(Sila tekan "Reload" atau "Refresh" untuk mendapatkan berita yang terkini

Mac 04(Utusan Sarawak)

Pelajar digesa persiap diri hadapi alaf baru

MIRI - Langkah awal dan persiapan diri amat perlu pada setiap pelajar bagi menghadapi alaf baru dengan cabaran baru bagi menjamin kejayaan lebih cemerlang.

Demikian kata Yang diPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah Menengah Kerajaan Luar Bandar Miri (SMKLB), semasa berucap merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan Ke-18 sekolah itu di sini pagi tadi.

Dalam ucapan yang dibacakan oleh timbalannya Encik Atoh ak Lu, beliau berkata, bidang akademik dan kokurikulum sekolah merupakan satu cabaran kepada pelajar, oleh demikian pelajar hendaklah berusaha mempersiapkan diri bagi menjayakan diri di bidang-bidang tersebut.

Begitu juga di bidang sukan, pelajar juga digalak menyertai bidang sukan sehingga menjadi seorang atlit yang berjaya.

Katanya, jika hendak menjadi atlit berjaya, ia haruslah sentiasa mempergiatkan diri dengan menjalani pelbagai latihan bagi kemajuan diri hingga ke peringkat lebih tinggi.

Oleh yang demikian, jangan mempersiakan peluang dan kemudahan yang sedia ada di sekolah, katanya.

Selain itu, ibu bapa juga harus memainkan peranan bagi menggalakkan anak-anak mereka untuk menyertai bidang sukan yang boleh mendatangkan nilai komersial, ujar beliau.

Katanya, melalui sukan juga boleh mengatasi masalah sosial di kalangan pelajar bagi tidak mudah terjebak dan terpengaruh dengan aktiviti yang tidak sesuai untuk pelajar.


Pelajar perlu amal semangat muhibah

KUCHING - Golongan pelajar yang kalangan mereka akan menjadi pemimpin pada masa depan, perlu sentiasa menjalin hubungan baik antara satu sama lain bagi mengukuhkan perpaduan di negeri ini.

Menteri Pembangunan Perindustrian Dato' Abang Johari Tun Abang Haji Openg berkata, selain menumpukan perhatian kepada pelajaran, mereka perlu juga bersuai kenal antara satu sama lain bagi menjalin hubungan baik.

Katanya, melalui suai kenal itu, mereka juga berpeluang untuk mewujudkan kerjasama selain menjalin semangat setia kawan untuk kepentingan semua.

Johari yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai hal-ehwal pendidikan di Sarawak berkata, elemen kerjasama itu juga penting dalam sukan seperti olahraga yang diadakan hari ini.

Katanya, kerjasama dan persefahaman dalam sesebuah pasukan boleh menentukan kejayaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Olahraga Antara Rumah Ke-23 Sekolah Menengah Kerajaan Tun Abang Haji Openg di Stadium Negeri di sini, hari ini.

Kejohanan yang bermula semalam dan tamat hari ini disertai empat rumah iaitu Rumah Merah, Rumah Hijau, Rumah Kuning dan Rumah Biru.

Selain itu, beliau juga menyeru golongan pelajar supaya sentiasa menunjukkan disiplin tinggi untuk menjadi warganegara yang baik dan berguna pada masa depan.

Katanya, selain semasa di sekolah, mereka juga perlu menunjukkan disiplin tinggi di mana jua mereka berada.

Menurut beliau, sebagai seorang pelajar, disiplin tinggi penting kerana ia juga menentukan tahap kejayaan seorang.

Beliau berkata selain pelajaran, disiplin tinggi juga diperlukan dalam apa jua jenis sukan bagi membolehkan kejayaan.

Terdahulu dalam ucapan alu-aluannya Pengetua sekolah itu, Encik Ahmad Haji Hamdan berkata, sukan boleh membantu pelajar memantapkan iltizam dan ketahanan mental.

Sementara itu, katanya, sokongan berterusan perlu diberikan kepada kalangan mereka yang kurang berjaya dalam apa jua jenis bidang termasuk sukan.

Turut hadir yang di Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu yang juga Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan, Hossen Haji Usop.


Mac 03(Utusan Sarawak)

Pelajar Sarawak berpeluang dapat pinjaman

KUCHING - Pelajar Sarawak yang mendapat tempat di institusi pengajian tinggi (IPT) berpeluang mendapat pembiayaan pengajian apabila tawaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dibuka sebaik sahaja mereka mula mendaftar di sesebuah IPT.

Seorang jurucakap Pusat Pemajuan Pelajar (PPP) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan dekat sini berkata, tawaran pinjaman PTPTN akan dibuka selepas pelajar mendaftar di universiti terbabit pada 22 hingga 23 Mei 1999.

