From Pemantau http://pemantau.tripod.com

Jaga Peti Undi

Oleh Ibrahim Baba

Dalam mempersiapkan jentera parti untuk hari Sabtu ini, IB bersama beberapa rakan berbincang dan ingin mengutarakan beberapa cadangan.

Mungkin belum terlewat untuk kita melihat balik apa yang telah dilaksanakan untuk persiapan menghadapi hari pilihanraya kecil ini.Mungkin juga kita mempunyai ramai sukarelawan yang telah datang membantu dan ramai lagi yang ingin menghulurkan tangan.

Kelebihan mungkin memihak kepada kita kerana dalam pilihanraya kecil, kita seharusnya mempunyai petugas yang secukupnya untuk berkawal di setiap pos kawalan dan tempat-tempat strategik. Namun, kalau tiada persiapan yang rapi, teratur dan kemas bilangan sukarelawan yang ramai tidak mungkin dapat melaksanakan perancangan atau sesuatu tindakan dengan berkesan.

1. Sediakan petugas di setiap tempat strategik

Terdapat beberapa tempat strategik yang umum ketahui mesti di kawal dan mempunyai petugas yang secukupnya.Bersedialah dari sekarang.

Tentukan dilantik ketua-ketua pasukan petugas.PAStikan ketua-ketua ini menyusun jadual nama-nama petugas yang perlu untuk setiap masa tertentu.

PAStikan juga penama-penama ini maklum akan skop tugas dan peranan mereka – dan WAKTU mereka bertugas.Adakan juga beberapa orang sebagai “standby” bila perlu.

Di antara tempat-tempat tersebut ialah:

Pertama ialah bilik mengundi, di sekitar pusat mengundi dan di luar pusat mengundi. Kedua, tempat penjumlahan undi.

Juga, perlu ada petugas yang memerhatikan gerak-geri petugas BN.Catitkan apa-apa yang mengesyaki.Rakamkan gambar.Perhatikan juga kedatangan pengundi hantu.Ini mungkin dilakukan pada “odd-hours” – yakni waktu-waktu yang seperti ketika petugas kita ramai yang penat, pergi solat, pergi makan dsbnya.

2. Sediakan pasukan petugas untuk mengekori setiap peti undi.

Pasukan ini perlu mempunyai kemudahan pengangkutan yang baik.Dalam pasukan ini perlu sekurang-kurangnya di anggotai oleh sebuah kereta (yang berkeadaan baik dan boleh memecut) dengan seorang pemandu dan sekurang-kurangnya dua orang penumpang di dalam.Dan pasukan ini mesti juga mempunyai sekurang-kurangnya tiga buah motorsikal.Setiap motorsikal dengan seorang penunggang dan seorang pembonceng.

Jika ada kenderaan “back up” berserta dengan petugas tambahan lagilah bagus.

PAStikan para petugas ini dilengkapi dengan alat perhubungan seperti telefon bimbit dan kamera untuk rakam detik-detik penting.

Jangan ditinggalkan kenderaan yang membawa peti-peti undi ini.Ikut rapat-rapat.Mesti ada ketua pasukan yang mengekori.Ini penting kerana jika ada apa-apa berlaku, keputusan untuk bertindak mesti dilaksanakan dengan segera.Sebaik-baiknya, di kalangan ketua-ketua ini perlu buat sessi brainstorming dengan memikirkan beberapa kemungkinan yang akan dilaksanakan oleh musuh dan pelan tindakan yang efektif.

Ada seorang rakan kami menyatakan ada peruntukan untuk agen parti meletakkan “seal” atau kunci masing-masing di setiap peti.Jika ini dibolehkan maka setiap peti mesti ditanda dan dikunci/seal parti.Jika ada yang tidak bertanda maka peti tersebut boleh diragui.

Perlu ada di kalangan petugas ini mereka yang berbadan sasa dan tegap. Bukan niat kita untuk bergaduh tetapi perlu bersedia untuk mempertahankan diri.

