(Sila tekan "Reload" atau "Refresh" untuk mendapatkan berita yang terkini

Jun 11(Berita Harian)

Formula pelarasan gaji guru minggu depan

PASIR PUTEH, Khamis - Kementerian Pendidikan akan mengumumkan formula pelarasan kenaikan tangga gaji membabitkan kira-kira 142,000 guru bukan siswazah Gred DG6 ke Gred DGA6 selepas taklimat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), minggu depan.

Menterinya, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata baki lebih 40,000 guru Gred DG6 dijangka turut menikmati tangga gaji Gred DGA6 secara berperingkat sebaik memenuhi kriteria berkhidmat selama sekurang-kurangnya tiga tahun.

Beliau berkata, kumpulan pertama siswazah yang mengambil Diploma Perguruan Malaysia akan menamatkan pengajian tidak lama lagi dan secara automatik layak menerima skim gaji Gred DGA6 yang mula dikuatkuasakan 1 Julai ini.

"Kumpulan ini memulakan pengajian pada Oktober 1997 dan bakal menerima diploma masing-masing bulan depan selepas menamatkan pengajian dua setengah tahun.

"Apabila keluar, gaji mereka adalah lebih tinggi berbanding guru yang sedang berkhidmat dan kita berasa perlu membuat pelarasan gaji membabitkan kedua-dua pihak, iaitu antara DG6 dan DGA6.

"Kerajaan sudah bersetuju dengan kenaikan (gaji) dan formula yang bakal digunakan. Kita akan mengumumkan (formula) pelarasan gaji ini dalam sedikit masa lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perayaan Hari Guru ke-28 peringkat Kelantan di Kompleks Kamil, dekat sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pendidikan negeri, Mohamed Hasan.

Pertengahan bulan lalu, kerajaan mengumumkan kira-kira 190,000 guru bukan siswazah Gred DG6 yang berkelulusan Sijil Perguruan Asas (SPA) di seluruh negara, akan menikmati kenaikan gaji ke Gred DGA6, mulai 1 Julai ini.

Skim baru itu menetapkan gaji permulaan Gred DGA6 ialah RM917 dan maksimum RM1,930, berbanding skim permulaan DG6 sekarang RM552 dan maksimum RM1,835.

Kerajaan memperuntukkan RM147 juta bagi melaksanakan penyelarasan gaji itu, membabitkan guru yang sudah disahkan dalam jawatan dan berkhidmat sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum atau pada 1 Julai ini.

Najib berkata, kajian berhubung kenaikan gaji itu dilakukan sejak Oktober 1997 selaras pengenalan Diploma Perguruan Malaysia.

Sehubungan itu, katanya, sebarang dakwaan yang mengaitkan pengumuman kerajaan menaikkan gaji guru gred berkenaan dengan kempen menjelang pilihan raya umum adalah tidak benar.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengumumkan kerajaan bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM267 juta bagi tujuan pembangunan prasarana pendidikan di Kelantan selepas rancangan separuh penggal Rancangan Malaysia Ketujuh (RM-7).

"Kita mahu memastikan peruntukan yang diberi adalah mencukupi dalam menjamin mutu pendidikan yang didapati semakin meningkat di kalangan pelajar Kelantan," katanya.

Mengenai hasrat Pas memberi pendidikan percuma jika berjaya memerintah negara ini, Najib berkata kerajaan sedia ada secara prinsipnya sudah berbuat demikian seawal persekolahan peringkat rendah dan dilanjutkan ke tahap menengah.

"Sekolah rendah dan menengah memang percuma di negara ini manakala bayaran yang dikenakan adalah terlalu kecil bagi memastikan pelajar mendapat kemudahan selesa seperti perpustakaan dan sebagainya.

"Jadi, Pas tak payah nak melaungkan (hasrat memberi pendidikan percuma) kerana itu hanya pukul canang menjelang pilihan raya," katanya.


Jun 10(Utusan Sarawak)

SK Agama ambil 700 murid baru tahun depan

KUCHING - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan mengambil 700 murid baru ke Tahun 1 sesi persekolahan tahun 2000 di lapan buah Sekolah Kebangsaan Agama di negeri ini.

Menurut kenyataan JPN di sini hari ini, Sekolah Kebangsaan Agama Datuk Haji Abd Kadir Hassan, Kuching dengan jumlah pengambilan 215 orang, Sekolah Kebangsaan Agama, Sri Aman (70), Sekolah Kebangsaan Agama Sibu (70).

Sekolah Kebangsaan Agama Miri (70), Sekolah Kebangsaan Limbang (70), Sekolah Kebangsaan Agama Sarikei (70), Sekolah Kebangsaan Agama Bintulu (70) dan Sekolah Kebangsaan Agama Lawas (70).

Kanak-kanak yang dibenarkan mendaftar hendaklah mereka dilahirkan pada 2 Januari 1993 hingga 1 Januari 1994 sahaja. JPN memilih dan mencalonkan kanak-kanak warganegara Malaysia yang berpotensi sahaja.

Pendaftaran calon untuk mengikuti ujian kelayakan ini hendaklah dibuat dalam Borang B1 yang disertakan dan menghantar bersama salinan sijil lahir serta gambar ukuran pasport calon ke Pejabat Pendidikan Bahagian masing-masing sebelum atau pada 31 Julai 1999.

Menurut kenyataan itu, pendaftaran lewat tidak akan dilayan.

Pendaftaran hendaklah diuruskan oleh Guru Besar Sekolah, Pengurus Tadika, Pemaju Masyarakat Kemas dan Guru Tadika Perpaduan.

Ujian Kelayakan akan diadakan pada hari Sabtu 9 Oktober 1999 jam 9 pagi bertempat di Sekolah Kebangsaan Agama di bahagian/daerah masing-masing.


Jun 09(Berita Harian)

670 pelajar UNIMAS akan menerima ijazah

SAMARAHAN - Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini akan mengadakan majlis konvokesyen ketiga dengan membabitkan seramai 670 pelajar yang akan menerima ijazah masing-masing pada majlis yang akan diadakan di kampus UNIMAS pada 3 Julai ini.

Dekan Kemajuan Pelajar Unimas, Prof Madya Dr Sulaiman Hanafi berkata, daripada jumlah itu, seramai 600 orang akan menerima ijazah sarjana muda dan selebihnya akan menerima ijazah sarjana.

Katanya, Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Haji Ahmad Zaidi Adruce Muhammed Noor yang juga selaku Canselor UNIMAS akan merasmikan konvokesyen berkenaan dan seterusnya menyampaikan ijazah kepada graduan.

Menurutnya, selain mengadakan acara penyampaian ijazah kepada graduan, beberapa acara menarik turut diadakan bagi memeriahkan acara berkenaan.

Beliau berkata, antara acara itu ialah mengadakan Rumah Terbuka UNIMAS yang bermulai pada 1 hingga 4 Julai dengan menyediakan gerai jualan makanan dan minuman sertai gerai pameran barangan.

Mengenai pengambilan pelajar tahun ini, beliau berkata UNIMAS menerima permohonan 1,450 orang pelajar baru terdiri daripada 1,200 pelajar peringkat ijazah pertama dan 250 lagi pelajar matrikulasi.

Pelajar peringkat ijazah sudah pun memulakan pegajian mereka manakala pelajar matrikulasi akan mendaftar pada 18 Jun ini.


Jun 08(Berita Harian)

Sebilangan kecil saja guru menentang kerajaan

TEMERLOH, Isnin - Menteri Pendidikan, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata guru yang menentang kerajaan dan menghasut pelajar untuk membenci kerajaan hanya membabitkan sebilangan kecil.

Beliau berkata, tindakan itu hanya dilakukan segelintir guru manakala sebahagian besar mereka masih bertanggungjawab dan tidak menyimpang daripada landasan perjuangan sebenar.

"Tindakan satu dua guru itu memberi tanggapan buruk kepada profesion perguruan keseluruhannya.

"Sehubungan itu, guru perlu mengelakkan daripada melakukan perkara seperti itu kerana ia akan memberi tanggapan buruk kepada profesion perguruan," katanya pada majlis perjumpaan dengan guru Pahang di sini, hari ini.

Menurutnya, guru perlu menjadi teladan dan ikutan positif terutama dalam usaha mewujudkan bangsa yang mempunyai nilai budi pekerja baik dan mulia.

Najib berkata, kerajaan meletakkan harapan tinggi kepada guru untuk melahirkan bangsa yang berjaya serta menjadikan Malaysia sebagai negara maju.

"Kerajaan mengharapkan pembabitan guru dalam perjuangan itu tidak akan berakhir dan semangat itu perlu terus ditiupkan kepada generasi baru yang bakal menjadi pelapis kepimpinan negara," katanya.

