From Mahazalim http://mahazalimtwo.tripod.com

LAPORAN: HARI PENAMAAN CALON PILIHANRAYA KECIL SANGGANG

Oleh Syed Adam

Pilihanraya kecil DUN Sanggang menyaksikan pertandingan satu lawan satu calon BA diwakili Dato Hishamuddin Yahya dan calon BN saudara Ridwan. Penamaan calon diadakan di Dewan Tun Razak, Temerloh pada 21 Mac 2000.
Perarakan penyokong BA yang dianggarkan 5000 orang menenggelamkan penyokong BN sekitar 1000 orang. Sementara kedua-dua calon mengemukan kertas pencalonan, suasana di luar dewan dihidupkan dengan gelagat penyokong kedua-dua pihak. Penampilan penyokong-penyokong BA ternyata lebih teratur, kemas, sopan berbanding penyokong-penyokong BN yang terkial-kial untuk cuba bersaing.

Gema takbir, reformasi, tasbih, nasyid dan ungkapan keramat “Undur-undur, undur Mahathir; Hancur-hancur, hancur BN; Tangkap-tangkap, tangkap Daim …” benar-benar menghidupkan suasana. Cuma lagu “ Malaysia Berjaya” mampu digemakan penuh lesu oleh ahli-ahli Pemuda UMNO.

Kehadiran pemimpin-pemimpin BA mencerminkan perpaduan erat gabungan empat parti PAS, PRM, keADILan dan DAP. Di antara yang kelihatan mengetuai perarakan ialah Mursyidul Am PAS YAB Tuan Guru Haji Nik Abd Aziz Nik Mat, Presiden PAS YB Dato’ Haji Fadzil Noor, Setiausaha Agung DAP Lim Kit Siang, Naib Presiden PRM Rustam A Sani, Ketua Pemuda keADILan Ezam Mohd Nor. Turut hadir memberikan sokongan ialah pimpinan BA yang lain seperti YB Mohamad Sabu, YB Dato Hassan Ali, Saifuddin Nasution Ismail, Ruslan Kassim, Gobalakrisna, Ronnie Liew, YB Leong Ngah Ngah, Dr Hatta Ramli, S Sivarasa, YB Abu Bakar Chik, YB Mahfuz Omar, YB Tuan Ibrahim Tuan Man dan ramai lagi pimpinan negeri dari seluruh negara.

Sebanyak 17 peti undi dalam DUN Sanggang yang memberikan majoriti kecil kepada BN pada pilihanraya lepas iaitu 1038 undi. 30 % pengundi Cina akan menjadi penentu dalam pilihanraya kecil kali ini.

BN untuk pertama kali menampakkan sikap panik dan gelabah dalam menghadapi pilihanraya kecil. Dr Mahathir mengumumkan Pak Lah sebagai Penyelaras Jentera BN. Ternyata Dr Mahathir amat maklum bahawa Dato’ Adnan gagal mendapatkan sokongan daripada ketua-ketua bahagian dalam negeri Pahang. Apakah munasabah untuk mempercayai ketua-ketua bahagian seperti Fauzi Rahman, Hassan Ariffin dan Kamaruzaman Baria akan memberikan kerjasama kepada jentera BN kali ini. Sedang mereka mempunyai sebab kukuh untuk tidak bekerja. Fauzi sekadar ADUN biasa, turun dari Timbalan Menteri, Hassan Ariffin juga ADUN biasa dari jawatan Timbalan Menteri Besar, Kamaruzaman Baria langsung tidak terpilih menjadi calon walhal baru satu penggal menjadi YB.

Untuk Pak Lah dilantik sebagai Penyelaras Jentera BN dalam suatu pilihanraya kecil tentulah sekadar menyerlahkan sikap bimbang yang bersangatan di pihak BN. Dr Mahathir secara terbuka berkata kekalahan DUN Sanggang akan meneguhkan lagi kepercayaan rakyat bahawa UMNO telah ditolak oleh orang Melayu. Ini tentu sahaja bukannya hidangan yang baik menjelang perhimpunan UMNO Mei depan.

Sementara jentera BA yang diterajui PAS Temerloh dan didokong erat oleh jentera keADILan diketuai saudara Mohd Kamal Mohd Taib dan jentera DAP yang diketuai YB Leong Ngah Ngah terus bergerak lancar, jentera BN umpama jentera berkarat yang sukar bergerak lantaran konflik dalaman yang belum selesai.

Hal ini menjanjikan sinar kemenangan kepada BA pada pilihanraya DUN Sanggang bilamana keputusan diumumkan pada malam 1 April 2000. Namun kalau BN diumumkan menang, ianya tak ubah umpama ‘April Fool’ pertama milinium abad ini.