(Sila tekan "Reload" atau "Refresh" untuk mendapatkan berita yang terkini

Mei 27(Utusan Sarawak)

Usia bukan penghalang untuk melanjutkan pelajaran

KUCHING - Khuatir terhadap keupayaan diri merupakan faktor utama yang menyebabkan ramai golongan dewasa enggan meneruskan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.

Segelintir golongan dewasa merasakan diri mereka sudah terlalu lama meninggalkan alam persekolahan atau pengajian.

Bagaimanapun kekhuatiran ini sebenarnya tidak berasas, menurut sebuah kolej tempatan, Institut Kajian Perniagaan dan Perdagangan(IBMS).

Golongan dewasa mungkin berjaya dalam alam pekerjaan sejak beberapa tahun dan sepatutnya tiada sebarang perbezaan timbul sekiranya kembali belajar, menurut seorang pegawai di IBMS.

Atas kesedaran ini, IBMS membuka peluang bagi golongan bekerja untuk mendaftarkan diri sebagai penuntut separuh masa di institusi-institusi pengajian tinggi itu untuk mengikuti program diploma dan ijazah secara kembar dengan badan-badan profesional dan universiti-universiti luar negara.

"Penuntut paling tua yang mendaftarkan diri di institusi kami berusia 58 tahun. Ini menunjukkan usia bukanlah menjadi penghalang dalam menimba ilmu," jelas jurucakap IBMS.

Berdasarkan pencapaian, penuntut separuh masa selalunya memperolehi pencapaian yang memberangsangkan dalam peperiksaan berbanding dengan penuntut sepanuh masa yang lazimnya jauh lebih muda.

Contohnya Encik James Anthony, seorang eksekutif di sebuah syarikaf farmaseutikal yang merupakan seorang pelajar separuh masa di IBMS berjaya menguasai teknik-teknik pengurusan masa.

Encik James menerima Sijil kepujian daripada pengarah IBMS dan Ahli Parlimen Santubong, Hajah Rohani Haji Abdul karim selepas memperolehi agregat penuh 'A' dalam peperiksaan peringkat diploma baru-baru ini.

Ditanya kaedah yang membantu kejayaannya, James memberitahu: "Ia sebenarnya bergantung kepada penyelarasan. Keupayaan saya tidak begitu ketara pada peringkat awal. Namun begitu pensyarah banyak membantu saya."

Selain daripada itu, James juga mendapat sokongan padu daripada isterinya dan dia turut menyimpan hasrat untuk meneruskan pengajian dalam ijazah kewangan di University of Southern Queensland (USQ) yang turut ditawarkan oleh IBMS.

Rohani memuji James dan golongan dewasa lain yang mendaftarkan diri sebagai pelajar atas kesedaran mereka mengenai kepentingan pelajaran. Beliau turut mengambil contoh pengalamannya sendiri sewaktu mengikuti kursus ijazah.

Beliau terpaksa menghadapi kesukaran dan membahagikan masa di antara keluarga, teman dan juga tugas-tugas sebagai wakil rakyat. Usaha yang dilakukan berbaloi apabila berjaya mendapat ijazah.

Rohani melahirkan gembira atas usaha yang dilakukan oleh IBMS dalam menyediakan peluang kepada golongan dewasa untuk melanjutkan kelayakan akademik.


April 27(Berita Harian)

Pelajar dakwa diupah sertai reformasi

KUALA LUMPUR, Isnin - Seorang daripada sembilan pelajar sebuah sekolah menengah yang ditahan polis kerana terbabit dalam rusuhan di ibu negara 14 April lalu, kesal dengan perbuatannya dan meminta supaya orang lain tidak menyertai apa yang dipanggil gerakan reformasi.

Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah (Lelaki) Methodist, Sentul, itu mengakui ketelanjurannya turut serta merosakkan kenderaan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dan mendakwa perbuatan spontan itu didorong orang di sekelilingnya ketika itu.

"Janganlah sertai reformasi," katanya apabila ditanya nasihatnya kepada rakan sebaya.

Beliau yang menutup mukanya dengan kemeja-T mendakwa ada pihak tertentu yang mengupah orang ramai, termasuk pelajar yang ketika itu berada di sekitar Jalan Tun Perak berhampiran stesen LRT, supaya bertindak ganas.

Ditanya berapa bayaran yang diberikan, pelajar itu mendakwa : "Saya tak tahu sebab saya tak ambil. Tapi memang ada seorang pakcik yang bagi."

Menurutnya, dia dan rakan lain terdorong untuk bertindak ganas apabila melihat orang di sekeliling mula mengerumuni kenderaan TV3 itu.

"Tendang kereta TV3!", begitulah dakwanya suara yang datang dari beberapa lelaki di situ.

"Saya hanya mengikut suara-suara menyuruh kami supaya bertindak ganas," katanya ketika ditemui di luar Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala Lumpur, selepas dibebaskan petang ini.

Pelajar itu yang masih memakai seluar seragam sekolah bersama lapan rakannya yang lain - juga dari sekolah yang sama, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini, walaupun tempoh tahanan reman ke atas mereka hanya akan berakhir pada 30 April ini.

Mereka diserahkan kepada penjaga masing-masing yang turut dipanggil ke IPPK untuk sesi perbincangan dengan polis, pihak sekolah dan pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.

Siasatan ke atas kes mereka sudah selesai dan kini dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Md Ali, ketika bercakap kepada pemberita kelmarin berkata, pelajar terbabit mungkin akan didakwa kerana terbabit dalam rusuhan, menyertai perhimpunan haram dan merosakkan harta benda awam.

Sementara itu, seorang penjaga yang enggan dikenali mendakwa tidak tahu menahu berhubung pembabitan anaknya di dalam rusuhan berkenaan sehinggalah anaknya ditahan awal pagi kelmarin.

Beliau kesal anaknya itu terpengaruh dengan perkembangan sekeliling.

Wanita itu juga percaya anaknya selain terpengaruh dengan rakan sebaya, turut diperalatkan oleh pihak tertentu yang mahu rusuhan itu digambarkan disertai pelbagai peringkat umur.

"Sudah tentu saya kesal dengan kejadian ini dan tidak sangka anak saya sendiri terbabit," katanya.

Pengetua Sekolah Menengah (Lelaki) Methodist, Sentul, Han Seng Kuang, serta Penolong Kanan Hal-Ehwal Muridnya, Siti Hawa Omar tidak dapat dihubungi kerana sedang menguruskan kes itu.

