Jun 14 (Berita Harian)
MUAR: Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) memperuntukkan RM20 juta sebagai pinjaman kepada pelajar negeri ini yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi tempatan dan luar negara.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata pembiayaan secara biasiswa oleh YPJ, kini dihentikan, sebaliknya setiap peminjam perlu membayar balik kemudahan itu secara ansuran menerusi potongan gaji.
Beliau berkata, walaupun negara menghadapi kegawatan ekonomi, YPJ masih berupaya menyediakan peruntukan tahunan RM20 juta itu bagi memberi pinjaman pendidikan, hasil keuntungan industri perladangannya.
"YPJ masih mempunyai sumber kewangan yang penting iaitu hasil ladang sawit, sekali gus masih mengizinkan YPJ membantu menyediakan pinjaman pendidikan kepada anak Johor.
"Selain memberi pinjaman, YPJ juga menambah pinjaman kepada pelajar di luar negara yang menghadapi masalah ekonomi berikutan kadar tukaran wang yang semakin tinggi," katanya.
Beliau memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan majlis Anugerah Cemerlang & Ko-Kurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Bunga di sini, semalam. Turut hadir Ahli Parlimen Ledang, Hashim Ismail.
Abdul Ghani berkata, YPJ sedang berunding dengan Tabung Biasiswa Kementerian Pendidikan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam usaha memastikan setiap pinjaman dikeluarkan itu dituntut semula menerusi potongan gaji peminjam.
"Tahap pembayaran balik pinjaman yang dikeluarkan oleh YPJ selama ini, masih rendah dan tidak mencapai 50 peratus, daripada peruntukan yang dikeluarkan setiap tahun.
"Bayaran balik tabung pinjaman ini penting supaya kita dapat mewujudkan dana pusingan lebih besar terhadap tabung pinjaman pendidikan YPJ demi kebaikan lebih ramai pelajar," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri berusaha mengukuhkan aset dan sumber pendapatan YPJ bagi meningkatkan keupayaannya memajukan agenda pendidikan di seluruh negeri menerusi penubuhan Kolej Komuniti.
Katanya, antara pendekatan kolej itu termasuk mengurniakan tanah kepada YPJ untuk dijadikan ladang tambahan serta peluang menyertai projek pembangunan tanah kerajaan dengan harapan dapat menambah sumber pendapatan.
KUALA LUMPUR: Pelajar tahun empat Fakulti Sains Industri, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor, Radiah Bahar 21, memenangi peraduan Wanita dan Internet anjuran Citra - majalah mingguan wanita terbitan Berita Harian Sdn Bhd.
Peraduan itu yang diadakan dengan kerjasama Silicon Communications Sdn Bhd sepanjang Januari dan Februari lalu, menarik 3,200 penyertaan.
Radiah yang mengemukakan slogan: "Ia menyediakan informasi dan komunikasi terkini yang sofistikated serta memenuhi gaya hidup kontemporari", menerima seutas rantai berlian bernilai RM4,000 sumbangan Habib Jewels dan langganan satu akaun internet (100 jam) sumbangan Silikon Communication.
Tempat kedua dan ketiga dimenangi Fatimah M Amin dan Latifah Abdul Wahab. Masing-masing memenangi set barangan kemas bernilai RM3,000 dan RM1,000 serta satu akaun internet 50 jam dan 25 jam.
Sepuluh pemenang hadiah sagu hati pula menerima barangan kemas bernilai RM200 setiap satu dan satu akaun e-mel.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Silicon Communications, Kho Han Mien, berharap peraduan itu dapat memberi pendedahan serta menarik minat lebih ramai wanita menggunakan internet.
"Walaupun ramai wanita terbabit dalam sektor pekerjaan yang menggunakan komputer, tetapi tidak ramai yang tahu menggunakan internet," katanya di majlis penyampaian hadiah peraduan berkenaan di Theaterette The New Straits Times Press (NSTP), semalam.