Menurut Najib, apabila guru terus memberi sokongan kepada kerajaan, mereka akan mendapat manfaat lebih besar.

"Selain menjadi pendidik yang berjaya, negara akan lebih berjaya," katanya.

"Di samping itu, kerajaan akan terus memperjuangkan kedudukan dan membela nasib guru," katanya.

Malah, beliau secara peribadi berazam membela profesion perguruan dari segi perkhidmatan, perjawatan dan kebajikan selain memastikan kemajuan serta perubahan dalam sistem pendidikan ke tahap lebih tinggi.


Jun 07(Berita Harian)

Kod etika Internet bendung khabar angin

PENDEDAHAN kepada komputer dan teknologi maklumat (IT) mewujudkan budaya celik komputer di kalangan masyarakat terutama belia. Sektor awam dan swasta telah memanfaatkan penggunaan komputer dan IT dalam memantapkan operasi mereka. Penggunaan komputer dan rantaian yang diwujudkan oleh koridor raya maklumat dan Internet menerjah perdagangan bebas merentasi sempadan negara. Pelaburan yang besar dalam IT terus mengembangkan kuasa pasaran multinasional di seluruh dunia. Kemajuan dalam penggunaan Internet kini membolehkan ijazah diperolehi secara maya tanpa perlu meninggalkan rumah, manakala urusan perdagangan dan pembelian oleh pemegang akaun Internet boleh dijalankan hanya dengan menekan butang komputer. Perdagangan melalui Internet yang dikenali sebagai e-dagang berkembang pesat. Mengikut Laporan Perniagaan dan Kewangan Forbes baru-baru ini perolehan melalui e-dagang di seluruh dunia mencecah AS$8 bilion (RM30.4 bilion) dan dijangka berkembang 10 kali ganda dalam masa empat tahun.

Kalau komputer boleh diibaratkan sebagai sebilah pisau, ia boleh memotong dan juga membunuh. Kita khuatir terhadap kecenderungan sesetengah golongan masyarakat terutama belia yang membuang masa di depan komputer dan tidak memanfaatkan maklumat yang boleh ditimba. Ada belia yang duduk sepanjang hari di depan komputer untuk melayari talian sembang-sembang, pornografi, permainan video dan yang lumrah sejak kebelakangan ini ialah laman web caci nesta terhadap kerajaan. Semakin banyak pihak terutama yang berkepentingan politik membuka laman web yang kerjanya tiada lain iaitu memaki hamun dan melontarkan tohmahan serta fitnah terhadap kerajaan dan pemimpinnya. Kritikan yang dibuat penulis hantu dalam sesetengah laman web menggambarkan seolah-olah tiada satu pun dasar dan projek yang dilaksanakan kerajaan memberi manfaat kepada rakyat.

Kita menyambut baik pengumuman Timbalan Menteri Tenaga, Telekomunikasi dan Multimedia, Datuk Chan Kong Choy, bahawa kerajaan akan memperkenalkan satu kod etika bagi pengguna Internet selewat-lewatnya akhir tahun ini sebagai garis panduan kepada pengguna. Kod itu akan menjadi panduan kepada pengguna Internet untuk mengetahui apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika menggunakan Internet. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang ditubuhkan April lalu akan mengadakan satu forum membincangkan kod etika itu bulan ini bersama pengamal telekomunikasi dan multimedia. Tidak ada penalti terhadap sesiapa yang melanggarnya tetapi jika ada laporan polis mengenai salah laku penggunaan Internet, siasatan akan mengikut undang-undang siber.

Kecenderungan melayari laman web berunsur fitnah dan tohmahan menyebabkan penggunanya kadangkala tidak lagi dapat membezakan atau mengasingkan antara kebenaran dan kepalsuan. Apa yang amat malang ialah ada kalangan anak muda yang sudah diracuni propoganda politik antikerajaan. Maklumat palsu disumbat untuk membakar semangat rakyat untuk membenci kerajaan dan barisan pemimpinnya. Banyak perkara yang ditokok tambah untuk memperkecilkan kewibawaan kerajaan.

Selain mengawal selia penyalahgunaan laman web untuk menabur fitnah dan tohmahan, kod etika itu juga boleh menghindari perbuatan menyebar khabar angin. Tahun lalu empat orang dihadapkan ke mahkamah kerana kesalahan penyalahgunaan Internet. Mereka dirujuk mengikut Kanun Keseksaan. Tertuduh dikatakan terbabit dalam penyebaran khabar angin berkenaan mengenai kekacauan di ibu kota melalui Internet dan Emel. Khabar angin dikatakan menyebut rusuhan berlaku di Chow Kit dan Puchong membabitkan pekerja asing berikutan kerajaan tidak memperbaharui permit kerja yang berakhir pada 15 Ogos tahun lalu. Khabar angin itu menyebabkan kebimbangan di kalangan orang ramai dan pekedai yang menutup perniagaan mereka. Selain itu, khabar angin berkaitan bom, ugutan, rusuhan dan perhimpunan haram juga berleluasa melalui Internet selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet pada 2 September tahun lalu.

Kita berharap kod etika itu dapat mengawal laporan yang berbentuk fitnah dan khabar angin seperti yang berleluasa dalam Internet. Bagaimanapun, kita berharap kerajaan berpegang kepada dasarnya dengan tidak mengenakan penapisan dalam Internet. Namun kebebasan itu tidak harus digunakan oleh orang ramai untuk menyebarkan fitnah. Seperti kata Prof Paul Krugman dari Institut Teknologi Massachusett kebebasan bersuara tidak bermakna kita boleh memekik "api, api" dalam pawagam sehingga mencetuskan huru-hura di kalangan penonton yang mahu menyelamatkan diri. Khabar angin terutama yang berbaur perkauman jika tidak dikawal boleh mencetuskan huru-hara.


Pelajar usah jadi boneka: Abdullah

GEORGETOWN, Ahad - Pelajar Malaysia di luar negara hari ini diingatkan supaya jangan membiarkan diri diperalat oleh orang asing untuk mengkritik atau menghina negara sendiri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata mereka harus sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab terhadap negara sendiri dan bukannya menjadi alat atau ejen orang asing untuk menghina kerajaan.

Menurutnya, kerajaan kesal dengan sikap sesetengah pelajar di luar negara yang membiarkan diri diperalat oleh orang asing sehingga sanggup mengutuk negara sendiri menerusi laman web yang ditaja di luar negara.

"Apa yang penting ialah pelajar terbabit haruslah mempunyai semangat patriotik dan perlu sedar bahawa orang asing hanya mahu menggunakan mereka untuk mengkritik tanah air sendiri.

"Mereka sendiri tidak mempunyai jaminan bahawa orang asing akan membantu mereka jika menghadapi sebarang masalah dan disebabkan itu pelajar berkenaan perlu sedar hanya kerajaan dan negara sendiri yang dapat membantu mereka, jadi kenapa mereka perlu orang asing?," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan Umno negeri, di sini hari ini.

Jumaat lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ibrahim Ali dilaporkan berkata ada orang asing menaja laman web untuk pelajar Malaysia di luar negara bagi menyalurkan pelbagai tohmahan terhadap kerajaan menerusi Internet.

Mengenai mesyuarat hari ini, Abdullah berkata antara isu yang dibincangkan membabitkan beberapa projek yang tergendala atau berjalan tidak mengikut jadual asal.

"Adalah diharapkan semua ahli exco dalam Barisan Nasional (BN), khususnya Umno negeri dapat memainkan fungsi masing-masing dengan lebih berkesan.

"Mana-mana projek yang dijanjikan diharap dapat dilaksanakan dengan segera. Begitu juga dengan projek yang sudah dimulakan, tetapi belum selesai kerana kegawatan, diharap dapat disegerakan semula supaya menepati jadual," katanya.

Beliau juga meminta supaya ahli terbabit dapat membantu mengatasi segala masalah dengan pentadbiran Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP).

"Yang penting usaha ini adalah untuk rakyat dan kerana itu kita tidak boleh hanya berdiam diri sedangkan ahli parti kita adalah ahli kerajaan juga," jelas beliau yang turut menafikan gesaan itu ada kaitan dengan spekulasi yang pilihan raya akan diadakan dalam sedikit masa lagi.


Utusan Sarawak

Pelajar miskin di IPTA dapat wang pendahuluan

KUALA LUMPUR - Semua pelajar miskin yang akan mendaftar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi sesi 1999/2000 pada pertengahan bulan ini, boleh mendapatkan bantuan wang pendahuluan diri pada hari Rabu dan Khamis ini.

Menteri Pendidikan, Dato' Seri Najib Tun Razak berkata bantuan itu boleh diperolehi dari semua Jabatan Pendidikan Negeri bagi negeri-negeri di Semenanjung atau Pejabat Pendidikan Bahagian bagi Sabah dan Sarawak.

"Hanya pelajar yang akan mengikuti program ijazah pertama, diploma dan diploma integrasi saja yang layak menerima bantuan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Akademi TV3, di Wangsa Maju di sini hari ini.

Beliau berkata pelajar berkenaan mesti membawa kad pengenalan,surat tawaran ke IPTA atau surat jemputan menghadiri Seminar Persediaan ke IPTA dan juga slip pendapatan atau surat akuan pendapatan ibu bapa atau penjaga, yang diperakui sama ada oleh guru besar, pengetua sekolah atau penghulu di tempat masing-masing.

"Pembayaran bagi pelajar di negeri Johor, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Sarawak akan dibuat pada 9 Jun ini, manakala bagi mereka di Pahang, Melaka, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Perlis, Terengganu dan Sabah pula, pembayaran akan dibuat pada 10 Jun ini," katanya.

Baru-baru ini Kabinet bersetuju agar semua pelajar miskin yang akan melanjutkan pelajaran ke IPTA bagi sesi akademik 1999/2000 diberi bantuan pendahuluan sebanyak RM1,000 hingga RM1,500 untuk menyediakan barang keperluan.

Bantuan itu disalurkan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan diberi kepada mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan bulanan RM1,500 ke bawah.

Najib berkata, bantuan itu juga boleh dipohon oleh lebih 33,000 pelajar IPTA lulusan Diploma, Matrikulasi dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia bagi sesi ini, yang telah pun mendaftar pada Mei lalu.

"Mereka boleh mendapatkan bantuan sebanyak RM1,000 dari pejabat bendahari di IPTA masing-masing dan bantuan hanya diberi kepada mereka yang menghadapi masalah kewangan, sebelum mendapat mana-mana bantuan dari penaja," katanya.


Jun 06(Berita Harian)

Kod etika untuk pengguna Internet

KUALA TERENGGANU: Kementerian Tenaga, Telekomunikasi dan Multimedia akan memperkenalkan satu kod etika untuk pengguna Internet selewat-lewatnya akhir tahun ini sebagai garis panduan kepada penggunanya.

Timbalan menterinya Datuk Chan Kong Choy berkata kod itu akan menjadi panduan kepada pengguna Internet untuk mengetahui apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan ketika menggunakan Internet.

"Tidak ada penalti terhadap sesiapa yang melanggarnya tetapi jika ada laporan polis mengenai salah laku penggunaan Internet, kita akan adakan siasatan mengikut undang-undang yang sedia ada seperti undang-undang siber," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini semalam.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia yang ditubuhkan April lalu akan mengadakan satu forum membincangkan kod etika itu bulan ini. Ia disertai oleh pengamal telekomunikasi dan multimedia serta beberapa pakar teknologi maklumat (IT).

Chan berkata, forum itu akan menggariskan beberapa panduan etika penggunaan internet dan komputer untuk diserahkan kepada kementerian sebelum disebarkan kepada orang ramai.

"Kita berharap, apabila kod itu diperkenalkan nanti, ia akan dapat mengawal laporan yang berbentuk fitnah dan khabar angin seperti yang berleluasa sekarang di Internet," katanya.

Chan berkata walaupun dasar kerajaan jelas iaitu tiada penapisan dalam Internet, namun kebebasan itu tidak harus digunakan oleh orang ramai untuk menyebarkan fitnah.

Mengenai kes yang dirujuk mengikut undang-undang siber yang diluluskan tahun lalu, beliau berkata, setakat ini tiada kes yang dirujuk.

Tahun lalu empat kes dihadapkan ke mahkamah kerana kesalahan penyalahgunaan Internet, tetapi ia dirujuk mengikut Kanun Keseksaan.

Tertuduh dikatakan terbabit dalam penyebaran khabar angin berkenaan mengenai kekacauan di ibu kota melalui Internet dan mel elektronik.

Khabar angin dikatakan menyebut rusuhan berlaku di Chow Kit dan Puchong membabitkan pekerja asing berikutan kerajaan tidak memperbaharui permit kerja yang berakhir pada 15 Ogos tahun lalu.

Khabar angin itu menyebabkan kebimbangan orang ramai dan pekedai yang menutup perniagaan mereka.

Selain itu, khabar angin berkaitan bom, ugutan, rusuhan dan perhimpunan haram juga berleluasa melalui Internet selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada Kabinet pada 2 September lalu.

Chan juga berkata, kelengkapan peralatan telekomunikasi yang ada di pusat pentadbiran persekutuan di Putrajaya adalah yang terbaik dan belum ada laporan mengenai sebarang masalah sejak sebahagian kakitangan di Jabatan Perdana Menteri berpindah ke situ mulai 1 Jun lalu.

Chan yang juga Ketua Pemuda MCA menyifatkan spekulasi yang beliau akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden parti berkenaan sebagai satu khabar angin.

Beliau berkata barisan kepemimpinan Pemuda MCA negeri sentiasa memberi sokongan padu kepada presiden parti Datuk Seri Dr Ling Liong Sik dan timbalan presiden Datuk Lim Ah Lek.

"Saya tidak isytihar apa-apa (untuk bertanding jawatan), itu semua adalah spekulasi...setakat ini, Pemuda MCA akan memberi keutamaan kepada parti," katanya.


Jun 05(Berita Harian)

Tiga pelajar kembar berjaya ke IPTA

KOTA BHARU, Jumaat - Tiga pelajar kembar dari Kampung Lubok Bonggor, Jeli, Kelantan, membuktikan mereka bukan saja memiliki wajah serupa malah sama-sama berjaya mencapai impian melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Ketiga-tiga kembar berusia 18 tahun itu, Azliza, Azlili dan Azlini, adalah anak kepada pasangan Osman Ahmad, 52 dan Kamariah Salleh, 43 tahun. Osman bekerja sebagai pemandu teksi.

Mereka mendapat berita gembira itu apabila membuat semakan keputusan permohonan ke institusi pengajian tinggi tempatan (IPTA) melalui KPM-Net di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, hari ini

Azliza akan mengikuti kursus Diploma Sains Komputer di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), manakala dua adik kembarnya iaitu Azlili dan Azlini akan mengikuti matrikulasi Perakaunan, Kementerian Pendidikan.

Mereka yang ditemui ternyata gembira dengan keputusan itu dan menyifatkan keistimewaan sebagai anak kembar adalah satu keserasian untuk berjaya bersama, selain berkat doa ibu bapa.

Sebagai anak kembar, ketiga-tiga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Wataniah, Machang itu, mempunyai persamaan dan impian untuk membuktikan mereka mampu menjadi anak berguna kepada keluarga.

"Kami bertiga tidak jauh beza dari segi rupa, malah menanam impian untuk sama-sama menjejaki kaki ke institusi pengajian tinggi.

"Kami tidak sangka impian itu menjadi kenyataan apabila menerima keputusan permohonan melalui KPM-Net hari ini," katanya Azliza.

KPM-Net adalah pusat semakan yang disediakan kepada pemohon ke IPTA sesi pengajian 1999/2000 bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) yang dibuka dari 3 hingga 12 Jun ini.

Menurut Azliza, dia memohon mengikuti matrikulasi perakaunan yang sama dengan dua lagi adik kembarnya, tetapi mendapat pilihan keempatnya iaitu Diploma Sains Komputer dari UTM.

Bagaimanapun, Azliza yang memperolehi keputusan 8 agregat dalam SPM, lebih cemerlang daripada dua adik kembarnya iaitu Azlili mendapat 13 agregat dan Azlini memperolehi 16 agregat dalam peperiksaan itu.

"Walaupun saya mendapat pilihan berbeza berbanding dua adik kembar saya yang mendapat matrikulasi perakaunan, saya tetap gembira dan bersyukur kerana kami berjaya mencapai impian selama ini," katanya.

Azlili dan Azlini pula ketika ditanya melahirkan rasa gembira kerana tidak menyangka permohonannya untuk mengikuti matrikulasi perakaunan tercapai namun mereka terkilan kerana kakak kembar mendapat jurusan berlainan.

Katanya, selama ini mereka bertiga tidak pernah berpisah malah menuntut di Sekolah Kebangsaan Lubok Bonggor, Jeli dan SMK (Agama) Wataniah, Machang bersama-sama hingga tamat SPM.

