(Sila tekan "Reload" atau "Refresh" untuk mendapatkan berita yang terkini

Mac 23(Berita Harian)

STPM: 10,936 lulus penuh 5 mata pelajaran

KUALA LUMPUR, Isnin - Seramai 10,936 atau 27.97 peratus daripada 42,660 calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun lalu, lulus penuh dalam lima mata pelajaran.

Daripada jumlah itu, 206 orang mendapat Gred A bagi semua lima mata pelajaran (5A).

Pada tahun sebelumnya, 9,926 calon STPM lulus penuh dalam lima pelajaran dengan 197 orang mendapat 5A.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata pencapaian STPM tahun lalu meningkat, sama ada dari segi peratusan pelajar yang lulus penuh lima dan empat mata pelajaran atau jumlah calon yang berjaya memperoleh Gred A dalam lima mata pelajaran.

Seramai 7,333 calon lulus empat mata pelajaran, 6,370 orang lulus tiga mata pelajaran, 5,844 lulus dua mata pelajaran dan 5,187 lulus satu mata pelajaran.

Menurutnya, jumlah keseluruhan calon STPM tahun lalu yang lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran (lulus penuh Gred E) ialah 35,670 orang atau 91.22 peratus.

"Pencapaian cemerlang ini adalah hasil kerjasama erat dan kesungguhan semua pihak dalam usaha meningkatkan taraf pendidikan di negara ini," katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 1998 di Bangunan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), di Bandar Baru Selayang, di sini hari ini.

Di majlis itu, Najib menyampaikan hadiah kepada pelajar terbaik STPM tahun lalu, Khoo Boon Seong dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Hua Lian, Taiping, yang mendapat Gred A1 bagi 12 kertas peperiksaan.

Hadiah penghargaan turut diberikan kepada Pengetua SMJK Sam Tet, Toh Ah Huat kerana kejayaan sekolahnya sebagai sekolah terbaik dalam peperiksaan itu tahun lalu.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung MPM, Termuzi Abdul Aziz; Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Abdul Shukor Abdullah dan Pengarah Bahagian Sekolah, Sabree Salleh.

Seramai 42,660 calon menduduki peperiksaan STPM tahun lalu berbanding 46,798 tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 23,893 orang atau 56.01 peratus adalah calon sekolah kerajaan, 6,497 calon sekolah swasta (15.23 peratus) dan 12,270 calon persendirian (28.76 peratus).

Najib berkata, peratusan calon yang lulus penuh lima mata pelajaran meningkat 3.92 peratus, daripada 24.05 peratus kepada 27.97 peratus, manakala peratusan yang lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran bertambah 0.27 peratus, daripada 90.55 peratus kepada 91.22 peratus.

Menurutnya, peningkatan bilangan calon yang mendapat 5A mencerminkan pencapaian calon tahun lalu meningkat dari segi kualiti.

Bagi pencapaian mengikut negeri, Perak mendahului negeri lain apabila 60 calonnya mendapat 5A, diikuti Pulau Pinang (33), Melaka (28), Johor (18), Negeri Sembilan (16), Sarawak (12), Selangor (11), Kedah (11), Wilayah Persekutuan (10), Sabah (lima) dan Pahang (dua).

SMJK Sam Tet, Ipoh muncul sebagai sekolah terbaik apabila 28 calonnya mendapat 5A, diikuti Sekolah Tinggi Melaka (16), Sekolah Menengah (SM) Jit Sin Bukit Mertajam (11), SM Tunku Ampuan Durah Seremban (lapan) dan SM Methodist (ACS) Ipoh (lapan).

Dalam peperiksaan itu juga, keseluruhan calon memperlihatkan peningkatan dalam 12 mata pelajaran berbanding 21 mata pelajaran yang ditawarkan.

Mata pelajaran yang mencatatkan peningkatan dari segi kelulusan ialah Ekonomi (2.82 peratus), diikuti Kesusasteraan Melayu (2.67), Bahasa Melayu (1.14), Sejarah (0.67), Bahasa Tamil (5.20), Lukisan (3.07), Bahasa Arab (2.40), Perakaunan (2.28).

Mata pelajaran Syariah, Pengajian Am, Kimia dan Matematik Lanjutan T menunjukkan prestasi hampir sama dengan tahun sebelumnya. Kenaikan dari segi kelulusan tahun ini kurang 0.5 peratus.

Bagaimanapun, lapan subjek mencatatkan penurunan dari segi kelulusan iaitu Bahasa Inggeris (4.80 peratus), Bahasa Cina (4.68), Biologi (2.60), Usuluddin (2.19), Matematik S (1.66), manakala Matematik T, Geografi dan Fizik hampir sama dengan tahun sebelumnya mengalami penurunan kurang 0.2 peratus.


Utusan Sarawak

Pendidikan alam sekitar perlu ditingkat

KUCHING - Pendidikan alam sekitar perlu ditingkatkan di kalangan orang ramai bagi mewujudkan kesedaran dan budaya menjaga dan mencintai alam sekitar untuk keselesaan hidup pada masa depan.

Menteri Pembangunan Perindustrian Dato' Abang Johari Tun Abang Haji Openg berkata, kerajaan cuba menyemai budaya menjaga dan mencinta alam sekitar di kalangan rakyat, supaya apa yang berlaku di beberapa negara maju sebelum ini tidak akan berulang di negara ini.

Katanya, ini adalah pendekatan yang diambil kerajaan negeri dan pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada usaha mendidik orang ramai tentang pentingnya menjaga dan alam sekitar.

"Apa jua yang dikatakan tentang alam sekitar, kalau budaya menjaga alam sekitar tidak wujud di kalangan orang ramai, mungkin sukar bagi pihak berkuasa untuk melaksanakan perundangan dan tanggungjawab berhubung penjagaan dan kawalan alam sekitar, untuk mewujudkan alam sekitar yang berkualiti pada masa depan

"Justeru pendidikan penting bagi menyemai kesedaran dan budaya di kalangan orang ramai supaya lebih sensitif tentang pentingnya menjaga alam sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Kualiti Alam Sekitar: Usaha 25 Tahun di Malaysia di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Seminar dua hari itu dianjurkan Institut Kimia Malaysia (IKM), cawangan Sarawak dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) , Lembaga Sumber Asli dan Persekitaran dan Jabatan Alam Sekitar, Sarawak.

Beliau memuji IKM kerana sudah mempunyai program kesedaran alam sekitar bukan sahaja dalam bentuk seminar, tetapi dengan sekolah dalam usahanya menjaga kualiti alam sekitar untuk dinikmati genarasi masa depan.

Menurutnya, dalam usaha negara membangun ke arah mencapai Wawasan 2020, keseimbangan antara alam sekitar dan aktiviti yang dijalankan dalam proses pembangunan akan terus ditekankan.

Johari berkata di beberapa negara maju pembangunan pesat termasuk dalam sektor industri yang berlaku tanpa menekankan soal alam sekitar, telah menimbulkan kesan tertentu kepada alam sekitar dan kualiti hidup di negara terbabit.

"Ini adalah satu pengajaran kepada kita di negara dunia ketiga seperti Malaysia, tentang pentingnya menjaga alam sekitar ketika sedang giat membangun untuk mencapai status negara industri," katanya.

Berikutan itu, katanya, Sarawak juga menekankan soal alam sekitar melalui program dan langkah tertentu dalam merancang dan melaksanakan program pembangunannya.

Sebagi contoh, katanya, dalam pelan perindustriannya Sarawak juga mengambil kira soal kitar semula dan pembuangan sisa.

Katanya, ini adalah bagi mengurus alam sekitar dalam sesuatu kawasan estet supaya mempunyai prosedur dan sistemnya tersendiri dalam mengurus pembuangan sisa industri.

Beliau berkata berikutan itu, kerajaan negeri akan membina loji pembuangan sisa toksik dan sisa umum dengan menggunakamn teknologi moden, bagi mengurus pembuangan sisa yang dikelurkan beberapa industri di negeri ini.

Sementara itu, katanya, pada 1981 sumbang sektor pembuatan kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) ialah kira-kira enam peratus, manakala pada penghujung 1998 telah meningkat kepada 23 peratus, dan menjelang tahun 2000 sumbangannya ialah antara 28 dan 30 peratus.

Turut hadir Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Sarawak Encik Abdul Aziz Rasol dan Kontroler Lembaga Sumber Asli dan Persekitaran Encik James Dawos Mamit.


Institut Kimia usahakan pemulihan alam sekitar

KUCHING - Pendidikan alam sekitar untuk mendidik masyarakat umum amat perlu sebagai satu langkah jangka panjang pemulihan alam sekitar.

Encik Chan Woo Peng, Pengerusi Institut Kimia Malaysia Cawangan Sarawak berkata, sehubungan dengan itu, institut itu telah menjalankan usaha pemulihan alam sekitar selari dengan Program Kesedaran Masyarakat di sekolah-sekolah di seluruh Sarawak.

"Alam sekitar kita sering menjadi mangsa pembangunan skala besar serta aktiviti manusia. Tanpa pengurusan dan pengawalan yang teliti, semua aktiviti ini akan mengakibatkan pemusnahan alam sekitar secara berleluasa," katanya ketika berucap dalam Seminar Kualiti Alam Sekitar: 25 Tahun Pelaksanaan, di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Encik Chan berkata, Institut Kimia Malaysia (IKM) akan mengusahakan Projek Koordinasi tersebut dengan Jabatan Pendidikan Sarawak. Satu kertas kerja tentang projek tersebut telahpun diserahkan kepada Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak Datuk Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg.

Menurutnya, IKM akan terus memainkan peranannya dalam menyokong usaha kerajaan untuk melindungi dan mengekalkan kualiti alam sekitar.

Institut tersebut telah menjalankan pelbagai aktiviti sains dan teknologi untuk melahirkan kesedaran terhadap kesan pencemaran alam sekitar serta aplikasi sains dan teknologi untuk menangani masalah alam sekitar supaya generasi kini dan masa depan akan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik.

Antara projek pendidikan alam sekitar termasuklah pengawalan kualiti sungai, pemerhatian terhadap hujan asid, pengitaran semula kertas, dan tinjauan terhadap kelakuan pembuangan sisa oleh masyarakat kita.

Encik Chan Woon Peng berharap bahawa Kongres Kimia Malaysia 1999 yang akan diadakan di sini pada bulan November dan dihadiri oleh 14 buah negara akan mencapai matlamatnya.

Objektif seminar dua hari itu adalah untuk mengenalpasti pelbagai masalah alam sekitar dan langkah-langkah mengatasinya, serta cabaran yang bakal dihadapi.


STPM: 12 pelajar Sarawak dapat 5A

KUALA LUMPUR - Pencapaian calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 1998 meningkat berbanding tahun sebelumnya, baik daripada segi kualiti mahupun bilangan yang berjaya memperolehi gred A dalam kelima-lima mata pelajaran.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan keputusan peperiksaan itu di sini hari ini berkata peratusan lulus penuh dalam lima mata pelajaran meningkat sebanyak 3.92 peratus daripada 24.05 kepada 27.97 peratus.

Peratusan lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran juga bertambah 0.27 peratus daripada 90.95 kepada 91.22 peratus, katanya. Beliau berkata daripada 42,660 calon yang mengambil STPM 1998 seramai 35,670 calon lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran (lulus penuh gred E).

"Daripada 10,936 calon (27.97 peratus) yang lulus penuh dalam lima mata pelajaran, seramai 206 calon mendapat gred A dalam kelima-lima mata pelajaran berbanding dengan 197 orang dalam STPM 1997.

"Ini menunjukkan pencapaian calon tahun ini (1998) telah meningkat dari segi kualiti. Peningkatan ini terdiri daripada kedua-dua aliran, sains dan sastera," katanya pada persidangan berita semasa mengumumkan keputusan STPM 1998 di MPM di Selayang, hari ini.

Najib turut mengumumkan bahawa Perak merupakan negeri paling ramai calonnya yang berjaya mendapat lima A, seramai 60 orang.

Pelajar cemerlang STPM 1998 ialah Khoo Boon Seong, dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Hua Lian, Taiping yang mendapat keputusan gred satu dalam kesemua 12 kertas yang didudukinya.

Najib menyifatkan pencapaian cemerlang Khoo dalam peperiksaan STPM sebagai "luar biasa" kerana beliau (Khoo) bukan sahaja memperolehi Gred A1 dalam kesemua 12 kertas yang didudukinya tetapi hampir mencatat markah penuh 200 mata dalam mata pelajaran Fizik.

"Ia adalah satu pencapaian yang menakjubkan," katanya.

Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet, Ipoh diumumkan sebagai sekolah paling cemerlang dengan seramai 28 orang mendapat lima A.

Pulau Pinang mempunyai 33 calon yang mendapat lima A, Melaka (28), Johor (18), Negeri Sembilan (16), Sarawak (12), Selangor (11), Kedah (11), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (10), Sabah (5) dan Pahang (2).

Sekolah lain yang mempunyai pelajar terbanyak mendapat 5 A ialah Sekolah Tinggi Melaka dengan 16 calon, Sekolah Menengah Jit Sin Bukit Mertajam (11), Sekolah Menangah Tunku Ampuan Durah, Seremban (8) dan Sekolah Menengah Methodist (ACS) Ipoh (8).