Menurutnya, pelajar boleh mendapatkan borang berkenaan secara percuma di pejabat PPP selepas tarikh berkenaan.

Katanya, ini merupakan kali ketiga pinjaman terbabit ditawarkan kepada pelajar UNIMAS yang layak.

Ditanya tentang kriteria yang melayakkan seseorang pelajar memohon pinjaman berkenaan, jurucakap itu berkata, pelajar terbabit mestilah mengikuti program ijazah Sarjana Muda secara sepenuh masa.

Di samping itu, katanya pinjaman berkenaan juga terbuka kepada pelajar bumiputera dan bukan bumiputera yang mengikuti pelbagai jenis bidang pengajian.

Sebuah akhbar nasional hari ini melaporkan bahawa Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Khalid Yunus menyatakan sebanyak RM321,300,000 diperuntukkan untuk PTPTN tahun ini berbanding RM215,300 pada 1998.

Menurut laporan itu, peruntukan berkenaan akan dapat dimanfaatkan oleh lebih 14,000 pelajar ijazah pertama dari 11 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Pinjaman PTPTN memberi keutamaan kepada pelajar Bumiputera aliran sains.

Tahun lalu seramai 2,367 pelajar Bumiputera aliran sains menerima pinjaman berkenaan berbanding 5,165 pelajar bumiputera aliran sastera.

Bagi pelajar bukan bumiputera pula, seramai 2,599 pelajar aliran sains dan 2,404 pelajar aliran sastera mendapat faedah daripada pinjaman itu.

Kadar pinjaman bagi pelajar aliran sains ialah sebanyak RM7,000 setahun untuk pelajar IPTA dan RM12,500 untuk pelajar IPTS.

Manakala pelajar aliran sastera pula menerima RM6,500 (IPTA) dan RM12,000 (IPTS).

Tempoh pembayaran balik ialah 15 tahun bagi pelajar aliran sains dan sepuluh tahun bagi pelajar aliran sastera.


19 pelajar terima insentif

BINTULU - Seramai 19 orang pelajar sekolah rendah dan menengah di Bahagian ini menerima insentif berupa bonus pendidikan daripada Bank Hong Leong Cawangan Bintulu di premis bank berkenaan di sini baru-baru ini.

Kesemua penerima merupakan pemegang akaun Smart-a-Kid bank berkenaan serta mendapat keputusan yang memberangsangkan dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Antara mereka yang menerima insentif tersebut ialah Hu King Sing, Jerry Lee Kah Ping, Fanny Ling Jing Cheong, Wong Leong Yiing, Ling Leh Ha, Lu Seng Fung, Michael Wong Chin Hie, Lu Seng Fung, Chien Yuan Yuan, Francis Ng Heng Hui, Teo Zhi Qiang dan Kong Ming Ley.

Sementara lapan lagi ialah Thomas Lau Yun Guan, Teo Zhi Yuan, Siew Yiew Lee, Kong Chai ling, Hii King Fong, Chin Yiing Leong, Jeffrey Su Khye San dan Henry Lee Kah Chung.

Menurut jurucakap bank terbabit, pemberian insentif tersebut bertujuan untuk memberi galakan dan dorongan khususnya kepada golongan pelajar agar membuka serta menyimpan dalam akaun Smart-a-Kid di mana-mana cawangan bank berkenaan.

Selain itu, katanya, ia juga bertujuan untuk mempraktik serta melatih mereka agar mengamalkan sikap menabung sejak di bangku sekolah lagi.

Untuk membuka akaun Smart-a-Kid, beliau berkata, pelajar perlu membayar RM1 dan mestilah berumur dalam lingkungan 18 tahun ke bawah. Pihak bank akan memberi insentif berupa bonus pendidikan sekiranya mereka berjaya mendapat keputusan yang memuaskan dalam peperiksaan UPSR, PMR dan SPM.

Di samping beliau berkata, pemegang akaun tersebut juga dilindungi oleh Insuran Pelindungan Kemalangan Peribadi dan sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya menyeluruh (TPD), mereka akan menerima pampasan sehingga 10 kali ganda daripada jumlah baki di dalam akaun atau maksima RM150,000.


Mac 02(Utusan Sarawak)

Kecemerlangan anak-anak di tangan ibu bapa

BINTULU - Ibu bapa diingatkan supaya sentiasa menitikberatkan pendidikan anak-anak dalam mencapai kecemerlangan masa depan mereka dan generasi akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan N.47 Kakus, Encik John Sikie ak. Tayai berkata, peranan ibubapa amat penting dalam usaha melahirkan keluarga cemerlang dan gemilang melalui kerukunan rumahtangga."Peranan ibu bapa dalam melahirkan keluarga cemerlang adalah satu tanggungjawab amat penting dalam menghadapi alaf baru ini," katanya ketika berucap merasmikan penutupan Seminar Program pembangunan Masyarakat Harmonis anjuran Majlis Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak (MPSU) di Rumah Along, kira-kira 40 kilometer dari sini.