Turut hadir, Pengurus Besar Pengiklanan Akhbar Bahasa Melayu, NSTP, Mohd Rafflee Mohd Yassin; Pengurus Besar Habib Jewels, Gerard C Joseph; Pengurus Pembangunan Perniagaan Internet Service JARING, Mohamad Ismail; Pengurus Kanan Pengiklanan Berita Harian/Berita Minggu, Zulkhafle Jalil; Pengurus Bahagian Komunikasi Korporat Silicon Communications Sdn Bhd, Harison Yusof dan Eksekutif Pengiklanan Kanan Citra, Zahalina Abdul Rahman.
Jun 13 (Berita Harian)
SHAH ALAM, Jumaat - Polis Selangor sedang menyiasat sama ada beberapa kes pergaduhan dan rusuhan di kalangan kumpulan pelajar tingkatan tiga, empat dan lima di negeri ini, didalangi orang luar atau kumpulan samseng.
Ketua Polis Selangor, Datuk Kamaruddin Hamzah, berkata siasatan itu dijalankan susulan pergaduhan membabitkan kumpulan pelajar di negeri ini semakin meningkat sejak dua bulan kebelakangan ini.
"Saya akui pergaduhan membabitkan kumpulan pelajar kini semakin meningkat walaupun masih terkawal.
"Apa yang kita bimbang sekarang, pergaduhan itu turut didalangi orang luar terutama kumpulan samseng.
"Kita sedang menjalankan siasatan untuk memastikan sama ada kemungkinan itu supaya permasalahan itu dapat dibendung dari awal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas menangani masalah salah laku pelajar di negeri ini, di sini, hari ini.
Mesyuarat itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Rafie Mahad dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner I, Johar Che Din.
Kamaruddin berkata demikian ketika mengulas sama ada dakwaan pergaduhan membabitkan kira-kira 30 remaja dalam lingkungan usia 16 hingga 19 tahun di Petaling Jaya, baru-baru ini sehingga mengakibatkan empat cedera, termasuk seorang hampir putus tangan didalangi kumpulan samseng atau kongsi gelap.
Sebelum pergaduhan itu, kumpulan terbabit dipercayai bergerak beramai-ramai di sebuah rumah berhampiran yang mengadakan keraian sebelum memecahkan kira-kira 20 cermin kereta milik tetamu majlis itu.
Dalam pada itu, Kamaruddin berkata, Polis Selangor juga mengenal pasti beberapa sekolah di negeri ini yang menunjukkan peningkatkan kadar jenayahnya sejak dua bulan lalu terutama membabitkan pergaduhan dan rusuhan.
"Walaupun kes itu tidak serius, polis akan tetap membendung masalah itu supaya tidak menjadi lebih serius," katanya.
Menurutnya, berdasarkan laporan hasil siasatan polis, kebanyakan kes pergaduhan membabitkan kumpulan pelajar berpunca daripada kenakalan pelajar, perselisihan faham dan teman wanita.
Jun 10 (Berita Harian)
IPOH, Selasa - Pergerakan Pemuda Umno Perak mendesak Kementerian Pendidikan mengkaji semula pengkorporatan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan langkah memfrancaiskan program pendidikan kerana ia hanya dinikmati segelintir golongan pelajar berada.
Ketuanya, Jamal Nasir Rasdi, berkata perkara itu turut diputuskan dalam mesyuarat Badan Perhubungan Pemuda Umno negeri malam tadi bagi mengatasi kegagalan kemasukan pelajar Bumiputera ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Menurutnya, kerajaan tidak sepatutnya terlalu mengkomersilkan pendidikan yang turut menjadi teras agenda penubuhan Umno, sebaliknya menjadikan pendidikan sebagai tanggungjawab sosial.
Katanya, isu kegagalan kemasukan pelajar Bumiputera yang cemerlang ke IPT perlu ditangani segera dengan melihatnya sebagai agenda utama yang perlu diselesaikan.
"Pemuda Umno Perak kesal dan duka cita terhadap Kementerian Pendidikan dalam menangani isu dan masalah kemasukan pelajar Bumiputera ke IPT.