Sementara itu, Najib berkata, calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mencatatkan keputusan cemerlang 5A dan memperolehi Gred A1 dalam kertas yang diambilnya akan menerima anugerah.

Katanya keputusan memberi anugerah kepada pelajar cemerlang itu dibuat oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) bagi menghargai pencapaian kecemerlangan akademik dalam peperiksaan itu.

"Majlis Peperiksaan buat keputusan sekiranya ada mana-mana pelajar dapat 5A dan Gred A1 dalam semua kertas yang diambilnya, ia akan dapat anugerah RM1,000 dalam bentuk Sijil Amanah Saham Wawasan (ASW)," katanya.

Selain sijil ASW, pelajar berkenaan juga akan menerima sijil penghargaan, katanya.

Najib terdahulu itu mengumum dan menyampaikan anugerah pelajar cemerlang STPM 1998 kepada seorang pelajar aliran sains dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Hua Lian, Taiping, Khoo Boon Seong dan Toh Ah Huat, pengetua sekolah terbaik peperiksaan STPM, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Sam Tet, Ipoh. - Bernama


SMB Sacred Heart kekal kecemerlangan

SIBU - SMB Sacred Heart mengembalikan kehebatannya semula dalam arena pendidikan dengan muncul sebagai sekolah terbaik di sini dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) menghasilkan tiga orang pelajar masing-masingnya memperolehi keputusan 5A.

Tiga pelajar berkenaan ialah Joseph Wong Ging Haw dan Ting Kang Chew yang memperolehi A dalam matapelajaran Pengajian Am, Matematik, Fizik, Kimia dan Biologi sementara Tiong Ik Ing memperolehi A dalam matapelajaran Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah, Geografi dan Ekonomi.

Seramai 150 orang pelajar menduduki peperiksaan STPm itu dan berjaya mencatatkan kelulusan sebanyak 99.3 peratus.

Sekolah yang baru mencatatkan kecemerlangan dalam bidang sukan baru-baru ini dengan menjadi juara dalam kejohanan sukan antara sekolah-sekolah juga turut menghasilkan tujuh orang pelajar lagi dengan keputusan cemerlang 4A.

Para pelajar berkenaan ialah Henry Lau, Ngiu Chai Soon, Ronald Tang Hion, Tiong Ing Khieng, Wong Sii Tuang, Ling Ung Mee dan Ngu Siok Lin.

Para pelajar yang mencatatkan keputusan 3A ialah Hoo Sing Hung, Sia Mee Ling dan Wong Hung Ling sementara pelajar yang mencatatkan keputusan 2A terdiri daripada Cheng Kai Soon, Ko Ing Soon, Koa Ai Lin, Lau Chuang Bing, Sia Chai Kieh, Wong Hua Hie, Yong King Siong, Natalyn Neo, Law Nguik Ching, Ling Nea Fung dan Yew Yu Leng.

Pengetua sekolah berkenaan, Encik Peter Wong berasa amat berpuas hati dengan prestasi cemerlang tersebut.

Beliau melahirkan penghargaan atas usaha dan komitmen para guru dan bersyukur kepada Tuhan atas anugerah kecermerlangan ini.

Sementara itu, pelajar terbaik SMK Rosli Dhoby berjaya mencatatkan keputusan 2A dan 2C.

Pelajar berkenaan, Kuling ak Abun mencatatkan keputusan A dalam matapelajaran Sejarah dan Geografi dan C dalam matapelajaran Pengajian Am dan Ekonomi.

Pengetua sekolah berkenaan, Encik Nicholas Ugul menyatakan bahawa para pelajar sekolahnya mampu menghasilkan keputusan lebih baik dari ini jika mereka berusaha dengan lebih baik lagi.

Sekolah tersebut mencatatkan peratus kelulusan sebanyak 96.3 peratus.

Pencabar tradisi bagi SMB Sacred Heart iaitu SMB Methodist pula tidak mampu berjaya mengekalkan kecermerlangan mereka berbanding dengan pencabar tradisi mereka itu.

Bagaimanapun, sekolah berkenaan masih mampu menghasilkan seorang pelajar cemerlang iaitu Adeline Sia yang mencatatkan keputusan 5A.

Pengetua sekolah berkenaan, Encik Poh Kee Eng ketika memberikan komen beliau menyatakan bahawa beberapa orang pelajar lain hampir mampu mencipta kejayaan yang sama.

"Bagaimana pun mereka agak kurang bernasib baik apabila tercicir beberapa markah penting dalam matapelajaran mereka," tambah beliau lagi.

Dari sessi analisis kami mengenai keputusan mereka, didapati ujian praktikal mereka merupakan sebab utama beberapa orang pelajar terlepas peluang mencipta kelulusan 5A.

Tambah beliau, kebanyakan para pelajar terutamanya pelajar perempuan berada dalam keadaan tertekan untuk menjadi pelajar terbaik dan akhirnya mengakibatkan mereka gagal melaksanakan ujian praktikal dengan cemerlang.

Selain itu, kebanyakan para pelajar yang mencatatkan keputusan 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) telah melanjutkan pelajaran mereka ke luar negeri.

"Tetapi sekurang-kurangnya sekolah ini masih boleh berbangga dengan mencatatkan peningkatan para pelajar yang memperolehi lima prinsipal iaitu dari 61 peratus tahun lalu kepada 65.1 tahun ini," tambah Encik Poh lagi.

Secara keseluruhannya, seramai 109 orang pelajar menduduki peperiksaan STPM tahun lalu dengan seorang pelajar mencatatkan keputusan 5A, empat orang pelajar lagi mencatatkan keputusan 4A, enam orang pelajar lagi memperolehi 3A dan lima yang lain mendapat 2A.

Sementara itu, SMB Chung Hua yang mempunyai seramai 19 orang pelajar menduduki peperiksaan STPM tahun lalu hanya mempunyai seorang mencatat keputusan terbaik iaitu Chai Ming Feng dengan memperolehi 3A sementara seorang lagi memperolehi kelulusan sepenuhnya iaitu lima prinsipal dan enam yang lain lulus empat matapelajaran sahaja.


STPM: Prestasi SMK Bintulu bertambah baik

BINTULU - 67 daripada 74 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tahun lalu di Sekolah Menengah Kerajaan Bintulu mendapat sekurang-kurangnya satu prinsipal (P) apabila keputusan peperiksaan tersebut diumumkan hari ini.

Daripada jumlah tersebut, 31 mendapat 5P, 15 calon mendapat 4P, 10 mendapat 3P, 9 lagi calon mendapat 2P, 4 calon mendapat 1P sementara bakinya gagal mendapat sebarang prinsipal.

54 daripada calon yang berjaya mendapat tiga prinsipal layak untuk menerima sijil penuh sementara 15 calon yang mendapat dua dan satu prinsipal dikira lulus tetapi tidak layak untuk menerima sijil penuh.