Sebanyak lima kertas kerja telah dibentangkan pada seminar dua hari itu yang bermula pada 27 Feb lalu, oleh para penceramah dari Alfajana Management and Consultant Sdn. Bhd Kuching yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan berkeluarga, pendidikan serta rancangan pembangunan Kerajaan.

Katanya, dalam usaha untuk mewujudkan kerukunan rumah tangga, ibu bapa perlu prihatin dengan sikap anak-anak dengan menyediakan pendidikan yang sempurna agar anak-anak akan lebih menghurmati mereka.

Sehubungan itu, katanya lagi, ibu bapa tidak seharusnya menuding jari dengan menyalahkan orang lain apabila anak merkea bermasalah.

"Jangan kita menyalahkan orang lain, terutama guru-guru sekiranya anak-anak kita tidak mencapai kecemerlangan dalam pendidikan kita," katanya lagi.

Beliau turut menyentuh mengenai program pembangunan tanah NCR yang dilaksanakan oleh Kerajaan.

Menurut beliau, rakyat, teruutamanya penduduk rumah panjang perlu menyedari hakikat bahawa konsep pembangunan tanah adat sekarang merupakan satu-satunay konsep yang terbik dalam menyediakan masa depan yang lebih cerah kepada pemilik tanah.

Sambil menasihatkan hampir 100 peserta yang terdiri daripada ketua kaum, tuai-tuai rumah, para belia, dewasa dan remaja itu, John Sikie turut mengingatkan para peserta supaya jangan sekali-kali berhutang kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada ekonomi rumah tangga.

"Dalam pengurusan ekonomi rumah tangga, sesebuah keluarga tidak seharusnya menjejaskan pendapatan mereka dengan berbelanja lebih dengan membayar hutang sahaja," katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat bumiputera supaya sama-sama bergerak ke arah mencanai kemajuan serta mencari arah baru dalam mencapai kecemerlangan.

"Kita tidak harus memandang ringan kejayaan yang dicapai oleh kaum Cina dalam bidang ekonomi, dan kita juga seharusnya mencontohi kejayaan mereka keran ia akan dapat membantu mengubah masyarakat dan diri kita sendiri untuk mencapai seseuatu kejayaan," katanya lagi.

Turut berucap pada majlis itu ialah Pemangku Setiausaha Eksekutif (MPSU), Dr. Esmawi Osman dan Pengulu Geramong ak. Abang.

Turut hadir ialah Pemanca Segaya ak. Renang.

John turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada rumah tersebut untuk beberpa projek kecilnya.


Institusi pendidikan mampu semai semangat prihatin

KUCHING - Datuk Bandar Kuching Selatan, Encik Chan Seng Khai berpendapat institusi-institusi pendidikan mampu memainkan peranan yang efektif dalam menyemai semangat prihatin dan ambil berat dikalangan anggota masyarakat.

Beliau berkata, kebajikan dan sikap suka berderma seharusnya menjadi sebahagian daripada pengalaman pembelajaran bagi seseorang pelajar.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Makan Malam Tahunan anjuran Majlis Pelajar Institute of Business & Management Studies (IBMS) di sini baru-baru ini.

Majlis makan malam IBMS pada tahun ini agak berbeza berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya dimana tetamu undangan pada malam tersebut ialah penghuni dan kakitangan Rumah Kanak-kanak Salvation Army Kuching.

Presiden Majlis Pelajar IBMS, Encik Graeme Eddie memberitahu IBMS menyedari bahawa penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti ko kurikulum penting untuk kemajuan pelajar.

Kerana itu, IMBS menggalakkan Majlis Pelajar supaya bekerja dan bertindak secara berdikari dengan mengamalkan kualiti kepimpinan yang tertentu.

Sementara itu, Pengerusi IBMS, Leftenan Kolonel (B) Sharkawi Hasbie dalam ucapannya turut menyatakan rasa bangganya terhadap kemampuan IBMS dalam menghasilkan para pelajar yang berkaliber dan cekap.

Beliau juga kagum kerana IBMS tidak melupakan golongan yang kurang bernasib baik sewaktu mengalami perubahan sebagai sebuah institusi undang-undang dan perniagaan yang berkembang maju menerusi pembabitan kakitangan dan para pelajar institut berkenaan.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif IBMs, Encik Clement Hii dan beberapa jemputan lain.


Mac 01(Utusan Sarawak)

STU saran corak latihan perguruan perlu diubah

KUCHING - Pendekatan dalam pendidikan perguruan mesti diubah dalam usaha melahirkan guru yang benar-benar dinamik dalam menghadapi persekitaran pendidikan semasa yang telah jauh berubah.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU) Encik William Ghani Bina berkata, guru dewasa ini berhadapan dengan generasi pelajar yang jauh berbeza daripada pelajar dahulu, generasi ibu bapa yang berlainan daripada dulu, begitu juga dengan masyarakat secara amnya.

