Ogos 29 (Berita Harian)

Sekolah berasrama di Seremban beri amaran

KUALA LUMPUR: Pentadbiran sekolah berasrama penuh di Negeri Sembilan akan mengambil tindakan tegas, termasuk membuang pelajar jika dibuktikan terbabit dalam kejadian enam pelajar melarikan diri dari asrama, Isnin lalu.

Pengetua sekolah itu, Jalil Murah, berkata siasatan teliti akan diadakan bagi memastikan tidak ada pelajar yang teraniaya kerana ia mungkin satu perselisihan antara pelajar baru dan senior sekolah itu.

"Kami berusaha untuk menyelesaikan perkara itu dengan baik, termasuk memanggil ibu bapa untuk berbincang mengenainya.

"Pertemuan dengan bapa enam pelajar terbabit di sekolah itu kelmarin adalah antara usaha untuk menyelesaikan masalah itu.

"Enam pelajar itu kini dibenarkan bercuti dua minggu hingga cuti semester ini bagi membolehkan pentadbiran sekolah menyelesaikan masalah itu," katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam mengenai enam pelajar tingkatan dua sekolah itu mengambil keputusan nekad melarikan diri dari asrama kerana bimbang dipukul dan dibuli pelajar tingkatan lima sekolah itu.

Pelajar itu dikatakan sepakat melarikan diri apabila mengetahui pelajar senior sedang merancang untuk memukul mereka pada malam 25 Ogos lalu kerana didakwa membocorkan rahsia kepada guru disiplin mengenai kegiatan peras ugut dan meminta wang.

Berikutan itu, kira-kira jam 6.30 petang, Isnin lalu mereka menuju ke Kuala Lumpur bagi mengelak diri daripada terus dibuli dan diperas ugut.

Jalil berharap perkara itu dapat diselesaikan bagi memastikan pelajar terbabit kembali ke asrama tanpa perasaan bimbang lagi.

Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan berkata, pihaknya belum menerima laporan rasmi mengenai kejadian itu.

"Kami akan menyiasat kes ini sebaik saja menerima laporan mengenainya," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Sumber Manusia, Datuk Waad Mansor mahu Jabatan Pendidikan menyiasat kes enam pelajar itu segera.

Menurutnya, siasatan menyeluruh perlu untuk memastikan punca sebenar kejadian itu sebelum sebarang tindakan diambil.

"Kita tidak menggalakkan budaya samseng bermaharajalela di sekolah," katanya.

Menurutnya, pihak sekolah juga bertanggungjawab menyelesaikan masalah itu bagi memastikan imej sekolah itu tidak terjejas.

"Setiap pelajar yang tinggal di asrama penuh perlu ditanamkan semangat bekerjasama dan bukan membuli pelajar lain," katanya.


Ogos 28 (Berita Harian)

Guru ditumbuk hingga pengsan

KLUANG, Rabu - Seorang guru lelaki di Sekolah Menengah Teknik di sini, cedera ringan di kepala dan pipi apabila dipercayai diserang seorang lelaki yang dikatakan waris seorang pelajar sekolah terbabit.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi semalam, guru berkenaan, Rozailani Ibrahim, 27, dipercayai ditumbuk di pipi dan belakang kepalanya, menyebabkan dia muntah serta pengsan lebih sejam.

Dia diserang di sebuah bengkel kemahiran sekolah berkenaan apabila pergi ke tempat itu selepas diberitahu ada seorang guru lain ingin berjumpanya.

"Ketika sampai ke bengkel itu, saya nampak tiga lelaki, termasuk seorang guru yang mengajar di sekolah sama, manakala dua lelaki lain tidak dikenali.

"Apabila hendak berjabat tangan, saya percaya ketika itulah saya diserang kerana selepas itu saya tidak sedarkan diri," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah, di sini hari ini.

Rozailani mendakwa diberitahu oleh rakan sekerjanya bahawa dia ditumbuk oleh seorang daripada dua lelaki terbabit.