Berbanding dengan keputusan pada tahun 1997, ternyata keputusan pada tahun lalu (1998) menunjukkan peningkatan yang ketara. Daripada 54 calon yang menduduki peperiksaan STPM tahun lalu(1997), hanya 10 calon sahaja yang berjaya mendapat 5P, 4P dan 3P, 13 calon mendapat 2P sementara tujuh mendapat 1P manakala empat calon lagi gagal mendapat sebarang prinsipal.

Sementara itu, pelajar terbaik bagi peperiksaan tersebut ialah Cik Ang Siew Peng, salah seorang pelajar aliran Sains dengan keputusan 5P iaitu 3A dan 2B.

Beliau mendapat prinsipal A dalam mata pelajaran Matematik Tambahan, Kimia dan Biologi manakala prinsipal B untuk mata pelajaran Pengajian Am dan Fizik.

Menurut Ang, beliau berasa gembira serta bangga dengan keputusan yang diperolehinya serta berpuas hati dengan usaha gigihnya selama ini.

"Untuk mencapai sesuatu kejayaan, seseorang itu mesti mempunyai keyakinan serta citi-cita sambil menambah beliau menghabiskan masa sekurang-kurangnya empat hingga lima jam untuk mengulangkaji mata pelajaran sekali gus memperuntukkan masa yang lebih kepada mata pelajaran yang lemah dan sukar.

Ang yang juga seorang guru sandaran di SMK Bintulu bercadang untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang perubatan di salah sebuah universiti tempatan.


Kolej Tuanku Bujang catat keputusan cemerlang

MIRI - Kolej Tun Datu Tuanku Bujang di sini sekali lagi menempa keputusan cemerlang apabila 96 peratus daripada pelajarnya yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) tahun lalu, lulus penuh.

Seramai 91 daripada 94 pelajar dari kolej berkenaan lulus penuh, manakala yang lainnya lulus sebahagian.

Pelajar aliran sains, William Ling Ing Wei muncul pelajar terbaik apabila lulus penuh dengan mendapat keputusan 5A dan 1C. Ling memperolehi A untuk matapelajaran Matematik, Fizik, Kimia dan Biologi, manakala C untuk Pengajian Am.

Turut cemerlang bagi aliran sains ialah Huong Yiu Dwen (3A, 2B), William Yen Wai Leong (3A, 1B, 1C), Anne Kiu Siau Ching (3A, 2C). Chua Wei Ping (2A, 3B), Chung Kian Fah (2A, 2B, 1C), Huong Kion King (2A, 2B, 1C), Huong Sin Siew (2A, 1B, 2D), Karen Lee (2A, 2B, 1C) dan Lee Hui Hong (2A, 1B, 2C).

Bagi aliran sastera pula, pelajar terbaiknya ialah Kho Kee Bun yang memperolehi A untuk matapelajaran Sejarah dan Geografi, B untuk Pengajian Am, C untuk Ekonomi dan R untuk Bahasa Melayu.

Pelajar terbaik lain ialah Chen Chin Chuan (1A, 2C, 1D, 1R), Haslina Bt. Jack (1A, 2B, 2D) dan Jong Kai Shin (1A, 1C, 2D, 1R).

Sementara itu, bagi SMK Lutong pula, daripada 67 pelajar yang menduduki peperiksaan itu, hanya 14 yang lulus penuh, empat pelajar lain gagal dan bakkinya lulus sebahagian.

Pelajar terbaiknya pula ialah Thien Ai Ping yang memperolehi 1A, 2B, 1C dan 1 D.Menurut seorang jurucakap dari sekolah berkenaan, peratusan tahun ini iaitu 94.03 peratus tidak memuaskan berbanding dengan peratusan tahun lalu, 94.92 peratus.

Mengulas tentang hal ini, katanya, keadaan ini berlaku akibat kemerosotan ketara pelajar Bumiputera dalam pelajaran mereka.

Di Miri, hanya dua buah sekolah iaitu Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang dan SMK Lutong yang mengendalikan kelas Tingkatan Enam.


SMK Three Rivers capai 100 peratus

MUKAH - Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Three Rivers, di sini mencatatkan keputusan kelulusan seratus peratus dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 1998 apabila tiada seorang pun daripada 45 calonnya mendapat Gred F (gagal).

Keputusan STPM 1998 yang dikeluarkan oleh sekolah itu hari ini, menunjukkan peningkatan ketara bagi mata pelajaran Ekonomi apabila mencatat keputusan 88.46 peratus lulus penuh berbanding dengan tahun 1997 yang mencatat keputusan 56.82 peratus lulus penuh.

Mata pelajaran Sejarah juga menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan peningkatan 9.85 peratus lulus penuh dan diikuti oleh mata pelajaran Kesusasteraan Melayu yang mencatatkan peningkatan 7.14 peratus lulus penuh.

Manakala mata pelajaran Pengajian Am, terdapat sedikit peningkatan dengan hanya mencatatkan peningkatan 0.59 peratus lulus penuh dan ini bermakna pada 1998 kelulusan penuh bagi mata pelajaran tersebut ialah 93.18 peratus berbanding 92.59 peratus pada 1997.

Bagaimanapun, mata pelajaran Bahasa Melayu mencatatkan kemerosotan 9.77 peratus apabila hanya mencatatkan keputusan 77.27 peratus berbanding 87.04 peratus pelajar yang lulus penuh pada tahun 1997.

Menurut Penolong Kanan I SMK Three Rivers, Encik Anthony Poon, sekolah berkenaan menawarkan lima mata pelajaran kepada pelajar tingkatan enam iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah, Ekonomi dan Kesusasteraan Melayu.

Manakala dua mata pelajaran lagi ialah mata pelajaran pilihan kepada pelajar iaitu Seni lukis dan Geografi, namun kedua-dua mata pelajaran itu tidak mempunyai guru khas untuk mengajar pelajar yang mengambilnya.

Dalam peperiksaan STPM 1998, seramai enam pelajar mendapat gred A bagi mata pelajaran Sejarah, tiga mendapat gred A bagi mata pelajaran Pengajian Am dan hanya seorang mendapat gred A bagi mata pelajaran Ekonomi.

Pelajar yang mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM 1998 ialah Greena Kong yang mendapat gred A bagi mata pelajaran Sejarah dan ekonomi, mendapat gred B bagi Pengajian Am dan Kesusasteraan Melayu serta mendapat gred D bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.

Hamidah Raya pula mendapat gred A bagi mata pelajaran Sejarah dan mendapat gred B bagi mata pelajaran Pengajian Am, Kesusasteraan Melayu serta ekonomi di samping mendapat gred C bagi mata pelajaran Bahasa Melayu.


