(Sila tekan "Reload" atau "Refresh" untuk mendapatkan berita yang terkini

Julai 31 (Berita Harian)

90 sekolah dapat taraf bestari

MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata sebanyak 90 buah sekolah mendapat taraf Sekolah Bestari di negara ini.

Menurutnya, pemegang ekuiti bagi syarikat yang terbabit dengan dua buah projek penswastaan kementerian untuk pembinaan sekolah itu adalah seperti projek penswastaan pembangunan semula tapak Sekolah Perempuan Bukit Bintang, Kuala Lumpur dengan Urusharta Cemerlang Holding Sdn Bhh memegang 70 peratus hak milik saham, manakala Inai Jaya Sdn Bhd (30 peratus).

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Akhbarkhan Abdul Rahman (BN-Libaran), beliau berkata bagi projek penswastaan pembangunan semula tapak Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Batu, Kuala Lumpur ialah Naungan Budaya Sdn Bhd (80 peratus), Ganjaran Bestari Sdn Bhd (15 peratus) dan Brilliant Frontier Sdn Bhd (lima peratus).

Beliau berkata, bagi Sekolah Putra Jaya, pembinaannya dibiayai 100 peratus oleh kerajaan yang mana peruntukan disalurkan melalui Jabatan Perdana Menteri.

Menjawab soalan lain Ho Cheong Sing (BN-Ipoh Barat) mengenai kekurangan pelajar di SRJK (Cina) dan SRJK (Tamil), beliau berkata masalah itu bukan sahaja berlaku di kedua-dua jenis sekolah itu, tetapi di semua jenis sekolah.

Menurutnya, kerajaan tidak akan menutup sekolah berkaitan selagi masyarakat setempat memerlukannya dan terpulang kepada ibu bapa sama ada ingin mengekalkan anak-anak mereka di sekolah terbabit atau menghantar ke sekolah lain.

Beliau berkata, buat masa ini, ada 342 buah SRJK (C) dan 229 SRJK (T) yang kekurangan murid di seluruh negara.


Julai 28 (Berita Harian)

USM bangunkan sistem faraid berkomputer

GEORGETOWN, Isnin - Tiga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya membangunkan satu sistem bagi membantu masyarakat Islam menyelesaikan masalah pembahagian harta secara faraid bagi ahli keluarga yang meninggal dunia.

Ketua Penolong Pendaftar Perhubungan Awam USM, Sharifah Muniarah Syed Mohamad, berkata sistem itu, dikenali sebagai Sistem Maklumat Faraid Berkomputer (SMF) dibangunkan oleh Prof Madya Dr Abd Rahni Mt Piah, Prof Madya Dr Ahmad Abd Majid dan Prof Madya Dr Abdullah Embong.

"Dr Abdul Rahni dan Dr Ahmad bertugas di Pusat Pengajian Sains Matematik USM, manakala Dr Abdullah bertugas di Pusat Pengajian Sains Komputer," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dr Ahmad berkata, sistem SMF itu mampu menyelesaikan masalah pembahagian harta, termasuk masalah salasilah keluarga yang berlapis dengan cepat dan segera.

Menurutnya, sistem itu hanya mengambil masa beberapa saat sahaja untuk memberitahu hasil pengiraan, berbanding sistem konvensional yang mengambil masa agak panjang dan perlu dikendalikan oleh mereka yang arif dalam bidang berkenaan.

"SMF juga mudah dikendalikan dan pengguna cuma perlu memasukkan maklumat waris, sementara sistem itu akan mengira serta memaparkan pembahagian harta mengikut pecahan dan perpuluhan," katanya.

Beliau berkata, sistem itu akan terus mengira jumlah sebenar yang layak diterima oleh waris jika pengguna memasukkan nilai sebenar harta milik si mati.

Katanya, sistem itu cuma memerlukan cakera keras kurang daripada satu megabit dan boleh digunakan pada semua komputer peribadi.

"Keputusan pengiraan boleh dicetak serta merta, di samping memaparkan maklumat am mengenai sistem faraid dan menyenaraikan waris yang berhak menerima harta si mati," katanya.

Dr Ahmad berkata, SMF dihasilkan dengan bantuan pelajar tahun akhir serta sekumpulan pakar rujuk, termasuk ulama tempatan.

Katanya, sistem itu adalah sesuai untuk kegunaan syarikat insurans, bank, Tabung Haji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pejabat agama yang selama ini dibebani dengan masalah pembahagian harta.

"Sehingga kini, USM sudah mendapat pelanggan pertama iaitu Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan sedia dipasarkan melalui Pusat Inovasi dan Perundingan USM," katanya.


Julai 27 (Berita Harian)

Guna pendidikan perangi murtad

KUALA LUMPUR, Ahad - Tokoh pemikir Islam, Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, berkata kerajaan tidak harus bergantung sepenuhnya kepada pelaksanaan undang-undang dalam memerangi gejala murtad, sebaliknya tumpuan perlu diberi kepada usaha mendidik umat Islam di negara ini.

Beliau yang juga pengasas dan Pengarah Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamaddun Islam (Istac), berkata seseorang yang benar-benar memahami Islam menerusi pendidikan, tidak mudah menukar agamanya walaupun dipengaruhi pihak tertentu.

"Masalah murtad dapat diatasi hanya melalui ilmiah dan bukan undang-undang.

"Jika melalui undang-undang, ia tidak akan berjaya, malah lebih ramai akan meninggalkan Islam.

"Kebanyakan kes penukaran agama berlaku di kalangan mereka yang Islam dari segi keturunan saja," katanya ketika menyampaikan ucap utama di Bengkel Sehari Faham Agama dan Kaitannya Dengan Gejala Murtad di sini, hari ini.

Bengkel itu dianjurkan bersama oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Istac.

Turut hadir Presiden Abim, Ahmad Azam Abdul Rahman dan kira-kira 200 peserta.

Kerajaan sedang mengubal rang undang-undang murtad yang antara lain membolehkan seorang pesalah dalam cubaan murtad dibicarakan di Mahkamah Syariah.