Seorang jurucakap sekolah itu ketika dihubungi memberitahu kedua-dua mereka akan hanya boleh dihubungi semula, esok.


Polis bebas 9 pelajar

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bandaraya, Senior Asisten Komisioner II Mat Zain Ibrahim, berkata siasatan ke atas pelajar terbabit sudah selesai dan polis tidak mahu terus menahan mereka supaya pelajaran mereka tidak terganggu.

Menurutnya, pelajar terbabit diserahkan untuk pengawasan penjaga masing-masing sementara menunggu tindakan lanjut Jabatan Peguam Negara berhubung kes itu.

Beliau berkata, pelajar terbabit sepatutnya ditahan reman sehingga 30 April, tetapi dibebaskan lebih awal kerana polis merasakan siasatan kes mereka sudah lengkap.

"Hasil maklumat dari sekolah mereka, pelajar yang ditahan ini kurang pengawasan penjaga dan ponteng sekolah di antara 14 hingga 19 hari.

"Kita membebaskan mereka dengan jaminan polis selepas berbincang dengan penjaga mereka, pihak pengurusan sekolah serta pegawai Jabatan Pendidikan," katanya di sini hari ini.

Beliau juga mengesahkan mengenai tindakan pihak tertentu mengupah pelajar dan orang ramai dengan wang tunai, tetapi tidak mendedahkan siapa yang terbabit.

"Kita masih menyiasat perkara ini," katanya.

Mat Zain juga meminta mereka yang terbabit dalam rusuhan dan perhimpunan haram itu supaya tampil menyerah diri.

"Setakat ini, empat orang sudah menyerah diri selepas gambar mereka tersiar dalam akhbar.

"Seorang lelaki berusia 40 tahun datang Sabtu lalu, manakala hari ini tiga lagi berbuat demikian. Masing-masing berusia 33 dan 27 tahun serta seorang pelajar keciciran berusia 16 tahun.

"Kita tahu alamat dan identiti mereka yang dikenal pasti dan menasihati supaya mereka yang gambar masing-masing sudah tersiar dalam akhbar supaya turut menyerah diri," katanya.

Beliau berkata, polis turut menerima 60 panggilan telefon daripada orang ramai berhubung penyiaran gambar berkenaan yang memberi maklumat mengenai identiti mereka yang terbabit.

"Kita sedang mencari yang lain. Polis akan menjalankan siasatan dan akan membebaskan mereka jika pasti 100 peratus mereka tidak terbabit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Md Ali, berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan mengambil langkah proaktif bertemu pelajar, terutama di sekolah menengah untuk memberi ceramah dan kaunseling kepada mereka.

Katanya, arahan sudah dikeluarkan kepada semua empat Ketua Polis Daerah dalam kontinjen Kuala Lumpur iaitu Dang Wangi, Sentul, Cheras dan Brickfields untuk mengenal pasti sekolah tertentu untuk menjalankan program itu.

"Kita dapati pelajar sekolah menengah ini lebih mudah terpengaruh dengan kegiatan tidak berfaedah seperti menyertai perhimpunan haram.

"Mereka hanya memikirkan keseronokan tanpa memikirkan risiko kepada masa depan masing-masing. Golongan seperti ini penting untuk dijadikan sasaran supaya didedahkan kepada kaunseling dan sesi ceramah dengan pihak berkuasa sebagai langkah membendung gejala ini daripada terus berleluasa," katanya di sini, hari ini.


Mac 27(Berita Harian)

Keputusan SPM diumum di Sekolah Muzafar Shah

PEKAN, Jumaat - Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu di Sekolah Menengah Sains Muzafar Shah, Melaka, pada 1 April ini.

Sekolah berkenaan dipilih kerana memperolehi keputusan cemerlang dalam SPM.

Menurut Najib, secara keseluruhan keputusan peperiksaan SPM tahun lalu sangat memberangsangkan dan maklumat terperinci mengenainya akan diumumkan pada hari berkenaan pada jam 10 pagi.

"Kita memilih Sekolah Menengah Sains Muzafar Shah kerana ia mendapat keputusan cemerlang dapat peperiksaan itu," katanya selepas penyerahan enam lembu korban bagi pihak Umno bahagian Pekan kepada enam wakil masjid di kawasan Parlimen Pekan, sempena Adiladha di Masjid Chini Tiga, dekat sini, hari ini.

Masing-masing dua ekor lembu diberikan kepada masjid di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Pahang, Dun Bebar dan Dun Chini.

Seramai 337,847 calon menduduki peperiksaan SPM di seluruh negara tahun lalu yang berlangsung mulai 25 November hingga 10 Disember.

Calon SPM boleh mendapatkan keputusan itu di sekolah masing-masing pada hari yang sama.


Penuntut Malaysia di Britain tidak sebar dakyah

LONDON, Jumaat - Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) London, mengambil pendekatan proaktif bagi memastikan pelajar Malaysia yang berada di Britain tidak terpengaruh dengan gejala menyebar dakyah untuk parti pembangkang.

Pengarahnya, Abdul Rahim Mohamad, berkata walaupun pihaknya sehingga ini tidak mendapat maklumat ada pelajar terbabit dengan kegiatan itu, MSD sentiasa peka dan berusaha memastikan ia tidak berlaku.

Menurutnya, MSD sentiasa mengawasi kegiatan semua pelajar yang berada di bawah jagaan dan bidang kuasanya bagi memastikan gejala menyebar dakyah untuk parti pembangkang itu, tidak menular ke sini.

"Ia bukan bermakna kita ingin menyekat kebebasan penuntut Malaysia di sini, cuma memastikan mereka sentiasa sedar dengan tanggung jawab mereka yang sebenarnya," katanya kepada Berita Harian di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu pembabitan mahasiswa dalam gerakan propembangkang yang kini hangat diperkatakan di tanah air, dan sama ada ia menular ke Britain.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kementeriannya mengesan ada segelintir pelajar universiti yang terbabit menyebar dakyah untuk parti pembangkang.

Antara kaedah yang dilakukan mereka termasuk menyebar maklumat menerusi Internet, menghasut pelajar secara sulit dan membawa pelajar supaya terpengaruh dengan idea parti pembangkang menjatuhkan kerajaan.

Abdul Rahim berkata, dalam menangani isu berkenaan, pihak MSD sentiasa bersikap proaktif, terbuka dan matang iaitu mengadakan dialog dan forum dengan pelajar dari semasa ke semasa.

"Menerusi program sebegini, kita cuba memberi pemahaman kepada pelajar bahawa mereka sebenarnya boleh membincangkan mengenai pelbagai isu semasa di tanah air, tetapi ia mestilah dibuat dengan cara yang konstruktif.

"Memang sudah menjadi resam pelajar, ada yang bersifat radikal dan kritikal, tetapi MSD sentiasa menggalakkan mereka menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakan pendapat," katanya.

Beliau berkata, sehingga ini usaha sedemikian berkesan untuk menyemai kesedaraan kepada pelajar kita dan ia secara tidak langsung membantu proses perkembangan minda menerusi cara lebih sihat.

Selain itu, katanya, satu daripada unsur yang boleh menjadi benteng kukuh mengelak pelajar Malaysia terbabit dengan kegiatan propembangkang ialah dengan memberi kesedaran mengenai tanggungjawab sebenar mereka.

Menurutnya, jika semua penuntut sedar matlamat mereka berada di luar negara ialah untuk menimba ilmu, pengaruh anasir seumpama itu sudah tentu dapat dikurangkan.

"Memang mengambil tahu mengenai isu semasa ialah sebahagian daripada proses mencari ilmu tetapi menyokong pihak tertentu secara melulu sehingga sanggup diperalatkan, bukanlah caranya," katanya.

Abdul Rahim berkata, sehingga ini kebanyakan pelajar Malaysia di Britain masih terkecuali daripada kegiatan menyebar dakyah untuk pembangkang ini dan MSD akan berusaha memastikan ia tidak menjadi ancaman, pada masa depan.

Selain itu, kesanggupan pemimpin kerajaan untuk mengadakan dialog terbuka dengan pelajar Malaysia setiap kali datang ke sini, juga banyak membantu memberikan gambaran sebenar mengenai apa yang berlaku di tanah air.

"Kita harap, menerusi usaha MSD dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak, semua pelajar kita di sini dapat menilai yang mana yang baik atau buruk serta tidak terjebak dalam anasir negatif seperti itu," katanya.


Utusan Sarawak

UNIMAS derma dua komputer

KAPIT - Sekolah rendah Kerajaan (SRK) Kampung Baru di sini merupakan sekolah yang bernasib baik kerana dipilih sebagai penerima dua unit komputer terpakai sumbangan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pagi semalam.

Upacara ringkas penyerahan komputer berkenaan berlangsung di dewan sekolah SRK Kampung Baru. Profesor Dato Zawawi Ismail menyerahkannya kepada Guru Besar SRK Kampung Baru, Encik Yusuf bin Mohammad.

Bercakap kepada pemberita selepas upacara penyerahan komputer itu, Profesor Dato Zawawi memberitahu, sumbangan itu merupakan salah sebuah projek atau kempen kesedaran mengenai kepentingan teknologi maklumat (IT) UNIMAS kepada sekolah-sekolah di luar bandar supaya guru dan pelajar dapat menikmati perkembangan dalam bidang tersebut.

Selain itu, ia juga sebagai tanda kenangan kepada SRK Kampung Baru mengenai lawatan kakitangan UNIMAS ke sini.

"Walaupun komputer itu telah dipakai, tetapi ia masih dapat berfungsi dengan baik serta memuaskan," ujarnya dan menambah, UNIMAS masih mempunyai banyak komputer yang tidak dipakai kerana terdapat beberapa jenis komputer baru dengan versi baru yang lebih sofistikated digunakan.

Beliau menegaskan, pengetahuan mengenai IT merupakan asas penting kepada pembangunan teknologi masa depan.

Oleh yang demikian, katanya, para pelajar harus diberi peluang untuk mempelajari ilmu IT.

"Saya berharap dapat menyaksikan beberapa pelajar dari sekolah dari bahagian ini untuk melanjutkan pendidikan di peringkat universiti terutamanya UNIMAS," tambahnya.

Dalam pada itu, Yusuf berkata, beliau sendiri akan menentukan penggunaan komputer tersebut sepenuhnya.

"Saya menganggap komputer berkenaan sebagai satu aset penting bagi sekolah," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada UNIMAS kerana bermurah hati menyumbangkan dua unit komputer yang sangat diperlukan oleh pihak sekolah itu dan pelajarnya.

Jelasnya, pihak sekolah akan mengadakan kelas komputer dalam sedikit masa lagi supaya pelajar dapat memahami ilmu IT serta cara-cara penggunaan komputer.

"SRK Kampung Baru mempunyai murid seramai 533 orang dengan dua sesi persekolahan pagi dan petang kerana bilik kelas yang ada tidak dapat menampung jumlah pelajar yang semakin bertambah," jelas Yusuf.

Seramai 152 daripada jumlah 533 pelajar yang menuntut di sekolah itu merupakan pelajar berasrama dengan jumlah tenaga pendidik seramai 33 orang.


Mac 26(Utusan Sarawak)

SMK Lutong johan projek PRIAS

MIRI - Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Lutong di sini sekali lagi sekali lagi menggondol tempat pertama dalam projek Riadah Alam Sekitar (PRIAS) peringkat kebangsaan tahun ini.

Tahun 1997, sekolah terbabit turut merangkul anugerah yang sama ketika PRIAS diperkenal sebagai projek peringkat kebangsaan.

Pada tahun ini, sebanyak 1,000 sekolah dengan 3,200 pelajar dari seluruh negara mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

Bagaimanapun, SMK Lutong yang diwakili oleh empat pelajarnya iaitu Lau Hoon Ying, Janet Asong, Yong Su Mei dan Joyce Liaw dengan guru pembimbing mereka, Cikgu Lee Hou Giap ternyata lebih menyerlah daya kreativiti masing-masing.

Dengan kemenangan itu, sekolah terbabit memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM2,500, sijil penghargaan dan cenderamata.

Hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Dato’ Abu Bakar Daud dalam satu majlis di Jabatan Alam Sekitar Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengetua SMK Lutong, Encik Nicholas Hii ketika mengulas kemenangan itu berkata, ia adalah hasil usaha gigih pelajar dan berharap ia dapat dipertahankan pada masa depan.

PRIAS yang ditaja sepenuhnya oleh Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd dianjur Kementerian Alam Sekitar dan Kementerian Pendidikan untuk memupuk semangat cintakan alam sekitar di kalangan pelajar.

Selain itu, ia juga mendorong mereka supaya positif dalam usaha pemuliharaan alam sekitar.