Mac 20(Utusan Sarawak)

Pemuda PBB lancar program anak angkat sekolah

KUCHING - Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Negeri akan melancarkan program anak angkat sekolah bagi membantu kerajaan meningkatkan prestasi akademik di kalangan pelajar Bumiputera di negeri ini.

Selain itu, ia juga bagi membantu beberapa sekolah terutama di luar bandar yang memerlukan bantuan kemudahan pembelajaran.

Pengerusi Biro Pendidikan dan Sumber Manusia, Pergerakan Pemuda PBB Negeri, Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, upacara pelancaran itu akan diadakan pada 10 April tahun ini dengan menjadikan Sekolah Rendah Kerajaan (SRK) Pulo, Petra Jaya di sini sebagai anak angkat pertama pergerakan itu.

Katanya, upacara bersejarah itu dijangka disempurnakan oleh Ketua Pergerakan Pemuda PBB Negeri, Datuk Gramong Juna yang juga Menteri Muda Luar Bandar dan Pembangunan Tanah.

"Acara ini diadakan sebagai tanda bermulanya peranan semua ahli Pergerakan Pemuda PBB Negeri melibatkan diri secara langsung dengan aktiviti pendidikan di kawasan masing-masing bagi membantu kerajaan memantau prestasi akademik yang lebih cemerlang terutama pelajar Bumiputera," katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi Pergerakan Pemuda PBB Negeri di sini, hari ini.

Dr Abdul Rahman berkata, program ini juga merupakan bukti jelas keprihatinan dan kesedaran ahli-ahli pergerakan Pemuda PBB terhadap kepentingan ilmu pengetahuan sebagai wahana utama dalam mempertabatkan masyarakat Bumiputera di negeri ini.

Katanya, usaha ini juga akan memboleh semua pihak terutama ahli Pergerakan Pemuda PBB, guru, ibu bapa, pelajar dan kakitangan sekolah bekerjasama dengan menghulurkan bantuan idea dan tenaga secara kolektif ke arah menangani pelbagai isu dalam bidang pendidikan.

Sementara itu, Gramong ketika ditemui di Kuching baru-baru ini berkata, idea untuk mengadakan program anak sekolah ini diilhamkan tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, oleh kerana beberapa perkara tertentu yang perlu dilaksanakan ketika itu maka projek ini ditunda hingga ke hari ini.

Katanya, lagipun semasa tempoh berkenaan semua ahli pergerakan Pemuda PBB Negeri sibuk dengan persiapan mengadakan perhimpunan agung Pergerakan Pemuda PBB dan Perhimpunan Agung PBB peringkat negeri ini.

Difahamkan selepas menjadikan SRK Pulo sebagai anak, Pergerakan Pemuda PBB Negeri juga akan menjadikan SRK Lepong Menuan dalam Bahagian Kapit sebagai anak angkat yang sama.


Mac 18(Berita Harian)

Keputusan STPM diumum Isnin

KUALA LUMPUR, Rabu = Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan diumumkan Isnin ini sementara Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1 April.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, hari ini berkata calon boleh memperolehi keputusan itu di sekolah masing-masing mulai jam 10.30 pagi pada hari berkenaan.

Difahamkan, keputusan peperiksaan STPM akan diumumkan oleh Najib di Bangunan Lembaga Peperiksaan Malaysia di sini manakala SPM masih belum ditentukan.

Seramai 337,847 calon di seluruh menduduki peperiksaan SPM di seluruh negara tahun lalu yang berlangsung mulai 25 November hingga 10 Disember. sementara STPM membabitkan 42,660 calon.


PM bimbang pelajar benci pemerintah

KUALA LUMPUR, Rabu - Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad bimbang dengan pelajar, termasuk penuntut di luar negara yang tidak bersyukur dengan pemberian kerajaan dan mudah dipengaruhi pihak tidak bertanggungjawab supaya membenci pemerintah.

Selain itu, Perdana Menteri juga bimbang dengan pembabitan remaja, khususnya pelajar Melayu dalam kegiatan tidak bermoral.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Suhaimi Ibrahim, berkata Dr Mahathir menyuarakan kebimbangan itu dalam satu pertemuan di antara pemimpin GPMS dan Dr Mahathir, baru-baru ini.

Menurutnya, apabila wujud kecenderungan di kalangan pelajar untuk membenci kerajaan, mereka akan hilang pertimbangan dan kewibawaan sebagai golongan terpelajar, sekali gus gagal bertindak secara rasional.

Justeru, katanya, Perdana Menteri yang juga Penaung GPMS menyokong program Pendidikan Motivasi Nasional anjuran GPMS, bertujuan melahirkan pelajar yang menghargai kerajaan serta cemerlang akademik dan berketrampilan.

"Dr Mahathir melahirkan kebimbangan terhadap masalah berkenaan dan mahu satu mesej yang jelas disampaikan kepada semua peringkat sebagai usaha menangani masalah itu.

"Oleh itu, GPMS berharap Pendidikan Motivasi Nasional yang bermula Sabtu ini akan menjadi asas kepada usaha berterusan GPMS menangani masalah itu," katanya pada sidang akhbar mengumumkan projek perintis program itu, di sini hari ini.

Projek perintis yang akan diadakan di Pontian, Sabtu ini, dijangka disertai kira-kira 200 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Selain itu, ibu bapa pelajar berkenaan, pemimpin masyarakat setempat turut dijemput mengikuti program berkenaan. Beberapa pakar motivasi akan memberi ceramah. Akhbar Metro Ahad juga bekerjasama dengan GPMS untuk mengadakan Dialog Metro Ahad, pada hari itu.

Program itu adalah sebahagian daripada Agenda Perdana GPMS bagi menangani masalah sosial remaja Melayu serta memastikan kecemerlangan bidang pendidikan. Ia bermatlamat melahirkan pelajar yang mempunyai imej, berdedikasi dan berkeyakinan tinggi terhadap negara, kepemimpinan bangsa dan agama.

Kira-kira 30,000 pelajar dari 165 kawasan Parlimen seluruh negara dijangka menyertai program itu sebelum peperiksaan SPM dan STPM bermula, akhir tahun ini.

Mereka mewakili tiga kumpulan iaitu pelajar yang kurang berjaya dalam pelajaran; pelajar cemerlang dalam pelajaran dan aktiviti sekolah bagi memastikan mereka dapat meneruskan kecemerlangan dan pelajar yang menghadapi masalah sosial.

Program itu dilaksanakan berikutan kajian GPMS mendapati remaja Melayu paling ramai terbabit dalam jenayah di ibu kota disebabkan pengaruh rakan sebaya, tekanan hidup dan kemiskinan.

Suhaimi berkata, selepas program itu, GPMS akan membuat tindakan susulan ke atas pelajar berkenaan bagi membentuk satu jaringan yang berkesan di antara GPMS dan kumpulan itu.

