(Sila tekan "Reload" atau "Refresh" untuk mendapatkan berita yang terkini

Februari 23 (Berita Harian)

Zuliana korbankan aktiiti sosial untuk belajar

KUALA LUMPUR, Ahad - Pelajar yang merangkul anugerah Graduan Keseluruhan Terbaik, Sarjana Kewangan yang dikendalikan Institut Pengurusan Malaysia (MIM) dengan kerjasama Universiti Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT), Australia menyifatkan kejayaannya adalah kerana sanggup mengetepikan aktiviti sosial.

Zulina Mohammed Salleh, yang berkhidmat sebagai Pengurus Besar Kewangan dan Pentadbiran di Time Engineering Berhad, mengekang aktiviti sosialnya tidak seperti gadis lain yang mempunyai banyak masa terluang.

"Saya mengurangkan aktiviti sosial bersama keluarga dan rakan kerana menghabiskan masa setiap hari dengan pekerjaan serta belajar," katanya yang ditemui pada majlis Graduan MIM 1998 di Palace of the Golden Horses di Seri Kembangan dekat sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis graduan 383 pelajar yang mengikuti pelbagai bidang pengajian itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Johari Mat dan Presiden MIM, Raja Tun Mohar Raja Badiozaman.

Zulina yang berasal dari Kelantan berkata, beliau merancang dan membahagikan masa dengan cara terbaik di antara belajar dan kerjaya bagi memastikan tidak terlalu membebankan dengan dua tanggungjawab itu.

"Kadang kala saya terpaksa menolak jemputan keluarga atau rakan yang mengadakan majlis tertentu supaya dapat menyiapkan tugasan pelajaran.

"Saya gembira kerana berjaya menjadi pelajar terbaik dan akan melanjutkan pendidikan ke peringkat kedoktoran dalam tempoh dua tahun lagi," katanya.

Beliau akan memanfaatkan pendidikan yang diterimanya di MIM untuk meningkatkan mutu dan prestasi kerjayanya yang diceburi sejak 12 tahun lalu itu.

Anugerah keseluruhan terbaik AAMO-RMIT diraih oleh Pengurus Kanan Material Artwright Technologies Sdn Bhd, Ryan Tuck Wieng, yang menerima ijazah sarjana pentadbiran perniagaan (pengurusan antarabangsa).

Bagi Graduan Terbaik Sarjana Pembangunan Sumber Manusia, M Selvaraja, kunci kejayaan beliau ialah pengurusan masa dan disiplin yang tinggi untuk menyeimbangkan tanggungjawab beliau kepada kerja, keluarga dan belajar.

Pengurus Pemasaran Media Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang berusia 41 tahun itu bagaikan tidak mempunyai hari cuti berikutan terpaksa bekerja lima hari seminggu manakala hujung minggu digunakan untuk belajar.

"Saya sungguh bertuah kerana mempunyai keluarga yang begitu memahami tanggungjawab berat yang dipikul," katanya.

Menurut Selvaraja yang berasal dari Klang, memikul tiga tanggungjawab sekali gus begitu payah dilaksanakan, tetapi tidak mustahil dengan disiplin yang tinggi dan pengurusan masa yang cekap.

"Perkara yang paling sukar dilakukan ialah menyiapkan tugasan pelajaran. Ia mesti disiapkan semasa di luar waktu kelas sedangkan sebarang kelewatan menyiapkan tugasan itu menyebabkan pelajar boleh digagalkan," katanya.

Selvaraja yang mula berkhidmat dengan Bernama sebagai pemberita pada 1985, tidak berhasrat menyambung pelajarannya kerana selain sarjana itu, beliau juga memiliki ijazah undang-undang dan ijazah komunikasi.


Februari 20 (Berita Harian)

Pelajar digalak kerja sambilan

KUALA LUMPUR, Khamis - Kerajaan menggalakkan pelajar di negara ini bekerja sambilan untuk menampung keperluan tenaga buruh negara khususnya dalam sektor perkhidmatan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan menceburi sektor pekerjaan ketika di bangku sekolah, pelajar boleh mewujudkan tradisi baru yang boleh memberi manfaat jangka panjang.

Tenaga pelajar, kata Timbalan Perdana Menteri, penting dalam mengatasi masalah pengangguran di kawasan tertentu seperti di sektor perkhidmatan khususnya kedai makanan, restoran segera dan kedai runcit.

"Kita mahu wujudkan tradisi baru di kalangan pelajar, yang mempunyai masa tambahan untuk bekerja sementara, umpamanya dalam restoran atau rangkaian kedai makanan.

"Oleh itu, kita tak perlu ambil pekerja asing tetapi gunakan pelajar tempatan, Ini adalah satu tradisi di kalangan negara maju yang harus dicontohi," katanya selepas melancarkan kad pengenalan pekerja asing di Ibu Pejabat Imigresen di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing selama lebih dua jam. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Tajol Rosli Ghazali dan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, jawatankuasa itu mendapati masih ada tahap pengangguran kecil di beberapa negeri khususnya di Pantai Timur serta di Sabah dan Sarawak.

Walaupun jumlah itu rendah, mereka yang tidak bekerja perlu didaftarkan di Jabatan Buruh supaya boleh diagihkan ke sektor yang memerlukan.

"Saya mahu syarikat mengambil inisiatif dan pergi ke daerah ini, ke sekolah umpamanya, supaya boleh mendaftar pelajar yang meninggalkan bangku sekolah dan terus dibawa ke kawasan industri untuk bekerja," katanya.

Mengenai operasi pemindahan pekerja ke sektor lain, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan ia gagal mencapai kejayaan diharapkan kerana beberapa masalah yang timbul.

