Pendidikan berkait rapat dengan kreativiti dan pemikiran kreatif. Pendidikan
Seni dalam Kurukulum Bersepadu Sekolah Menengah, bermaksud seni tampak yang
bertujuan melahirkan warganegara berbudaya, khususnya individu yang kreatif,
berpengetahuan dalam bidang seni, mempunyai kemahiran mencipta dan peka
terhadap ciri estetik.
Kurikulum Pendidikan Seni melibatkan perasaan estetik, daya kreatif pelajar
melalui penjanaan daya intuisi, persepsi dan konsepsi, juga boleh mewujudkan
rasa kepuasan dan kesedaran terhadap bakat serta kemampuan diri pelajar.
Pelajar yang mengikuti program Pendidikan Seni akan menjadi lebih peka dan
perasa, bersikap sederhana dan mampu mengamalkan pertimbangan kesenian dan
kesempurnaan dalam mengendalikan kehidupan. Pendidikan Seni juga mampu meningkatkan
kualiti berfikir . Pengetahuan dan kemahiran Pendidikan Seni melalui penjanaan
idea, penerokaan unsur, inkuiri, integrasi maklumat serta idea, pengolahan
simbol nyata atau abstrak dan melihat sesuatu dari pelbagai perspektif,
menjanjikan satu peningkatan kualiti berfikir serta bertindak secara rasional
dan fleksibel.
Pendidikan Seni merupakan satu disiplin yang merentas kurikulum dan boleh
dikatakan sebagai asas kepada mata pelajaran lain. Pelajar yang didedahkan
dengan Pendidikan Seni berasa lebih senang dan yakin apabila berdepan dengan
tugasan dalam mata pelajaran lain terutamanya yang melibatkan kemahiran
berfikir secara kreatif dan kritis. Kefahaman menerusi visual tentunya lebih
mudah daripada penghafalan fakta menerusi catatan berjela. Peta minda yang
digrafikkan secara mudah lebih berkesan untuk menyatakan sesuatu konsep
atau penerangan yang sukar. Prinsip dalam Pendidikan Seni berupaya memenuhi
tuntutan dalam masalah ini.
Pendidikan Seni juga selari dengan konsep pembelajaran seumur hidup (learning
throughout life) yang dikatakan sebagai salah satu syarat untuk menghadapi
dunia abad ke-21. Pendidikan Seni merupakan satu disiplin yang mengaplikasikan
ilmu dengan kemahiran. Pelajar belajar melalui tindakan membuat (learning
by doing), yang kemudiannya kelak dapat dilanjutkan kepada learning to be
dan learning to live together, apabila tiba masanya untuk berada dalam masyarakat
dan pasaran kerja. Asas ini dibina dalam pengajaran Pendidikan Seni terutamanya
dalam membentuk pemikiran tinggi. Sebagai contoh awal, proses mereka bentuk
dalam Pendidikan Seni, melibatkan pelajar melalui beberapa proses berfikir
dan bertindak seperti : Pengenalpastian masalah
Menentukan keperluan, lakaran situasi atau masalah. Penjelasan tentang perkara
utama dan limitasi serta persolan yang sepatutnya dapat dijelaskan. Kajian
dan Penyelidikan
Aspek persekitaran, ergonomik, masa, faktor keselamatan, kekuatan, bentuk,
bahan, kos dan pembuatan serta pelbagai sumber.
Idea dan cara penyelesaian – dilakukan secara lakaran beberapa idea dan
penyelesaiannya.
Perkembangan – memperincikan idea bersama lakaran dan huraian. Bekerja dengan
idea yang telah dikenal pasti bagaimana bahagian-bahagian dipasang (kalau
ia model). Mungkin carta aktiviti atau carta produksi diperlukan pada peringkat
ini. Foto atau lakaran visual yang menampakkan pelbagai persepsi juga boleh
membayangkan kegiatan seterusnya menjadi lebih jelas.
Proses membuat.
Proses dan teknik.
Percubaan dan Penilaian Membandingkan spesifikasi asal dengan senarai fungsi.
Mencatat sebarang masalah yang timbul sepanjang kegiatan.
Mencuba. Membuat rumusan.
Apabila melihat proses mereka bentuk yang disenaraikan, nyatalah bahawa
Pendidikan Seni mementingkan aplikasi ilmu dengan kemahiran. Dalam proses
tersebut juga, inovasi teknologi yang merangkumi tiga tahap digabungkan.
Gabungan tersebut ialah idea yang kreatif, aplikasi secara praktikal dan
penerimaannya terhadap masyarakat. Ini dikaitkan dengan maksud kreatif yang
menekankan sesuatu yang unik, baru dan bermakna, dalam konteks norma kita
sendiri.
Melalui informasi teknologi dalam Pendidikan Seni, idea yang banyak dapat
dilahirkan dan pelbagai. Ini akan membantu pelajar menghasilkan ciptaan
terbaru dengan mudah, tepat, cepat, dan menarik. Namun, sebagai suatu disiplin
yang mengutamakan daya imaginasi dan kreativiti ketika pembentukan konsep
dalam minda, yang harus dijelmakan dalam bentuk visual secara manual, pelajar
tidaklah diketepikan ilmu untuk mendapatkan kemahiran tertentu dan sebaliknya
hanya menggunakan teknologi moden seperti komputer melakukan segala-galanya.
Komputer, dalam hal ini adalah sebagai tool atau kadang-kadang sebagai tutee
bagi memudahkan cara melaksanakan kegiatan Pendidikan Seni. Banyak pakar
yang berpendapat bahawa pendidikan yang berkesan sepatutnya dilakukan secara
bersepadu, sama ada dengan memenuhi tuntutan pelajar melalui ikutan, analisis
logik, kemahiran mengaplikasi ilmu seni, dan sebagainya.
Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang mengarah kepada suasana riang dan
ria serta mengundang minat pelajar akan membangkitkan semangat ingin melakukan
sebarang kegiatan pembelajaran dengan baik. Penyelesaian masalah merupakan
satu kaedah yang berkesan dalam Pendidikan Seni kerana ia bukan sahaja melibatkan
tingkah laku ingin tahu pelajar tetapi juga berkait dengan perasaan pelajar
yang menjurus kepada Learning is fun.
Konsep pengajaran bersepadu dalam Pendidikan Seni telah diperjelaskan dalam
Sukatan Pelajaran yang dapat disimpulkan bahawa ia merangkumi domain yang
dihasrat secara bersepadu melalui pendekatan yang terancang. Pendekatan
yang terancang dan terarah ini berteraskan objektif pencapaian iaitu, ekspresi
kreatif, penggubahan, penghasilan dan persembahan, persepsi estetik, pertimbangan
estetik, warisan budaya kraf, dan seni tampak. Justeru, Falsafah Pendidikan
Kebangsaan yang terkandung hasrat murni di dalamnya dapat direalisasikan
melalui subjek Pendidikan Seni.
( Disesuaikan daripada Seminar Pendidikan Seni oleh Encik Mat Desa bin Mat
Radzi, Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan