ‘ustaz muda’
seperti Haji Abdul Hadi,  Abdul
Ghani Shamsuddin dan  Fadhil Nor.  Secara tidak langsung, ABIM sebenarnya
dilihat sebagai wadah terbaik bagai meneruskan kesinambungan perjuangan Islam
di Malaysia pada masa itu. Ini disebabkan oleh imej UMNO sebagai ultra-sekular
dan imej PAS yang masih dilihat sebagai nasionalis sukar untuk diterima oleh
golongan muda.
1973 :     Penyertaan PAS ke dalam
Barisan Nasional ekoran pelawaan yang dibuat oleh Presiden UMNO ketika itu, Tun
Abdul Razak di atas nama perpaduan Melayu. Polemik yang dicetuskan oleh
‘langkah merbahaya’ PAS ini telah memperhebatkan lagi pergolakan dalaman yang
telah sedia wujud sebelum ini. Walaupun PAS masih mengekalkan dasar rasminya
iaitu Islam, namun ia tidak lebih sebagai retorik ekoran pengiktirafan PAS
terhadap pendekatan UMNO/BN pada masa itu. Penyertaan PAS ke dalam BN juga
secara tidak langsung juga menyebabkan ramai tenaga muda menjadikan ABIM sebagai
pilihan utama.
1974 :     Anwar Ibrahim memimpin
demonstrasi besar-besaran pelajar di Baling bagi memperjuangkan isu kemiskinan.
Beliau seterusnya mula muncul di persada politik Malaysia dengan imej  Islamik dan radikal[5].
1977 :     Majlis Syura Tertinggi
ABIM memutuskan penyertaan tiga orang ahli mereka ke dalam PAS khusus bagi satu
‘misi khas’ iaitu memulakan kembali usaha-usaha tarbiyyah atau dalam erti kata
lain ‘menyelamatkan’ PAS dari terus hanyut dalam lautan perjuangan kebangsaan.
Tiga orang ahli tersebut ialah Haji Fadhil Noor selaku Timbalan Presiden Abim,
Haji Nakhaie Ahmad dan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman yang kedua-duanya
merupakan Exco ABIM Pusat. 
1978 :     Berlaku krisis dalaman
yang hebat di dalam PAS antara Dato’ Asri selaku YDP PAS dengan Mohamad Nasir
selaku MB Kelantan. PAS Kelantan 
khususnya benar-benar berpecah. Akibat kekacauan yang timbul, darurat
akhirnya distiharkan di Kelantan dan PAS ditendang keluar dari BN. Dengan
‘tangan yang terikat’, PAS dipaksa untuk bertarung dalam pilihanraya  di Kelantan yang akhirnya menyaksikan
Kelantan jatuh ke tangan BN untuk kali pertama selepas kemerdekaan. Krisis
dalaman PAS ini juga membawa kepada terbentuknya parti Berjasa sebagai parti
serpihan PAS.
1979:      Revolusi Syiah di
Iran[6]
berjaya meruntuhkan diktator Shah melalui kuasa rakyat. Ia mencetuskan kembali
kebangkitan gerakan Islam di seluruh dunia. Dalam hal ini, Malaysia tidak
terkecuali. Walaupun sebenarnya, pembaharuan di dalam PAS bermula lama sebelum
itu, namun Revolusi di Iran mempercepatkan lagi langkah ke arah pembersihan PAS
dari sebarang ideologi yang bercanggah dengan kehendak perjuangan Islam.
1981 :     Dr. Mahathir menjadi
Perdana Menteri Malaysia yang keempat. Hubungan peribadi yang rapat antara
bekas Presiden Abim, Anwar Ibrahim dengan Dr. Mahathir sebelum ini secara tidak
langsung menjadikan ABIM bersikap lebih lembut terhadap kerajaan yang sebelum
ini telah dicop dengan pelbagai tuduhan. 
1982 :     Anwar Ibrahim
mengumumkan penyertaannya ke dalam UMNO dengan misi untuk merubah UMNO daripada
dalam.  Secara rasminya, ABIM yang
sebelum ini dianggap sebagai anti-kerajaan bertukar kepada pertubuhan Islam
yang pro-kerajaan. Ini ditambah lagi dengan kerajaan Malaysia di bawah pimpinan
baru Dr. Mahathir yang dianggap ultra-nasionalis sebelum ini menjalankan dasar
Islamisasi di dalam kerajaan. 
1983 :     Ekoran desakan yang
begitu kuat dari ahli-ahli PAS khususnya Dewan Pemuda PAS Pusat yang
benar-benar mahu mengalihkan hala tujua perjuangan PAS sebagai sebuah gerakan
Islam, Dato’ Asri akhirnya melepaskan jawatannya sebagai Yang Dipertua PAS
untuk memberikan laluan kepada kepimpinan ulama’. Bermula dari situlah, PAS
akhirnya didominasi oleh kepimpinan ulama’ sehinggalah hari ini. 
Ulasan
: Walaupun
sebelum ini, PAS sebenarnya sudah meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan,
namun sebenarnya PAS sebagai sebuah gerakan Islam hanya benar-benar lahir pada
tahun 1983 iaitu selepas ideologi pemikiran Sayyid Qutb benar-benar mendasari
perjuangan PAS. Sebelum daripada itu di bawah kepimpinan non-ulama’, PAS tidak
lebih dari sebuah parti politik yang hanya mempunyai nama Islam tetapi tidak
berbeza dengan UMNO dari segi pembawaan dan pelaksanaan dasar. Dan sejarah
menyaksikan, proses pembersihan itu mengambil masa yang begitu panjang.
Pada
peringkat inilah juga, lahirnya ABIM selaku penyebar pemikiran hakimiyyah
ala-ikhwan. Peranannya dalam membantu kelahiran semula PAS sama sekali tidak
boleh diperkecilkan. Namun, 
‘ijtihad’ bekas pemimpinnya untuk menyertai UMNO telah merubah
segala-galanya. Perlu disebut bahawa tidak seikit yang menitiskan air mata  akibat tindakan Anwar Ibrahim[7].
Ekoran daripada itu, selepas tahun 1983, ABIM yang sebelum ini menjadi
pendokong kuat pemikiran Sayyid Qutb mula bersikap lembut dengan kerajaan
manakala PAS yang sebelum ini merupakan parti politik nasionalis Islamik
berubah wajah menjadi gerakan Islam yang mendokong kuat cita-cita untuk
menegakkan sebuah negara Islam yang sebenarnya. Saya mengira, di sinilah
bermulanya pertarungan sebenar antara PAS sebagai sebuah gerakan atau jemaah
Islam dengan pihak pemerintah. 
Laluan
PAS seterusnya di Malaysia pada masa ini sememangnya terlalu sukar ekoran
kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam kerajaan. Akibatnya, masyarakat menerima
proses Islamisasi sederhana dan beransur-ansur yang dibawa bersama penyertaannya
ke dalam kerajaan. Kerana itulah, 
PAS sebenarnya menghadapi laluan yang benar-benar getir dan mencabar. 