Antaranya ialah pekerja diberhentikan itu terus diserap syarikat lain yang mengalami kekurangan pekerja. Ada pula syarikat yang tetap mengekalkan pekerja ketika kegawatan ekonomi kerana bimbang mereka akan diperlukan nanti.

Perangkaan Jabatan Imigresen yang diperolehi menunjukkan sehingga Sabtu lalu, sebanyak 2,382 daripada 245,146 pekerja di sektor pembinaan bersetuju bertukar ke sektor perladangan; manakala daripada 134,741 pekerja sektor perkhidmatan, 22 berpindah ke sektor perladangan manakala 181 orang ke sektor perkilangan.

Sementara itu, Anwar berkata, kad pengenalan pekerja asing yang dilancarkan itu akan memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti pekerja terbabit mengikut sektor, serta membantu melicinkan proses penyaluran pekerja ke sektor lain.

Kad berkenaan membezakan pekerja asing mengikut sektor pekerjaan berdasarkan garisan warna iaitu merah untuk sektor pembinaan, kelabu (pembantu rumah), biru (perkhidmatan), kuning (pembuatan) dan hijau (perladangan).

Dikeluarkan sejak 3 Januari lalu, kad berkenaan turut mempamerkan nama pekerja, kewarganegaraan, jantina, alamat tempat bekerja, nombor pasport serta kod negeri tempat dikeluarkan.


Februari 18 (Berita Harian)

Pelajar di Jordan boleh mohon ke UM

KUANTAN, Selasa - Pelajar Malaysia di Jordan yang terpaksa pulang ke tanahair berikutan kegawatan ekonomi, boleh memasuki Universiti Malaya (UM) melalui program francais dengan Institut Kemajuan Iktisas Pahang (Ikip), untuk meneruskan pengajian masing-masing.

Ikip adalah satu-satunya pusat pengajian swasta di negara ini yang mendapat francais daripada UM bagi mengendalikan kursus Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, Syariah, Usuluddin serta Bahasa dan Linguistik (Bahasa Arab), bermula 2 Mac depan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Adnan Yaakob, berkata Ikip bukan saja mengambil pelajar tajaan Yayasan Pahang (YP), malah turut terbuka kepada semua pelajar di seluruh negara, termasuk yang mengunakan perbelanjaan sendiri.

"Program francais dengan UM bagi pengajian itu, bukan semata-mata untuk menampung pelajar di Timur Tengah yang terpaksa dipanggil pulang ke negara ini.

"Walaupun terpaksa belajar di Ikip, mereka adalah warga UM dan sepatutnya bersyukur kerana masih mendapat peluang meneruskan pengajian masing-masing dengan universiti tertua di negara ini," katanya selepas majlis taklimat mengenai program francais itu, di sini, hari ini.

Sebanyak 121 pelajar, termasuk 81 yang pulang dari Jordan, semalam, menghadiri majlis itu.

Pelajar dan ibu bapa masing-masing juga diberi peluang berdialog dengan Adnan berhubung kemusykilan mereka dalam hal penempatan dan pemindahan kursus ke UM, di Ikip.

Sesetengah ibu bapa membangkitkan mengenai masalah memohon pinjaman bagi membiayai pengajian anak masing-masing kerana sukar mendapat tajaan daripada mana-mana pihak.

Dalam hal ini, Adnan berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan bank tertentu bagi membolehkan mereka menyediakan kemudahan pinjaman kepada pelajar yang ditawarkan mengikuti kursus itu.

"Saya juga akan berjumpa dengan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya dapat menggunakan kemudahan Tabung Pendidikan Negara bagi membiayai pengajian pelajar yang menghadapi masalah kewangan," katanya.


Februari 16 (Berita Harian)

MRSM turut beku elaun

SIMPANG RENGGAM, Ahad - Pembekuan elaun perpindahan guru seperti diputuskan Kementerian Pendidikan turut membabitkan tenaga pengajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), kata Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mustapa Mohamed.

Menurutnya, langkah itu selaras keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta dasar kerajaan yang melaksanakan langkah berjimat cermat dalam menghadapi kegawatan ekonomi negara.

"Apa jua keputusan kerajaan akan dipatuhi. Jadi, kita turut membekukan elaun perpindahan untuk guru MRSM berikutan keadaan ekonomi ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selapas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Sungai Benut, di sini hari ini.

Kementerian Pendidikan memutuskan untuk tidak lagi membayar elaun perpindahan kepada semua guru yang sebaliknya perlu ditanggung sendiri oleh guru terbabit.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Khalid Yunus hari ini dilaporkan sebagai berkata, keputusan itu bertujuan menjimatkan perbelanjaan perpindahan tahunan kementerian berkenaan yang bernilai berjuta-juta ringgit.

Mustapha berkata, kegawatan ekonomi juga menyebabkan perancangan membina 13 MRSM baru, seperti diumumkan sebelum ini, terpaksa dibincangkan secara lebih teliti.

Bagaimanapun, katanya, perancangan berkenaan akan diteruskan dan kini, kementerian terbabit sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian juga belum menerima sebarang permohonan secara rasmi dari Mara berhubung cadangan agensi itu untuk membuka universitinya sendiri.

Tambahnya, pengumuman Pengerusi Mara, Datuk Othman Abdul mengenai perkara itu lebih bersifat peribadi dan keputusan muktamad mengenainya akan diputuskan oleh kerajaan.

"Setakat ini, kita tidak mempunyai perancangan seperti itu dan belum menerima apa-apa cadangan rasmi dari Mara. Apa pun, keputusan akhir akan ditentukan kerajaan.

"Ini kerana, Mara adalah sebahagian dari kerajaan. Jadi, pembukaan universiti oleh Mara adalah perkara biasa, sama seperti universiti lain kerana ia diputuskan oleh kerajaan," katanya.


Ujian pantas air kencing di sekolah

PEKAN, Ahad - Kementerian Pendidikan akan memperkenalkan ujian pantas air kencing di kalangan pelajar, terutama di sekolah menengah bagi mengesan sama ada mereka terbabit dalam penyalahgunaan dadah, tahun ini.

Setakat ini, kementerian masih menunggu peraturan berhubung pelaksanaan ujian pantas itu daripada Majlis Dadah Kebangsaan (MDK) yang akan membekalkan alat menguji air kencing pelajar yang disyaki.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata pihak sekolah boleh menghubungi Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) bagi menjalankan ujian pengesahan yang lebih lengkap terhadap pelajar yang disyaki jika ujian pantas menunjukkan hasil yang positif.

Beliau berkata, pelaksanaan ujian pantas lebih ditumpukan di sekolah berisiko tinggi dan program itu juga antara usaha kementerian mencapai sasaran sekolah di negara ini bebas daripada dadah.

Menurutnya, pihak sekolah tidak seharusnya bimbang untuk menghadapi implikasi undang-undang jika mereka melaksanakan ujian pantas air kencing kerana ia hanya di peringkat awalan, manakala ujian lebih konkrit akan dilakukan MDK.

"Kita akan melaksanakan ujian pantas di semua sekolah di negara ini, terutama sekolah menengah yang berisiko tinggi bagi mengesan sama ada pelajar yang disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

"Ujian ini boleh menunjukkan isyarat awal pembabitan pelajar dalam dadah dan setakat ini, kita masih menunggu peraturan daripada MDK sebelum melaksanakannya.

"Alat yang digunakan dalam ujian pantas bagi menguji air kencing pelajar disyaki, akan dibekalkan oleh MDK secara berperingkat ke semua sekolah termasuk sekolah rendah, manakala guru besar atau guru yang ditauliahkan boleh menjalankan ujian itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno bahagian Pekan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Ong Ka Ting, berhubung bilangan penagih dadah di kalangan pelajar sekolah menengah meningkat sejak 10 tahun lalu dengan lulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mencatat golongan paling ramai.

Akhbar hari ini melaporkan peningkatan kes dadah lulusan PMR kepada 47.6 peratus tahun lalu berbanding 33 peratus pada 1988, manakala penagih lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meningkat kepada 22.9 peratus akhir tahun lalu, berbanding 17.7 peratus pada 1988.

Najib berkata, pihaknya juga sudah mengedarkan buku panduan dadah kepada guru di semua sekolah dalam usaha membanteras masalah itu.

Mengulas laporan berhubung pelajar asing yang menggunakan pas pelajar bagi memasuki negara ini untuk bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan (GRO), beliau berkata, kementerian akan membatalkan permit pelajar terbabit jika dakwaan berhubung kes itu didapati benar.

Beliau berkata, dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini, kerajaan hanya memerlukan pelajar tulen berada di negara ini.

"Jika penguatkuasa Jabatan Imigresen mendapat laporan pelajar asing menyalahgunakan pas kemasukan mereka ke negara ini untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral, kita sedia membatalkan permit mereka.

"Kita juga akan membuat teguran kepada kolej tertentu yang terbabit dalam kes itu supaya mereka menjalankan penyeliaan lebih berkesan," katanya.


(Utusan Sarawak)

Kelab kebudayaan di sekolah menengah

SRI AMAN - Kementerian Pembangunan Sosial bercadang untuk menubuhkan kelab kebudayaan di peringkat sekolah menengah di seluruh Sarawak.

Menteri Muda Kebudayaan, Encik Dublin Unting Ingkot berkata, tujuan penubuhan kelab berkenaan ialah bagi mempromosi dan membangunkan kebudayaan pelbagai kaum di sekolah-sekolah.

"Kelab berkenaan akan menyumbang kepada peningkatan tahap disiplin di sekolah dengan memajukan kebudayaan pelbagai kaum yang akan membantu melahirkan warganegara yang berdisiplin dan bertanggungjawab kepada negara, bangsa dan agama," katanya ketika berucap merasmikan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Menengah Bahagian Sri Aman, semalam.

Menurutnya, sekolah yang akan dipilih untuk menyertai program itu ialah sekolah yang terletak di luar bandar, berdekatan bandar dan mempunyai pelajar pelbagai kaum.

Bagi menjayakan segala program yang dirancang oleh kelab berkenaan, Dublin memberi jaminan bahawa kementeriannya akan menyediakan peruntukan untuk tujuan itu.

Sehubungan itu, beliau berharap sekolah di Sri Aman akan memanfaatkan peluang itu dengan menubuhkan kelab kebudayaan masing-masing.

Selain itu, beliau turut menyeru supaya guru yang dipertanggungjawabkan mengendalikan kelab itu dan aktivitinya supaya menyusun aktiviti yang sesuai agar objektif penubuhan kelab itu tercapai.

Mengenai pendidikan, Dublin berkata, hanya pendidikan yang tinggi dan kemahiran yang cukup akan menjamin masa depan yang cerah bagi setiap orang.

"Tanpa pendidikan agak sukar untuk kita menempuh kehidupan yang semakin mencabar pada masa akan datang.

"Justeru, masa sekaranglah peluang terbaik bagi semua pelajar untuk menimba seberapa banyak ilmu dan melanjutkan pengajian ke peringkat yang paling tinggi sebagai bekalan untuk menempuhi alam pekerjaan nanti," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pelajar supaya berusaha bersungguh-sungguh dan tidak terlalu bergantung kepada guru dan ibu bapa untuk mencapai kecemerlangan.

Menurutnya, dalam usaha meningkatkan pembangunan, negara memerlukan tenaga pekerja yang cukup terlatih dalam bidang teknikal termasuk pengetahuan dalam penggunaan komputer.