"Oleh itu, kami mendesak dan meminta kementerian mengkaji semula pengkorporatan IPTA yang manfaatnya hanya tersebar dan dinikmati oleh segelintir golongan.
"Kami juga mahu kementerian mengkaji semula kelulusan atau kebenaran IPTA memfrancaiskan program pendidikan mereka kepada swasta kerana ia nyata membebankan rakyat.
"Langkah konkrit dan segera bagi menangani isu ini perlu kerana ia membabitkan kepentingan umum, kebanyakannya anak Melayu luar bandar yang cemerlang dan ibu bapa mereka berpendapatan rendah," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Umno negeri di sini, petang ini.
Jamal Nasir berkata, Pemuda Umno Perak mencadangkan kementerian atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mencari alternatif bagi menempatkan pelajar cemerlang ke IPT di negara Asean seperti di Indonesia atau Filipina dengan memberi pengiktirafan kepada IPT di negara berkenaan.
Menurutnya, alternatif itu jalan terbaik kerana ibu bapa masih mampu membiayai pengajian di IPT di negara terbabit.
"Pemuda Umno Perak juga mencadangkan kerajaan menambah dana pendidikan bagi membantu pelajar cemerlang membiayai yuran pengajian.
"Selain itu, mereka juga perlu mengikis unsur nepotisme dan semangat suku sakat dalam pemilihan kemasukan pelajar ke IPTA," katanya.
Beliau berkata, pihaknya sendiri menerima banyak aduan dan keluhan pelajar Melayu berhubung masalah yang mereka hadapi, termasuk pelajar cemerlang tidak ditawarkan ke IPTA, kos pengajian tinggi di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), malah ada yang terpaksa berhenti setelah setahun melanjutkan pelajaran kerana tidak mampu.
Sehubungan itu, katanya, mesyuarat pergerakan itu malam tadi memutuskan untuk menubuhkan Sekretariat Tindakan Pendidikan Tinggi peringkat negeri bagi membantu pelajar cemerlang yang tidak ditawarkan memasuki IPTA.
Menurutnya, sekretariat itu yang dipengerusikan setiap Ketua Pemuda bahagian akan menjadi penghubung antara ibu bapa pelajar terbabit dengan Kementerian Pendidikan bagi menyelesaikan masalah itu.
"Kami memberi tempoh dua minggu mulai hari ini untuk ketua pemuda bahagian mengumpul maklumat berhubung isu itu bagi diserahkan kepada Pemuda Umno negeri sebelum dikemukakan kepada kementerian," katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan membawa isu itu ke Perhimpunan Agung Umno akan datang jika diberi peluang berbuat demikian.
KUALA LUMPUR, Selasa - Jumlah pinjaman dan biasiswa yang akan diberikan kepada pelajar yang memohon pinjaman Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan diketahui tiga bulan lagi, kata Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam II, Datuk Khalil Hussain.
Bagaimanapun, katanya, pengumuman itu bergantung kepada keputusan akhir pemprosesan borang permohonan.
Menurutnya, JPA mengeluarkan 60,000 borang pinjaman dan biasasiswa tahun ini, sama seperti tahun lalu.
Khalil berkata, pengumuman mengenai jumlah pelajar yang layak menerima biasiswa bergantung kepada jumlah bayaran yang dibayar balik oleh peminjam terdahulu.
Katanya, pada 1997, 15,000 pelajar mendapat pinjaman manakala 3,000 memperolehi biasiswa dan 1,300 lagi adalah pelajar tempatan yang melanjutkan pelajaran di luar negara.
"Tahun ini, JPA tidak menaja penuntut ke luar negara kerana kerajaan mahu mengurangkan perbelanjaan berikutan kegawatan ekonomi," katanya.
Katanya, biasiswa dan pinjaman hanya diberikan kepada pelajar yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam tempatan.