Mac 25(Berita Harian)

GPMS bidas siswa propembangkang

KUALA LUMPUR, Rabu - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) membidas tindakan segelintir pelajar institusi pengajian tinggi tempatan yang terbabit dengan parti pembangkang dalam usaha menyebarkan dakyah untuk menggugat kerajaan.

Presidennya, Datuk Suhaimi Ibrahim, menyifatkan pembabitan itu sebagai perbuatan tidak waras dan melampaui batas kesopanan masyarakat negara ini.

"Sepatutnya sebagai individu berpendidikan tinggi, pelajar berkenaan tidak melakukan perkara yang bertentangan, apatah lagi mereka ini disanjung oleh masyarakat.

"Perbuatan ini menunjukkan mereka sudah hilang kewibawaan dan bertindak mengikut rentak pihak pembangkang semata-mata," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, bahawa kementeriannya mengesan pembabitan pelajar universiti menyebar dakyah untuk parti pembangkang.

Antara kaedah yang dilakukan ialah menyebar maklumat melalui Internet, menghasut pelajar secara sulit, dan membawa pelajar ke markas pembangkang pada waktu malam untuk mempengaruhi mereka dengan dakyah parti berkenaan.

Suhaimi berkata, sikap pelajar terbabit sebagai tidak rasional memandangkan mereka hanya bersandarkan pandangan serta ideologi sebelah pihak tanpa mengambil tahu pendapat lain.

"Apa yang dikesalkan ialah mereka hanya tahu menghentam dan memburukkan kerajaan semata-mata, sehinggakan apa yang dilakukan oleh pemerintah semuanya salah.

"Pelajar ini sanggup menjadi jurucakap pembangkang dan berpendapat kononnya mereka mempunyai idealisme yang tinggi walaupun hakikatnya mereka langsung tidak mempunyai wawasan membangunkan bangsa," katanya.

Beliau menambah, pelajar yang terbabit adalah mereka yang terpengaruh dengan segelintir pensyarah yang menyokong pembangkang.

"Kita kecewa kerana terdapat segelintir pelajar yang menjadi alat parti pembangkang yang sentiasa berusaha memburukkan pemerintah sehingga mereka enggan menerima pandangan positif," katanya.

Suhaimi turut menyifatkan tindakan pelajar terbabit sebagai tidak bertanggungjawab memandangkan mereka menggunakan kemudahan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan seperti biasiswa dan pinjaman pendidikan.

Menurutnya, adalah tidak adil sekiranya pelajar menggunakan Internet untuk menghentam kerajaan kerana secara tidak langsung ia akan membawa imej buruk terhadap negara.

"Sekiranya benar apa yang didakwa, mereka boleh menggunakan saluran yang betul dan matang, bukannya dengan menikam dari belakang kerana budaya kita adalah beradab dan beretika.

"Sebenarnya kita tidak pasti apa yang diperjuangkan mereka selama ini. Jika dibandingkan negara lain, corak pemerintahan negara kita adalah yang terbaik kerana dipilih secara demokratik dan bukannya melalui rampasan kuasa," katanya.

Justeru, Suhaimi meminta pelajar tidak menyebelahi mana-mana pihak untuk mengelakkan mereka daripada terperangkap dengan sesuatu isu yang sensitif.

"Sebagai bakal memegang tampuk negara, mereka boleh mengikuti perkembangan politik tanah air dan menyuarakan pandangan dengan bebas tanpa dipengaruhi mana-mana pihak.

"Pemerintah negara kita diiktiraf di peringkat antarabangsa. Saya tidak nampak mengapa generasi muda negara perlu berpendangan negatif terhadap mereka," katanya.

Menurutnya, GPMS sanggup mengadakan dialog terbuka dan berbincang dengan pelajar kerana selama ini ada antara mereka enggan mengikuti program anjuran kerajaan.

"Dengan cara ini, pelajar akan mendapat pandangan yang seimbang dan secara tidak langsung mereka dapat meletakkan pertimbangan yang betul dalam menangani sesuatu isu," katanya.


Enam sekolah Bukit Pelandok ditutup

KUALA LUMPUR, Rabu - Jumlah sekolah rendah yang ditutup sementara berikutan serangan wabak JE di sekitar Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan, meningkat kepada enam buah.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata penutupan sekolah berkenaan juga dilanjutkan sehingga 31 Mac dan hanya akan dibuka semula pada 1 April ini.

Menurutnya, sehingga kini tiga sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), dua sekolah kebangsaan (SK) dan satu sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), terbabit dalam penutupan itu.

Sekolah berkenaan ialah SJKC Chuah, SJKC Yik Chiao Bukit Pelanduk, SJKC Sungai Nipah, SK Chuah, SK Kampung Sawah dan SJKT Mukundan Bukit Pelandok.

"Bagaimanapun, tarikh pembukaan semua sekolah terbabit tidak muktamat, sebaliknya bergantung kepada keadaan pada masa itu.

"Kementerian Pendidikan sudah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan membuat penelitian rapi bagi mengambil tindakan sewajarnya. Jika keadaan memerlukan, mungkin sekolah lain juga akan ditutup," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kementerian Pendidikan, hari ini.

Sebelum ini dua sekolah iaitu SJKC Yik Chiao Bukit Pelandok dan SJKC Sungai Nipah, ditutup sementara mulai 12 Mac hingga 21 Mac lalu kerana keadaan di sekitar sekolah itu dikatakan berisiko tinggi berikutan serangan virus JE.

Menurut Najib, penutupan enam sekolah itu membabitkan 1,559 murid.

Bagaimanapun, katanya, murid SJKC Yik Chiao Bukit Pelandok dan SJKC Sungai Nipah akan bersekolah sementara di SJKC Chung Hwa, Lukut, mulai 30 Mac ini pada sesi petang.

"Murid di sekolah lain diberi cuti. Bagaimanapun, mereka perlu menggantikan hari penutupan sementara itu dengan hari cuti lain," katanya.

Menjawab soalan, Najib berkata setakat ini tidak ada murid di sekolah terbabit yang dilaporkan dijangkiti virus berkenaan, kecuali seorang pelajar sekolah menengah yang kini dimasukkan ke Hospital Universiti.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tarikh kejadian itu berlaku.


Utusan Sarawak

KDPAHA dedah punca calon STPM gagal

KUCHING - Pengetua Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah (KDPAHA), Encik Putit Haji Ped, hari ini mendedahkan punca sebenarnya tiada calon dari sekolah itu mendapat 5A dalam peperiksaan STPM 1998 yang diumumkan baru-baru ini.