Justeru itu, katanya, pengetahuan teknikal dan teknologi adalah wajib bagi setiap pelajar dalam usaha menyiapkan diri mereka sebagai agen perubahan pada dekad akan datang.

Mengenai penglibatan pelajar dalam kegiatan sukan, Dublin berkata, ibu bapa harus menyokong penyertaan anak-anak mereka dalam aktiviti kokurikulum seperti sukan.

Ini kerana, katanya kegiatan seperti itu akan dapat membentuk individu yang seimbang dan ia amat penting dalam menempuh cabaran pembangunan yang serba mencabar.

Sementara itu, beliau turut menasihati pelajar supaya sentiasa menjaga disiplin diri seperti patuh kepada arahan guru dan tidak melakukan perbuatan yang menyalahi peraturan sekolah.

Beliau juga mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak seperti menjauhkan diri daripada meminum minuman keras secara berlebihan sehingga mabuk.

Selain itu, golongan guru dan kakitangan lain Jabatan Pendidikan pula diingatkan supaya menjauhkan diri daripada politik di setiap peringkat bagi menjaga nama baik diri sendiri dan jabatan.


Februari 14 (Berita Harian)

Kabinet tunggu laporan nasib pelajar luar negara

GEORGETOWN, Jumaat - Nasib 15,000 pelajar tajaan kerajaan di luar negara, sama ada mereka perlu balik ke tanah air, berikutan kegawatan ekonomi akan diputuskan Kabinet dalam beberapa minggu lagi.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Fong Chan Onn, memberitahu pemberita keputusan Kabinet itu akan dibuat berdasarkan kajian terperinci ke atas laporan yang diserahkan unit khas ditubuhkan untuk menguruskan permohonan pelajar berkenaan untuk melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan.

Katanya, dianggarkan sebahagian daripada pelajar itu mungkin terpaksa menamatkan pengajian mereka di luar negara berikutan beban kewangan yang terpaksa ditanggung negara berikutan kegawatan ekonomi.

Unit yang ditubuhkan dengan fungsi seakan-akan Unit Pusat Universiti itu juga menguruskan semua pertanyaan dan permohonan untuk memasuki sama ada universiti tempatan atau swasta oleh pelajar Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di luar negara.

"Unit khas sedang mengumpul dan menganalisis semua maklum balas yang dikumpulkan oleh jabatan dan agensi kerajaan serta badan berkanun yang menaja pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di luar negara.

"Maklum balas itu dijangka selesai dikumpulkan menjelang dua minggu lagi," kata Dr Fong selepas melawat tapak projek kampus cawangan Kolej Tunku Abdul Rahman di Vale of Tempe dekat sini, petang ini.

Turut hadir ialah Exco negeri, Datuk Dr Sak Cheng Lum dan Koay Kar Huah; Ahli Parlimen Bayan Baru, Wong Kam Hong; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Itam, Lye Siew Weng; dan Adun Jawi, Tan Cheng Liang.

Laporan unit itu kepada Kabinet juga akan mencadangkan langkah yang perlu diambil untuk menampung pelajar berkenaan apabila mereka menyambung kembali pelajaran di IPT tempatan.

Berhubung rungutan sebahagian besar pelajar di luar negara yang mendakwa pelajaran mereka akan terganggu jika terpaksa pulang dan menyambung pengajian di IPT tempatan, Dr Fong berkata:

"Kerajaan memberi jaminan akan menggunakan segala peluang dan kemudahan yang ada untuk memastikan ada kursus bersesuaian sebagai alternatif terbaik kepada kursus yang mereka ikuti di luar negara itu."


Februari 12 (Berita Harian)

Guru tamat latihan diminta hubungi sekolah

GEORGETOWN, Rabu - Semua guru pelatih maktab perguruan yang tamat latihan penghujung tahun lalu diminta menghubungi sekolah masing-masing bagi mengetahui tarikh temuduga untuk membolehkan mereka dilantik ke jawatan tetap.

Semua guru terbabit sepatutnya melapor diri awal Januari lalu apabila sesi persekolahan bermula, bagaimanapun penempatan mereka dibekukan buat sementara kerana beberapa sebab teknikal.

Timbalan Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK), Abdul Karim Majid, berkata kebanyakan guru terbabit mungkin tidak mengetahui tarikh temuduga yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP).

Menurutnya, keadaan itu berlaku kerana surat temuduga itu dihantar ke sekolah masing-masing berdasarkan kepada penempatan asal yang ditawarkan kepada mereka.

"Masalah mengetahui tarikh temuduga itu mungkin berlaku kerana ada guru yang sebelum ini memohon ditukarkan ke sekolah lain," katanya kepada Berita Harian, di sini hari ini.

Beliau berkata, kira-kira 6,700 guru pelatih terbabit daripada 31 maktab perguruan di seluruh negara sudah diminta melapor diri pada 16 Februari ini.

Bagaimanapun, katanya, ada guru yang sudah menerima surat temuduga untuk dilantik ke jawatan tetap bagi guru bukan siswazah pertengahan Februari ini.

Sehubungan itu, katanya, bagi mengelakkan sebarang masalah berhubung perkara itu, semua guru terbabit diminta segera menghubungi sekolah asal mereka ditempatkan.

Berita Harian difahamkan temuduga itu akan dijalankan secara berperingkat-peringkat pertengahan Februari hingga Mac ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan membuat keputusan untuk menempatkan sejumlah guru lepasan maktab perguruan yang tamat latihan Disember tahun lalu di sekolah rendah di seluruh negara selepas Aidilfitri.

Karim berkata, keputusan itu bukan saja akan mengatasi masalah kekurangan guru, tetapi juga memastikan guru keluaran 31 maktab perguruan seluruh negara itu dapat bertugas selepas menamatkan kursus tahun lalu.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebelum ini turut memberi jaminan guru yang tamat latihan dari maktab perguruan tahun lalu boleh bertugas mulai bulan ini apabila urusan penempatan mereka di sekolah di seluruh negara selesai.

Berita Harian difahamkan pembekuan sementara penempatan guru maktab perguruan berlaku disebabkan masalah teknikal dan krisis ekonomi yang melanda negara ketika ini.

Karim berkata, KPPK percaya keputusan itu, dapat mengatasi sebahagian besar masalah kekurangan guru yang dihadapi oleh sekolah rendah.


Bocor kertas SPM: Tiga didakwa Mei ini

KLANG, Rabu - Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 19 dan 20 Mei ini bagi tarikh perbicaraan dua guru sekolah menengah dan seorang guru tuisyen yang didakwa mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 atas tuduhan membocorkan kertas soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 1997.

Hakim Kamardin Hashim menetapkan tarikh itu selepas beliau bersetuju mendengar perbicaran serentak tiga guru terbabit dalam mahkamah yang sama atas permintaan Timbalan Pendakwaraya, Mohd Hanafiah Zakaria.

Dua guru sekolah menengah kerajaan, S Subramaniam, 32, dan K Balakrishnan, 37, diwakili oleh Gobind Singh Deo, manakala guru tuisyen M Rajan, 27, oleh T Gunaseelan.

Sebelum ini, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen di sini, selepas didakwa mengikut OSA 1972 atas tuduhan membocorkan kerta soalan SPM 1997.

Ketiga-tiga mereka yang menghadapi 10 tuduhan, semuanya mengikut Seksyen OSA 1972 meminta kes itu dibicarakan. Mahkamah kemudian menetapkan hari ini sebagai tarikh kes terhadap mereka disebut semula.

Sementara itu, perkarangan Mahkamah Sesyen di sini, hari ini riuh berikutan gelagat tiga tertuduh cuba mengelak gambar mereka daripada dirakam jurugambar media massa, selepas keluar dari mahkamah.

Mereka melarikan diri dengan melalui jalan lain sebaik sahaja jalan utama ke mahkamah itu dipenuhi jurugambar yang menanti untuk merakamkan gambar mereka.

Sebaik sahaja keluar dari perkarangan mahkamah, seorang daripada tiga tertuduh melompat untuk membonceng motosikal rakan yang sedia menanti di luar, manakala seorang lagi dilindungi rakan dan keluarga.

Seorang lagi tertuduh meminta isterinya memerhatikan jurugambar sebelum memberi isyarat keluar dari perkarangan mahkamah, apabila jurugambar leka menanti tertuduh di tempat lain.

Tertuduh pertama, Subramaniam, yang tinggal di Nombor 16, Jalan Datuk Yusof Shahbuddin, Taman Sentosa di sini dan tertuduh kedua, Rajan, beralamat Nombor 59, Jalan Sepat Satu, Teluk Pulai dihadapkan di Mahkamah Sesyen II, pada 13 Januari lalu.

Tertuduh ketiga, Balakrishnan, beralamat di Nombor 17, Jalan Sri Sarawak 6, Taman Sri Andalas di sini, dihadapkan di Mahkamah Sesyen I.

Subramaniam menghadapi tiga tuduhan, Rajan enam tuduhan, manakala Balakrishnan pula satu tuduhan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhkan hukuman penjara antara satu hingga tujuh tahun.

Subramaniam yang menjadi ketua pengawas peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Anglo Chinese School Klang, menghadapi tuduhan pertama mengikut Seksyen 7(e) OSA kerana gagal melaporkan kepada pihak atasannya mengenai perbuatan Rajan yang menghampirinya di sebuah restoran di Taman Sentosa kira-kira 10.30 malam 23 November lalu meminta dia membekalkan kepadanya (Rajan) kertas soalan SPM.

Mengikut Seksyen 8 (1) (d) (i) pula, dia didakwa memiliki kertas Bahasa Melayu 1 dan Sejarah 1 (Aneka Pilihan) pada 24 November di antara jam 6.45 pagi dan 7 pagi di Jalan Mengkuang, Klang, yang menjado rahsia rasmi. Sebagai seorang pegawai awam, tingkah lakunya membahayakan rahsia rasmi berkenaan.

Beliau turut didakwa mengikut seksyen sama kerana menyerahkan kertas soalan itu kepada orang lain di sebuah gerai belakang Sekolah Menengah Anglo Chinese School, Klang kira-kira jam 7 pagi 24 November lalu.

Rajan pula menghadapi tuduhan pertama mengikut Seksyen 8 (1) (d) (i) dan Seksyen 14 (b) kerana membocorkan kertas soalan SPM secara bersubahat dengan Subramaniam di sebuah restoran di Taman Sentosa, Klang kira-kira jam 10.30 malam 21 November lalu.

Tuduhan kedua pula mengikut seksyen 8 (2) kerana dia menerima kertas soalan Bahasa Melayu 1 dan Sejarah 1 (Aneka Pilihan) SPM di sebuah gerai belakang Sekolah Menangah Anglo Chinese School kira-kira jam 7.30 pagi 24 November lalu.

Rajan menghadapi empat lagi tuduhan mengikut Seksyen 8 (1) (d) (i) kerana memilki kertas soalan itu di 44, Jalan Sepat 1, Teluk Pulai pada 24, 25 November dan 9 Disember lalu.

Balakrishnan pula dituduh mengikut Seksyen 8 (1) (d) (i) kerana membantu Subramanian menyampaikan kertas soalan itu kepada orang lain di sebuah gerai di belakang Sekolah Menengah Anglo Chinese School pada 7 pagi dan 24 November lalu.