Jangan sekali-kali kita mulakan.Malah harus mengguna pertimbangan sewajarnya untuk mengelakkan sebarang pertembungan.JANGAN terikut dengan PROVOKASI mereka.

3. Sediakan lampu suluh dengan banyak.

Taktik lampu padam sudah sedia termaklum.PAStikan setiap petugas membawa bersama lampu suluh (lagi besar dan lagi power lagi bagus).

Opsyen lilin dan pelita adalah ketinggalan.

Ini kerana masa untuk sebarang penipuan seperti pertukaran peti boleh dilakukan dalam sekelip mata.

Kalau semasa di kampung saya dulu, lampu suluh yang paling digemari, terutama oleh pak cik-pak cik saya ialah lampu suluh yang panjang 6-bateri.Bukan sahaja suluhannya yang terang tetapi mudah digunakan sebagai senjata mempertahankan diri.

Bantah peti-peti undi yang datang di waktu ini tanpa diketahui asal usulnya. Seperti mana berlaku di Parlimen Pekan November lepas harus menjadi pengajaran.Ketika keputusan diketahui bahawa Najib Razak telah kalah lebih seribu undi, tiba-tiba lampu dewan padam.Dalam keadaan yang kelam kabut dan persiapan lampu suluh tidak dibuat, tiba-tiba satu pasukan datang membawa masuk peti undi seraya berkata “eh, peti orang asli dah kira ke belum …” dan dari itulah Najib akhir mendapat majoriti lebih kurang 200 undi.Sumber yang rapat dengan BN Pekan menyebut bahawa, peti-peti undi “back-up” sebelum itu tersimpan di Istana.

4. Sediakan makanan untuk petugas.

Sesetengah petugas telah bertugas berjam-jam.Sesetengah mereka sanggup tidak pergi makan kerana kesetiaan menjaga pos kawalan yang ditugaskan kepada mereka.Kepada mereka ini hendaklah kita sediakan makanan dan minuman secukupnya agar mereka tetap dan setia melaksanakan tugas mereka.

Mungkin kalau tidak ada nasi dengan pelbagai lauk-pauk seperti petugas BN, sesuatu dalam bentuk makanan ringan perlu disediakan.Sekurang-kurang untuk mengalas perut supaya tidak terlalu lapar.

Ingat tauladan dari peristiwa pasukan pemanah yang meninggalkan kedudukan mereka semasa peperangan Uhud.

5. Sediakan pasukan gantian untuk petugas bergilir solat.

Yang amat penting dalam melaksanakan pelbagai tugas untuk memastikan kemenangan perjuangan kita dalam pilihanraya ini, para petugas MESTI istiqamah dalam amal ibadat.Yang paling utama ialah solat.Pernah di masa-masa lampau, para petugas yang sibuk berkempen serta memasang poster di malam/awal pagi tidak bangun untuk solat Subuh.Ini tidak sepatutnya berlaku lagi.

Dan pada hari mengundi, mesti disediakan pasukan gantian digilirkan dengan petugas yang berkawal untuk pergi menunaikan solat.Lakukanlah seawal waktunya, terutama bagi masa yang suntuk seperti Maghrib.Harus disusun sebaiknya, kerana inilah masa ada di antara kita yang mungkin lalai untuk solat, atau ada yang pulang ke rumah, pergi cari makan, terlalu penat atau terlalu seronok gembira dari riak-riak kemenangan – maka di masa inilah kita mungkin lemah, tidak cukup tenaga sukarela dan di masa inilah musuh akan mengambil kesempatan.

Pasukan gantian juga perlu untuk menganti petugas yang kecemasan untuk ke tandas ataupun sebagai back up jika ada petugas yang terpaksa balik kerana 1001 macam kemungkinan.

Sekianlah sahaja yang dapat kami fikirkan supaya dapat memberi sumbangan untuk kemenangan PAS di Sanggang.

Jangan lalai walau sekelip mata. WalLahu ‘Alam.

Sekian