Menurutnya, 99 peratus pelajar yang menduduki STPM di sekolah berkenaan merupakan pelajar sekolah lain yang hanya mula belajar di Kolej Abdillah mulai tingkatan enam rendah.

Katanya, majoriti mereka mendapat pangkat dua dan tiga dalam peperiksaan SPM di sekolah masing-masing.

"Lazimnya, majoriti daripada pelajar asal sekolah ini berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) sebaik sahaja menamatkan tingkatan lima kerana mereka mencapai keputusan yang baik dan cemerlang dalam peperiksaan SPM.

"Jadi, kebanyakan pelajar terbaik kita memang tidak mengambil peperiksaan STPM kerana telah berada di IPT," katanya kepada Utusan Sarawak yang ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas komen sesetengah pihak yang menyatakan bahawa prestasi Kolej Abdillah dalam STPM merosot kerana tiada pelajar sekolah terbabit yang meraih keputusan cemerlang 5A.

Walaupun tidak ada pelajar di sekolahnya yang mendapat 5A, namun Putit tetap berpuas hati dengan pencapaian sekolah berkenaan dalam peperiksaan itu.

Ini kerana, katanya, secara keseluruhannya pencapaian Kolej Abdillah dalam peperiksaan itu tetap cemerlang.

Menurutnya, selain mencatat keputusan kelulusan 100 peratus, 41 daripada 89 calon STPM sekolah berkenaan memperoleh lima Prinsipal (5P), 27 (4P), 12 (3P), 5 (2P) dan 4 (1P).

Katanya, kejayaan 41 calon mendapat 5P merupakan kejayaan di luar jangkaan kerana pihaknya hanya meletakkan sasaran 20 calon sahaja yang mampu mendapat 5P.

Di samping itu, dalam STPM tahun lalu, Kolej Abdillah juga mencatatkan peningkatan peratusan lulus penuh dalam enam mata pelajaran berbanding tahun sebelumnya.

Dalam STPM 1998, 89.89 peratus calon lulus penuh subjek Pengajian Am berbanding 88.71 pada tahun sebelumnya, Bahasa Melayu (75.35% pada 1998 : 66.04% pada 1997), Kesusasteraan Melayu (90.41% pada 1998 : 43.40%), Geografi (100% pada 1998 : 69.57% pada 1997), Ekonomi (73.68% pada 1998 : 60% pada 1997), Fizik (81.25% : 66.67%).

Tiga subjek yang mencatat penurunan peratusan lulus penuh ialah Matematik T (56.25% pada 1998 : 66.67% pada 1997), Kimia (75% pada 1998 : 77.78% pada 1997) dan Biologi (81.25% pada 1998: 88.89% 1997).

Sementara itu, Kolej Abdillah mengekalkan pencapaian kelulusan penuh 100 peratus dalam subjek lukisan untuk dua tahun berturut-turut.


Mac 24(Berita Harian)

Pelajar universiti dikesan sebar dakyah

KUALA LUMPUR, Selasa - Kementerian Pendidikan mengesan sebahagian pelajar universiti tempatan terbabit dalam usaha parti pembangkang menyebarkan dakyah untuk menggugat kerajaan dengan apa cara sekalipun.

Antara kaedah yang dilakukan ialah menyebar maklumat melalui Internet, menghasut pelajar secara senyap dan membawa pelajar ke markas pembangkang pada waktu malam untuk mempengaruhi mereka dengan dakyah berkenaan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata bilangan pelajar yang terbabit bagaimanapun masih kecil tetapi kerajaan tetap memandang serius perkara itu kerana menyalahi peraturan yang ditetapkan.

"Kita berharap pelajar tidak akan terpesong dan terpengaruh dengan dakyah atau hasutan oleh kumpulan tertentu ini termasuk unsur asing yang cuba menggugat kerajaan kerana kerajaan tidak mahu pelajar ini melanggar peraturan yang ditetapkan.

"Sebagai pelajar di peringkat universiti, mereka sepatutnya tidak leka atau terbabit dalam politik pembangkang kerana tugas utama pelajar ialah mendapatkan pengetahuan sebanyak mungkin untuk menjadi pelajar yang berjaya.

"Kita memerlukan rakyat yang berpengetahuan luas dalam alaf akan datang untuk bersaing dengan negara maju yang sudah jauh ke depan kerana masyarakat masa depan adalah berasaskan pengetahuan," katanya selepas merasmikan majalah Our World di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Naib Presiden, Bahagian Pendidikan Petronas, Tan Sri Mohd Noordin Hassan.

Our Wolrd ialah majalah pendidikan dwibahasa mengenai alam sekitar yang diterbitkan oleh Petronas untuk diedarkan secara percuma ke sekolah terpilih di seluruh negara.

Najib berkata, pelajar yang berminat dengan persoalan politik sepatutnya menggunakan saluran rasmi di universiti untuk menyampaikan hasrat atau pandangan mereka dan bukannya menggunakan cara lain yang melanggar peraturan.

"Teguran ini tidak bermakna pelajar tidak boleh mengambil tahu perkembangan semasa atau hal politik tetapi mestilah ada cara yang betul dan menggunakan saluran yang sepatutnya.

"Budaya demonstrasi dan sebagainya tidak ikut landasan sebenar atau tidak mengikut peraturan kerana perbuatan ini hanya menimbulkan suasana tidak stabil dan menyebabkan pelajar memberi tumpuan pada aspek lain hingga merugikan masa depan sendiri.

"Mereka tidak sepatutnya menggunakan kesempatan di universiti dengan menyalahgunakan kemudahan yang kerajaan berikan kerana kerajaan membina kemudahan itu dengan perbelanjaan yang besar untuk membantu mereka mengusai ilmu sebanyak mungkin," katanya.

Beliau berkata, kerajaan berbelanja besar untuk bidang pendidikan negara kerana lebih 20 peratus peruntukan tahunan diberikan untuk pendidikan termasuk pembinaan universiti dan perbelanjaan pengurusan universiti.

Katanya, pelajar hanya perlu membayar 10 peratus dalam bentuk yuran dan perbelanjaan besar yang ditanggung kerajaan sepatutnya dibalas dengan kejayaan dalam pelajaran.