Mahkamah membenarkan Subramaniam diikat jamin RM10,000, Rajan RM20,000 dan Balakrishnan RM3,000 dengan masing-masing seorang penjamin.


Mara tidak panggil pulang pelajar

KUALA LUMPUR, Rabu - Isu memanggil pulang 4,200 pelajar tajaan Mara di luar negara bagi menyambung pelajaran di dalam negara tidak berbangkit, kata Menteri Pembangunan Ushawan, Datuk Mustapa Mohamed.

Sehubungan itu, beliau meminta pelajar berkenaan serta keluarga mereka supaya tidak bimbang mengenai kemungkinan mereka dipanggil pulang.

Menurutnya, sebuah jawatankuasa yang diselaras oleh Kementerian Pendidikan,Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Mara sedang menjalankan kajian bagi mendapatkan maklumat mengenai pelajar Malaysia di luar negara.

Beliau berkata, hasil kajian berkaitan maklumat asas seperti jumlah pelajar, bidang pelajaran dan tempat belajar itu dijangka dapat disiapkan dalam tempoh tiga minggu dan akan dikemukakan kepada kerajaan untuk keputusan.

"Cuma kajian saja untuk mengumpul maklumat, tidak ada keputusan untuk memanggil mereka pulang, semua pihak tidak perlu risau," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Imej Ceria Kompleks Pertama di sini, hari ini.

Mara kini membelanjakan RM262 juta bagi menaja 4,200 pelajarnya di luar negara.

Ramai pelajar tajaan Mara di luar negara kini dilaporkan bimbang dan kecewa berikutan khabar angin yang mengatakan mereka akan dipanggil pulang berikutan kegawatan ekonomi dan kejatuhan nilai ringgit.

Mereka didapati melepas perasaan dan bantahan mereka di ruangan bicara dalam Internet serta mengirim E-mail kepada Mustapa.

Difahamkan, Mara tidak menghadapi masalah menaja pelajarnya yang kini berada di luar negara kerana hampir 2,800 daripada 4,200 pelajar akan menamatkan pengajian tahun ini dan akan pulang mulai Julai depan.

Mengenai masalah pemberian francais, Mustapa berkata kementeriannya akan memperkenalkan Akta Francais pada sesi kedua persidangan Parlimen yang dijadualkan pada Jun dan Julai depan.

Beliau berkata, pada masa ini tiada peruntukan undang-undang khusus bagi mengawal aktiviti pemberian francais oleh pihak terbabit.

"Walaupun kementerian ada menetapkan syarat tertentu untuk dipatuhi semua pihak terbabit tetapi ia tidak boleh dikuatkuasakan," katanya.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Mustapa berkata kerajaan dan Uda Holdings Sdn Bhd (Uda Holdings) akan terus memberi perhatian yang sewajarnya kepada peniaga Bumiputera.

Sehubungan itu, belia menggesa perniaga terbabit yang kini menyewa premis di 11 kompleks beli-belah milik Uda Holdings supaya berusaha meningkatkan perniagaan mereka bagi mendapatkan pulangan lebih tinggi.

Beliau berkata, kementeriannya juga akan berbincang dengan perniaga terbabit mengenai bantuan pinjaman yang boleh diberi.

"Pinjaman kurang RM50,000 tiada masalah... kepada mereka yang berjaya kita akan memberi pertimbangan khas untuk pinjaman melebihi jumlah itu," katanya.

Hadir sama pada majlis itu ialah timbalannya, Idris Jusoh; Pengerusi Uda Holdings, Datuk Mohd Zihin Mohd Hassan; pengarah urusannya, Datuk Abdul Razak Hussain; dan wakil usahawan Kompleks Pertama.

Program Imej Ceria Kompleks Pertama adalah usaha Uda Holdings menaikkan taraf 42 lot kedai di Bazar Pertama yang disewakan kepada peniaga Bumiputera dengan belanja RM3 juta.


(Utusan Sarawak)

STU yakin kejayaan tabung pendidikan

KUCHING - Kesatuan Guru Sarawak (STU) yakin Tabung Pendidikan Negara (TPN) mencapai matlamat sekiranya ia dilaksanakan pada dasar secara sukarela, ketelusan dan bertanggungjawab.

Presidennya, Encik William Ghani Bina berkata, pada dasarnya STU menyokong penuh cadangan penubuhan TPN kerana penubuhan tabung itu sesuai untuk membantu meninggkatkan mutu pendidikan negara sekarang ini.

"Jika TPN dilasanakan pada dasar secara sukarela dan pengendaliannya mempunyai ketelusan dan tanggungjawab daripada lembaga amanah tidak hairan ia mendapat sokongan semua pihak,"katanya kepada Utusan Sarawak hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penubuhan Tabung Pendidikan Negara (TPN) yang dipersetujui sebanyak 16 kesatuan dan empat persatuan guru yang bertujuan untuk membantu kerajaan melaksanakan segala program pendidikan tanpa halangan ketika kegawatan ekonomi sekarang.

Sabtu lalu, Pengerusi Jawatankuasa Permuafakatan Pendidikan Kesatuan dan Persatuan Guru Malaysia (JPPKPGM), Muhammad Mustapha berkata, semua guru boleh memberi sumbangan kewangan secara ikhlas tanpa had ataupun paksaan bagi mengisi tabung berkenaan.

"TPN dijangka berkuat kuasa Mac ini dan dilancarkan pada 16 Mei depan sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan. Ia juga didaftarkan di bawah kementerian pendidikan dengan Ketua Pengarah, Datuk Matnor Daim dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Amanah tabung tersebut," katanya selepas menghadiri mesyuarat berkaitan dengan tabung itu baru-baru ini.

William berkata, penubuhan TPN adalah satu langkah yang bijak sewaktu negara menghadapi kemelesetan ekonomi sekarang ini.