 
 
 
 
1983-
1997
PAS pasca kepimpinan ulama’ lebih banyak berusaha
untuk memantapkan kepimpinan ulama seterusnya memperkenalkannnya kepada
masyarakat umum. Usaha-usaha PAS lebih kepada untuk menyaingi proses Islamisasi
yang dibawa oleh Anwar Ibrahim ke dalam UMNO. Ternyata, dalam banyak perkara,
PAS lebih banyak ketinggalan. Faktor UMNO sebagai sebuah kerajaan yang
mempunyai segala-gala kemudahan adalah merupakan faktor yang terbesar.  Oleh yang demikian, PAS khususnya hanya
terpaksa menanti dan mengharap agar UMNO menghadapi krisis dalaman untuk
diambil kesempatan daripada berusaha memberikan penerangan kepada rakyat
tentang perjuangan PAS.  Dan pembangkang
khususnya PAS selalunya bernasib baik dalam penantian ini.  Secara umumnya kronologi di peringkat
ini adalah seperti berikut : 
1985 :     Peristiwa berdarah
Memali di Kedah yang mengorbankan sejumlah penyokong PAS dan seorang anggota
polis. PAS seterunya dilabel sebagai parti yang mahu menggulingkan kerajaan
dengan kekerasan. Bagi saya, peristiwa Memali hanyalah sebagai satu langkah
awal untuk melihat setakat manakah PAS boleh ditangani melalui kekerasan. Ia
adalah cubaan yang benar-benar menguji tahap kematangan pimpinan PAS pada masa
itu.
1986 :     Pilihanraya Umum
menyaksikan PAS kalah teruk dengan hanya memenangi satu kerusi parlimen.  Namun, pada pilihanraya ini buat
pertama kali gagasan pakatan antara pembangkang dilaksanakan walaupun ternyata
ia maish lagi kabur dan tidak mempunyai kesepaduan yang jelas.
1987 :     Ekoran pertandingan
jawatan tertinggi di dalam UMNO, mereka berpecah kepada dua pasukan (team A dan
team B). Tengku Razaleigh yang hanya kalah sebanyak 43 undi kepada Dr. Mahathir
untuk jawatan Presiden UMNO membawa pengkutnya yang tidak sedikit keluar
daripada UMNO dan memberntuk Semangat 46. Krisis ini berakhir dengan
pengharaman UMNO dan kelahiran semula UMNO Baru di bawah pimpinan  Dr. Mahathir. Manakala Semangat 46 pula
muncul sebagai pembangkang yang hebat dan mampu menggugat kerajaan Dr. Mahathir
pada masa itu.
1989 :     PAS sebagai sebuah
gerakan Islam membentuk kerjasama politik dengan Semangat 46 untuk menghadapi
UMNO/BN  di dalam  pilihanraya. Kerjasama yang dinamakan
Angkatan Perpaduan Ummah ini adalah merupakan gagasan pakatan pembangkang yang
terbesar di dalam sejarah pilihanraya tanahair. Namun, kerjasama yang dibentuk
oleh PAS ini ditentang oleh sebahagian ahli peringkat bawahan. Ini membawa
peristiwa keluarnya sebahagian daripada ahli-ahli PAS membentuk parti Islah. 
1990 :     Pilihanraya Umum
diadakan. UMNO/BN masih berjaya menubuhkan kerajaan persekutuan. Pakatan APU
pula berjaya menawan Kelantan dengan tidak memberikan sebarang kerusi kepada
UMNO/BN.  Ekoran daripada kejayaan
inilah, Kelantan kembali dikuasai oleh pembangkang dengan PAS sebagai peneraju
utamanya. Kejayaan menawan Kelantan juga adalah merupakan kejayaan pertama PAS
di bawah kepimpinan ulama’. Seterusnya, PAS dilihat berjaya membina dan
mengukuhkan kepercayaan rakyat kepada kepimpinan ulama’.
| 1993 :      Di dalam UMNO,
  Anwar Ibrahim dikatakan mencapai kemuncak kejayaannya apabila memenangi
  jawatan Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan Majlis Tertinggi UMNO.
  Seterusnya Anwar Ibrahim dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
  Hampir keseluruhan ramalan politik pada masa itu mengatakan Anwar Ibrahim
  adalah bakal Perdana Menteri Malaysia yang kelima. | 
| 1994 :      Al-Arqam
  diharamkan oleh kerajaan. Para pemimpinnya dikenakan tahana ISA. Segala
  kegiatan ekonomi dan pendidikan Al-Arqam yang bergiat cergas sebelum ini
  dipantau dan ditamatkan dengan pukulan ‘maut’ oleh kerajaan yang diketuai
  oleh Pusat Islam. Dalam hal ini, PAS lebih kepada bersikap tunggu dan lihat.