Khalil berkata, jumlah kutipan bayaran balik pinjaman sejak 1997 adalah kira-kira RM1 juta sebulan berbanding RM100,000 setahun sebelum sistem pembayaran melalui sistem kutipan elektronik (pengkomputeran) diperkenalkan.
Menurutnya, jumlah itu dijangka akan bertambah setiap tahun jika semua peminjam membayar balik pinjaman mereka.
"Tahun lalu, kira-kira RM500 juta dibelanjakan untuk pinjaman dan biasiswa kepada pelajar peringkat ijazah pertama dan diploma politeknik di seluruh negara," katanya selepas sidang akhbar mengenai Program Pengurusan Pembangunan di sini, hari ini.
Program itu adalah anjuran Persatuan Perindustrian dan Perdagangan British Malaysia (Bmita) dengan kerjasama JPA yang membabitkan beberapa syarikat besar dari United Kingdom.
Turut hadir di sidang akhbar itu, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, David Moss, Pengerusi Bmita, Tim O'Brien dan Pengarah Bahagian Latihan JPA, Dr Abdul Terdahulu, Khalil berkata, pengisytiharan muflis dan tindakan mahkamah terhadap peminjam yang tidak membayar balik pinjaman seperti yang diumumkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Fauzi Abdul Rahman kelmarin adalah prosedur biasa dalam perjanjian pinjaman.
"Sebelum ini, memang ada beberapa kes sudah dikemuka di mahkamah tetapi JPA tidak mengumumkannya kerana ia membabitkan jumlah peminjam yang kecil berbanding sekarang," katanya.
Jun 09 (Utusan Sarawak)
DALAT - Aktiviti ko-kurikulum seperti sukan dan permainan, menyertai kelab dan persatuan berpakaian seragam merupakan aspek yang penting dan perlu dititikberatkan dalam pendidikan ke arah membentuk insan pelajar yang berketrampilan.
Pegawai Pendidikan Daerah Dalat, Cik Ramlah Saberi berkata, melalui penyertaan dalam aktiviti ini pelajar dapat membentuk serta memupuk semangat kerjasama, tabah, bertimbang rasa, penyayang dan melatih nilai-nilai kemasyarakatan.Berucap pada majlis penutupan pertandingan bola jaring antara sekolah rendah daerah Dalat di sini baru-baru ini, beliau berkata, jabatan mengutamakan kecemerlangan pencapaian dalam bidang akademik bukan bererti jabatan tidak mementingkan aktiviti ko-kurikulum.
Kecemerlangan pelajar dan sekolah hanya akan diikhtiraf sekiranya mereka cemerlang dalam bidang akademik dan aktif dalam bidang ko-kurikulum, tegas beliau.Ramlah berkata pencapaian cemerlang pelajar dalam kedua-dua bidang tersebut menjadi aspek penentu kelayakan seseorang pelajar untuk dipertimbangkan ke institusi pengajian tinggi.
Ramlah melahirkan rasa bangganya dengan penyertaan sekolah dalam menjayakan program jabatan walaupun dalam keadaan kegawatan ekonomi.Pertandingan itu berlangsung di SRK Kampung Tanam dan disertai lima buah sekolah yang masing-masing menghantar pasukan lelaki dan perempuan.
Dalam perlawanan akhir pada 30 Mei lalu, kategori lelaki dimenangi oleh pasukan pilihan, SRK Kampung Tanam selepas menumpaskan pasukan SRB St. Bernard. Tempat ketiga digondol oleh pendatang baru SRK Sungai Kut Tengah.
SRK Sungai Kut Tengah membuat kejutan dalam penyertaan pertamanya di peringkat daerah apabila pasukan perempuannya menjuarai pertandingan ini selepas mengalahkan pasukan pilihan SRK Sungai Ud, dan tempat ketiga diraih oleh pasukan perempuan SRK Kampung Tanam.