Rang undang-undang berkenaan bertujuan memulihkan orang Islam yang cuba meninggalakan agama itu digubal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatankuasa Teknikal Penyelarasan Sivil.

Dr Syed Muhammad Naquib berkata, Islam tidak menganjurkan sebarang paksaan kepada sesiapa dan lantaran itu, penyelewengan gejala murtad harus ditentangi melalui perasaan sukarela, tutur dan insaf.

Bagi menangani masalah itu daripada terus menular di kalangan masyarakat Muslim, beliau menggesa setiap umat Islam mendalami ilmu agama termasuk mengenali Allah dan al-Quran yang menjadi pegangan.

Menurutnya, masyarakat Islam juga harus memberikan keutamaan kepada akhlak mulia yang membentuk sebahagian daripada agama dan tidak boleh dipisahkan.

Beliau turut mencadangkan pendidikan fardu ain tidak hanya diperkenalkan di peringkat sekolah rendah, sebaliknya diperluaskan sehingga ke universiti.

Dr Syed Muhammad Naquib menasihatkan ulama yang menggubal undang-undang berkaitan murtad harus daripada mereka yang berpengetahuan mendalam mengenai agama.

"Ulama mesti yang berpengetahuan tinggi supaya pelaksanaan undang-undang murtad tidak kelihatan seperti satu paksaan.

"Ulama yang berpengetahuan dapat mencegah sebarang kesilapan yang boleh membuka peluang kepada seteru Islam untuk menghancurkan agama suci itu," katanya.


Julai 25 (Berita Harian)

Siswazah menganggur digalak bertani

KUALA LUMPUR, Jumaat - Siswazah yang tidak mempunyai pekerjaan digalak membabitkan diri dalam pelbagai kegiatan pertanian kerana kegawatan ekonomi sejak setahun lalu menyebabkan berlakunya kekurangan peluang pekerjaan, kata Menteri Pertanian, Datuk Dr Sulaiman Daud.

Sehubungan itu, kementerian itu sedia membantu siswazah yang masih lagi tidak mempunyai pekerjaan membabitkan diri secara aktif dalam projek pertanian di seluruh negara.

"Kementerian pernah mengendalikan Program Siswazah Tani iaitu program yang bertujuan membantu siswazah menyertai bidang pertanian.

"Kita mengalu-alukan lepasan universiti menyertai projek pertanian dan sedia memberikan bantuan termasuk mendapatkan tanah, pinjaman kewangan dan bantuan teknikal serta memberi khidmat nasihat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi Jordan yang diketuai Menteri Pertaniannya, Mighim H Khraisha di Wisma Tani, hari ini.

Sulaiman berkata, beberapa kerajaan negeri sudah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kementerian dalam menyediakan tapak projek untuk pelbagai projek pertanian.


(Utusan Sarawak)

Program komputer diperluas ke sekolah

SRI AMAN - Kerajaan negeri akan memperluas program pengkomputeran "Rangkaian Kawasan Meluas" (Wide Area Network) ke semua sekolah di negeri ini.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Encik Bolhassan Di berkata, untuk itu semua Ahli Dewan Undangan Negeri telah di arah supaya menggunakan 50 peratus daripada peruntukan mereka bagi membeli komputer untuk diagihkan ke sekolah-sekolah di kawasan masing-masing.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan penutupan Pertandingan Bahas Piala Ketua Menteri peringkat Zon B di Auditorium RTM di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan menubuhkan sebuah Pusat Perubatan Antarabangsa Sarawak (SIMC) di Kota Samarahan tidak lama lagi.

Pusat perubatan itu yang dijangka menelan belanja RM400 juta akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan teknologi maklumat terkini seperti persidangan vedeo supaya ia dapat dihubungkan dengan pakar-pakar di pusat perubatan antarbangsa yang lain.

Pada majlis itu, Encik Bolhassan telah menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan tersebut.

Sekolah Menengah Kerajaan Saratok dipilih sebagai johan dan menerima hadiah wang tunai RM500 serta sebuah piala, manakala naib johan dimenangi oleh Sekolah Menengah Kerajaan Engkilili.

Beliau turut mengumumkan sumbangan sebuah komputer kepada kedua-dua buah sekolah itu.


Kesatuan sokong bantuan sektor swasta kepada sekolah

KUCHING - Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyambut baik saranan Kementerian Pendidikan agar sektor perindustrian meningkatkan usahasama dengan institusi pendidikan terutamanya melalui sumbangan peralatan canggih bagi membantu kerajaan menyerapkan teknologi di kalangan pelajar.

Yang Dipertuan KGBS, Encik Sajali Ojek berkata, gesaan Menteri Pendidikan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahukan sektor perindustrian dan Kementerian Pendidikan meningkatkan usaha sama antara mereka itu merupakan satu pelaburan jangka panjang yang menguntungkan kedua-dua pihak.

"Kalau sistem pendidikan kita lebih berjaya pihak swasta akan mendapat bekalan pekerja mahir dan terlatih serta berpengalaman luas untuk bekerja dengan mereka," katanya ketika dihubungi di pejabatnya.

Sumbangan yang diberikan oleh sektor perindustrian kepada institusi pendidikan secara tidak langsung akan membantu melahirkan golongan pelajar yang berfikiran luas tentang teknologi serta bersedia untuk melaksanakan tugas yang berkaitan apabila keluar dari sekolah nanti, ujarnya.

Tambahnya, sumbangan dalam bentuk demikian juga boleh membantu menanam minat belajar untuk menjurus dalam bidang sains dan teknologi. Malah ia juga membantu mempercepat pelaksanaan sekolah bestari di negara ini.

Sajali berkata, usahasama daripada sektor perindustrian sekali gus akan mengurangkan pergantungan pihak sekolah terhadap Kementerian Pendidikan dan kerajaan dalam usaha membangunkan pendidikan dan perkembangan negara.