  Manakala tuduhan  sesat yang
  dilemparkan kepada Al-Arqam turut diperakui oleh pimpinan PAS. | 
1995 :     Pilihanraya Umum sekali
lagi menyaksikan UMNO/BN mengekalkan majoriti 2/3 untuk membentuk kerajaan.
Manakala pakatan pembangkang pula tidak menunjukkan sebarang kemajuan selain
daripada mengekalkan penguasaan di Pantai Timur khususnya di Kelantan. Masa
depan pakatan pembangkang dan kemampuannya pada masa itu mula dicurigai oleh
para pemerhati politik.
1996 :     Tengku Razaleigh Hamzah
akhirnya mengambil keputusan untuk membubarkan Semangat 46 dan membawa
ahli-ahlinya kembali semula kepada UMNO. 
Sekali lagi PAS dilihat sebagai tergugat. Ini kerana dengan kemasukan
Adun-adun dari Semangat 6 ke dalam UMNO, maka PAS gagal untuk membetuk majoriti
2/3 di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan. Walaupun demikian, kemenangan
tipis PAS dalam pilihanraya kecil di Pulai Chondong sejurus selepas pembubaran
Semangat 46 memberikan sedikit bukti bahawa rakyat Kelantan tetap bersama
dengan kepimpinan ulama’.
Ulasan : Sebelum daripada kemenangan PAS di Kelantan, PAS dilihat gagal untuk meyakinkan rakyat bahawa kepimpinan ulama’ adalah yang terbaik untuk mereka. Malah untuk meyakinkan ahli-ahlinya sendiri juga merupakan satu cabaran yang besar bagi PAS. PAS juga dilihat masih tercari-cari arah yang sesuai untuk berhadapan dengan UMNO yang memperhebatkan proses Islamisasi. Selain daripada seruan Islam, maka tidak ada isu yang boleh digunakan untuk menyerang kekuatan UMNO/BN. Saya lebih suka untuk mengatakan, seandainya UMNO/BN tidak dilanda dengan perpecahan, maka adalah sukar sama sekali bagi PAS untuk meraih undi rakyat.
Namun, selepas percakaran sesama pemimpin UMNO, mereka dilanda perpecahan yang begitu hebat. Dalam peringkat ini, PAS sekali lagi bertindak bijak untuk mengambil kesempatan daripada keadaaan dengan menjalinkan kerjasama dengan Semangat 46. Walaupun berlaku kekeliruan di kalangan ahli-ahli PAS, namun ia tidak lebih dari kocakan air di kolam yang tenang. Sejarah seterusnya membuktikan bahawa langkah PAS adalah tepat. Faktor Semangat 46 dan Istana Kelantan adalah merupakan faktor penting yang membantu kemenangan PAS di Kelantan. Manakala di Pantai Barat, Gagasan Rakyat iaitu pakatan Semangat 46-DAP gagal untuk meraih kejayaan. Seandainya Gagasan Rakyat juga berjaya di Pantai Barat, maka sudah tentulah perjalanan politik tanahair akan berubah sama sekali. Dengan andaian bahawa dengan kemenangan Gagasan Rakyat, kerajaan UMNO/BN akan mengalami kejatuhan, Tengku Razaleigh Hamzah pasti akan dilantik mengetuai kerajaan baru. Dalam masa yang sama, PAS masih belum berjaya menyebarkan fikrahnya secara menyeluruh. Dalam masa itulah, pasti berlakunya pertembungan ideologi antara PAS dan DAP dalam kerajaan. Kedua-duanya terlalu kuat berpegang dengan ideologi masing-masing. Umpama minyak dan air, adalah menjadi kemustahilan untuk kedua-duanya melakukan kompromi. Adalah menjadi satu kemungkinan yang hampir pasti bahawa perpecahan akan berlaku seandainya barisan pembangkang berjaya membentuk kerajaan persekutuan pada tahun 1990. Namun, ketentuan Allah adalah sebaik-baik ketentuan. Allah hanya menghadiahkan Kelantan kepada PAS sebagai satu persediaan untuk satu kemenangan yang pasti akan diberikan satu hari nanti, Insya-Allah.