Katanya, dengan adanya TPN kementerian dapat melaksanakan pengurusan dalam bidang pelajaran dengan teratur sewaktu kegawatan ekonomi.

Beliau berkata, penubuhan tabung itu nanti dapat menjaga kebajikan guru-guru di negara ini termasuk dalam memajukan perkembangan sistem pendidikan negara.

"Penubuhan tabung ini sesuai dalam membantu kerajaan mengatasi masalah kegawatan ekonomi sekarang ini. Ini penting supaya kemelesetan ekonomi sekarang ini tidak menjejaskan pendidikan negara,"ujarnya yakin tabung ini akan mendapat sambutan bukan sahaja pendidik malah orang ramai dalam semua lapisan masayarakat.

Katanya, orang ramai termasuk agensi swasta harus memberi sokongan dalam menjayakan tabung itu memandangkan pendidikan adalah aset utama pembangunan negara.

Beliau berkata, kementerian disarankan supaya menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengendalikan TPN supaya projek itu berjalan dengan lancar dan tidak ada keraguan daripada mana-mana pihak.

"Sesuatu projek seharusnya perlu berasaskan perancangan yang teratur bagi mengelakkan sebarang keeliruan atau penyelewengan," katanya.

Menurutnya, pihak yang menjalankan tabung itu diharapkan supaya tidak memandang serong terhadap mana-mana mereka yang tidak menderma kerana perlaksanaan tabung itu adalah atas dasar secara sukarela.

"Ia dilaksanakan secara sukarela... dan bagi yang mahu menderma had derma terpulang kepada keikhlasan mereka," ujarnya dan percaya TPN akan akan dilasanakan secara berterusan, bukan sewaktu negara menghadapi kegawatan ekonomi sahaja, tetapi dalam jangka masa panjang.

Kini, terdapat kira-kira 23,000 guru dan kakitangan Jabatan Pendidikan di seluruh Sarawak.


TPN: STU tidak bertolak ansur

KUCHING - Kesatuan Guru Sarawak (STU) tidak bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang memungut derma bagi mengisi Tabung Pendidikan Negara (TPN) sebelum ia dilancarkan sepenuhnya.

Presidennya, Encik William Ghani Bina berkata, sehubungan itu orang ramai disarankan supaya membuat laporan kepada kesatuan itu sekiranya ada pihak yang berbuat demikian.

"Kita tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambbil kesempatan untuk mengutip derma bagi mengisi tabung itu sebelum ia dilancarkan sepenuhnya," katanya kepada Utusan Sarawak di sini, hariini.

Setakat ini, katanya, pihak kesatuan belum menerima sebarang aduan daripada orang ramai berhubung wujudnya pihak yang berbuat demikian (mengutip derma).

William berkata, satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi mengendalikan TPN di seluruh negara termasuk di Sarawak.

Katanya, TPN dijangka akan ditubuhkan awal Mac depan dan dilancarkan pada 16 Mei depan sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan.


Shell bantu pelajar hilang alat sekolah

MIRI - Pelajar dari Sekolah Menengah Sains (SMS) Labuan yang kehilangan buku dan peralatan sekolah dalam kebakaran beberapa minggu lalu menerima bantuan daripada Sabah Shell Petroleum Company Limited (SSPC) hari ini.

Dalam kebakaran pada 18 Januari lalu, sebahagian kelas di sekolah berkenaan hangus dan memusnahkan buku yang terdapat di dalamnya.

SSPC yang bersimpati dengan nasib pelajar terbabit menderma RM2,000 bagi membeli semula buku pelajar terbabit serta membolehkan mereka meneruskan pembelajaran seperti biasa.

Pengarah Urusan SSPC, Encik Lim Haw Kuang ketika menyampaikan sumbangan itu melahirkan harapan agar ia dapat mempertingkatkan semangat pelajar terbabit untuk belajar.

Sumbangan itu telah disampaikan kepada pengetua sekolah berkenaan, Puan Maznah Haji Abdul Rashid oleh Pengurus Pangkalan Bekalan Labuan, Kapten Lionel Rodrigues.

Dalam ucapan ringkasnya, Puan Maznah berterima kasih kepada pihak Shell dan berkata, sumbangan itu membuktikan keprihatinan organisasi itu terhadap tanggungjawab kemasyarakatannya.


Februari 11 (Berita Harian)

Peras ugut pelajar: Suruhanjaya beri nasihat

KUALA LUMPUR, Selasa - Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Australia menasihatkan ibu bapa supaya tidak bimbang terhadap keselamatan anak mereka yang belajar di Australia berikutan laporan akhbar mengenai kegiatan peras ugut kumpulan samseng.

Ibu bapa dan pelajar Malaysia di negara itu juga diminta bekerjasama serta melaporkan kepada suruhanjaya itu untuk tindakan lanjut jika ada kes pemerasan wang oleh kumpulan samseng.

Pesuruhjaya Tingginya, Datuk Adnan Othman, berkata suruhanjaya itu akan menghubungi pihak berkuasa di Australia dan universiti berkenaan jika mendapati ada pelajar Malaysia yang diperas ugut oleh kumpulan samseng.

"Ibu bapa dan pelajar tidak perlu bimbang keselamatan mereka terancam jika melaporkan kejadian itu kerana maklumat itu akan dirahsiakan," katanya ketika dihubungi Berita Harian di Canberra, hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar mengenai kegiatan samseng 14K dari Hong Kong yang memeras wang beribu-ribu dolar dari pelajar Asia termasuk Malaysia di Melbourne, Australia.

Adnan berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima aduan daripada individu atau persatuan pelajar mengenai kegiatan memeras ugut rakyat Malaysia.