Utusan Sarawak

Guru besar digesa dedah kepentingan IT

KAPIT - Menteri Pelancongan, Dato’ Dr James Jemut Masing menggesa semua guru besar di bahagian ini menubuhkan kelab komputer di sekolah masing-masing untuk menerangkan betapa pentingnya teknologi maklumat (IT) untuk generasi akan datang kepada golongan ibu bapa serta pelajar.

"Guru besar berperanan penting dalam memberi kesedaran kepada golongan ibu bapa tentang perlunya anak-anak mereka mempelajari komputer bagi melengkapkan mereka menghadapi alaf baru," katanya berucap di majlis penyampaian 9 komputer kepada 9 sekolah di pejabat Pegawai Daerah di sini semalam.

Katanya, sebagai seorang pemimpin yang perlu menjaga kebajikan generasi akan datang, beliau seorang diri tidak dapat memberi kesedaran kepada golongan ibu bapa dan pelajar kerana tidak tinggal berhampiran mereka.

"Tugas ini perlu dilaksanakan oleh guru besar kerana mereka adalah golongan yang bertanggungjawab mendidik generasi akan datang. Hasrat untuk melahir genarasi berwibawa juga merupakan tanggungjawab yang perlu ditekankan jika mahu melihat pelajar di pedalaman seiring dengan pelajar di kota yang telah lama didedahkan dengan IT," jelas beliau.

Lagipun, penduduk pedalaman percaya sepenuhnya terhadap guru besar di kawasan mereka. Segala idea dan saranan daripada guru besar akan mendapat perhatian sepenuhnya daripada golongan ibu bapa.

Selain itu, Dr James juga mahu guru besar memberi galakan kepada ibu bapa yang berada agar membeli komputer untuk kegunaan anak mereka selain yang dibekalkan ke sekolah-sekolah.

Dengan memiliki komputer, beliau percaya tahap pembelajaran anak-anak untuk mengendalikan komputer tentu akan meningkat dan minat mempelajari komputer akan memberi faedah pada masa akan datang.

"Saya berharap semua guru besar tidak memandang ringgan gesaan ini kerana ia merupakan penentu masa hadapan generasi akan datang. Lepasan sekolah tentu akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan atau memulakan perniagaan jika tidak mempunyai pengetahuan asas tentang komputer," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar para guru juga mendalami ilmu mengendalikan komputer supaya mereka boleh menjadi pendidik yang berjaya dan melahirkan lebih ramai pelajar pedalaman celek komputer.

Komputer tersebut diserahkan kepada guru besar sekolah-sekolah yang telah dipilih, iaitu Encik Mark anak Magai dari SRB Nganga Mujong; Encik Seli anak Belayang dari SRB Nanga Tiau; Encik Kalit anak Sugit dan SRB Lubok Mawang; Encik Richard Kawi dari SRB Nganga Entuloh; Encik Boss Nelah dari SRB Nangga Menuan; Encik Sham Rawi Bin Suhaimi dari SRK Temenggong Koh; Encik Rinnie Jaon dari SRK Nangga Oyan; Encik Charles Ngalang dari SRK Nangga Sempili; dan Encik Haziq Azizi dari SRK Nangga Stapang.

Walaupun bilangan komputer yang diagihkan itu tidak mencukupi untuk semua pelajar di sekolah-sekolah tersebut, katanya, ia sudah memadai sebagai permulaan dan berjanji akan menyumbangkan lebih banyak komputer pada masa akan datang.

Menurutnya, beliau akan memperuntukkan RM45,000 atau 10 peratus peruntukan setahun yang diberikan untuk membeli komputer kepada sekolah-sekolah yang belum menerima komputer di bahagian ini.

"Ini adalah sejajar dengan seruan Kerajaan Negeri yang mencadangkan semua pemimpin menyumbangkan 10 peratus peruntukan tahunan untuk membeli komputer kepada sekolah-sekolah di kawasan masing-masing," tambahnya.

Turut hadir di majlis itu adalah Pegawai Pendidikan Bahagian, Encik Rijeng Jahit dan Pegawai Daerah Encik Michael Dawie.


Kurangkan aktiviti sosial menjelang peperiksaan

KUCHING - Mengurangkan aktiviti sosial menjelang musim peperiksaan merupakan salah satu resepi penting mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Tiga daripada 12 pelajar Sarawak yang memperoleh pangkat 5A ketika dihubungi hari ini berkata, pelajar harus menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran ketika dan selepas sesi pembelajaran dijalankan.

Salah seorang pelajar cemerlang STPM Sekolah Menengah Bantuan (SMB) St. Joseph, Ervina Yeo Yen Yin, berkata, tanggungjawab utama pelajar ialah belajar bersungguh-sungguh dan menyemai disiplin di samping mengelak diri daripada sebarang aktiviti yang tidak sihat.

"Persiapan awal sangat penting. Apabila berbuat demikian, saya dapat menumpukan lebih perhatian kepada pelajaran. Pada masa yang sama, saya juga mengurangkan aktiviti sosial di luar rumah," katanya yang mendapat keputusan 5A.

Ervina mula meminimumkan aktiviti sosial seperti beriadah dengan rakan-rakan dan mengunjungi kompleks membeli-belah apabila dia memasuki Tingkatan Enam Atas bagi membolehkannya memberi tumpuan kepada pelajaran.

Selain itu, katanya, seorang pelajar juga mesti menghormati guru dan ibu bapa.

Rakannya, Clare Sim Yii Fong, yang juga mendapat keputusan 5A ketika dihubungi, berkata, terpulang kepada individu sendiri untuk memilih antara yang baik dengan yang buruk dalam pergaulan seharian.

"Ibu bapa saya percaya saya dapat menghadapi cabaran tingkatan enam. Walaupun tingkatan enam dikatakan sukar, namun selagi kita sendiri tidak melaluinya, kita tidak akan tahu sama ada kita boleh berjaya atau tidak," kata Claire yang juga aktif dalam kegiatan kokurikulum sekolah.

Empat pelajar lain sekolah berkenaan yang mendapat keputusan 5A ialah Cyril Ong Hock Sui, Liew Siong Ham, Tan Chai Eng dan Liew Nyek Yia.

SMB St Joseph antara sekolah di seluruh Sarawak yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan STPM tahun lepas dengan 53 orang mendapat 5P, 20 mendapat 4P dan enam lagi mendapat kurang daripada 3P.

Sementara itu, SMK Bandar Kuching No.1 pula mencatat kenaikan peratusan kelulusan dalam peperiksaan STPM tahun 1998, daripada 89.66% pada 1997 kepada 94.12%.