"Dulu, kalau pelajar dirotan oleh guru mereka menerimanya dengan hati terbuka, tetapi kini pelajar sudah berani melawan apabila dikenakan sesuatu bentuk hukuman.

"Dulu, kalau guru pukul seseorang pelajarnya, ibu bapa pelajar terbabit akan memukul lagi anaknya itu sebagai hukuman kerana tidak mematuhi ajaran guru, tetapi kini ada ibu bapa yang sanggup bawa samseng untuk pukul guru kerana memukul anaknya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Tahun Baru Cina di pejabat STU di sini hari ini.

William berkata, perubahan persekitaran seperti itulah yang menyebabkan tuntutan untuk melahirkan guru yang lebih yakin dengan diri sendiri dan lebih profesional dalam menjalankan tugas mereka, semakin mendesak.

Ini kerana katanya, guru merupakan golongan yang membentuk generasi masa depan yang akan menentukan maju mundurnya sesebuah negara.

Menurutnya untuk melahirkan pelajar yang berkualiti, terlebih dahulu guru mestilah berkualiti juga.

Sehubungan itu beliau mencadangkan supaya penekanan diberi sejak dari peringkat awal lagi iaitu ketika proses temuduga untuk mengambil guru baru dengan memastikan mereka memang mempunyai kualiti sebagai seorang guru.

Di samping itu, katanya pensyarah maktab dan universiti yang mengajar untuk kursus perguruan juga mestilah benar-benar berkebolehan dalam bidang berkenaan.

William berkata, institusi yang melatih guru mestilah mengadakan program spesifik yang bertujuan melahirkan guru yang dinamik dengan penumpuan kepada usaha untuk mencungkil kebolehan terbaik dari dalam diri seseorang bakal guru.

"Guru yang mengikuti diploma dan sijil perguruan juga harus mempunyai program mereka sendiri terutama dalam pembangunan personaliti, kemahiran komunikasi, kemahiran intrapersonal dan sebagainya.

"Suasana di maktab dan universiti juga mestilah sesuai bagi mereka membina kualiti dan potensi diri menjadi guru yang dinamik," katanya sambil menegaskan bahawa bakal guru harus dilayan secara profesional walaupun mereka belum menceburi profesion mereka.

Menurutnya, mereka mestilah dilayan seperti pelajar dewasa dan tidak harus diberi apa-apa bentuk tekanan.


Pemansuhan elaun pengetua perlu dikaji semula - Ghani

KUCHING - Kesatuan Guru Sarawak (STU) memandang serius langkah Kementerian Pendidikan yang mungkin akan memansuhkan elaun perumahan pengetua berijazah DG2 apabila mereka dilantik sebagai pengetua di sekolah berasrama.

Presidennya, Encik William Ghani Bina berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan langkah seumpama itu dan berharap pihak terbabit bersedia mengkajinya jika mahu menghasilkan tahap pendidikan berkualiti dunia.

Menurutnya, insentif harus diberikan kepada guru-guru yang terlibat dalam pentadbiran sebagai galakan kepada mereka berkhidmat kepada sekolah.

Dengan itu, katanya kita tidak akan kehilangan khidmat guru yang berpotensi dalam pentadbiran sekolah.

"Sepatutnya apabila dilantik sebagai pengetua sekolah berasrama, mereka sepatutnya diberi insentif yang lebih untuk elaun perumahan dan bukannya ditarik balik.

"Ini kerana beban tugas pengetua sekolah asrama memang lebih berat berbanding pengetua sekolah harian kerana terpaksa menjaga kebajikan pelajar selepas waktu persekolahan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Tahun Baru Cina STU di sini hari ini.

Bagaimanapun, William berkata Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Abdul Shukor telah berjanji untuk membawa isu itu kepada perhatian Kementerian Pendidikan.

Mengenai program kepengetuaan, beliau berkata ia bertujuan melahirkan pengetua dan guru besar yang benar-benar berkualiti.

Menurutnya, guru yang berumur 30 tahun digalakkan memohon kursus latihan untuk menyediakan mereka sebagai pengetua atau guru besar.

Sehubungan itu, William menyeru guru-guru di negeri ini yang bercita-cita hendak menjadi pengetua atau guru besar memohon menyertai program berkenaan.

Sementara itu, pada masa ini STU bukan sahaja berperanan memberi khidmat kepada ahli dalam soal kebajikan mereka malah turut menggalakkkan ahlinya bekerjasama dalam satu pasukan dan sentiasa berkongsi ilmu pengetahuan.