Walapun
perkahwinan politik antara PAS dan Semangat 46 tidak dapat bertahan lama, namun
sekurang-kurangnya pakatan itu memberikan hadiah berupa negeri Kelantan kepada
PAS. Hadiah itulah yang menjadi pengkalan kepada PAS untuk melebarkan
pengaruhnya ke seluruh tanahair. Walaupun demikian, kerajaan PAS dilihat masih
gagal menjadi contoh kepada rakyat Malaysia ekoran kegagalannya untuk meningkatkan
prestasi dalam pilihanraya 1995. Kerana itulah, sebenarnya PAS hanya menunggu
agar UMNO dilanda krisis dalaman untuk meraih kemenangan. Tanpa krisis dalaman
UMNO, sukar sekali untuk PAS memperolehi kejayaan. Antara faktor yang
menyumbang ke arah berlakunya senario sebegini ialah kegagalan PAS untuk
menyebarkanluaskan fikrah dan ideologinya kepada masyarakat umum. PAS masih
disaluti imej kolot, kekampungan dan fanatik.
 
1997
– sekarang
Sebagaimana
yang sudah dijelaskan, perkembangan dan perjuangan PAS dalam arena politk tanah
air bersifat statik dan stereotaip semata-mata. Namun, untuk melihat perpecahan
berlaku di dalam PAS khususnya dalam masa kepimpinan ulama’ ini adalah amat
sukar tidak sebagaiman UMNO yang sering bergolak dengan politik terajangnya.
Kedudukan
UMNO selepas kemasukan kembali Tengku Razaleigh bolehlah dikategorikan sebagai
agak mantap. Malah tidak keterlaluan untuk menyatakan, kerajaan PAS di Kelantan
mempunyai kemungkinan untuk dijatuhkan seandainya senario selepas kemasukan Tengku
Razaleigh ke dalam UMNO berterusan sehingga pilihanraya yang berikutnya. Namun,
tiada siapa dapat menghalang ketentuan dari Allah SWT. Kronologi seterusnya
terus meletakkan PAS sebagai pihak yang sentiasa bernasib baik.
1997: Pada bulan Julai, Malaysia dan negara-negara sekitar mengalami kejatuhan nilai mata wang yang teruk. Pada masa itulah, timbulnya desas-desus akan mengenai percakaran yang berlaku di dalam UMNO khususnya antara Anwar Ibrahim (Timbalan Presiden) dengan Dr. Mahathir Mohamad (Presiden).
1998 : Anwar Ibrahim dipecat daripada UMNO dan Kerajaan di atas beberapa tuduhan yang sama sekali tidak dapat dibuktikan dengan jelas. Sekali lagi senario politik di Malaysia menjadi panas. Demonstrasi jalanan menjadi popular dengan tiba-tiba. UMNO berada pada tahap yang paling teruk selepas kemerdekaan. Pemecatan Anwar bertepatan dengan era teknologi maklumat menjadikan UMNO tidak sempat untuk menangkis pelbagai tuduhan yang dilemparkan dari pelbagai sudut.
Ekoran dari pemecatan Anwar, secara imej Islamik yang selama ini membayangi UMNO walaupun tidak banyak hilang secara tiba-tiba. Ahli-ahli akademik dan tokoh-tokoh masyarakat yang selama ini merupaka penyokong UMNO keluar beramai-ramai ke barisan pembangkang. UMNO kembali kepada imej ultra sekular nasionalisnya seperti era 70-an.