Adik Sobri dari SRB St. Bernard diumumkan sebagai penjaring terbanyak kategori lelaki, manakala adik Ruha dari SRK Sungai Kut Tengah menerima anugerah penjaring terbanyak kategori perempuan.Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ramlah. Turut hadir ialah Ketua Unit Ko-Kurikulum JPD Dalat, Encik Koh Ong Ah, Guru Besar SRK Kampung Tanam merangkap Pengerusi Pengelola, Encik Hamdian Baijuri, dan Pengerusi PIBG SRK Kampung Tanam, Encik Wenceslaus Suan.
Jun 08 (Berita Harian)
KUANTAN, Ahad - Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah menjalankan kajian berhubung kaedah yang wajar dilakukan bagi meringankan bebanan pelajar luar negara yang mungkin terpaksa membayar semula pinjaman pelajaran yang tinggi berikutan kejatuhan nilai ringgit.
Jika dipersetujui kerajaan, JPA mencadangkan supaya pinjaman pelajaran itu dibayar mengikut kadar tukaran wang asing yang lama tetapi JPA menyerahkan kepada Kabinet bagi menentukan nilai dolar berbanding ringgit yang akan dijadikan asas kiraan itu.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Fauzi Abdul Rahman, berkata pelajar di luar negara yang menerima pinjaman pelajaran dalam jumlah yang besar berikutan kejatuhan nilai ringgit, tidak perlu bimbang untuk menjelaskan bayaran balik kerana ia akan dilakukan secara fleksibel.
Beliau berkata, penelitian JPA berhubung perkara berkenaan adalah selaras arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Mahathir Mohamad, yang meminta JPA mencari langkah bagi memudahkan pelajar membayar semula pinjaman berganda berkenaan akibat kejatuhan ringgit.
"Kejatuhan nilai ringgit menjadikan kadar pinjaman pelajaran penuntut Malaysia di luar negara bertambah tinggi dan keadaan ini menyebabkan mereka perlu membayar semula pinjaman itu dengan jumlah yang tinggi juga.
"Bagaimanapun, Perdana Menteri meminta JPA mengkaji semula perkara itu dan mencari kaedah yang sesuai bagi meringankan beban pelajar yang terpaksa membayar pinjaman berganda itu.
"Jadi, jika kerajaan bersetuju, JPA mencadangkan pembayaran semula pinjaman dilakukan mengikut kadar tukaran asing yang lama tetapi nilai kiraan itu diserahkan kepada Kabinet memutuskannya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Pertengahan Mac lalu, Perdana Menteri mengarahkan JPA mengkaji cara membolehkan pelajar tajaannya di luar negara membayar semula pinjaman yang berganda akibat kejatuhan ringgit.
Pelajar tajaan JPA dan Mara dijangka terpaksa membayar pinjaman berganda berikutan kejatuhan ringgit lebih 30 peratus berbanding dolar Amerika dan paun sterling.
Mengulas kes penahanan empat penuntut Malaysia termasuk pelajar tajaan JPA di Britain berhubung isu pengeluaran wang menggunakan nombor kad kredit melalui Internet, beliau berkata, setakat ini, kerajaan belum menerima laporan lengkap mengenai kes itu.
Katanya, JPA tidak akan bertindak terburu-buru, sebaliknya sebarang tindakan hanya dilakukan selepas mendapat maklumat daripada pihak berwajib, khasnya dari Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di London.
Empat pelajar Malaysia terbabit iaitu Shafiq Rizal Shaaba, 24, Cek Norlie Md Shah, 23, Riza Musauwir, 23 dan Khairul Anwar Ariffin, 24 tahun, dihadapkan ke Mahkamah Majistret daerah Fenton, atas tuduhan berkomplot untuk menipu menggunakan Internet.
Mereka ditahan di Stoke-On-Trent Rabu lalu kerana dikatakan merumuskan satu pelan untuk menipu melalui Internet yang membabitkan beribu-ribu paun sterling.
Jun 07 (Berita Harian)
KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) mempertahankan tindakan memfrancaiskan program matrikulasinya dengan kolej swasta dan menyifatkan isu itu tercetus kerana kekeliruan dan salah faham.
