Sinna Sherina Munaf atau lebih dikenali sebagai Sherina telah mendapat bimbingan dalam bidang muzik sejak berusia 5 tahun lagi. Pada tahun 1996, Sherina telah mengikuti kursus vokal di " Bina Vokalia " dan seterusnya melanjutkan kursus yang sama di " Bina Seni Suara " (BISS). Disinilah sherina telah mendapat bimbingan dari Uci Nurul dan Elfa Seciora, anggota kumpulan Elfa's Singer. Sebelum melangkah ke dunia hiburan, Sherina pernah mengikuti beberapa pertandingan karaoke dan nyanyian. Antaranya ialah pertandingan karaoke di Mal Pondok Indah sempena " Metro 6th Anniversary " (Okt 97) dan pertandingan nyanyian sempena " Hari Pahlawan " (Nov 98) di Bintaro Jaya, dimana dia telah menjuarai pertandingan tersebut. Sejak memperolehi pencapaian yang baik dalam bidangan nyanyian, Sherina telah berhasrat untuk merakamkan suaranya. Hal ini telah diketahui oleh ayahnya (Triawan Munaf). Atas sebab itu ayahnya telah menghubungi Elfa Seciora, teman lamanya yang ketika itu merupakan guru vokal Sherina. Pada waktu itu, apa yang difikirkan oleh ayahnya ialah bagaimana ia dapat memberikan sebuah album yang boleh dikenang setelah Sherina meningkat Dewasa. Bagaimana pun rancangan telah menjadi sebaliknya apabila Elfa Seciora membuat keputusan untuk mengambil Sherina sebagai artis rakaman. Atas berkat yang tekun dalam bidang ini, akhirnya Sherina telah menjadi penyanyi Kanak-Kanak yang profesional, sekaligus menjadi ikon baru untuk fenomena muzik kanak-kanak di Indonesia. Sejak itu, Sherina telah menghasilkan 3 buah album, membintangi sebuah film " Petualangan Sherina " serta membintangi beberapa iklan komersil. Bagaimana pun setelah sekian lama menyepikan diri dari bidang nyanyian, kini Sherina telah muncul dengan sebuah album amal untuk membantu mangsa-mangsa tsunami di Aceh dan Sumatera Utara. Dan khabarnya Sherina akan menghasilkan sebuah album remajanya pada tahun ini.