Hasil daripada pemecatan Anwar, PAS tidak gagal untuk memanipulasi keadaan sebaik mungkin. Dengan diketuai oleh PAS, barisan pembangkang digabungkan sebaik mungkin untuk menjatuhkan UMNO/BN dalam pilihanraya. Apa yang menarik, kali pertama dalam sejarah politik tanah air, PAS berjaya menjalinkan kerjasama rasmi dengan DAP di samping penyokong-penyokong Anwar berada di dalam parti Keadilan Nasional. Kerana itulah, gabungan pembangkang kali ini boleh disifatkan sebagai yang terbaik di dalam sejarah politik tanahahir. Namun tidak dapat dinafikan bahawa ia masih mempunyai banyak kelemahan. Halatuju yang ingin dibawa masih kabur dan tidak jelas.
1999 :     PAS
berjaya menawan Terengganu dalam pilihanraya umum. Manakala sokongan orang-orang
Melayu kepada UMNO/BN merosot dengan begitu teruk. Di beberapa buah negeri,
majoriti kekalahan PAS hanyalah tipis. Para pemerhati politik ramai yang
berpendapat bahawa seandainya hak lebih 600,000 orang pengundi baru tidak
dinafikan dalm pilihanraya kali ini, maka sudah pasti kerajaan UMNO/BN sudah
ditalkinkan.  Namun, perancangan
Allah adalah sebaik-baik perancangan.
2000 :     Pilihanraya kecil di
Lunas pada akhir tahun 2000 menyaksikan kemenangan calon Keadilan, Saifuddin
Nasution dengam majoriti yang agak selesa. Oleh kerana pengundi Lunas
kebanyakannya bukan terdiri dari orang Melayu, maka senario ini harus dilihat
sebagai sokongan orang bukan Melayu kepada pembangkang. Oleh yang demikian,
seharusnya PAS melihat ini sebagai peluang terbaik untuk menjatuhkan kerajaan
UMNO/BN pada pilihanraya yang akan datang.
Ulasan :Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa pemecatan Anwar Ibrahim adalah
merupakan pencetus kepada kebangkitan rakyat di Malaysia.  Walapun pemecatan itu bukanlah
satu-satunya faktor, tetapi ia tetap merupakan faktor utama. Rakyat kembali
memperkatakan soal keadilan, ketelusan dan kejujuran pemimpin. Isu rasuah,
kronisme dan lain-lain diperkatakan dengan hebatnya oleh pembangkang
termasuklah PAS.
Melihat dari konteks PAS, jika sebelum ini,
isu yang diutarakan ialah soal perjuangan dan negara Islam, maka pada hari ini,
PAS lebih banyak memperkatakan isu-isu nasional dan cuba untuk tidak
memperlihatkan perbezaan ideologi dengan rakan-rakan pembangkang yang lain. Ini
tidak sukar bagi PAS kerana sedikit demi sedikit PAS sudah mula dikenali
sebagai parti intelektual ekoran penyertaan beramai-ramai ahli akademik ke
dalam PAS. Imej kampung, kolot dan konservatif sebelum ini boleh dikatakan
telah tiada dalam PAS.
Namun, adakah dalam masa yang sama, PAS sudah
mula melupakan aliran pemikiran Sayyid Qutb yang dijunjungnya dengan begitu
kuat sebelum ini? Tentu sekali tidak Melihat kepada corak kepimpinan dan
organisasi PAS, maka sama sekali tidak boleh dikatakan bahawa PAS sudah mula
meninggalkan ideologinya sebagai sebuah 
jemaah Islam. Namun, usia setengah abad telah mematangkan PAS agar
sentiasa berhati-hati.