Naib Canselornya, Tan Sri Dr Abdullah Sanusi, berkata UM tidak boleh mengambil 2,000 pelajar matrikulasi serentak kerana unjuran yang ditentukan ialah 1,000 pelajar bagi tahun pertama manakala 1,000 lagi bagi tahun berikutnya.
"Saya percaya ada kekeliruan dan salah faham pihak tertentu menyebabkan timbul dakwaan pusat matrikulasi UM mampu menampung 2,000 pelajar dalam satu masa.
"Memang kita boleh menampung 2,000 pelajar, tapi bukan untuk tahun pertama sahaja. Apa yang kita lakukan ialah tahun ini kita ambil 1,000 pelajar dan tahun berikutnya 1,000 pelajar lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan perayaan Hari Alam Sekitar Sedunia di Rimba Ilmu UM di sini, semalam.
Akhir bulan lalu, Pusat Asasi Sains UM mengakui mampu menerima 2,000 pelajar serentak untuk mengikuti pengajian yang dikendalikan di kampusnya di Lembah Pantai.
Bagaimanapun, menurut sumber, pusat berkenaan hanya mengambil 300 pelajar tahun ini seperti diarah pihak pengurusan universiti dan selebihnya dipawahkan ke kolej swasta.
Berikutan itu, Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM) mempersoalkan tindakan Pusat Asasi Sains UM yang hanya mengambil 300 pelajar sedangkan dapat menampung 2,000 pelajar.
Presidennya, Prof Madya Datuk Mahadzir Khir, mendakwa pelajar cemerlang yang diagihkan ke kolej swasta menghadapi masalah, terutama daripada segi yuran yang dikenakan.
Dr Abdullah bagaimanapun berkata, kenyataan itu mengelirukan dan menggambarkan seolah-olah Pusat Asasi Sains sengaja tidak mahu mengambil pelajar yang mampu ditampung UM.
"Saya juga hairan dengan usaha merendahkan kewibawaan dan prestasi kolej swasta yang mengendalikan program francais itu.
"Saya sudah melawat kebanyakan kolej yang mengendalikan program seperti itu di United Kingdom dan mendapati dua kolej yang dipilih, iaitu Kolej Mara Banting dan Institut Kemajuan Ikhtisas Pahang (IKIP) adalah lebih baik daripada kebanyakan kolej berkenaan," katanya.
UM juga mensyaratkan pengambilan pelajar program Asasi Sains mesti memperoleh 12 agregat ke bawah.
"Kita mempunyai pasukan petugas khas yang menilai semua pelajar yang memohon memasuki pusat asasi. Semua perakuan akan diserah kepada Jawatankuasa Pemandu yang saya penge-rusikan sendiri,'' katanya.
"Jika Jawatankuasa Pemandu tidak menyokong mana-mana calon kerana tidak menepati syarat dan gred, kita tidak ambil," katanya.
Jun 06 (Berita Harian)
GEORGETOWN, Jumaat - Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta peralatan perisian yang mampu mempercepat dan memudahkan operasi pemprosesan data terutama di bidang teknologi maklumat dan multi media pada tahap maksimum.
Kaedah terkini yang menerapkan penggunaan semula Atur Cara Berjujukan (Sequential Programs) pada Pelantar Selari (Parallel Platforms) itu dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2000.
Penyelidikan projek bernilai RM200,000 dibiayai kerajaan itu diketuai pensyarah kajian berkenaan, Prof R K Subramaniam yang memiliki kepakaran dalam Sistem Ingatan Maya Berhalaman bersama dua tenaga pengajar lain bermula dua tahun lalu.
Dekan Pusat Pengajian Sains Komputer USM, Prof Zaharin Yusoff, berkata penemuan di bidang pengkomputeran ini akan memenuhi kehendak teknologi maklumat dalam pelaksanaan projek Koridor Raya Multi Media (MSC) negara.
"Teknologi multi media menggunakan banyak data dan masalah sering dihadapi ketika menjalankan pemprosesan yang mengambil masa terlalu lama terutama apabila menggunakan mesin atur cara berjujukan.