"Konsul kami di beberapa tempat di negara ini juga tidak pernah menerima aduan mengenai kes peras ugut kumpulan tertentu walaupun perjumpaan sering diadakan dengan persatuan pelajar Malaysia.

"Menurut pejabat konsul Malaysia di Melbourne tidak ada pelajar yang membuat aduan bahawa mereka diperas ugut kumpulan samseng 14K," katanya.

Katanya, konsul di Melbourne hanya mengetahui mengenai kes peras ugut pelajar Asia termasuk dari Malaysia di situ oleh kongsi gelap 14K, daripada laporan akhbar Herald Sun.

Sehubungan itu, Adnan menasihat ibu bapa di sini supaya tidak bimbangkan keselamatan anak-anak mereka kerana suruhanjaya sentiasa mengawasi keadaan mereka selain sering mengadakan pertemuan dengan persatuan pelajar Malaysia.

"Ibu bapa hendaklah menasihati anak-anak mereka supaya menghubungi kami jika diperas ugut atau menghadapi masalah termasuk membabitkan jenayah," katanya.

Herald Sun yang memetik sumber polis melaporkan, kumpulan 14K dari Hong Kong memeras ugut pelajar Asia membayar beribu-ribu dolar jika tidak mahu dipukul atau dicederakan, sejak dua tahun lalu.

Gejala itu dikatakan semakin buruk terutama di kolej bahasa Inggeris berikutan usaha polis membanterasnya tidak berjaya kerana tidak mendapat kerjasama mangsa.

Selain pelajar Malaysia, pelajar daripada keluarga yang kaya dari China dan Hong Kong turut menjadi mangsa peras ugut dan sanggup membayar wang kerana tidak mahu dicederakan dan terganggu pelajaran.

Kumpulan 14K yang beroperasi di Melbourne CBD, Box Hill, Monash dan Footscray itu, sering menyerbu mangsa ketika mahu mengeluarkan wang di mesin ATM.

Kumpulan 14K adalah kongsi gelap terbesar di Hong Kong dan nama 14K diambil dari nombor jalan bekas ibu pejabatnya di Kowloon.


(Utusan Sarawak)

Prestasi sekolah agama cemerlang

SARIKEI - Prestasi murid sekolah agama dalam peperiksaan awam di seluruh negeri ini setanding dengan prestasi pelajar di sekolah lain, kata Pemangku Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais), Encik Ahmad bin Sidek.

Beliau berkata, sebagai bukti kecemerlangan murid terbabit adalah apabila pelajar SRB Datuk Haji Abdul Kadir Hassan mencatat kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan UPSR dan SRB Agama Sibu muncul sebagai sekolah terbaik di Bahagian itu.

Untuk mengekalkan kecemerlangan murid yang berjaya dalam UPSR, Jais akan memperkenalkan sekolah berasrama penuh untuk Tingkatan Satu hingga Lima bagi murid berkenaan, katanya ketika berucap pada majlis Silaturahim Aidilfitri SRB Agama Sarikei di sini, malam tadi.

"Langkah tersebut ialah satu daripada dasar JAIS dan semua murid dikehendaki tinggal di asrama agar mereka dapat dibimbing dengan baik dalam persediaan menghadapi peperiksaan," katanya.

"Buat masa ini pengambilan murid dari sekolah lain terpaksa dijalankan oleh kerana kekurangan murid," terangnya.

Beliau turut menggesa ibu bapa supaya jangan bergantung penuh kepada guru dalam mendidik anak-anak mereka.

Majlis itu turut meraikan kedatangan guru besar baru sekolah itu, Abdul Aziz Muraíee dan majlis perpisahan bagi guru besar lama, Nasir Bin Masani.

Pengerusi Lembaga Pengurus Sekolah itu merangkap Pegawai Jais Sarikei, Haji Abdullah Haji Anis, Yang Di-Pertua PIBG, Encik Sulaiman Bin Haji Buhari dan Penolong Pegawai Pendidikan Bahagian Sarikei, Encik Bolkia Abdul Rahman adalah antara yang hadir.


Februari 10 (Berita Harian)

8,000 pelajar Mara ke IPT tempatan

KUALA LUMPUR, Isnin - Semua 8,000 pelajar tajaan Mara di luar negara dan dalam persediaan belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) di sana, disahkan akan diserap ke dalam IPT tempatan.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mustapa Mohamed, berkata Mara sudah mengenal pasti tempat kepada kumpulan pertama membabitkan 3,800 pelajar yang sedang menjalani program persediaan ke luar negara.

"Kita telah selesai berbincang dengan institusi pengajian tempatan untuk menempatkan mereka dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

"Saya sudah arahkan Mara memaklumkan pelajar terbabit mengenai kedudukan mereka dalam tempoh dua minggu ini. Setakat ini, 29 pelajar sudah diserapkan ke Universiti Islam Antarabangsa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kumpulan kedua seramai 4,200 pelajar yang belajar di luar negara turut terbabit dalam proses itu.

"Mara sedang meneliti kes pelajar terbabit satu persatu. Ini termasuk di mana mereka belajar dan bidang yang diambil. Mara diberi tempoh tiga minggu untuk mengemukakan cadangan bagaimana kes ini boleh diselesaikan," katanya.

Mustapa berkata, Mara sudah menubuhkan jawatankuasa bertindak dengan meminjamkan sekumpulan kakitangan ke bahagian berkenaan bagi menyelesaikan tugas berkenaan secepat mungkin.

"Mereka mula bergerak sejak lima minggu lalu dengan kerjasama Kementerian Pendidikan," katanya.

Setakat ini, kira-kira 70 peratus pelajar tajaan Mara belajar di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Bakinya termasuk di Australia, New Zealand, Jepun, Asia Barat dan Indonesia.