Sesungguhnya hari ini, PAS berada dalam
kedudukannya yang paling selesa untuk membentuk kerajaan selepas ini. Namun,
satu persoalan yag harus dijawab. Adakah sokongan rakyat kepada pembangkang
khususnya PAS ialah kerana rakyat menerima konsep perjuangan Islam atau hanya
sekadar sebagai satu alternatif kepada UMNO/BN? Bagi saya, PAS sebenarnya masih
gagal untuk menyajikan ideologi perjuangan Islamnya dengan baik. Oleh yang
demikian, sokongan rakyat yang meningkat pada hari ini bukanlah satu bukti
bahawa ideologi PAS mula diterima. Ia sebenarnya tidak lebih dari manifestasi
kebencian rakyat kepada UMNO/BN. Kebencian rakyat ini diterjemahkan dalam
bentuk sokongan kepada pembangkang khususnya PAS. Dalam erti kata lain, jika
hanya kerana ideologi Islam yang ada pada PAS, sebenarnya PAS masih tidak
berjaya sekalipun tidak gagal seratus peratus.
Ya, kedudukan UMNO/BN sudah tidak selamat,
namun adakah itu secara automatik merupakan janji selesa kepada perjuangan
Islam? Bersediakah sebenarnya PAS khususnya menangani kemenangan dengan sebaik
mungkin?
 
 
Sesungguhnya perjuangan
Islam pasti akan memperolehi kemenangan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud
: 
Hari
Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah para muslimin memerangi orang Yahudi.
Para muslimin memerangi mereka menyebabkan orang Yahudi bersembunyi di belakang
batu dan pokok. Maka batu atau pokok berkata: Wahai para muslimin! Wahai hamba
Allah! Ada Yahudi di belakangku. Datanglah ke sini dan bunuhlah dia melainkan
pokok yang berduri, kerana pokok itu adalah di atara pokok kaum Yahudi .
(Hadis riwayat Bukhari, Muslim & Ahmad)
 
Namun, adakah kemenangan
Islam itu akan diberikan seperti mana turunnya hujan? Adakah Allah SWT akan
memberikan kemenangan kepada perjuangan Islam secara percuma? Tentu sekali
tidak.[8]
Allah SWT berfirman yang bermaksud : 
Adakah
kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada
Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan
bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya)
orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?[9]
 
Dalam konteks Malaysia,
generasi tunas khususnya mereka yang mempunyai kesedaran agama yang tinggi
seharusnya memainkan peranan yang penting bagi memastikan kemenangan kepada
Islam bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Ini kerana seandainya
kita menerima tanggapan bahawa kemenangan Islam sudah semakin hampir di
Malaysia, maka tidak dapat tidak yang akan menangani dan mengisi kemenangan
tersebut ialah generasi muda yang ada pada hari ini. Adalah menjadi satu
kepincangan yang maha hebat seandainya kemenangan yang dianugerahkan oleh Allah
hanya menyebabkan pejuang-pejuang Islam lalai untuk terus berjuang.
Sesungguhnya kita tidak mahu saat-saat kemenangan yang paling berharga dicemari
dengan ‘tragedi Uhud yang kedua’. Akhirnya, kemenangan yang diberikan tidak
lebih hanyalah merupakan penghinaan daripada Allah SWT.
Hari ini, generasi
pemuda harus bersedia dengan seribu kemungkinan. Cabaran di hadapan terlalu
hebat untuk dihadapi. Dunia tanpa pesempadanan menguji sejauh mana kekentalan
semangat generasi tunas megharungi dugaan hidup untuk muncul sebagai tentera
Allah. Generasi tunas hari ini seharusnya :
?      Mempersiapkan
diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang[10].
