From Pemantau http://pemantau.tripod.com

Kelucahan Seorang Menteri Besar

Sangat sedih melihat perilaku Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang menunjukkan isyarat lucah pada hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil Sanggang, Pahang pada Selasa lalu 21 Mac. Dengan menggunakan tangan MB itu yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO dan juga Ketua Perhubungan UMNO Pahang menghalakan isyarat lucah yang selalu digunakan oleh para remaja nakal. Isyarat lucah itu MB Pahang tujukan ke arah ribuan penyokong Barisan Alternatif. Gambar perbuatan Adnan Yaakob itu sekarang terdapat di internet.

PAS telah menyatakan bantahannya akan perilaku seorang pemimpin kerajaan dan UMNO serta BN itu. Malangnya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri yang dikenali dengan panggilan "Mr Clean" itu mempertahankan perilaku lucah dan biadap serta kurang bermoral itu.

Nampaknya MB Pahang itu bersikap seperti ‘pemuda tahan lasak UMNO’ zaman tahun 60-an iaitu ketika Datuk Senu Abd Rahman menjadi Setiausaha Agung UMNO.Ada sesetengah orang telah melabelkan sikap MB Pahang itu sebagai samseng dan tidak layak menjadi MB Pahang. Mungkin tuduhan samseng itu agak berat dan keterlaluan, tetapi tidak manislah seorangbergelar Datuk Seri dan memegang jawatan awam berpangkat tinggi itu membuat perkara yang lucah-lucah di khalayak ramai.

Cukuplah sudah kita setakat ini mempunyai seorang bergelar Tun yang didakwa terlibat rasuah kerana menerima sumbangan wang dan saham beratus juta ringgit dari para ahli korporat yang menjadi kroninya. Begitu juga memadailah kita setakat ini mempunyai seorang Tan Sri yang memukul tahanan yang tangan bergari dan mata ditutup sehingga cedera di mata dan di muka. Janganlah ditambah lagi senarai para Datuk, Tan Sri dan Tun yang lucah, serakah dan penjenayah. Yang sudah ada itu cukuplah buat teladan dan sempadan bagi generasi akan datang.

Yang jelasnya, Adnan Yaakob itu telah gagal untuk menunjukkan perilaku seorang pemimpin politik yang waras, tenang dan berwibawa. Walau dalam keadaan tertekan atau diprovokasi semacam manapun, seorang pemimpin sepenting MB Pahang itu seharusnya menunjukkan sikap yang tenang, sabar dan berhemah tinggi. Tidak pelik sekiranya gurkha-gurkha atau gedebeh UMNO berbuat seperti apa yang dibuat oleh Adnan Yaakob. Tangan Adnan Yaakob sepatutnya digunakan untuk tujuan yang mulia seperti bersalaman dengan rakyat di Sanggang bukan seperti apa yang dilakukannya Selasa lalu.
Apabila seorang MB berbuat sedemikian lucah di tempat awam, maka akan teringat kembali kita semua tentang peribahasa Melayu yang berbunyi, "Apabila guru kencing berdiri, murid kencing….berlari." Contoh apa yang Adnan Yaakob hendak sampaikan? Kepimpinan melalui teladan?

Abbas Saad seorang pemain bola sepak import dalam Liga Perdana Malaysia tidak lama dahulu pernah dibuang padang oleh pengadil kerana dia menunjukkan isyarat lucah dengan tangan seperti yang Adnan Yaakob lakukan itu. Di dalam padang bola sepak juga ada peraturan dan sopan santunnya. Jika Abbas Saad boleh di buang padang bola, maka bagaimana dengan Adnan Yaakob? Wajarkah beliau dibuang dari padang politik?

Para pengundi di Sanggang dan rakyat Pahang boleh memberi jawapannya. Para pengundi Sanggang khususnya boleh mengajar MB Pahang yang lucah itu dengan mudah. Kasihan Redzwan Harun, calon BN di Sanggang. Beliau seorang yang berlatarbelakang pendidikan agama. Beliau adalah lulusan Universiti Al Azahar Mesir. Sebelum ini beliau menjadi pegawai penyelaras masjid daerah Temerloh. UMNO/BN meletakkan seorang ustaz di Sanggang kerana mahu menunjukkan imej Islam. Imej orang beriman, sabar, tenang, dan berpengetahuan. Tetapi sebaliknya yang berlaku. UMNO/BN ada calon yang baik tetapi Pengarah Kempen Pilihanrayanya yang juga MB Pahang Adnan Yaakob bersikap lucah, dan biadap. Ada kemungkinan Redzwan kalah di Sanggang nanti disebabkan isu kelucahan seorang MB. Macam keceluparan dan keangkuhan Shahidan Kassim, MB Perlis telah menyebabkan kekalahan adiknya sendiri, calon BN dalam pilihanraya kecil Parlimen Arau pada tahun 1998.

Dengar khabarnya UMNO/BN sekarang sedang menghadapi masalah di Sanggang. Keadaan BN menjadi genting sekarang. Dulupun BN menang dengan majoriti yang tipis di Sanggang. Isu kelucahan MB Pahang itu telah menjadi isu pilihanraya kecil Sanggang sekarang. Jadi tak hairanlah jika Khalil Yaakob dan Abdullah Ahmad Badawi terpaksa turun padang di Sanggang untuk mempastikan kemenangan calon BN itu. Adnan Yaakob tidak boleh diharapkan lagi. Ia membawa imej yang buruk di Sanggang sekarang.

Jadi sekarang Khalil Yaakob, bekas Menteri Besar Pahang lalu dan kini menjadi Setiausaha Agung UMNO dan Menteri Penerangan terpaksa menjadi orang penting menggantikan tempat Adnan Yaakob dalam kempen pilihanraya itu. Malam tadi 23 Mac, di TV 3, kelihatan Khalil Yaakob menemani Redzwan Harun, calon BN dan menjawab soalan wartawan dalam sidang akhbar. Wajah Adnan Yaakob tidak kelihatan.