"Meskipun begitu sektor perindustrian tidak seharusnya hanya menumpukan sumbangan mereka kepada sekolah di bandar tetapi juga kepada sekolah luar bandar.

"Sumbangan harus diselaraskan agar dapat melengkapkan seluruh sekolah di negara itu menjadi sekolah yang berkemahiran dalam bidang teknologi," katanya.

Katanya lagi, sektor perindustrian juga harus memperlengkap keperluan dan pembelajaran di setiap sekolah dan bukan hanya menumpukan terhadap sumbangan peralatan canggih. Jalan yang terbaik ke arah itu ialah mengangkat sekolah yang berkenaan untuk dijadikan sekolah angkat.

"Jangan biarkan sekolah atau golongan pelajar di negara ini seperti "Katak di bawah tempurung". Kalau boleh, sektor perindustrian memberi sumbangan secara menyeluruh terhadap perkembangan pendidikan di institusi pendidikan dalam menyediakan anak didik yang mahir pada masa akan datang," katanya.


Julai 24 (Berita Harian)

Pelajar tetap ke luar negara

KERAJAAN akan terus menghantar pelajar ke luar negara, khususnya dalam bidang yang tiada di dalam negara bagi mewujudkan peluang pendidikan yang lebih luas kepada pelajar Bumiputera.

Walaupun akur bahawa kegawatan dan kejatuhan nilai ringgit meningkatkan kos pendidikan di luar negara, tindakan untuk tidak menghantar terus pelajar ke luar negara akan mengehadkan peluang pelajar meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.

Keputusan memberhentikan penghantaran pelajar ke luar negara menyebabkan peningkatan permohonan ke IPT tempatan, sehingga meningkatkan persaingan di kalangan pelajar Bumiputera dan akhirnya, hanya yang terbaik akan mendapat tempat.

Tahun ini, dijangka seramai 200 pelajar akan dihantar ke luar negara melalui pembiayaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Mara, membabitkan perbelanjaan berjumlah RM11.2 juta.

Langkah penjimatan kerajaan turut menyaksikan pengurangan pada peruntukan pembangunan kepada Kementerian Pendidikan, JPA dan Mara. Dengan peruntukan yang ada, agensi terbabit mampu menampung kos pendidikan pelajar sedia ada di luar negara.

MTEN dalam Pelan Pemulihan Ekonomi Negara yang dikeluarkannya semalam mencadangkan Kementerian Pendidikan bersama Kementerian Kewangan untuk mempertimbangkan bantuan kewangan yang ditawarkan universiti asing atau kerajaan dan agensi peminjam antarabangsa.

Antara lain, MTEN turut mencadangkan supaya keluarga yang berpendapatan tinggi menanggung sebahagian daripada kos pengajian anak mereka bagi mengurangkan beban kerajaan.

Kementerian Pendidikan juga diminta mempercepatkan proses penilaian dan kelulusan supaya lebih banyak institusi swasta boleh ditubuhkan.

Kerajaan juga harus memberi insentif seperti pengecualian cukai dan taraf perintis kepada institusi pendidikan luar negara dan institusi swasta bagi menggalakkan mereka menawarkan kursus seperti kejuruteraan, perubatan dan teknologi maklumat (IT) serta kursus berteknologi terkini.

Pengurangan kadar pewujudan pekerjaan akibat kegawatan ekonomi menimbulkan masalah pengangguran di kalangan siswazah. Tahun ini saja, kira-kira 33,000 lepasan universiti dan politeknik tempatan akan memasuki pasaran buruh.

Bagi menangani masalah ini, MTEN mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan menyelaras pendaftaran, mengawal selia dan penempatan pekerjaan bagi siswazah penganggur, menggalakkan mereka bekerja sendiri selain memberi kebenaran untuk bekerja di luar negara.

Selain itu, kerajaan disaran memberi keutamaan kepada siswazah untuk menyertai projek pertanian, perniagaan kecil-kecilan dan skim apprentis dalam syarikat besar serta syarikat multinasional di samping memberi modal dan latihan kepada mereka.


Bantuan pelajar Mara tidak terjejas

KOTA BHARU, Khamis - Kerajaan memberi jaminan peruntukan bagi membantu pelajar di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak terjejas, walaupun Mara akan menjadi satu daripada agensi pelaksana untuk mengagihkan bantuan kepada usahawan kecil dan sederhana.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Mustapa Mohamed, berkata Mara hanya bertindak sebagai saluran untuk menyampaikan bantuan kepada usahawan terbabit melalui beberapa peruntukan sedia ada tanpa menjejaskan peruntukan dalam bidang pendidikan.

Menurutnya, kerajaan sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM633 juta melalui kementeriannya bagi membiayai pelajar di bawah tajaan Mara, pada tahun ini.

"Walaupun Mara sedia menjadi agensi pelaksana bagi menyalur segala bentuk bantuan tambahan sebagai langkah mempercepatkan pengagihan bantuan daripada pelbagai dana untuk menggerakkan ekonomi, ia sama sekali tidak menjejaskan fungsi Mara membantu pelajar Bumiputera," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan 1998, Persatuan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Ketereh dekat sini, hari ini.

Sebelum ini, Mustapa berkata, kementeriannya sedang menimbang untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya Mara menjadi satu daripada agensi pelaksana untuk mengagihkan bantuan kepada usahawan kecil dan sederhana sebagai langkah mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara.

Beliau berkata, cadangan supaya Mara mengambil peranan itu berikutan pengurusan agensi berkenaan semakin cekap berbanding kelemahannya yang wujud sebelum ini terutama dalam membuat pungutan pinjaman.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Affifuddin Omar, berkata kerajaan akan membuat pinjaman baru bernilai RM18 bilion, termasuk RM12.3 bilion daripada sumber luar negara menjelang Disember ini bagi merangsang semula pemulihan ekonomi.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mustapa meminta rakyat supaya bijak menilai maklumat yang diperolehi dan tidak mendengar daripada sebelah pihak mengenai isu berkaitan kegawatan ekonomi yang dialami negara sekarang.

