From Harakahdaily http://harakahdaily.com

Presiden PAS gesa MB Pahang minta maaf

Menteri Besar Pahang, Dato’ Seri Adnan Yaakob perlu meminta maaf kepada seluruh rakyat Pahang khususnya pengundi Dun Sanggang berikutan tindakan tidak senonoh dengan menunjukkan isyarat lucah sewaktu hari penamaan calon, baru-baru ini.

Gesaan dibuat oleh Presiden PAS, Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor sewaktu berceramah di kampung Tanjung Besar, Khamis lalu. Menurut Presiden PAS, perbuatan tersebut merupakan perbuatan seorang Menteri Besar yang tidak berakhlak.

"Saya terperanjat bila diberitahu, kalau ini perangai Menteri Besar dia tidak layak jadi Menteri Besar.Kalau pemimpin Umno/BN yang lain ada maruah sepatutnya dia arah Nan berhenti, kalau dia ada maruah. Saya kesal kerana perbuatan itu menggambarkan perbuatan Menteri Besar yang sangat buruk dan tidak mempunyai akhlak. Orang Pahang ini terkenal dengan budi bahasa yang tinggi, beragama. Kalau macam itu cara orang Umno boleh terima mengambarkan penyikutnya lebih buruk daripada pemimpin,"katanya.

Ustaz Fadzil juga kesal kerana Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi cuba mempertahakan tindakan Adnan dengan alasan tindak balas sorakan orang PAS. "Saya juga kena juga sorak bila lalu di hadapan penyokong BN tetapi saya tak pedulikan,kalau macam itu Pak lah lebih kurang sama dialah juga, perangai lebih kurang Nan saja. Dia tak ada rasa dukacita sepatutnya dia patut minta maaf kepada orang Temerloh, orang Pahang terutamanya pengundi Sanggang, tapi tidak ada," katanya.

Ustaz Fadzil juga mengingatkan pengundi Sanggang samaada pengundi Islamnya atau bukan Islam tidak mengundi BN. "Saya harap pengundi Sanggang samaada Melayu bukan Melayu tak boleh lagi memilih BN walau pun calonnya dikatakan keluar Azhar," pinta ustaz Fadzil. Turut berceramah Ketua Penerangan Parti Keadilan Pusat, saudara Ruslan Kassim.