Sehubungan itu, guru-guru muda diseru menyertai STU supaya mereka dapat menimba pengalaman daripada guru-guru yang telah banyak pengalaman.


Beri pendidikan seimbang kepada anak-anak

SRI AMAN - Ibu bapa digesa supaya menitikberatkan pendidikan seimbang yang merangkumi aspek duniawi dan keagamaan untuk mewujudkan masyarakat Madani pada alaf baru.

Ahli Parlimen Sri Aman, Jimmy Donald berkata, pendidikan yang dilaksanakan secara sistematik secara tidak langsung akan mewujudkan sekumpulan masyarakat baru yang berhemah tinggi.

"Paling penting sekali, ibu bapa harus menerapkan nilai duniawi dan keagamaan secara teratur di samping nilai-nilai positif. Ini sekali gus akan menjadikan anak-anak matang menerima cabaran alaf baru," katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis ramah-tamah perayaan berkembar anjuran bersama Jabatan Perpaduan Sri Aman, Tabika Perpaduan dan Ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga Tujuh Kawasan di Dewan Suarah di sini semalam.

Jimmy menjelaskan, generasi muda adalah aset penting negara bakal menentukan arah kemajuan bangsa pada masa akan datang.

Katanya, sekiranya generasi muda masa kini tidak mempunyai pendidikan yang cukup baik, sukar bagi negara mencapai ke satu tahap yang diharapkan.

"Justeru betapa pentingnya pendidikan harus dilihat secara menyeluruh, positif dan dipraktikkan sebagai persediaan untuk bersaing dengan dunia luar.

"Saya secara peribadi turut berasa bangga dengan kejayaan masyarakat di sini yang berjaya membuktikan diri mereka sebagai pemimpin dan ketua di jabatan kerajaan mahupun sektor swasta," katanya.

Menyentuh mengenai pembangunan di kawasan Sri Aman, Jimmy menjelaskan, kerajaan telah merangka pelbagai program pembangunan dalam jangka masa panjang yang akan memberi manfaat kepada generasi akan datang.

Oleh itu katanya, salah satu cara terbaik untuk membabitkan diri dalam program yang telah dirancang, generasi muda harus terlebih dahulu melengkapkan diri dengan pendidikan yang sempurna.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Wences Laus Dana, wakil Residen Sri Aman Philip Ho dan ketua-ketua masyarakat di seluruh daerah Sri Aman.


Ibu bapa diseru lebih komited bantu sekolah

KAPIT - Para ibu bapa harus memainkan peranan mereka dengan lebih serius dan komited sebagai usaha membantu sekolah agar lebih maju dengan cemerlang.

Yang Dipertua Persatuan Ibubapa Dan Guru (PIBG) SRB. Methodist Kapit, Encik Nelson Mujah Girie berkata, sebagai ibu bapa mereka harus memainkan peranan penting dalam membantu anak-anak dari segi pengurusan dan pengunaan masa di rumah.

Disamping itu, ibu bapa harus mengekal dan memperluaskan kerjasama dalam menjayakan bidang sukan kepada bidang akdemik demi menjamin kecemerlangan prestasi sekolah pada masa akan datang.

Katanya, kegiatan kokurikulum termasuk sukan merupakan kegiatan yang tidak kurang pentingnya disamping kegiatan akademik dalam mengimbangi pembentukan kesihatan seseorang insan.

"Badan sihat, otak cergas menjamin kecemerlangan setiap individu pelajar bagi menentukan kejayaan dan kecermelangan dalam hidu," jelas Nelson. Nelson yang juga Setiausaha Majlis Daerah Kapit, memberitahu bahawa pihak PIBG bercadang untuk menubuhkan Kelab Komputer di sekolah berkenaan pada tahun ini.

Menurutnya, kelab tersebut bertujuan untuk membantu murid-murid sekolah dimana ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk membeli komputer dirumah sebagai usaha memperkenalkan pengunaan komputer dikalangan para pelajar untuk menghadapi zaman Teknologi Maklumat. (IT)

Kata Nelson, sebagai permulaan Ahli Dewan Rakyat kawasan Kapit, YB. Encik James Jimbun Pungga telah memperuntukan RM5,000 untuk sebuah komputer.

Disamping itu, beliau menyeru para ibubapa agar memberi sokongan dan kerjasama kepada Kelas Komputer tersebut.

Katanya, seorang pelajar mungkin hanya dikenakan bayaran sebanyak diantara RM10 dan RM15 sebulan dan ini adalah jauh lebih murah jika dibandingkan dengan bayaran yang dikenakan oleh Institusi yang mengenadlikan kelas komputer dibandar ini.

Turut hadir pada majlis penutupan tersebut, Guru Besar SRB. Methodist, Encik Jacques Amut serta para guru dan ibubapa pelajar.