Beliau percaya, ada pihak sengaja mengambil kesempatan menangguk di air keruh dan menyalahkan pemimpin dalam menangani masalah itu.

Menurutnya, golongan tertentu sengaja menghentam kerajaan untuk mengelirukan rakyat dan sekali gus menarik rakyat terutama masyarakat desa supaya menyokong perjuangannya.

"Rakyat harus faham kegawatan ekonomi yang melanda banyak negara disebabkan kegiatan memperdagangkan mata wang, termasuk menjatuhkan nilai ringgit oleh pihak luar dan bukannya kelemahan pemimpin kita," katanya.


Julai 23 (Berita Harian)

300 projek pendidikan dipulih

KUALA LUMPUR, Rabu - Lebih 300 projek pendidikan yang tertangguh kerana kegawatan ekonomi akan diteruskan berikutan peruntukan tambahan RM1 bilion diluluskan kepada Kementerian Pendidikan, baru-baru ini.

Antara projek itu ialah program pendidikan menengah membabitkan kos RM110 juta, 175 projek program pendidikan rendah akademik (RM90 juta) dan 85 projek pembinaan rumah guru bernilai RM36.6 juta.

Kementerian Pendidikan juga akan menggunakan RM58.78 juta daripada peruntukan itu bagi melaksanakan program pendidikan teknik dan vokasional serta RM78.6 juta lagi bagi program politeknik.

Menterinya, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata kementerian sudah menerima pengesahan Kementerian Kewangan untuk meneruskan projek tertangguh terutama di sekolah rendah dan menengah, menggunakan peruntukan berkenaan.

Daripada RM1 bilion itu, kira-kira RM536 juta diperuntukkan bagi projek peringkat sekolah rendah, menengah, teknik dan vokasional, pembinaan rumah guru serta politeknik, manakala RM334 juta lagi untuk institusi pendidikan tinggi awam.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meluluskan peruntukan tambahan RM1 bilion itu kepada Kementerian Pendidikan.

"Peruntukan ini digunakan sepenuhnya tahun ini.

"Bagaimanapun masih ada beberapa projek yang tertangguh dan menunggu kelulusan Perbendaharaan untuk diteruskan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kementerian itu, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Johari Mat dan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Shukor Abdullah.

Najib berkata, peruntukan tambahan itu juga membolehkan Kementerian Pendidikan meneruskan dua projek pembinaan politeknik iaitu di Merlimau, Melaka serta Kota Kinabalu, Sabah yang tertangguh beberapa bulan lalu.

"Politeknik Kota Kinabalu ketika ini beroperasi di premis yang disewa untuk memastikan proses pembelajaran pelajarnya tidak terjejas," katanya.

Kementerian Pendidikan juga sedang menunggu kelulusan Perbendaharaan bagi pembinaan politeknik di Kulim, Kedah dan Tanjung Malim, Perak serta maktab perguruan di Kuala Lipis, Pahang.

Mengenai peruntukan bagi institut pendidikan tinggi awam, Najib berkata, ia akan digunakan untuk membina kemudahan fizikal seperti bilik kuliah dan peralatan sejejar dengan peningkatan bilangan pelajar.

Peruntukan itu juga akan digunakan untuk membina pusat matrikulasi di Pongsu Seribu (Seberang Perai), Masjid Tanah (Melaka), Kuala Pilah (Negeri Sembilan) dan Arau (Perlis) yang dijangka siap dibina sebelum pengambilan baru pada sesi akan datang.

"Pembinaan empat pusat matrikulasi itu juga sudah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dan dalam peringkat akhir rundingan dengan pemajunya, Maju Holding Sdn Bhd kerana membabitkan penggunaan besi keluli.

"Pelaksanaan projek ini dibuat dalam bentuk 'fast track' dan kita berharap dapat disiapkan sebelum sesi akan datang," katanya.

Bagaimanapun, katanya, peruntukan itu tidak akan digunakan untuk pembinaan asrama IPTA kerana konsep bina-urus-pindah (BOT) lebih sesuai digunakan bagi tujuan berkenaan memandangkan menjimatkan perbelanjaan.


(Utusan Sarawak)

Pelajar miskin digesa kuasai ilmu pengetahuan

BINTANGOR - Pelajar dari golongan miskin dinasihatkan supaya menguasai ilmu pengetahuan agar mereka kaya dalam ilmu pengetahuan dan boleh hidup setaraf dengan rakyat lain.

Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Sarawak Encik Latapi Bin Haji Jomel berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Kursus Motivasi dan Teknik Belajar Cemerlang Daerah Sarikei di Dewan Maktab Perguruan Rajang (MPR) di sini pada 19 Julai lalu.

Menurutnya, golongan pelajar harus menyesuaikan diri dengan perubahan yang sentiasa maju dan peka terhadap perkembangan semasa, seperti teknologi maklumat (IT) dan pengetahuan menggunakan komputer.

Beliau menggesa mereka menganggapkan ilmu pengetahuan yang mereka perolehi sebagai senjata untuk mara menuju ke arah zaman serba kompleks.

Katanya, dengan ilmu yang ada mereka boleh melangkah lebih jauh lagi.

Beliau berkata, pelajar hendaklah menganggapkan ilmu pengetahuan sebagai amalan yang harus dipraktikkan dan menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian mereka.

"Ilmu pengetahuan bagaikan pelita penyuluh kehidupan seharian bagi semua peringkat masyarakat, daripada murid di pra-sekolah sehingga kepada warga tua masih menimba ilmu pengetahuan," tambahnya.

Menurut beliau, masa transformasi yang pelajar sedang hadapi sekarang ini hendaklah dihadapi dengan tabah kertana ia adalah amalan, ibadat yang dimuliakan oleh agama.

"Ilmu pengetahuan, iaitu mendidik dan dididik ialah perbuatan yang mulia dan direstui oleh agama," katanya.