"Apabila sedar kira-kira jam 1 petang, saya sudah berada di atas kerusi dengan kepala di atas meja di bengkel itu. Kemudian baru beberapa guru lain masuk dan memberitahu kejadian sebenar," katanya.

Rozailani yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan, kemudian dibawa rakannya ke Hospital Kluang dan dirawat di Wad 2 hospital itu sebelum dibenarkan keluar, kira-kira jam 10.15 pagi ini.

Akibat serangan itu, katanya, dia mengalami pening serta berasa kepala berdenyut ketika dirawat di hospital, menyebabkannya terpaksa meniarap untuk tidur, manakala bahagian dalam sebelah kiri mulut mengalami luka kecil.

"Ketika di hospital, seorang rakan memberitahu lelaki terbabit adalah bapa saudara kepada seorang pelajar perempuan tingkatan empat di sekolah kami," katanya yang sudah tiga tahun bertugas di sekolah terbabit.

Menurutnya, sepanjang bertugas di sekolah itu, dia tidak pernah bertindak kasar terhadap pelajar, kecuali memberi nasihat serta teguran jika perlu dan kejadian ini adalah yang pertama menimpa dirinya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Sebastian Gaong Nanang, mengesahkan menerima laporan guru terbabit.

"Laporan itu menyebut guru berkenaan ditumbuk seorang lelaki di pipi, kira-kira jam 11.45 pagi semalam di kawasan sekolah terbabit," katanya.

Beliau berkata, polis menyiasat kes terbabit mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan setakat ini belum mengenalpasti motif kejadian dan belum membuat tangkapan.


Ogos 26 (Utusan Sarawak)

Ibu bapa jangan bertindak ikut emosi

BINTULU - Guru-guru digesa supaya bekerja secara berpasukan bagi meningkatkan nama baik sekolah dan untuk mewujudkan sebuah sekolah cemerlang.

Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Encik Jefferi Montot berkata, kerjasama dan persefahaman antara guru, ibu bapa dan murid dalam sesebuah sekolah amat penting bagi menjamin kejayaan sekolah berkenaan.

"Memang tidak dinafikan kita mempunyai perbezaan pendapat, tetapi janganlah menjadikan perbezaan itu menyebabkan wujudnya beberapa kumpulan," katanya pada majlis penutupan rasmi Kursus Motivasi anjuran Jabatan Belia dan Sukan, Bintulu dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa SRK Kampung Jepak di sekolah itu di sini semalam.

Sebanyak 160 ibu bapa dan 113 murid Tahun Enam menyertai program dua hari itu. Ia bertujuan untuk menanam dan mengukuhkan keyakinan diri pelajar, meningkatkan motivasi dan membincangkan cara pembelajaran berkesan.

Jeferi berkata, sekiranya berlaku perbalahan sesama guru murid-muridlah yang akan menjadi mangsanya.

Justeru, tambah beliau, adalah penting bagi setiap pendidik mewujudkan rasa persefahaman lebih intim untuk kemajuan sekolah masing-masing.

Beliau juga menasihatkan ibu bapa supaya tidak bertindak mengikut emosi ketika berhadapan dengan masalah disiplin anak-anak di sekolah.

"Ibu bapa seharusnya sentiasa bersikap terbuka dan mengadakan perbincangan dengan guru-guru bagi memastikan keharmonian kedua-dua belah pihak dapat terjalin," tambahnya lagi.

Justeru, beliau menyarankan supaya ibu bapa sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada guru-guru dalam usaha menangani masalah anak-anak mereka.

Lima ceramah diadakan untuk dua hari berturut-turut pada kursus tersebut. Pagi Sabtu lalu, ceramah agama disampaikan oleh Ustaz Roslan Haji Ismail dan diikuti ceramah oleh Puan Zaleha dari Maktab Perguruan Sains Bintulu (MPSB).

Pagi semalam ceramah motivasi kerjaya diadakan oleh wakil Pejabat Tenaga Rakyat Bintulu dan diikuti ceramah Teknik Belajar Berkesan oleh Cikgu Jamilah Morshidi.