Februari 27(Berita Harian)

Program GPMS atasi masalah remaja Melayu

KUALA LUMPUR, Jumaat - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) hari ini melancarkan Agenda Perdana bagi menangani masalah sosial remaja Melayu serta memastikan kecemerlangan mereka dalam bidang pelajaran.

Bagi menjayakannya, GPMS akan menggerakkan semua jenteranya dengan memberi tumpuan kepada Program Motivasi Pendidikan Nasional, yang akan dilaksanakan secara berperingkat di semua kawasan Parlimen, mulai bulan depan.

Di samping program utama yang ditumpukan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), beberapa pendekatan lain akan dilaksanakan secara berterusan seperti kelas tambahan, kaunseling dan kelas bimbingan.

Presiden GPMS, Datuk Suhaimi Ibrahim, berkata program berkenaan yang dijangka membabitkan kira-kira 30,000 pelajar itu adalah tindakan susulan daripada kajian GPMS yang mendapati remaja Melayu paling ramai terjebak dalam kegiatan tidak bermoral.

Menurutnya, bagi melaksanakan program berkenaan, GPMS akan mendapatkan kerjasama Kementerian Pendidikan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pemimpin pelajar institusi pengajian tinggi.

Katanya, program itu bermatlamat melahirkan pelajar yang mempunyai imej, berdedikasi dan berkeyakinan tinggi terhadap negara, kepemimpinan bangsa dan agama.

"Ini sangat penting dan ada kaitan kerana pelajar kini semakin terdedah kepada gejala yang boleh menjejas dan melemahkan jati diri mereka sebagai bakal pemimpin negara.

"Program ini juga dapat memper-kasakan wawasan pendidikan kebangsaan yang bermatlamat melahirkan masyarakat pelajar bersemangat kental bagi menghadapi cabaran pada alaf akan datang," katanya pada sidang akhbar mengumumkan program itu di sini, hari ini.

Kajian GPMS selama dua tahun yang bermula Januari 1995 mendapati remaja Melayu paling ramai terbabit dalam jenayah di ibu kota disebabkan pengaruh rakan sebaya, tekanan hidup dan kemiskinan.

Antara jenayah yang membabitkan remaja Melayu ialah membunuh, cubaan membunuh, samun tanpa senjata api atau bersenjata api, rogol, menyebabkan kecederaan, pelacuran dan vandalisme.

Kajian itu juga mendapati remaja Melayu begitu lemah dan mudah terpengaruh dengan ajakan rakan sehingga sanggup melakukan apa saja untuk keseronokan.

Suhaimi berkata, tiga kumpulan pelajar di setiap kawasan Parlimen akan diberi tumpuan dalam Program Motivasi Pendidikan Nasional yang digerakkan oleh Sekretariat Media GPMS.

Mereka ialah pelajar yang gagal dalam pelajaran; kedua, pelajar cemerlang dalam pelajaran dan aktiviti sekolah bagi memastikan mereka dapat meneruskan kecemerlangan; dan ketiga, pelajar yang menghadapi masalah sosial.

Pemilihan pelajar bagi menyertai program itu akan dilakukan pihak sekolah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri.

"Pelajar yang mengikuti program ini akan diberikan ceramah motivasi oleh pakar yang sudah dikenal pasti," katanya sambil menambah kira-kira 80 pakar motivasi akan terbabit dalam program itu.

Menurutnya, selepas Program Motivasi Pendidikan Nasional diadakan di sesebuah kawasan, GPMS akan melakukan tindakan susulan bagi memastikan pelajar yang menyertainya mendapat tunjuk ajar berterusan.

"Kami akan membentuk pasukan khas untuk memantau pelajar terbabit bagi memastikan matlamat melahirkan pelajar cemerlang tercapai," katanya.


Februari 25(Utusan Sarawak)

Borang IPTA habis dijual

KUCHING - Borang permohonan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang dijual di Bank Simpanan Nasional (BSN) telah habis dijual sejak hari pertama penjualannya.

Jurucakap BSN ketika dihubungi di sini hari ini berkata, sehingaa semalam 95 peratus borang itu habis dijual Isnin lalu terutama di ibu pejabatnya di Jalan Satok dan setakat ini hanya lima cawangan sahaja yang masih menjualnya.

Bagaimanapun, beliau enggan memberitahu cawangan berkenaan.

Menurutnya, Unit Pusat Universiti (UPU) membekalkan 2,800 borang kepada 31 cawangan bank di seluruh negeri ini. Harga senaskah borang itu ialah RM11.50.

"Pada hari pertama, borang itu habis dijual dalam tempoh sejam sejak kaunter bank dibuka jam 9 pagi," katanya.

Jurucakap itu berkata, pihak bank terpaksa mengehadkan jumlah pembelian borang itu supaya ia dapat dibeli oleh semua pelajar. Setiap pelajar boleh membeli dua borang sahaja.