Golongan yang dianggap miskin di negara ini adalah mereka atau individu yang memperoleh pendapatan kurang daripada RM240 sebulan dalam keluarga lima orang dan kesusahan atau sakit juga dianggap miskin.

Menurutnya, kemiskinan tidak seharusnya ditarifkan dengan kewangan sahaja, ia juga bererti miskin ilmu pengetahuan, miskin tulang, miskin idea dan juga miskin kehidupan bermasyarakat.

Encik Latapi berkata, kebanyakan pelajar dalam Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) ialah pelajar Tingkatan Tiga ke bawah, manakala penuntut SPM atau Diploma ke atas tiada di paras kemiskinan.

Beliau berpuas hati dengan usaha pembasmian kemiskinan yang telah dijalankan dan mengharapkan kerjasama daripada jabatan kerajaan yang mahir dalam bidang tertentu untuk sama-sama membasmi kemiskinan sosial, politik dan pendidikan.


Sekolah baru untuk Kapit

KAPIT - Sebuah lagi sekolah menengah akan dibina di Kapit untuk menampung pertambahan jumlah pelajar yang semakin meningkat, sekali gus mengatasi masalah kesesakan di dalam bilik darjah seperti yang berlaku di SMK Kapit dan SMK Selirik sekarang.

Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg berkata, tapak seluas empat ekar bagi pembinaan sekolah berkenaan sudah pun dikenal pasti.

Menurutnya, langkah membina sekolah menengah itu merupakan langkah sementara untuk menyelesaikan masalah kesesakan dalam bilik darjah dan asrama dalam jangka masa pendek.

Sebagai contoh, katanya, SMK Selirik yang hanya mampu menampung 600 pelajar, kini menempatkan 1,600 pelajar, iaitu tiga kali ganda bilangan yang sepatutnya.

Pembinaan sekolah tersebut akan dilakukan secepat mungkin, katanya kepada Utusan Sarawak ketika mengadakan lawatan singkat ke sini, hari ini.

Turut mengiringi beliau semasa lawatan itu ialah Ahli Parlimen Kapit, Encik James Jimbun Pungga, Setiausaha Politik Ketua Menteri, Encik Alexander Nanta Linggi, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Haji Hamzah Haji Drahman, Residen Kapit Encik Jemat Manggie, Pegawai Daerah Kapit Encik Hillary Mukit Guruh serta beberapa orang ketua jabatan.

Beliau yang juga menteri bertanggungjawab tentang hal-ehwal pendidikan di negeri ini tidak menyatakan butir lanjut pembinaan sekolah itu termasuk kosnya.

Mengenai lawatannya ke Kapit, Abang Haji Johari berkata, ia adalah untuk meninjau sendiri keadaan dan masalah yang wujud di sekolah-sekolah di Bahagian ini.

Katanya, ia merupakan tindakan susulan yang dilakukan beliau Berhubung dengan hal-ehwal pendidikan di negeri ini berikutan persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini.

Sebelum itu, beliau telah mendengar taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Bahagian Kapit, Encik Rijeng Jahet di Bilik Gunasama Wisma Persekutuan berhubung dengan beberapa masalah yang dihadapi oleh sekolah-sekolah di Bahagian ini.

Selepas itu, beliau telah dibawa melawat ke SRK. Lepong Balleh untuk melihat sendiri keadaan sekolah berkenaan yang mengalami hakisan yang teruk.

Katanya, pihak jaba tan pendidikan akan melakukan sesuatu untuk menyelesaikan masalah berkenaan secepat mungkin.

Beliau turut dibawa melawat ke SMK Selirik untuk meninjau sendiri keadaan di sekolah berkenaan.


Julai 22 (Utusan Sarawak)

Buku teks: STU sokong langkah longgar syarat

KUCHING - Kesatuan Guru Sarawak (STU) menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan melonggarkan syarat skim pinjaman buku teks dengan memberi pertimbangan kepada ibu bapa yang berpendapatan melebihi RM1,000 untuk menikmati faedah pinjaman itu.

Presidennya, Encik William Gani Bina berkata, langkah melonggarkan syarat itu amat ditunggu-tunggukan ibu bapa terutama mereka yang mempunyai tanggungan keluarga yang ramai.

Katanya, meskipun ada di kalangan ibu bapa yang mempunyai pendapatan RM3,000 sebulan tetapi ia belum tentu mencukupi kerana banyak perkara lain yang perlu difikirkan.

Beliau berkata, ibu bapa berkenaan bukan sahaja setakat memikirkan untuk membeli buku teks tetapi juga keperluan lain.

Tambahnya, jika ibu bapa mempunyai ramai tanggungan masalah membeli buku teks untuk setiap anaknya tentu beban kepada mereka.

Selain itu, ibu bapa juga terpaksa memikirkan secara terperinci jumlah perbelanjaan yang perlu dikeluarkan untuk keperluan keluarga.

"Pendidikan merupakan nadi kepada perkembangan dan kemajuan negara dan Kementerian Pendidikan tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk melaksanakan langkah ini. Tambahan pula pertimbangan ini hanya akan diberikan kepada kes-kes yang tertentu dengan mengambil kira faktor kos sara hidup di sesuatu kawasan," katanya.

"Sekiranya Kementerian merasakan langkah ini membebankan, pihak mereka boleh membuat rombakan tetapi untuk memastikan masalah tidak timbul seharusnya buku teks juga disenaraikan sebagai barangan harga terkawal dalam belanjawan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Dr Fong Chan Onn bahawa Kementerian Pendidikan memberi kelonggaran kepada ibu bapa yang berpendapatan melebihi RM1,000 untuk mendapat pinjaman buku teks berikutan kegawatan ekonomi.

Menurut Dr Fong, bagaimanapun pertimbangan itu hanya akan diberi kepada kes tertentu dengan mengambil kira faktor kos sara hidup di sesebuah kawasan.