Sessi kursus itu diakhiri dengan ceramah disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu, Encik Jefferi Montot.

Hadir sama ialah Penolong Pegawai Belia dan Sukan, Puan Magdeline Eddie Saga dan Pengerusi PIBG SRKKJ, Encik Shamsuri Haji Narawi.


Ibu bapa main peranan penting didik anak

Oleh MOHAMMAD ABANG dan NURUL SIMA

KUCHING - Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak menjadi insan yang berguna.

Penyelia Kemas Pra-Sekolah Ibu Pejabat, Puan Sariah Haji Salus berkata, peranan ibu bapa sangat penting terutama semasa anak-anak berada di rumah.

Katanya, didikan ibu bapa merupakan kesinambungan daripada didikan yang diterima oleh anak-anak sewaktu di sekolah.

"Rumah ialah tempat paling sesuai bagi ibu bapa mendisiplinkan anak-anak berbanding di sekolah kerana masa di rumah lebih banyak dihabiskan bersama," katanya.

Katanya, banyak cabaran dan halangan yang harus dihadapi oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka.

"Tugas mendidik anak-anak itu tidak seharusnya diletakkan di bahu guru sahaja tetapi ibu bapa mempunyai peranan yang lebih utama dalam mendidik anak-anak mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Pengarah Kemas Negeri semasa Hari Cemerlang Kanak-Kanak Tabika kawasan Parlimen P.168 Petra Jaya di Dewan Masyarakat Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Fasa II di sini, baru-baru ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua PBB Bahagian Samariang, Haji Khalid Tan Sri Datuk Amar Abang Haji Marzuki. Beliau mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri Samariang, Hajah Dona Babel.

Katanya, dalam usaha meningkatkan taraf pendidikan di negeri ini, Kemas menubuhkan lebih banyak tadika di seluruh negeri bagi kepentingan rakyat.

Tambahnya, ibu bapa harus berasa beruntung dengan keprihatian kerajaan menubuhkan tadika Kemas di seluruh negeri dengan harapan membantu meningkatkan pandidikan pra sekolah.

"Oleh itu, kita menyeru ibu bapa dan masyarakat agar memberi kerjasama kepada Kemas dalam menjayakan apa sahaja aktiviti ataupun program yang dianjurkan oleh Kemas," katanya.

Hampir semua tadika di kawasan N. 7 Samariang menyertai Hari Cemerlang itu dengan menyertai pelbagai aktiviti seperti berpidato, ujian tilawah membaca surah al-Fatihah dan ayat-ayat lazim, pertandingan bercerita serta pertandingan rekacipta kanak-kanak.


Ogos 25 (Berita Harian)

NUTP bidas Najib

MELAKA, Ahad - Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan (NUTP) hari ini menyelar kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang meminta guru atau pengetua yang enggan mendisiplinkan pelajar, supaya meninggalkan profesion itu.

Kenyataan itu adalah susulan tindakan NUTP yang meminta 70,000 ahlinya tidak mendisiplinkan pelajar berikutan tindakan polis menahan seorang guru di Johor Bahru, kerana merotan anak murid yang tidak menyiapkan kerja rumah.

Pengerusi KPPK negeri, Mohd Ali Mohd Ibrahim, berkata kenyataan itu tidak adil kerana Najib tidak mengambil kira jasa guru selama ini yang berusaha menerapkan disiplin di kalangan pelajar.

"Kenyataan itu seolah-olah menunjukkan Najib tidak memahami tekanan dan masalah yang dihadapi guru ketika menjalankan tugas," katanya.

Menurut Mohd Ali, kenyataan Najib itu `terlalu keras' dan menggugat profesion perguruan di negara ini, sehinggakan guru besar dan guru berasa khuatir untuk mendisiplinkan pelajar.