Katanya, jaringan yang bakal diwujudkan itu membolehkan GPMS selalu berhubung dengan setiap individu berkenaan, sekali gus mewujudkan sistem pemantuan ke atas golongan itu.


Utusan Sarawak

Sistem pendidikan menjurus usaha lahir tenaga pekerja

SIBU - Sistem pendidikan sekarang lebih menjurus kepada usaha untuk melahir seberapa ramai tenaga sumber manusia yang mahir dalam pelbagai bidang, kata Pengarah Pendidikan Negeri, Haji Putit Matzen.

Menurut beliau, jika dahulu sistem pendidikan hanya menggalak pelajar supaya lulus dalam bidang akademik supaya mudah mendapat kerja tetapi sekarang sistem pendidikan lebih menjurus kepada usaha melahir sumber tenaga manusia yang mahir.

"Sistem pendidikan sekarang jauh berbeza daripada sistem pendidikan dahulu. Dahulu pelajar hanya dituntut untuk lulus peperiksaan tetapi sekarang mereka dituntut untuk menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran demi memenuhi kepelbagaian bidang pekerjaan," katanya ketika merasmikan pembukaan kejohanan Olahraga MSS Bahagian Sibu ke-33 di sini, hari ini.

Putit berkata, dalam pelbagai bidang yang meluas ekoran perkembangan pesat teknologi sekarang, pelajar turut dituntut mengutamakan lima ciri penting dalam bidang pendidikan.

"Menghayati ilmu pengetahuan dan kebolehan berusaha untuk berfikir sendiri dan berinovatif adalah antara lima ciri penting yang harus diutamakan," katanya.

Katanya, tiga lagi ciri penting yang harus diutama dalam sistem pendidikan sekarang adalah memupuk kesihatan pelajar melalui kegiatan sukan, berdisiplin untuk mengawal diri sendiri dan kejujuran serta beretika.

Perkembangan dalam bidang teknologi, pembuatan dan perkilangan memerlukan kemahiran, justeru sistem pendidikan diubah supaya pelajar dapat menceburi kepelbagaian bidang, tambah beliau.

Katanya, kerajaan menggalakkan penubuan kolej swasta adalah semata-mata untuk memestikan anak-anak dapat menimba ilmu pengetahuan sesuai dengan bakat mereka.

Mengenai kejohanan olahraga, Putit berkata, ia adalah gelanggang untuk mencungkil bakat pelajar untuk dipilih menyertai kejohanan lebih besar seperti pada peringkat antarabangsa.

Beliau berharap pelajar dapat menunjuk semangat kesungguhan untuk menonjol sejauh mana kebolehan masing-masing dan berkata, pencapaian Sarawak dalam bidang akademik dan kokurikulum pada peringkat kebangsaan sungguh membanggakan.

"Pada kejohanan MSSM peringkat kebangsaan tahun lalu, Sarawak muncul juara dan kita berharap atlet negeri ini akan dapat mempertahankan kejuaraan itu pada kejohanan peringkat kebangsaan di Kota Kinabalu Mei depan," katanya.

Putit turut berbangga kerana dua pelajar negeri ini berjaya memenangi tempat pertama dan ketiga dalam peraduan menulis essei sejarah peringkat kebangsaan tahun ini.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang peraduan itu dilangsungkan di Pulau Pinang semalam.

Pegawai Pendidikan Bahagian merangkap Pengerusi MSSM Bahagian Sibu, Chang Foh Soon, Pengerusi Lembaga Pengarah SMB Tiong Hin, Datuk Teng Chin Chua dan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu, Encik Vincent Goh Chung Siong adalah antara mereka yang hadir sama.


Mac 17(Utusan Sarawak)

Penglibatan pelajar dalam aktiviti ko-kurikulum penting

KUCHING - Penglibatan para pelajar sekolah dalam aktiviti sukan dan ko-kurikulum amat penting untuk melahirkan insan yang sempurna.

Demikian menurut Pengetua Sekolah Menengah Bantuan Chung Hua (SMB) Miri, Dr. Fong Onn Min ketika dihubungi hari ini.

Katanya, projek-projek untuk meningkatkan imej dan pencapaian sekolah dalam aspek pendidikan ini telah pun bermula sejak empat belas tahun lalu.

"Dengan melaksanakan projek-projek sedemikian amat berhasil dan kini telah meningkatkan lagi imej sekolah dari tahun ke tahun yang telah mencapai pelbagai kejayaan.

"Antara kejayaan yang amat membanggakan pihak sekolah SMB Chung Hua ialah di bidang sukan, akademik, ko-kurikulum dan pelbagai aktiviti.

"Dan, baru-baru ini dua pelajar sekolah ini telah dipilih untuk menjalani latihan dan menyertai kejohanan olahraga di Austalia iaitu Boneface Lejau di acara 100m dan 200m dan Sia Shao Xiong di acara lompat tinggi," jelas Dr. Fong.

Kini, pihak sekolah semakin bangga dengan kejayaan dan pencapaian cemerlang yang dipamerkan oleh beberapa pelajar ini yang telah diserap untuk mewakili Sarawak di Sukan Malaysia (SUKMA) dan ke peringkat yang lebih tinggi, tambahnya.

Mengenai Kejohanan Olahraga Tahunan, Majlis Sukan Sekolah-sekolah Menengah Bahagian Miri/Bintulu (MSSMMB) pada 23 hingga 25 Mac depan.

Beliau menyatakan bahawa Sekolah ini terus berusaha untuk mempertahankan kejuaraan dan cuba untuk mendapatkan gelaran juara MSSMMB kali ke-12.

Pada tahun 1998, sekolah ini telah ketinggalan satu piala kejuaraan keselurahan di MSSMMB akibat jerebu melanda bahagian ini hingga MSSMMB tidak dapat dilangsungkan.

Antara atlit yang akan memberi cabaran hebat kepada sekolah-sekolah alain nanti ialah Boneface Lejau, Lim Teck leong, Undi ak Mamat, Kong Yubg Hui, Sia Sho Leng, Kho Cgung Yuan, Goh Kiing King, Sim Han Vui dan Lee Hin Tat (Lelaki A).

Manakala atlit Perempuan A ialah Voon Lee Choo, Lilen ak Umpa, Ng Siew Tyng dan Lydia Pasin, di mana kebanyakan atlit ini pernah mewakili Sarawak ke SUKMA.


Pelajar universiti berperanan penting dalam pembangunan

KAPIT - Para pelajar universiti memainkan peranan penting dalam proses pembangunan masyarakat dan negara kerana mereka adalah golongan yang mampu membuka mata masyarakat setempat dalam meninjau progres pembangunan yang boleh menjurus kepada masa depan yang cerah.