Pada pada tahun ini Kementerian Pendidikan menetapkan ibu bapa yang berpendapatan antara RM750 dan RM1,000 sahaja yang layak mendapat bantuan skim pinjaman berkenaan.

Sementara itu, Yang Di-Pertua Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Encik Sajali Ojek berkata, KGBS turut menyambut baik langkah Kementerian itu.

Katanya, dengan kelonggaran itu ibu bapa yang berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan tetapi mempunyai beban sara hidup yang banyak tidak hanya memikirkan masalah untuk membeli buku teks.

"Malah ibu bapa itu turut berpeluang membenarkan anak masing-masing menyertai kelab komputer dan pelbagai aktiviti yang berfaedah dengan wang simpanan yang ada," katanya.


274 pelajar terima biasiswa Bakun

KUCHING - Seramai 274 pelajar yang berasal dari daerah Belaga menerima bantuan biasiswa berjumlah RM187,918 daripada Tabung Amanah Bakun untuk peringkat Pengajian Tinggi Awam/Swasta dan Peringkat Persekolahan.

Menteri Pelancongan, Dr James Jemut Masing berkata, perbelanjaan itu adalah bagi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang berjumlah RM178,082 untuk sesi 1997/1999 manakala perbelanjaan bagi peringkat persekolahan pula berjumlah RM9,836 untuk sesi 1997/1998 sudah dibayar Julai lalu.

"Bagi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, 56 pelajar merupakan penuntut universiti tempatan, universiti luar negeri (dua), Institut Teknologi Mara (36 pelajar), Politeknik (8) dan kolej swasta (36) yang secara keseluruhan berjumlah 138 pelajar," katanya yang juga Pengerusi Tabung Amanah Bakun.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Tabung Amanah Bakun di Bilik Mesyuarat Utama, Yayasan Sarawak, Tingkat 10 Bangunan Satok di sini hari ini. Turut hadir ialah Pengarah Yayasan Sarawak, Abdul Rashid Haji Aziz.

Sebanyak 16 pelajar dari Sekolah Menengah Kerajaan Belaga, 15 pelajar dari sekolah menengah di luar daerah Belaga, 100 pelajar dari sekolah rendah di dalam daerah Belaga dan 5 pelajar dari sekolah rendah di luar daerah Belaga telah menerima Biasiswa Peringkat Persekolahan.

Mengenai Kadar Biasiswa Tabung Amanah Bakun katanya, murid dari tahun satu hingga enam akan menerima biasiswa berjumlah RM185 setahun, pelajar tingkatan satu dan dua (RM245), pelajar Tingkatan Tiga (RM270), Pelajar Tingkatan Empat (RM305), Pelajar Tingkatan Lima (RM435) manakala RM370 dan RM575 masing-masing untuk pelajar tingkatan enam rendah dan enam atas.

"Bagi peringkat persekolahan, setiap penerima akan menerima biasiswa pada tiga peringka. Peringkat pertama adalah untuk bulan Januari hingga April, peringkat kedua (Mei hingga Julai) dan ketiga Ogos hingga Oktober untuk peringkat ketiga.

"Pembayaran biasiswa bagi pelajar tingkatan tiga, tingkatan lima, tingkatan enam rendah dan atas turut disertakan dengan yuran peperiksaan Penilaian Menengah Rendah berjumlah (RM25), Sijil Pelajaran Malaysia (RM130) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (RM205). Bayaran peperiksaan untuk pelajar tingkatan enam rendah hanya dalam tempoh enam bulan," katanya.

Sementara itu katanya, sejumlah RM1,000 setahun diperuntukkan kepada pelajar program sijil dan matrikulasi di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Diploma (Kampus Cawangan Sarawak) berjumlah RM1,200, RM2,000 untuk pelajar program diploma (kampus luar cawagan Sarawak).

Pelajar yang mengambil diploma lanjutan/ijazah di ITM menerima peruntukan RM4,000 setahun manakala RM4,200 hingga RM5,000 diperuntukkan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah.

"Pelajar Institut Pengajian Tinggi Swasta akan menerima RM1,500 dan RM2,000 setahun masing-masing bagi kursus kolej swasta yang diambil di negeri ini dan luar Sarawak.

"Biasiswa meliputi perbelanjaan sara hidup termasuk tambang kapal terbang dan yuran pengajian kecuali pelajar yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi Swasta yang dibiayai yuran pengajian sahaja," katanya.

Mengenai kriteria pemilihan dan prosedur kelulusan biasiswa Tabung Amanah Bakun beliau berkata, untuk biasiswa persekolahan terbuka kepada pelajar yang dilahirkan di daerah Belaga yang tidak mendapat mana-mana tajaan daripada mana-mana penaja.

"Markah purata hendaklah lulus dan pemotongan biasiswa akan dibuat sekiranya setiap semester menunjukkan keputusan yang tidak memuaskan (gagal) dan ini termasuk pelajar dari sektor kerajaan dan swasta.

"Pendapatan ibu bapa kurang daripada RM800 sebulan bagi bersekolah di Daerah Belaga atau bersekolah di tempat atau daerah ibu bapanya bekerja. Manakala pendapatan ibu bapa kurang daripada RM1500 sebulan bagi yang bersekolah di luar Daerah Belaga tetapi ibu bapa menetap di daerah Belaga.

"Bagi keluarga yang mempunyai anak dua orang, hanya seorang yang layak manakala bagi yang lebih daripada dua, dua orang sahaja yang layak untuk diberi biasiswa," katanya.

Dr James berkata, biasiswa Institut Pengajian Tinggi terbuka kepada pelajar, kakitangan awam dan swasta yang berasal dari Daerah Belaga yang belajar di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta selain terbuka kepada mereka yang mengikuti latihan kemahiran dan teknikal di mana-mana institusi latihan.

"Selain itu, mereka mesti tidak mendapat mana-mana tajaan daripada mana-mana badan penaja, telah mendapat tawaran daripada institut pengajian tinggi, borang permohonan hendaklah disertakan dengan salinan surat tawaran dan dokumen-dokumen berkaitan.