"Setakat ini, tiada undang-undang yang melindungi kami, dan pada akhirnya, guru juga yang terpaksa memohon maaf. Tindakan ini tidak bermoral serta memberi kesan negatif kepada murid," katanya.

Mohd Ali berkata, oleh kerana pelajar dan ibu bapa boleh mempersoalkan tindakan guru, guru tidak boleh menjalankan lagi tanggungjawab mereka dengan berkesan.

Beliau memberi contoh, awal tahun ini, kes seorang pelajar menengah di negeri ini menyimbah asid ke tubuh gurunya, menyebabkan guru itu terpaksa dimasukkan ke hospital.

Bagaimanapun, Mohd Ali berkata, tiada tindakan yang diambil terhadap pelajar itu.

Mohd Ali juga mendakwa, baru-baru ini, kereta dua guru displin dilontar batu oleh pelajar yang dikenakan disiplin oleh mereka.

"Kini, sudah tiba masanya kementerian mengkaji semula tugas kita dan meletakkannya pada satu peringkat yang mana kita boleh terus menabur bakti kepada masyarakat," katanya.


Sekolah agama jangan terlalu merendah diri

TEMERLOH, Ahad - Sekolah agama boleh mencapai tahap yang cemerlang sama ada dalam bidang akademik atau kokurikulum jika pihak pengurusan, guru dan pelajarnya dapat mengubah sikap daripada merendah diri kepada semangat ingin bersaing.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Adnan Yaakob, berkata semua pihak itu perlu mempunyai minat untuk maju ke hadapan.

"Kita jangan terlalu merendah diri, sebaliknya harus membuktikan bahawa kita juga mempunyai kebolehan dan kemampuan seperti pelajar sekolah lain.

"Agama Islam akan dihormati dan dipandang tinggi, jika pengamalnya mempunyai tahap pendidikan dan ilmu yang tinggi," katanya pada majlis kesyukuran meraikan kemenangan pasukan Sekolah Menengah Agama al-Wosto dalam Forum Remaja Sekolah Peringkat Kebangsaan 1997, di sini, semalam.

Beliau berkata, kedudukan dan keadaan sekolah tidak boleh menjadi penghalang untuk mencapai tahap yang cemerlang.

"Misalnya, Sekolah Menengah al-Wosto menjuarai Forum Remaja Sekolah Peringkat Kebangsaan tahun ini pada Julai lalu.

"Pelajarnya berjaya menewaskan sekolah terbaik di negara ini, termasuk menyapu bersih kategori Pengerusi Terbaik dan Pemforum Terbaik," katanya.

Beliau yakin semangat yang ditunjukkan oleh pengetua, guru, pelajar dan ibu bapa akan memastikan sekolah itu mencapai kejayaan lebih cemerlang dalam pelbagai bidang.

Adnan juga berkata, kerajaan ingin melihat sekolah agama tidak sahaja mampu melahirkan generasi berilmu agama tetapi pelajar yang serba boleh.

Ini termasuk pakar ekonomi, perubatan dan pentadbiran yang mempunyai asas agama yang kukuh.


(Utusan Sarawak)

90 sekolah bestari dalam dua tahun

KUCHING - Sebanyak 90 sekolah bestari yang melibatkan 85,000 orang pelajar akan beroperasi dalam tempoh dua tahun ini, kata Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Matnor Daim.

Beliau berkata, ini termasuk empat buah sekolah berasrama yang sedia ada di Kuala Lumpur dan 86 lagi di seluruh negara yang akan ditukarkan kepada sekolah bestari.

"Kementerian Pendidikan berharap kesemua 10,000 sekolah di seluruh negara akan mengikuti system bestari menjelang tahun 2010," katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen Maktab Perguruan Batu Lintang di sini semalam.

Sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi melaksanakan sekolah bestari ini, kata beliau.

Mengenai masalah kekurangan guru terutama di luar bandar, beliau berkata, kementerian telah menyediakan satu program khas untuk menarik minat mereka supaya menceburi profesion itu.