"Bagaimanapun, melalui penggunaan pelantar selari dengan menambah bilangan pemproses (processor) dan menyediakan kemudahan secara automatik untuk mengalihkan penggunaan atur cara berjujukan kepada pelantar selarai, kerja memproses data menjadi lebih cepat dan mudah," katanya di sidang akhbar di USM dekat sini, hari ini.
Menurutnya, penemuan ini memudahkan pemprosesan data untuk operasi aspek utama dalam teknologi multi media seperti grafik, audio dan visual untuk jangka masa singkat berbanding penggunaan atur cara berjujukan dengan hanya seunit pemproses.
"Pelantar selari turut digunakan dalam program angkasa lepas (space programing) dan penyiaran cuaca," katanya.
Zaharin berkata, projek komprehensif yang dirangka bagi menghasilkan penemuan seumpama ini adalah di antara langkah sebagai persediaan awal untuk menghadapi cabaran teknologi serba canggih menjelang alaf ke 21.
Katanya, penggunaan peralatan perisian ini juga dapat mengurangkan penggunaan guna tenaga kerja yang berlebihan di samping menjimatkan masa dengan menggunakan kuasa pemprosesan pada tahap maksimum.
"Syarikat yang melabur dan terbabit secara langsung dalam projek mega MSC pastinya memerlukan profesional untuk menggendalikan operasi mereka di negara ini dan rakyat tempatan yang berkelayakan di bidang teknologi maklumat sudah tentu menjadi pilihan syarikat berkenaan," katanya.
Sehubungan itu, katanya, USM ingin mengekalkan prestasi cemerlang sebagai institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang pertama di negara ini yang menawarkan kajian sains komputer pada 1975 untuk terus melahirkan graduan yang memiliki kepakaran di bidang berkenaan.
Zaharin berkata, ketika ini, seramai 680 pelajar mengikuti pengajian sains komputer dan 150 orang dijangka menamatkan pengajian masing-masing tahun ini.
Jun 05 (Berita Harian)
KOTA BHARU, Khamis - Mara menubuhkan pasukan petugas khas bagi mempercepatkan proses permohonan dan pembayaran kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi dan layak mendapat bantuan menerusi skim pinjaman pendidikan Mara.
Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mustapa Mohamed, ketika mengumumkan demikian berkata, menerusi skim itu Mara akan memberi bantuan pinjaman kepada 27,000 pelajar yang baru mendaftar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di seluruh negara, bagi sesi 1998/99.
Menurutnya, penubuhan pasukan petugas khas yang dilantik daripada 40 pegawai Mara itu penting bagi memastikan proses permohonan diselesaikan dalam tempoh dua minggu dan bayaran dapat dibuat dalam tempoh sebulan dari tarikh kelulusan.
"Sebelum ini, Mara mengambil masa dua atau tiga bulan untuk memperoses dan meluluskan sesuatu permohonan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurutnya, Mara menyediakan peruntukan RM632.1 juta dan tambahan RM100 juta daripada kerajaan bagi tahun ini untuk membiayai pelajar baru di samping meneruskan bantuan kepada 35,238 pelajar yang sedia ada di institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara.
Kata Mustapa lagi, langkah Mara tidak menghantar pelajar mengikuti pengajian ke luar negara bagi membolehkannya membantu lebih pelajar di dalam negara.
"Sebelum ini, kerajaan terpaksa mengeluarkan kos kira-kira RM50,000 setahun bagi membiayai seorang pelajar di luar negara," katanya.
YPJ sedia RM20 juta pinjaman pelajaran
Pelajar UTM menang peraduan Wanita dan Internet
Pergaduhan pelajar meningkat: Polis
Pemuda desak Kementerian kaji semula IPTA
Keputusan biasiswa JPA diumum Oktober
Ko-kurikulum penting dalam pendidikan
JPA kaji kaedah ringankan beban pelajar
UM pertahan tindakan francais
USM cipta kaedah cepatkan pemprosesan data
Mara percepatkan proses pinjaman pelajaran