From Sanggang By Election Page Kenyataan media Forum Malaysia UK & EIRE Pilihanraya
kecil DUN Sanggang: Kembalikan Demokrasi Yang Semakin
Terhakis Para
pengundi di DUN Sanggang merupakan kalangan yang bernasib
baik kerana dapat membuang undi bagi kali yang kedua.
Kesempatan ini harus menjadi satu titik tolak yang
terbaik untuk membuat pilihan baru setelah ternyata
pemilihan sebelum ini berpihak kepada Barisan Nasional.
Rebutlah kesempatan yang terbaik ini bagi memberikan
tamparan terhadap sikap angkuh kerajaan Barisan Nasional
yang mulai menghakis hak-hak demokrasi negara setelah
memenangi pilihanraya ke 10 baru-baru ini. Hak-hak
demokrasi dalam negara semakin terhakis apabila
pemimpin-pemimpin pembangkang dihadapkan ke mahkamah atas
pertuduhan-pertuduhan yang direka semata-mata.
Manakala permit penerbitan akhbar Harakah pula
dihadkan oleh pentadbiran kerajaan Barisan Nasional
kepada dua minggu sekali. Paling ketara lagi ialah permit
penerbitan majalah Detik ditarik balik. Ini semua berlaku
akibat keangkuhan Barisan Nasional yang telah memenangi
pilihanraya ke 10 baru-baru ini. Pertuduhan
ke atas bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor pula
dikurangkan kepada pertuduhan yang lebih ringan setelah
lebih dari setahun beliau mengaku bersalah membelasah
Dato Seri Anwar Ibrahim. Ini jelas
menunjukkan campur tangan politik dalam sistem kehakiman
negara yang agak ketara disamping penyalahgunaan kuasa
Peguam Negara. Negeri Melaka iaitu negeri yang ditadbir
oleh Barisan Nasional secara mutlak ternyata menjadi
model terhakisnya nilai-nilai demokrasi apabila siri-siri
kezaliman ke atas rakyat diteruskan oleh Ketua Menterinya
Datuk Wira Ali Rustam dengan menyekat dan memutuskan
segala hubungan kerajaan negeri dengan doktor-doktor ,
peguam-peguam dan pekerja-pekerja bank yang didakwa
sebagai menyokong pembangkang. Sikap angkuh kerajaan Barisan Nasional yang kian hari menampakkan taringnya tidak harus dibiarkan berleluasa. Ia perlu disekat dan dibendung. Lantaran itu , FMUKE menyeru dan merayu kepada seluruh pengundi DUN Sanggang supaya keluar mengundi pada 1hb April nanti dan memberikan sokongan tanpa ragu kepada calon Barisan Alternatif iaitu Dato Hishamuddin Yahya. Kemenangan untuk calon Barisan Alternatif ini juga pastinya akan dapat memberi pengajaran kepada Menteri Besar Pahang, Dato Adnan Yaakob agar lebih berakhlak mulia dalam menguruskan pentadbiran negeri. Dalam
kesempatan ini juga , kami menyeru kepada
petugas-petugas Barisan Alternatif supaya bekerja lebih
keras dan berusaha bersungguh-sungguh untuk meraih
kemenangan. Pastikan ruang-ruang penipuan yang bakal
dilakukan oleh Barisan Nasional dapat ditangkis dengan
bijak. Kami di UK dan Eire mendoakan kejayaan buat kalian
semua. Sekian, terima kasih. Wassalam. Zulkifli Hj.Yusoff Pengerusi, Forum Malaysia United Kingdom dan Eire (FMUKE) Bertarikh: 28hb.Mac 2000 |