Mengenai Sarawak, beliau berkata, masih ada kekurangan guru berijazah terutamanya dalam bidang sains, matematik dan bahasa Inggeris di peringkat sekolah menengah.

Sebanyak 330 graduan menerima diploma pendidikan dan sijil penguruan asas pada majlis itu.


Ogos 24 (Berita Harian)

19 sekolah dilapor dimasuki pencuri

KOTA BHARU: Sebanyak 19 sekolah di sekitar bandar ini dilaporkan dimasuki pencuri, membabitkan kehilangan pelbagai peralatan berharga termasuk komputer dan wang tunai.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Datuk Zorkarnain Abdul Rahman, berkata pihaknya banyak menerima laporan daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhubung kes kecurian di sekolah yang dipercayai berlaku pada tengah malam.

Antara sekolah yang disahkan dimasuki pencuri ialah Sekolah Menengah (SM) Ismail Petra; Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Garong (1); SM Kota; Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Kota; SK Kota; SRK Zainab (2); SM Sultan Ismail; SK Parang Puting dan SRK Islah.

Selain itu, kecurian turut berlaku di SM Zainab (2); SK Pendek; SK Kemumin; SR Pendidikan Khas; SRK Sultan Ismail, SM Kedai Buloh; SRK Sultan Ismail (2); SRK Sultan Ismail (4) dan SM Mulong.

"Kes terbaru ialah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC), Peir Chih, dekat sini," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, JPN menyerahkan kes itu kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk siasatan lanjut.

Zorkanain bagaimanapun enggan mengulas sama ada kecurian itu didalangi kumpulan pelajar yang terbabit dalam kes penagihan dadah.

Menurutnya, kumpulan pencuri itu dipercayai menjalankan operasi mereka selepas tengah malam dan beberapa kes turut membabitkan kehilangan wang tunai yang dipercayai milik pengusaha kantin serta yuran.

Katanya, pihaknya pernah mendapat laporan kes sama membabitkan beberapa sekolah di jajahan lain.

"JPN sudah menghantar surat pekeliling kepada semua sekolah di negeri ini agar menjalankan kawalan sebelah malam bagi mengelak sekolah berkenaan daripada dimasuki pencuri.

"Kawalan juga boleh dilakukan oleh tukang sapu dan tukang kebun kerana kita tidak mempunyai peruntukan khas bagi membayar elaun pengawal keselamatan, " katanya.


Ogos 23 (Berita Harian)

Kenyataan NUTP tidak bertanggungjawab: Najib

KUALA LUMPUR, Jumaat - Kementerian Pendidikan akan mengambil tindakan disiplin terhadap pengetua dan guru yang enggan melaksanakan tanggungjawab mendisiplinkan pelajar, kata Menterinya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau menyifatkan keputusan Kesatuan Kebangsaan Profesyen Perguruan (NUTP) dan Majlis Persekutuan Guru besar Malaysia (MFHC) enggan mendisiplinkan pelajar, sama seperti mengingkari arahan kerajaan.

Setiausaha Agung NUTP, N Siva Subramaniam semalam mengumumkan, ahli kesatuan itu yang terdiri 70,000 guru di seluruh negara, tidak akan mendisiplinkan pelajarnya, termasuk mengenakan hukuman berat.

Langkah itu dibuat kerana kesatuan berkenaan tidak berpuas hati dengan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor bahawa pegawai polis yang menahan seorang guru di Johor Bahru baru-baru ini, bertindak terlalu ghairah dan bersemangat.

Keputusan itu turut diambil oleh MFHC, yang memutuskan akan memboikot tugas pengawasan sebaliknya lebih menumpukan kepada aspek pentadbiran sekolah, berkuatkuasa serta merta.

Najib yang kesal dengan perkembangan itu berkata, pengetua dan guru terbabit boleh memilih sama ada mematuhi arahan kerajaan atau pun meletakkan jawatan.

"Saya tidak boleh menerima bahawa jika kita meninggalkan unsur disiplin, termasuk hukuman yang mana patut, kita mengabaikan tanggungjawab sebagai pendidik dan ini merangkumi bidang tugas seorang guru.