?      Mengasuh
dan mendidik jiwa agar boleh beristiqomah dengan perjuangan Islam. Sesungguhnya
sudah ramai bersemangat untuk berjuang sebelum ini akhirnya gagal di tengah
jalan apabila bertemu dengan dugaan dan cabaran yang berupa penderitaan.  Seandainya generasi tunas hanya mampu
bersemangat untuk waktu yang sementara dan layu di tengah jalan, maka kita akan
melihat perjuangan Islam akan terus berada dalam perjalanan yang sukar. Memetik
kata Said Zahari (tahanan poltik tanpa bicara selama 17 tahun) dalam bukunya,
Meniti Lautan Gelora : “Saya tidak pernah menangis dan tidak akan menangis
hanya kerana saya ditahan”.[11]
?      Mempelajari
teknik-teknik dakwah yang terbaik. Segala macam bentuk dakwah Islam perlu
didalami sebaik mungkin. Konsep tarhib wa targhib dan dakwah bilhikmah perlulah
sentiasa dijadikan panduan kepada para pejuang khususnya generasi tunas. Ini
penting bagi memastikan masyarakat memahami konsep penjuangan Islam yang
sebenar. Seterusnya, masyarakat akan memilih Islam kerana merasakan bahawa
Islam adalah merupakan plihan yang terbaik bukan didorong oleh kebencian
terhadap sistem yang ada paad hari ini.
?      Generasi
tunas haruslah sentiasa menyedari bahawa hidup dan mati mereka hanyalah untuk
Islam. Setiap langkah yang dibuat haruslah disertakan bersama keikhlasan kepada
Allah. Ini kerana merupakan aib yang terlalu besar seandainya mereka yang
mengaku sebagai pejuang Islam namun perjuangan yang didokong masih terpalit
dengan niat duniawi.
 
Sesungguhnya perjuangan
Islam di Malaysia khususnya melalui politik telah melalui ranjau-ranjaunya yang
tidak sedikit. Walaupun sering mengalami kekalahan, namun kekentalan para
pendokong menjadikan PAS semakin matang menghadapi pelbagai cabaran. Oleh
kerana kita melihat bahawa tahun-tahun kebelakangan ini, sokongan rakyat begitu
mendadak meningkat, maka seharusnya langkah-langkah bagaimana untuk menangani
kemenangan dibincangkan sejak daripada awal lagi. Perlu diingatkan, kemenangan
kadang kala merupakan satu anugerah namun kebanyakannya lebih kepada ujian.
Manakala generasi tunas
pua harus sentiasa bersiap sedia untuk tampil ke hadapan mendepani
cabaran-cabaran yang akan mendatang. Islam pasti akan bangkit semula sebelum
berlakunya kiamat dan sudah pasti generasi tunas pada hari ini perlu bersiap
sedia ke arah itu. 
Semoga Allah memberkati
setiap usaha kita dalam memperjuangkan kalimahNya di muka bumi ini. Amin Ya
rabbal ‘alamin.
 
 
 
 
AHMAD FADHLI SHAARI adalah
siswa tahun 1, Jabatan Dakwah Wal Qiadah, KIAS.
[1] Surah Fusilat, ayat 33.
[2] Mohamad Fauzi Zakaria, Aqidah Yang Menggoncang Dunia : Pemikiran Sayyid Qutb. Hal. 197
[3] Said Zahari, Meniti Lautan Gelora
[4] Zabidi Mohammad, Al-Arqam : Tersungkur Di Pintu Syurga. Hal : 18
[5] Ahmad Lutfi Othman, Wajah Baru Politik Malaysia, hal. 18
[6] Saya berpendapat gelaran ini lebih sesuai sekalipun kebanyakan penulis lebih gemar menggunakan gelaran Revolusi Islam Iran.
[7] Sayuti Omar, Siapa Pencabar Anwar? Hal. 50.
[8] Persoalan yang sama ditimbulkan dan dikupas dengan lebih lanjut oleh Abdullah Al-Qari Haji Salleh, Kemenangan Islam dan Para Wali Allah.
[9] Surah Ali-Imran, ayat 142
[10] Ini ialah
sifat pendakwah yang pertama sekali digariskan oleh Dr. Abdul Karim Zaidan, Usul
Dakwah.
[11] halaman 231