Daripada 17 pelajar yang menduduki STPM di sekolah itu, 16 orang mendapat sijil penuh, sementara seorang pelajar mendapat 5A iaitu Wong Sing Yee.


Kerjasama guru ibu bapa penentu kejayaan pelajar

DALAT - Kerjasama erat pihak sekolah, guru dan ibu bapa merupakan penggerak utama kepada kejayaan dan kecemerlangan pelajar dalam bidang akademik, kata Pegawai Daerah Dalat, Encik Mohd. Suphaih Haji Hamdan.

Berucap merasmikan Majlis Anugerah Prestasi Terbaik Akademik (UPSR) 1998 di Dewan Utama Stadium Dalat di sini baru-baru ini, beliau berkata, sikap prihatin dan semangat kerjasama di kalangan ibu bapa terhadap keperluan pendidikan anak-anak sebenarnya membantu serta memudahkan pihak sekolah dan guru-guru melaksanakan program pendidikan dengan lebih berkesan.

Beliau menegaskan, kecemerlangan akademik seseorang pelajar seharusnya diimbangi dengan akhlak yang mulia untuk menjadi insan seimbang, cemerlang dan berketrampilan untuk bersaing dalam masyarakat global hari ini.

Terdahulu, Pegawai Pendidikan Daerah Dalat, Cik Ramlah Haji Saberi berkata, pihak jabatan sememangnya sentiasa cuba membantu serta menyokong pihak sekolah dalam pelaksanaan program pendidikan dan anugerah itu merupakan suatu bentuk pengikhtirafan Jabatan Pendidikan Daerah Dalat dan Yayasan Dalat atas komitmen, usaha dan kecemerlangan sekolah, guru-guru dan pelajar dalam bidang akademik.

Selain itu, katanya, anugerah itu diharapkan akan menyemarakkan lagi semangat dan usaha pihak sekolah, guru-guru dan pelajar untuk meningkatkan pencapaian sekali gus mencapai tahap terbaik dalam peperiksaan UPSR, PMR, SPM atau seumpamanya.

Cik Ramlah menjelaskan, Daerah Dalat telah mencapai pencapaian terbaik dan tertinggi dalam peratus kelulusan UPSR tahun lalu di peringkat bahagian Sibu dan merupakan pencapaian terbaik daerah Dalat setakat ini.

Pada majlis itu, seramai 12 pelajar yang mendapat 5A dalam UPSR yang lalu menerima anugerah berbentuk sijil dan wang tunai sumbangan Yayasan Dalat.

Selain itu, sembilan peserta program akademik "Projek D.A.T.U.K." pada 1998 juga menerima hadih masing-masing atas usaha dan kesungguhan mereka program itu.

Anugerah pencapaian 100% lulus dalam mata pelajaran UPSR menjadi milik SK Kampung Igan (Sains dan B. Melayu Pemahaman), SK Kampung Senau (Matematik), SK St. Luke (B. Melayu Penulisan) dan SRJK Chin Hua Dalat (Matematik).

Pencapaian tertinggi Bahasa Inggeris dalam peperiksaan itu juga digondol oleh SK Kampung Igan selain memiliki Anugerah Sekolah Pencapaian Tertinggi dalam UPSR 1998.

Majlis penyampaian anugerah dan hadiah disempurnakan oleh Mohd. Suphaih merangkap pengerusi jawankuasa kerja Yayasan Dalat.

Turut hadir ialah Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Dalat, Encik Abdul Latep Ahmad, Ketua Unit Kurikulum, Encik sakeran Osman, Ketua Unit Kokurikulum, Encik Koh Ong Ah, guru-guru besar, ketua-ketua jabatan, ketua-ketua masyarakat, guru-guru dan ibu bapa.


STPM: 10 sekolah lulus 100 peratus

KUCHING - Sepuluh daripada 30 buah sekolah di negeri ini mencatatkan kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 1998 dengan semua pelajar lulus penuh dalam sekurang-kurangnya satu mata pelajaran.

Sepuluh sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Sheikh Haji Othman Abdul Wahab, Kuching, Sekolah Menengah Bantuan (SMB), St Joseph, Kuching, SMK Methodist, Sibu, SMK Meradong, Bintangor, Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah, Kuching, SRK Pending, Kuching, SMK Serian, Serian, SMK Three Rivers, Mukah, SMK Limbang, Limbang dan SMB Chung Hua, Sibu.

Sementara itu, 12 pelajar berjaya mencatatkan kelulusan cemerlang dengan mendapat 5A. Enam daripada calon cemerlang itu adalah dari SMB St. Joseph, Kuching iaitu Cyril Ong Hock Sui, Ervina Yeo Yen Yin, Liew Siong Ham, Tan Chai Eng, Liew Nyek Yia dan Clare Sim Yii Fong.Calon lain ialah Tay Buang Chuan dari SMK Green Road, Kuching, Wong Sing Yee (SMK Bandar Kuching No. 1, Kuching), Adeline Sia Sien Bing (SMB Methodist, Sibu), Joseph Wong Ging Haw, Ting Kang Chew dan Tiong Ik Ing yang merupakan pelajar SMB Sacred Heart, Sibu.

Seramai 3,727 calon mengambil peperiksaan STPM di negeri ini pada tahun 1998. Daripada jumlah itu, 2,349 calon (63.03 peratus) adalah calon SMK dan SMB Kerajaan manakala 1,378 calon (36.97 peratus) adalah calon persendirian dan calon sekolah swasta.

Secara keseluruhan, kadar kelulusan calon STPM di Sarawak ialah 97.96 peratus iaitu 0.67 peratus lebih tinggi daripada peratus kelulusan kebangsaan.

Pengarah Pendidikan Negeri Haji Putut Matzen dalam satu kenyataannya hari ini berkata, pencapaian mata pelajaran juga menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan - 13 daripada 19 mata pelajaran mencatatkan peningkatan prestasi iaitu peratusan lulus penuh bagi 1998 ialah 72.22 peratus berbanding 56.76 peratus pada tahun 1997.

Usuluddin mencatat 53.45 peratus (1998) meningkat sebanyak 13.45 peratus daripada 40.00 peratus (1997). Syiah, 84.48 peratus (1998) meningkat kepada 9.48 peratus (1997), Syariah daripada meningkat 75.00 peratus (1997) kepada 75.00 peratus (1997) sementara Geografi meningkat daripada 67.12 peratus (1997) kepada 75.95 perayus (1998).