"Sehubungan itu, kementerian memandang berat kenyataan NUTP itu dan mereka tidak seharusnya melakukan perkara ini. Mana-mana guru yang tidak mengambil tindakan disiplin, iaitu mengikut arahan kerajaan, maka guru itu bersalah," katanya selepas melawat Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohd Khalid Yunos dan Pengetua SSBJ, Abdullah Alias.

Najib menafikan polis mengambil ringan perkara itu. Malah dalam pertemuannya dengan Rahim kelmarin, Ketua Polis Negara sendiri mengakui beliau tidak bersetuju dengan tindakan berkenaan.

"Tindakan NUTP itu tidak berpatutan kerana polis sudah memberi pengakuan bahawa kes di Johor itu tidak mendapat restu pimpinan atasan polis. Sepatutnya mereka (NUTP) menganggap perkara ini sudah selesai," katanya.

Mengenai tindakan terhadap guru yang ingkar, beliau berkata perkara itu agak jelas iaitu guru yang mengabaikan bidang tanggungjawabnya akan dihukum di atas kecuaian tugas.

"Saya sendiri sukar membayangkan perkara ini... jelas sekali NUTP bertindak luar batasan dan diluar tanggungjawab mereka sebagai sebuah kesatuan sekerja," katanya.

Mengenai keputusan MHFC, beliau berkata majlis itu tidak berhak berbuat demikian kerana mereka adalah pegawai kerajaan yang tertakluk kepada arahan dari semasa ke semasa.

Sebagai pegawai kerajaan, mereka tidak boleh mengarahkan mengikut sesuka hati sebaliknya melakukan apa yang dipertanggungjawabkan, dan perkara itu amat jelas.

"Sesiapa yang tak nak buat kerja ikut arahan tak layak jadi pengetua. Kita boleh pilih orang lain, dan tindakan boleh dikenakan," katanya.

Pada 8 Ogos lalu, dua anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor pergi ke sekolah dan menahan Fong Yu V ketika mengajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina selepas aduan polis bahawa beliau merotan lima murid kerana tidak membuat kerja rumah pada 31 Julai.

Guru wanita itu dikatakan dipaksa masuk ke dalam trak dan dibawa ke balai polis walaupun sebelum itu guru besar sekolah berkenaan menawarkan untuk menghantar guru itu ke sana.


Usah perbesar guru digari: KPN

KUALA LUMPUR, Jumaat - Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor meminta semua pihak supaya tidak memperbesarkan kes penahanan seorang guru di Johor, baru-baru ini, kerana bimbang ia akan mencetuskan keadaan yang tidak terkawal.

Menurutnya, isu berkenaan boleh diselesaikan dengan bijaksana dan beliau sedia berbincang dengan sesiapa sahaja untuk mencari jalan keluar terbaik untuk semua pihak.

"Sebenarnya setiap permasalahan yang timbul perlu diselesaikan dengan bijaksana dan bukan dengan memperbesarkannya, jika ini berlaku, sampai bila pun masalah tidak akan selesai," katanya.

Beliau menegur kenyataan Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Siva Subramaniam yang melahirkan rasa tidak puas hatinya berhubung kes berkenaan.

Kenyataan Siva itu disiarkan beberapa akhbar tempatan sebagai tajuk utama hari ini.

"Mengapa Siva tidak berjumpa dengan saya terlebih dahulu untuk membincangkan perkara itu. Kalau saya boleh berbincang dengan Menteri Pendidikan (Datuk Seri Najib Tun Razak) mengapa tidak dengan beliau?", katanya kepada pemberita selepas merasmikan gelanggang badminton Perkep Malaysia di sini, hari ini.

Beliau mengulas isu penahanan seorang guru Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Foon Yew V pada 8 Ogos lalu, yang didakwa merotan lima murid kerana tidak membuat kerja rumah.