Menteri Pelancongan Sarawak Dato’ James Jemut Masing berkata, golongan intelektual tersebut adalah suara rakyat yang mampu mengetengahkan idea dan pandangan yang positif.

"Dengan membabitkan diri secara lebih rapat kepada masyarakat, mereka (pelajar universiti) tentu memahami dengan lebih mendalam tentang masalah dan kebajikan masyarakat tempatan.

"Secara tidak langsung, pada masa yang sama saya percaya mereka juga tentu akan dapat mencari penyelesaian untuk mengatasi sebarang masalah yang dihadapi," jelas beliau ketika berucap pada majlis penutupan Projek Baktisiswa PERKASA 1998/1999.

Majlis yang berlangsung di dewan masyarakat Kampung Baru pada malam Ahad lalu adalah anjuran Perkumpulan Anak-Anak Sarawak (PERKASA) Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Beliau berharap projek itu boleh membawa perubahan dan pembangunan kepada masyarakat di sini, di samping menjalin persahabatan yang lebih erat antara pelajar dan keluarga mereka.

"Perubahan gaya hidup yang lebih baik tidak akan datang secara mengejut kerana ia memerlukan beberapa proses atau peringkat sebelum seseorang itu berjaya mencapainya.

"Perubahan juga tidak hanya bergantung kepada kekuatan mental, tetapi lebih kepada usaha gigih seseorang yang ingin menjadi berjaya dalam menentukan masa depan masing-masing," ujarnya.

James memuji pelajar PERKASA USM yang telah berjaya menganjurkan projek tersebut, sekali gus memperoleh pengalaman baru sepanjang projek tersebut berlangsung.

Apa yang penting, menurut beliau, objektif projek Baktisiswa telah mencapai sasaran dan memberi kepuasan kepada para peserta.

Beliau juga bangga dengan langkah berani tujuh pelajar dari Semenanjung Malaysia yang telah mengambil bahagian dalam projek tersebut dan berkongsi gaya hidup dengan beberapa keluarga di Kampung Baru Kapit yang dipilih untuk menyertai projek ityu.

"Setelah bersama dengan masyarakat di sini, saya optimistik para peserta telah melihat, memerhati dan merasai sendiri gaya hidup, sikap, budaya dan pembangunan sosial masyarakat di sini, yang sedikit sebanyak berbeza dari di Semenanjung Malaysia.

"Walaupun terdapat perbezaan, kita adalah sama rakyat Malaysia dan perbezaan tersebut merupakan penemuan yang sungguh unik dan boleh dianggap budaya yang baru kepada para peserta," terang beliau.

Sehubungan itu, beliau berharap pelajar dari Semenanjung Malaysia, yang pertama kali melawat negeri ini setelah menyertai projek tersebut, akan dapat menceritakan keunikan Sarawak, di samping mengadakan lawatan ke negeri ini pada masa akan datang.

"Sekarang anda telah melihat sendiri keindahan alam semulajadi dan penduduk di sini. Jadi kongsilah pengalaman anda itu dengan kawan-kawan anda di sana," kata beliau seraya menyeru mereka yang terbabit akan dapat menjadi duta dengan menceritakan pengalaman masing-masing mengenai penduduk dan keindahan di sini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada penduduk Kampung Baru Kapit kerana sudi menjadi tuan rumah projek berkenaan, di samping kerjasama yang diberikan sepanjang projek tersebut berjalan.

Antara tetamu kehormat yang turut hadir pada majlis itu ialah Residen Kapit, Encik Hillary Mukit Guroh, Pegawai Daerah Kapit, Encik Michael Dawie, Temenggong Chua Syn Min dan Pemanca Abang Bolhassan yang telah diberi kesempatan berucap mewakili penduduk Kampung Baru Kapit.


Mac 13(Utusan Sarawak)

Pendekatan pengajaran di IPT tempatan harus global

KUCHING - Institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan harus menyesuaikan pendekatan pengajarannya dengan senario global yang telah berubah terutama dari segi pengajaran kursus-kursus berkaitan ekonomi.

Menteri Pembangunan Perindustrian Dato' Abang Haji Johari Tun Abang Haji Openg berkata, senario ekonomi semasa membuktikan bahawa beberapa teori ekonomi yang dipelajari sebelum ini sudah tidak lagi relevan.

"Teori ekonomi lama menyatakan jika kita tingkatkan modal, buruh dan tanah kita akan dapat meningkatkan keuntungan atau pendapatan dalam ekonomi.

"Tetapi teori ini tidak mengambil kira peranan dan pengaruh teknologi maklumat (IT) yang telah banyak mengubah cara perniagaan dijalankan pada masa ini," katanya ketika berucap merasmikan pameran pendidikan Academia '99 East Malaysia di sebuah hotel terkemuka di sini hari ini.

Dato' Abang Johari berkata, Bill Gates tidak mempunyai banyak tanah tetapi dia merupakan manusia terkaya di dunia pada masa ini kerana dia mempunyai ilmu pengetahuan iaitu IT.

Menurutnya, pada alaf akan datang, pengetahuan dalam IT ditambah dengan beberapa perkara lain akan menentukan kejayaan seseorang.

Katanya, itulah senario yang harus diambil kira oleh IPT tempatan dalam pendekatan pengajaran kursus-kursus yang ditawarkannya.

"Dalam kelembapan ekonomi sekarang, kita memerlukan pengurus yang cekap dalam mengurus ekonomi berdasarkan senario semasa.

"Kita perlukan pengurus yang berkeupayaan mengubah gaya pengurusan, menstrukturkan semula hal-hal kewangan dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Abang Johari yang juga menteri yang bertanggungjawab dalam hal-ehwal pendidikan negeri ini memberitahu kerajaan negeri akan meningkatkan insfrastruktur pendidikannya untuk menggalakkan pelajar asing melanjutkan pengajian di Sarawak.

Menurutnya, pada masa ini terdapat lebih 2,000 pelajar asing belajar di pelbagai institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) di negeri ini.

Sambil mengharapkan pameran itu memberi peluang seluasnya kepada pelajar memilih kursus yang bakal mereka ikuti beliau menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak memberi penekanan kepada kursus-kursus kejuruteraan (mekatronik), kejuruteraan genetik dan bioteknologi.

Pameran Academia '99 East Malaysia berlangsung selama tiga hari (12 hingga 14 Mac 1999) di tingkat tiga Hotel Crown Plaza.

Pameran yang disertai 22 IPT itu dibuka dari jam 10 pagi hingga jam 9 malam sepanjang tempoh berkenaan.

Pelbagai acara sampingan seperti ceramah kerjaya, kuiz dan sebagainya turut diadakan sempena pameran itu.