"Kursus atau latihan dan instutusi pengajian hendaklah diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta pendapatan ibu bapa/ penjaga tidak melebihi RM3,500 sebulan," katanya.


Julai 21 (Utusan Sarawak)

Kesatuan sokong pengetua dan guru besar mengajar

KUCHING - Pertubuhan-pertubuhan guru di Sarawak menyokong penuh saranan Kementerian Pendidikan supaya Pengetua dan Guru Besar sekolah kerajaan mengajar sekurang-kurangnya lima waktu seminggu.

Pengerusi Majlis Guru Besar Sarawak (MGBS), Encik Andin Brook berkata, amalan Pengetua dan Guru Besar mengajar memang sudah lama dilakukan di negeri ini.

Malah, katanya kebanyakan Pengetua dan Guru Besar di sekolah di luar bandar Sarawak mengajar lebih daripada 20 jam.

Menurutnya, langkah mensyaratkan mereka mengajar memang wajar supaya mereka tahu keadaan sebenar yang berlaku dalam lingkungan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Ditanya adakah langkah mewajibkan Pengetua dan Guru Besar mengajar akan menjejaskan tugas mereka sebagai ketua pentadbir sekolah, beliau berkata, masalah itu tidak sepatutnya timbul kerana kebanyakan sekolah mempunyai Penolong Kanan sebagai pembantu.

Sebuah akhbar nasional, Sabtu lalu melaporkan bahawa Kementerian Pendidikan mesyaratkan agar Pengetua dan Guru Besar mengajar sekurang-kurangnya lima waktu seminggu.

Arahan itu adalah berdasarkan pekeliling bertarikh 22 Jun lalu yang ditandatangani Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Abdul Shukor Abdullah.

Sementara itu, Yang Dipertua Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Encik Sajali Ojek bersetuju dengan arahan terbaru Kementerian Pendidikan itu.

Menurutnya, Pengetua dan Guru Besar mengajar memang telah lama diamalkan di sekolah-sekolah di Sarawak, malah lebih daripada masa yang disarankan oleh Kementerian Pendidikan.

Katanya, masalah 70 peratus Pengetua dan Guru Besar tidak masuk kelas berdasarkan kajian Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan sebagai mana yang dinyatakan oleh Setiausahanya, Siva Subramaniam itu mungkin hanya berlaku di Semenanjung Malaysia tetapi tidak di Sarawak. "Apabila Pengetua dan Guru Besar pun turut mengajar sebenarnya, mereka telah menunjukkan amalan 'Kepimpinan Melalui Teladan' kepada guru-guru lain.

"Dan pada waktu yang sama mereka dapat mengetahui sendiri perkembangan pelajaran murid atau pelajarnya bukannya mengetahuinya melalu orang (guru) lain," katanya kepada Utusan Sarawak ketika dihubungi di pejabatnya di sini hari ini.

Mengenai kemungkinan arahan Kementerian Pendidikan itu akan menambahkan beban tugas mereka, Sajali berkata, setiap Pengetua dan Guru Besar mempunyai pengalaman dalam pengurusan sekolah.

Justeru itu, katanya tidak timbul soal terlalu sibuk sehingga tidak dapat mentadbir sekolah dengan baik.

Menurutnya, masalah kesibukan Pengetua dan Guru Besar dapat diatasi sekiranya mereka bijak menggunakan sumber manusia yang ada seperti kerani dan Jurutaip bagi membantu meringankan beban mereka.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya setiap sekolah mempunyai kerani dan jurutaip yang mencukupi.

Sementara itu pula, Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), Encik William Gani Bina menjelaskan bahawa, sejak dulu lagi Pengetua dan Guru Besar digalakkan mengajar.

Bagaimanapun, katanya ia tidak diperberatkan memandangkan tugas mereka sebagai pentadbir dan penyelia sekolah.

Menurutnya, langkah Kementerian Pendidikan mensyaratkan Pengetua dan Guru Besar mengajar lima waktu dalam seminggu sebenarnya tidak membebankan.

"Jika Pengetua dan Guru Besar sering masuk ke kelas untuk mengajar secara tidak langsung hubungan antara mereka dengan pelajar akan bertambah rapat.

"Dengan itu, wujudlah sikap saling memahami antara satu sama lain," katanya.

Katanya, hanya guru yang pernah mengajar layak menjadi Pengetua dan Guru Besar kerana jiwa mereka sudah sebati sebagai seorang pendidik dan arif akan masalah yang dihadapi pelajar.

Mengenai beban tugas yang mungkin bertambah, William berkata: "Sekiranya mereka mempunyai tugasan penting atau urusan rasmi, mereka hanya perlu melakukan penukaran waktu dengan guru lain yang mengajar di kelas yang sama".


Julai 19 (Berita Harian)

Jangan cerewet memilih pekerjaan

SKUDAI: Graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak boleh memilih pekerjaan terutama ketika kegawatan ekonomi ketika ini, kata Canselornya, Sultanah Johor, Sultanah Zanariah Almarhum Tunku Ahmad.

Beliau berkata, setiap pekerjaan yang ditawarkan oleh mana-mana jabatan kerajaan atau syarikat swasta harus diterima graduan jika tidak mahu terlepas peluang.

"Tindakan tidak memilih sebarang pekerjaan adalah penting kerana ia adalah pengalaman pertama serta sebagai asas bagi memajukan diri masing-masing dalam usaha mencari pekerjaan lebih baik pada masa depan.

"Seharusnya graduan tidak perlu malu jika ada pekerjaan yang ditawarkan tidak setanding dengan ijazah yang dimiliki tetapi mereka perlu terus berpandukan kepada nilai murni, mengamalkan sikap terbuka, jujur dan beramanah.

"Ciri-ciri seperti itu hendaklah ada kepada setiap graduan sebagai bukti kepercayaan penuh daripada majikan masing-masing," katanya ketika berucap di Majlis Konvokesyen UTM Ke-22 di sini, semalam.