Beliau memberi jaminan bahawa pihak bank akan menjual semula borang itu sekiranya mendapat bekalan daripada UPU dalam tempoh dua minggu lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihat pelajar supaya tidak perlu bimbang dan ghairah membeli borang itu kerana UPU akan mencetak semula borang itu.

Selain di BSN, mereka juga boleh membeli borang itu menerusi pembelian secara pos di mana mereka mengirim resit pembayaran RM10.60 di kaunter BSN beserta dengan sampul beralamat sendiri dan setem RM3.50 ke UPU.


Februari 23(Utusan Sarawak)

Jumlah pelajar menghisap rokok membimbangkan

KUCHING - Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) mengenal pasti hampir 95 peratus daripada lebih 2,000 pelajar di 65 sekolah di negeri ini terbabit dalam amalan menghisap rokok.

Pengarah ADK Negeri, Encik Mohd Nasir Che Mat berkata, walaupun rokok bukan sejenis dadah, namun ia merupakan salah satu amalan yang boleh mendekatkan diri mereka dengan dadah.

Menurutnya, pengedar dadah sering menggunakan rokok sebagai umpan untuk menarik penagih baru.

"Salah satu cara memerangkap mangsa ialah dengan memasukkan dadah ke dalam kandungan rokok," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Kempen Anti Dadah 71 Batalion Kor Perkhidmatan DiRaja sempena Hari Anti Dadah Peringkat Kebangsaan yang disambut setiap 19 Februari.

Pameran itu dilancarkan oleh Panglima Briged Ketiga Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Rosli Mohamad Yusuf Mohd Nasir berkata, daripada lebih 2,000 pelajar yang diperiksa air kencing mereka, hanya seorang yang didapati positif.

"Pemeriksaan air kencing merupakan ujian rutin yang dilakukan oleh ADK dalam usaha untuk mencegah golongan pelajar yang terbabit dalam gejala najis dadah," katanya.

Dalam pada itu, katanya, ADK akan memperkenal program pencegahan baru yang membabitkan pelajar sekolah rendah dan menengah.

Katanya, program yang dikenali sebagai Program Asuhan Intelek Rohani (Pintar) itu akan dibuat di empat buah sekolah yang telah dipulih.

"ADK juga mungkin akan membuat program itu di peringkat tadika sebagai langkah pencegahan awal," tambahnya.

Sebelum itu, katanya, pihak berkuasa memandang ancaman dadah lebih serius daripada ancaman komunis satu ketika dahulu.

"Masalah komunis telah dapat diatasi, sebaliknya masalah dadah belum menampakkan jalan penyelesaian walaupun 16 tahun pengisytiharan Hari Anti Dadah telah diumumkan," katanya.


Februari 19(Utusan Sarawak)

Hentikan ketaasuban, pengetua diberitahu

KUCHING - Para pengetua sekolah tidak perlu taksub untuk mempertahankan imej sekolah mereka di mana gangguan seksual disyakki berlaku, kata Menteri Industri Negeri Datuk Abang Johari Tun Abang Openg hari ini.

Katanya dalam keadan seperti itu mereka perlu bertindak dan sebarang masalah sekolah boleh dirujuk kepada Persatuan Pengetua Sekolah yang bertindak sebagai forum untuk perbincangan.

Abang Johari yang juga bertanggungjawab terhadap pendidikan berkata demikian sebagai mengulas kejadian baru-baru ini yang mana beberapa orang pelajar lelaki didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang rakan perempuan mereka.

Kejadian itu dipercayai tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa berkenaan kerana pengetua sekolah berkenaan bimbang ia mungkin menjejaskan imej sekolah itu.

Adalah menjadi tanggunjawab pengetua untuk mengambil tindakan sewajarnya kerana ia adalah sebahagian daripada tugasnya, katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek perkhidmatan masyarakat Institut Aminuddin Baki di Telaga Air dekat sini.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Sarawak Putit Matzen berkata jabatannya sedang memantau keadaan walaupun tidak ada laporan diterima setakat ini.

Katanya pelajar perempuan berusia 12 tahun yang didakwa dirogol oleh tiga pelajar lelaki di sebuah sekolah berasrama luar bandar di Langa Lassa, Sibu pada 25 Jan telah ditukarkan ke sekolah lain.

Dilaporkan bahawa ibu pelajar perempuan itu tidak puas hati dengan pihak berkuasa sekolah berkenaan apabila mereka menasihatinya supaya tidak membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

Beliau kemudiannya membuat laporannya sendiri di balai polis pusat Sibu pada hari yang sama. Berikutan itu, tiga pelajar lelaki, berusia antara 12 dan 13 tahun, ditahan di rumah panjang masing-masing pada 1 Feb lepas.