Berikutan itu, guru itu dilaporkan ditahan seorang inspektor yang masih dalam tempoh percubaan selepas kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Penahanan berkenaan turut mendapat perhatian Najib yang menegur cara penahanan itu yang disifatkan boleh mengaibkan maruah guru dan menimbulkan pandangan serong terhadap mereka.

Rahim yang membuat kenyataan balas, menyifatkan tindakan anggotanya itu mengikut peruntukan undang-undang tetapi hanya caranya tidak kena berikutan kekurangan pengalaman.

Najib kemudiannya menyifatkan isu itu tamat dan menerima penjelasan Rahim.

Rahim berkata, adalah menjadi tanggungjawab pihak polis mengambil tindakan ke atas setiap laporan yang diterima kerana jika tidak, mereka akan dipersalahkan.

"Laporan yang dibuat oleh keluarga murid terbabit bukanlah atas desakan polis tetapi atas kemahuannya sendiri, jadi sebagai pihak berkuasa adalah wajar untuk pihaknya mengambil tindakan.

"Hal ini soal disiplin sekolah... polis langsung tidak berniat untuk mengambilalih soal disiplin," katanya.

Mengenai penarikan laporan polis oleh keluarga pelajar itu, beliau berkata, siasatan akan terus dijalankan.

Rahim juga mempertahankan caranya menangani isu itu termasuk caranya bertindak ke atas anggota terbabit.

"Sebagai seorang pemimpin, saya tidak akan menghukum pegawai saya di khalayak ramai, itu bukanlah satu tindakan yang wajar dan menunjukkan kelemahan kepimpinan saya," katanya.

Mengenai ancaman Persatuan Guru Besar mahu menyaman polis, beliau berkata: "Tidak salah untuk menyaman pihak polis dan tindakan seumpama ini, bukanlah satu perkara yang baru.

"Setiap rakyat mempunyai hak dan dilindungi oleh perlembagaan dan tiada siapa boleh mengahalang mereka membuat aduan, sekalipun menyaman pihak polis."


Ogos 22 (Utusan Sarawak)

60 sekolah dilengkapi rangkaian pendidikan

KUCHING- Sebanyak 60 buah sekolah di seluruh negara akan dilengkapi dengan rangkaian pendidikan pada akhir tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Mimos Berhad (Mimos), Tengku Datuk Dr. Mohd. Azzam Sharifandeen Tengku Ibrahim berkata, pihaknya akan terus mengembangkan rangkaian tersebut dengan kandungan pendidikan lain melalui perisian baru pada masa depan.

"Kita bercadang memuatkannya dengan proses pembelajaran bagi membantu pelajar mengenal pasti dan mengesan maklumat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian menyediakan laluan perkhidmatan jaringan di sini.

Menurutnya, kesemua sekolah percubaan itu akan dilengkapi rangkaian Internet dan ia dijangka dikembangkan selepas itu ke semua sekolah di seluruh negara.

Menurutnya, kini Mimos mendapatkan khidmat daripada golongan profesional tempatan untuk membantu dan mengembangkan rangkaian pendidikan itu.

Tambah beliau, setakat ini pihaknya membuat penyelidikan bagaimana seseorang guru boleh mengajar dengan cara yang lebih mudah menerusi penggunaan teknologi maklumat.

Selain itu, Tengku Azzman berkata, pihaknya juga bercadang menghasilkan perisian dalam mata pelajaran Matematik.

Ditanya mengenai kos untuk melengkapkan kesemua sekolah percubaan itu, beliau memberitahu, ia sukar dianggar kerana melibatkan pelbagai perkara.

"Ia bukan hanya melibatkan kos secara terus (wang) tetapi juga perkara lain seperti latihan dan masa," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, perdagangan elektronik yang dilancarkan pada Jun lalu mempunyai ciri-ciri keselamatan yang ketat.

Perdagangan elektronik merupakan cara pembelian terus dari rumah menggunakan terminal komputer tanpa memerlukan seseorang pergi ke kedai.