Hadir sama ialah tiga Pro Canselor UTM iaitu Tun Mohamed Zahir Ismail, Toh Puan Datin Halimatun Saadiah dan Tan Sri Dr Abdullah Ayub; Pengerusi Lembaga Pengarah UTM, Tan Sri Sallehuddin Mohamed; Naib Canselor UTM, Datuk Dr Ahmad Zaharudin Idrus dan isteri Menteri Besar Johor, Datin Prof Dr Jamilah Ariffin.

Majlis konvokesyen juga menyaksikan pelantikan Pro Canselor baru UTM iaitu Tan Sri Dr Abdullah Ayub bagi menggantikan Tan Sri Fatimah Hashim yang tamat tempoh pada Jun lalu.

Seramai 4,829 graduan UTM menerima ijazah dan diploma masing-masing dalam majlis konvokesyen kali ini yang diadakan selama tiga hari. Majlis dijalankan sebanyak lima sesi berikutan terdapat pertambahan 10 peratus bagi bilangan graduan berbanding tahun lalu.

Anugerah Pelajaran Diraja kali ini diberikan kepada Chan Choon Bim, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang mengikuti kursus Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia serta Wan Aminah Junidin, dari Kota Tinggi, Johor yang mengikuti kursus Sarjana Muda Sains Komputer.

Kursus Ijazah Sarjana Muda mencatatkan bilangan penerima tertinggi iaitu 2,158 graduan diikuti graduan peringkat Diploma (2,061), Sarjana (347)), Diploma Lepasan Ijazah (247) dan 16 graduan Doktor Falsafah.

Daripada jumlah graduan yang menerima ijazah dan diploma masing-masing, 3,281 graduan adalah lelaki. Daripada jumlah itu, 1,515 adalah graduan kursus Ijazah Sarjana Muda, 1,451 (Diploma), 246 (Sarjana) 55 (Diploma Lepasan Ijazah) dan 14 graduan lelaki bagi Doktor Falsafah.

Jumlah keseluruhan graduan wanita ialah seramai 1,548 graduan dengan 643 graduan Ijazah Sarjana Muda, 610 (Diploma), 192 (Diploma Lepasan Ijazah), 101 (Sarjana) dan dua graduan Doktor Falsafah.

Dalam majlis itu, tiga tokoh akademik yang banyak memberi sumbangan terhadap pembangunan dan kemajuan UTM juga dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor dalam bidang Senibina, Kejuruteraan Awam dan Sains.

Mereka ialah Pengerusi Eksekutif Jurubina Bertiga International Sdn Bhd, Datuk Baharuddin Abu Kassim (Senibina), manakala Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Awam kepada Tan Sri Ir John G Daniel.

Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Sains pula diberi kepada Profesor Emeritus Universiti Tokushima Jepun, Prof Katsuyuki Takeda. Semua anugerah itu disampaikan oleh Sultanah Johor.


Julai 14 (Utusan Sarawak)

Guru Bumiputra diseru sertai KOBAGUS

KUCHING - Guru Bumiputera di negeri ini diseru menyertai Koperasi Kebangsaan Guru-guru Sarawak Bhd (KOBAGUS) bagi meningkatkan tahap sosio ekonomi seterusnya meningkatkan imej dan martabat mereka.

Ahli Lembaga Pengarah merangkap Pengurus Kedai KOBAGUS, Encik Sajali Ojek berkata, golongan guru tidak seharusnya melepaskan peluang menyertai KOBAGUS yang memberikan pelbagai manfaat kepada mereka.

Menurutnya, ahli koperasi berkenaan bukan sahaja mendapat faedah dari segi dividen dan bonus hasil jualan barangan di Kedai KOBAGUS, malah dapat membeli barangan keperluan harian dengan harga berpatutan.

Katanya, kedai tersebut yang ditubuhkan dua tahun lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada ahli KOBAGUS yang kini berjumlah kira-kira 4,000 orang.

Kedai KOBAGUS yang merupakan milik penuh KOBAGUS kini mempunyai tujuh pekerja tetap.

"Sambutan menggalakkan daripada ahli menyebabkan pihak kami membuka sebuah cawangan baru di Sibu.

"Sambutan menggalakkan ini berpunca daripada kesedaran ahli untuk berjimat-cermat dalam pembelian barangan keperluan terutama pada masa kegawatan ekonomi sekarang," katanya yang dihubungi di pejabatnya di sini hari ini.

Sajali yang juga Yang Dipertua Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) berkata, kelebihan lain menyertai KOBAGUS ialah adanya Program Simpanan Bulanan Ahli, menyediakan kemudahan pinjaman sebanyak RM5,000 dengan kadar faedah 6 peratus.

Menurutnya, satu lagi bentuk pinjaman yang akan diperkenalkan ialah Pijaman Pelajaran untuk ahli atau anak ahli yang hendak melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Selain itu, katanya, KOBAGUS turut menyediakan kemudahan pinjaman kepada ahlinya yang hendak membeli komputer.

Beliau berkata, KOBAGUS ditubuhkan sejak 30 tahun lalu, kini mempunyai aset bernilai RM300,000 tidak termasuk wang cair. Koperasi itu dihidupkan semula tiga tahun lalu.

"Rancangan masa depan kita ialah kita mahu KOBAGUS memiliki bangunan sendiri, memperbesarkan perniagaan dan membuka cawangan di seluruh Sarawak," katanya.

Keahlian KOBAGUS terbuka kepada guru yang berkhidmat dengan Jabatan Pendidikan (telah disahkan dalam jawatan), pensyarah maktab perguruan dan pegawai pendidikan yang profesion asalnya ialah guru.

Selain itu, katanya bekas kakitangan pendidikan juga layak untuk terus menyertai KOBAGUS dengan syarat mereka mestilah masih mempunyai saham koperasi itu.

Mereka yang berminat untuk menjadi ahli KOBAGUS bolehlah menghubungi talian 082-234034 atau faks 082-241601.