BSN Sri Aman edar semula borang UPU hari ini

SRI AMAN - Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini, akan mengedarkan semula Borang UPU seawal pagi esok setelah menerima penghantaran stok borang berkenaan untuk kali ketiga petang semalam.

Penjualan Borang berkenaan di pejabat BSN di sini esok turut membuka peluang sekali lagi kepada pelajar lepasan SPM dan STPM di kawasan ini yang berhasrat melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi untuk mendapatkan Borang UPU itu secara terus dari wakil tunggal pengedarannya.

Jurucakap BSN di sini berkata, pelajar yang tidak berkesempatan untuk membeli borang UPU yang dijual dengan harga RM11.50 pada sesi jualan pertama Januari dan jualan kedua Februari lalu kini boleh mendapatkannya mulai esok dengan harga yang sama.

"Cawangan BSN di sini telah mengedarkan sebanyak 100 naskhah borang tersebut pada sesi jualan pertama bulan Januari dan 60 naskhah pada sesi jualan kedua Februari lalu."

"Kami mendapati sambutan pelajar yang datang untuk membeli borang berkenaan amat menggalakkan dan ianya begitu laris sehingga habis dijual pada hari yang sama," jelas jurucakap BSN tersebut yang enggan namanya disiarkan.

Justeru berdasarkan sambutan yang telah diberikan, beliau mengingatkan agar pelajar berkenaan datang segera ke pejabat Bank Simpanan Nasional di sini.

Bagaimanapun, sekiranya stok jualan kali ketiga ini tidak mencukupi untuk menampung jumlah permintaan yang dijangka amat baik terhadap borang UPU tersebut, menurut jurucakap itu, pelajar bopleh mendapatkan borang berkenaan melalui dua lagi cara iaitu dengan memasukkan RM10.60 kedalam akaun Unit Pusat Universiti yang sediakan atau membeli terus dari Unit Pusat berkenaan dengan mengirimkan sampul surat bersetem dan beralamat sendiri.

"Pihak kami turut bersedia menerangkan kepada pelajar mengenai kedua-dua kaedah berkenaan dengan lebih lanjut bagi membantu mereka mendapatkan borang permohonan tersebut," tambahnya lagi.


Mac 11(Utusan Sarawak)

Burhanudin, anak Sarawak pertama dan termuda ditawar ikuti pengajian PhD

KUCHING - Adik Burhanudin Al-Helmy Baki, 17, merupakan anak Sarawak pertama dan termuda ditawarkan melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Teori Nombor Matematik di Amerika Syarikat.

Bapanya, Profesor Madya Dr Baki Haji Bakar yang bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya (UM) berasal dari Kampung Pinang, Kota Samarahan manakala ibunya dari Kampung Santubong.

Kemampuan anak kedua daripada empat adik-beradik ini terselah ketika beliau membentangkan kertas kerja pertamanya dalam bidang teori nombor, di Institusi Sains Matematik (ISM), UM baru-baru ini.

Kertas kerja yang bertajuk 'On a class of intresesting nested radicals' telah mendapat pujian daripada beberapa pakar matematik tanah air dan luar negara yang menyertai kolokium itu.

Ini meletakkan Burhanudin setanding dengan pakar matematik lain yang turut membentangkan kertas kerja masing-masing seperti Prof. Bruce C Berndt dengan kertas kerja bertajuk Ramanujan and His Notebooks dan Ramanujan's Lost Notebook.

"Saya ditawar melanjutkan pengajian ke peringkat PhD dalam bidang teori nombor matematik di beberapa institusi pengajian tinggi di Amerika antaranya di universiti Illinois, Massachusets Institute of Technology (MIT), Harvard dan Stanford," katanya ketika ditemui di pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), di sini hari ini.

Burhanudin yang kini menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan penuntut Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak.

"Bidang teori nombor matematik merupakan sesuatu yang abstrak dan memerlukan penghayatan serta pemikiran yang mendalam," ujarnya.

Dia juga berhasrat untuk mencipta teori nombor matematik menjadi sesuatu yang boleh digunakan dalam semua bidang termasuk meramal ekonomi, permainan dan menulis sastera, selepas menamatkan pengajian kelak.

Ketika ditanya rahsia mengenai kepakarannya dalam bidang itu, dia berkata, antara faktor yang mempengaruhi minat mendalamnya dalam teori nombor ialah peranan kedua ibu bapanya.

"Mungkin baka yang lahir dari Sarawak, pintar dalam matematik," katanya berseloroh.

Selain itu, sudah menjadi kebiasaan bagi Burhanudin menyimpan buku nota dalam saku setiap masa dan akan mengaitkan teori nombor kepada apa jua yang ditemuinya termasuk, pokok.

Selain daripada cemerlang dalam bidang akademik, Burhanudin turut mahir bertutur dalam bahasa Perancis dan Jepun.


Mac 10(Utusan Sarawak)

MPSB pindah ke Samarahan

BINTULU - Maktab Perguruan Sains Bintulu (MPSB), yang telah beroperasi sejak lima tahun lalu di sini akhirnya akan ditutup dan para pensyarah, kakitangan sokongan dan harta bendanya akan dipindahkan ke Maktab Perguruan Samarahan.

Pengetua MPBS, Encik Encharang Agas berkata, sekiranya semua berjalan dengan lancar perpindahan itu akan bermula pada bulan Jun dan akan memulakan semester keduanya pada 14 Jun di Samarahan.

Maktab Perguruan Samarahan dijangka akan siap sepenuhnya menjelang April depan.

Pemindahan itu akan membabitkan 138 kakitangan yang terdiri daripada 80 kakitangan tetap, enam kakitangan kontrak, 43 pensyarah, tujuh ketua-ketua jabatan, seorang pengetua dan seorang penolong pengetua.

Tapak letaknya MPSB yang terletak atas tapak seluas kira-kira 800 hektar, kira-kira lapan kilometer dari pusat bandar ini akan diserahkan semula kepada Universiti Putera Malaysia (UPM).

Sebelum perpindahan ini sebanyak 303 pelatih yang sedang mengikuti kursus Diploma Pendidikan Malaysia (DPM) akan menamatkan pengajian mereka pada bulam Mei ini.

"Saya tidak pasti samada konvokesyen untuk graduan pertama DPM ini dapat diadakan di sini atau tidak," jelas Encik Encharang lagi.

MPSB merupakan antara 31 buah maktab perguruan di Malaysia dan salah sebuah daripada empat buah yang terdapat di negeri ini, disamping Maktab Perguruan Batu Lintang, Kuching, Maktab Perguruan Sarawak, Miri dan Maktab Perguruan Rejang di Bintangor.

Sejak beroperasi pada tahun 1995, MPSB berjaya melahirkan 1,290 guru-guru pelatih yang mengkhusus dalam bidang matematik dan sains.