From Sanggang By Election Page PILIHANRAYA KECIL SANGGANG : SURAT TERBUKA KEPADA KAUM WANITA Pilihanraya kecil Sanggang yang akan berlangsung pada 1 April ini sekali lagi memberi peluang kepada pengundi terutamanya kaum wanita untuk memilih wakil mereka ke arah perubahan demi kesejahteraan maruah bangsa dan negara. Kami meyeru kaum wanita khasnya agar bersama-sama kami membenteras ketidakadilan yang berleluasa dilakukan oleh pemimpin Barisan Nasional selama ini. Penindasan yang dilakukan kepada golongan wanita seperti yang menimpa Dr Wan Azizah dan anak-anaknya selepas penahanan suami beliau sepatutnya menjadi iktibar kepada kita. Nasib kaum wanita yang semakin tidak terbela seharusnya membuatkan kita lebih bertindak ke arah perubahan yang boleh menjamin maruah kaum wanita. Sebagai isteri dan ibu kepada anak-anak, pastinya kita ingin melihat keluarga yang dibina jauh daripada pengaruh-pengaruh tidak sihat yang boleh meruntuhkan nilai-nilai murni manusia itu sendiri. Melihat kepada gelagat pemimpin UMNO yang semakin tidak berakhlak seperti yang ditunjukkan oleh Dato' Adnan semasa penamaan calon tempohari, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan golongan seperti ini tidak dipilih sebagai pemimpin atau contoh tauladan kerana ia membawa kesan yang buruk kepada perkembangan diri anak-anak. Kepada kaum ibu, kejayaan anak-anak tentunya sentiasa kita hajati. Kita tidak sanggup lagi melihat anak-anak kita tidak mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran mereka di tahap yang tinggi semata-mata kerana faktor kewangan. Kami cukup yakin nasib anak-anak di Sanggang akan lebih terbela di bawah pimpinan Barisan Altenatif kerana peluang dan bantuan kewangan akan lebih dirasai oleh setiap lapisan masyarakat kerana itu adalah hak kita sebagai rakyat. Pilihanraya kecil ini juga merupakan peluang yang sama sekali perlu direbut oleh pengundi-pengundi baru yang telah dinafikan hak mereka di dalam pilihanraya umum yang lepas untuk memastikan ketidakadilan Barisan Nasional terus dibenteras. Sudah tibalah masanya kita menggunakan kuasa undi yang ada di tangan untuk membawa perubahan yang lebih baik bagi menjamin kesejahteraan bersama. Justeru itu, kami merayu dan meyeru kepada pengundi-pengundi wanita khususnya supaya bersama-sama kami meletakkan kepercayaan penuh kepada calon Barisan Alternatif iaitu Dato' Hishamuddin Yahaya bagi mengembalikan maruah bangsa dan seterusnya menjamin keadilan yang turut sama akan dirasai oleh generasi anak-anak akan datang. Dr. Siti
Zulaikha Abd Ghani, |