Kesusateraan Melayu mencatat 54.97 peratus (1998) berbanding 50.56 peratus (1997), Matematik Tambahan pula mencatat 88.73 peratus (1998) iaitu meningkat sebanyak 4.09 peratus.

Selain itu, Bahasa Melayu juga mencatat peningkatan kepada 74.35 peratus (1998) berbanding 84.64 peratus (1997), Fizik mencatat 86.40 peratus (1998) berbanding 83.22 peratus (1997), Lukisan 92.64 peratus (1998) berbanding 89.66 peratus (1997).

Manakala 37.93 peratus, 71.98 peratus dan 61.63 peratus untuk peperiksaan STPM 1998 masing-masing bagi mata pelajaran Bahasa Arab, Sejarah dan Ekonomi. Pada tahun 1997, masing-masing ketiga-tiga mata pelajaran itu mencatat 35.00 peratus, 69.79 peratus dan 59.76 peratus.

Bagi calon yang lulus penuh sekurang-kurangnya dalam satu mata pelajaran, seramai 905 calon Sekolah Kerajaan dan Bantuan lulus di peringkat 5P, lima calon bagi sekolah swasta dan 19 bagi calon persendirian.

Seramai 574 calon sekolah kerajaan dan bantuan mencatat peringkat kelulusan 4P dan masing-masing enam dan 94 calon bagi sekolah swasta dan calon persendirian. 400 calon lulus di peringkat 3P, lapan dan 200 calon masing-masing bagi sekolah swasta dan calon persendirian.

Untuk peperiksaan kali ini, bilangan calon persendirian yang mendapat kelulusan peringkat 2P ialah 349, diikuti seramai 279 calon sekolah kerajaan dan bantuan serta 7 calon sekolah swasta.

Peringkat kelulusan 1P pula seramai 427 calon persendirian berjaya mencatat peringkat itu yang diikuti 143 calon sekolah kerajaan dan bantuan sementara 36 calon bagi sekolah swasta.

Keputusan bagi calon sekolah kata Putit telah dihantar ke sekolah masing-masing manakala keputusan calon persendirian akan menerima keputusan mereka melalui pos.


Pencapaian STPM SMK Kapit meningkat

KAPIT - Pencapaian calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Kapit meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Pengetuanya, Encik Tan Tie Muan ketika ditemui berkata, peratusan lulus penuh dalam mata pelajaran atau sekurang-kurangnya satu mata pelajaran meningkat sebanyak 26.59 iaitu daripada 58.90 kepada 85.29%.

Katanya, daripada 68 calon yang mengambil STPM tahun lalu, seramai 58 calon lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran (lulus penuh gred E) dan enam mendapat keputusan cemerlang.

Pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang ialah Joseph Unggu (3A, 1B, 1C), Lena Ajut (2A, 1B, 1C, 1D), Dolly anak Hillary (2A, 1B, 1C, 1E), Yung Siew Lee (2A, 2C, 1D), Anthony Amin (1A, 2B, 2C) dan Gines anak Agang (1A, 2B, 1D, 1E).

Manakala mata pelajaran yang menunjukkan peningkatan ialah Ekonomi yang mencatat 66.67% kelulusan berbanding 13.04% pada tahun sebelumnya.

Bahasa Melayu mencatat peningkatan sebanyak 28.25 % daripada 52.63% kepada 80.83% dan Sejarah daripada 69.74% kepada 92.65% pada tahun 1998.


Yakin diri azimat penting untuk berjaya

KUCHING - Memberi tumpuan kepada pengajaran guru dan belajar secara konsisten merupakan rahsia kejayaan pelajar Sekolah Menengah Kerajaan(SMK) Green Road mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tahun 1998.

Pelajar aliran Sains, Tan Buang Chuan, 21, berkata, yakin kepada kemampuan diri sendiri merupakan azimat untuknya terus berusaha mencapai kejayaan dalam peperiksaan.

Menurutnya, dia sangat gembira menerima keputusan 5A kerana ketekunannya ketika belajar sebelum menjelang peperiksaan telah membuahkan hasil.

"Saya memang sudah menjangkakan kejayaan ini. Ini kerana saya sudah bersedia dari awal lagi," katanya yang mendapat pangkat A dalam semua mata pelajaran iaitu Pengajian Am, Fizik, Kimia, Matematik (T), Matematik Tambahan.

Katanya, dia mengambil masa selama tiga jam sehari untuk mengulangkaji pelajaran. Sementara mengambil masa lain sehingga empat jam untuk membuat latihan.

"Saya berterima kasih kepada guru, ibu bapa dan rakan kerana banyak memberi sokongan, bimbingan dan dorongan untuk mencapai kejayaan," katanya yang ingin melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) atau Universiti Malaya.

Tan Pui Ling, 19 pula berpendapat, penggunaan teknik belajar yang betul amat penting untuk memastikan kejayaan seseorang pelajar.

Katanya, dia sentiasa membuat latihan untuk mengukuhkan lagi pemahaman mengenai setiap bab yang dipelajari.

"Kalau baca sahaja tidak memadai. Kita harus sentiasa berusaha memahami apa yang dipelajari dan sentiasa membuat latihan," katanya yang bercita-cita hendak menjadi arkitek.

Selain itu, katanya, setiap pelajar yang ingin berjaya perlu mengikis sikap malu untuk bertanya.

"Kalau ada mata pelajaran yang tidak difahami, kita hendaklah membincangkannya bersama guru dan rakan-rakan," katanya yang juga merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik.

Kon Siew Sien pula berkata, dia berasa amat gembira dengan kejayaan cemerlangnya dalam peperiksaan STPM.

Menurutnya, beliau tidak menjangka mendapat A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Fizik dan Ekonomi.

Siew Sen yang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) di institusi pengajian tinggi menganggap disiplin diri yang tinggi penting yang membolehkan pelajar memberi tumpuan sepenuhnya ketika belajar.

Untuk peperiksaan STPM 1998, SMK Green Road mencapai kelulusan 100 peratus dalam STPM seperti tahun lepas (1997).

Keputusan yang dicapai dalam mata pelajaran Geografi, Fizik, Kimia, Matematik Tambahan seimbang seperti tahun lalu.

Pada tahun lalu, hanya mata pelajaran Kimia yang mencapai kelulusan 100 peratus.

Seramai 85 pelajar dari sekolah berkenaan yang menduduki peperiksaan STPM pada tahun lepas terdiri daripada 51 pelajar aliran Sastera dan 34 lagi bagi aliran Sains.