Putit berkata siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak polis. - Bernama


Februari 18(Utusan Sarawak)

STU minta sekolah patuhi cuti hari Sabtu

KUCHING - Pihak sekolah diarah agar mematuhi cuti Sabtu minggu pertama setiap bulan dengan tidak mengarahkan guru berada di sekolah pada hari tersebut.

Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), Encik William Ghani Bina berkata, setiap sekolah di semua peringkat perlu mematuhi arahan itu.

Menurutnya, sepatutnya pada hari tersebut pihak pentadbir sekolah menutup sekolah dan tidak membenarkan gurunya berada di kawasan sekolah.

"Cuti hari Sabtu itu merupakan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan semasa membentangkan Belanjawan 1999 tahun lalu.

"Oleh itu, kita mesti mematuhi arahan tersebut yang merupakan satu pengiktirafan kepada sektor awam, terutamanya sektor pendidikan, iaitu sekolah," katanya ketika dihubungi di sini.

Katanya, tujuan cuti itu ialah untuk memberi cukup ruang dan masa kepada guru berehat bersama keluarga.

Menurutnya, profesion perguruan walaupun mempunyai cuti yang agak panjang, namun mereka memerlukan rehat kerana mempunyai banyak tekanan.

"Disebabkan itulah (tekanan) ada di kalangan guru yang meletak jawatan (bersara) lebih awal," tegasnya.

"Sehubungan itu, katanya, pematuhan cuti tersebut adalah perlu sebagai penghargaan terhadap jasa guru di negara ini terhadap semua pihak.


Pelajar sambut baik program tanaman sayur

KUCHING - Golongan pelajar di sini menyokong seruan kerajaan negeri bagi menjayakan program penanaman sayur di kawasan sekolah sebagai menjayakan Program Penanaman Sayuran di Kawasan Sekolah.

Mereka berpendapat program itu adalah tepat pada waktunya memandangkan kerajaan kini sedang giat mengurangkan pengantungan kepada sayur import.

Ini adalah bersesuaian dengan saranan kerajaan menggalakkan rakyat di negeri ini supaya mempraktikkan kaedah tanaman sayur secara hidroponik, katanya.

Perlaksanaan program yang mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Pertanian ini tepat pada waktunya memandangkan kerajaan kini sedang giat mengadakan kempen menananm sayur secara hidroponik, di samping kempen hijau di seluruh dunia.

Ia juga sebahagian daripada usaha kerajaan ke arah menggalakkan golongan pelajar menyertai program bercucuk tanam, terutama di kawasan sekolah.

Seorang pelajar, Norhayati Daud, 16, ketika ditanya mengenai program tersebut berpendapat, mana-mana sekolah di Sarawak yang berminat memulakan program penanaman sayur di kawasan sekolah mereka telah mengambil langkah yang tepat memandangkan kerajaan sedang giat mengurangkan pengantungan kepada sayur import.

Tindakan ini adalah bersesuaian dengan saranan kerajaan menggalakkan rakyat negeri ini supaya mempraktikkan kaedah tanaman sayur secara hidroponik.

Cara ini sebenarnya melibatkan golongan pelajar dengan Kempen Sekolah Hijau di seluruh negara serta menjaga alam persekitaran negara supaya lebih bersih dan membantu mengurangkan pencemaran, katanya.

Tambahnya, pihak sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) termasuklah Jabatan Pendidikan harus berkerjasama dengan Jabatan Pertanian bagi memastikan program tersebut berjaya.

Rakannya, Abdul Kadir Rahman pula berpendapat program tersebut sedikit sebanyak dapat mengurangkan perbelanjaan dapur, terutama di sekolah berasrama.

"Pihak pengurusan sekolah tidak perlu membeli sayur-sayuran dari pasar kerana di kawasan sekolah mereka sudah ada, memadailah dengan menjaga kebersihan tanaman sayuran tersebut," katanya yang merupakan pelajaran aliran sains di SMB Chung Hua.

Tambah beliau, pihak sekolah dan PIBG boleh menjadikan program tersebut sebagai sumber kewangan untuk membiayai sebarang aktiviti yang diadakan oleh sekolah dan PIBG.

Secara langsung ia akan menaikkan nama sekolah kerana sekolah tersebut mampu berdikari dengan tanpa mengharap pertolongan dari pihak luar, tambahnya lagi.

Menurut Datuk Adenan, sekolah-sekolah yang berminat dengan program tersebut akan diberi bantuan dalam dua bentuk, iaitu pembekalan baja dan pembekalan biji benih sayur. Pengagihan benih sayur-sayuran dan baja secara percuma akan diadakan kepada masyarakat di bandar dan pinggir bandar.

Khidmat nasihat seperti cara-cara menjaga sayur dan pencegahan sayur dari parasit turut diberikan kepada pelajar yang menyertai program tersebut.