Sementara itu, ibu bapa mereka, Osman dan Kamariah bangga mempunyai tiga kembar yang bukan saja istimewa kerana dilahirkan serupa, malah turut sama cemerlang dalam pendidikan hingga ke peringkat pengajian tinggi.

Osman berkata, kejayaan tiga anak kembarnya itu adalah rezeki bagi keluarga kerana sebelum dua anak sulung, Azlida, 21 belajar di Institut Teknologi Mara (ITM) dan anak kedua, Azlina, 20 belajar di Kolej Yayasan Pelajaran Mara (KYPM) Kuala Lumpur.

"Saya doakan kejayaan kelima-lima anak saya itu supaya mereka dapat menjadi graduan yang berjaya suatu hari nanti malah kejayaan itu akan diikutu oleh anak bongsu saya, Mohd Kahirul Akif yang kini belajar tahun dua di SK Lubok Bonggor, Jeli," katanya.


Jun 04(Utusan Sarawak)

Kesatuan guru sambut baik langkah baru kelayakan pengetua

KUCHING, Khamis - Langkah mensyaratkan pengetua dan guru besar mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana dan Diploma Lanjutan merupakan bukti komitmen tinggi Kementerian Pendidikan hendak memartabatkan profesion perguruan.

Demikian pandangan dua kesatuan guru terkemuka di Sarawak iaitu Kesatuan Guru Sarawak (STU) dan Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS).

Presiden STU William Ghani Bina berkata, ia merupakan satu langkah yang amat baik dan memang seharusnya dilaksanakan jika Malaysia mahu merealisasikan pendidikan bertaraf dunia.

Beliau menegaskan, untuk mencapai ke tahap itu pengetua dan guru besar sebagai pengurus dan pentadbir sekolah mestilah terlebih dahulu mempunyai kelayakan serta kebolehan profesional setinggi mungkin.

"Langkah ini memang sesuai dengan aspirasi kita untuk menjadikan negara ini sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di rantau ini," katanya kepada Utusan Sarawak ketika dihubungi di pejabatnya di sini hari ini.

Sementara itu, William menyeru guru yang berumur antara 30 hingga 40 tahun di negeri ini supaya memohon mengikuti kursus kepengetuaan.

Menurutnya, ia penting bagi menjamin bekalan pengetua dan guru besar yang mencukupi bagi Sa-rawak yang mempunyai 1,200 sekolah menengah dan 1,400 sekolah rendah.

William juga berharap Kementerian Pendidikan dapat menyediakan bekalan guru terlatih yang mencukupi untuk semua mata pelajaran bagi mengelakkan penggunaan guru tidak terlatih (guru sementara).

Yang DiPertua KGBS, Encik Sajali Haji Ojek juga menyambut baik langkah kementerian menetapkan syarat berkenaan.

Menurutnya, langkah itu bukan sahaja memartabatkan profesion perguruan malah tidak kurang pentingnya juga ia dapat mewujudkan pendidikan yang bermutu.

Katanya, perkembangan teknologi terkini seperti teknologi maklumat (IT) sudah tentulah memerlukan guru dan pentadbir sekolah yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

"Pengetua dan guru besar yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi akan meningkatkan kecekapannya dalam mentadbir sekolah.

"Seterusnya, ia menyumbang kepada pe-ningkatan taraf pendidikan di negara ini," katanya kepada Utusan Sarawak ketika dihubungi di pejabatnya di sini hari ini.

Sajali menyeru guru-guru di negeri ini, khasnya ahli KGBS supaya melengkapkan diri menghadapi cabaran pendidikan alaf baru dengan meningkatkan tahap akademik masing-masing.

Menurutnya, KGBS sebenarnya sentiasa membangkitkan kesedaran ahli-ahlinya tentang perkara itu seperti melalui Seminar Guru Alaf di Telaga Air yang memberi penekanan supaya semua guru mempunyai ijazah.


Murid tahun enam mengadu dirogol

KANOWIT, Khamis - Seorang murid tahun enam di sini dilaporkan dirogol oleh seorang lelaki yang dikenali ketika sedang tidur di kediamannya awal pagi ini.

Mangsa yang berusia 12 tahun dikatakan dirogol di bilik tidurnya di Rumah Aji, Sungai Ranan kira-kira 18 kilometer dari bandar Kanowit pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kanowit, Asisten Superintendan Polis (ASP) Aspri Jemahari ketika dihubungi Utusan Sarawak mengesah menerima laporan berhubung insiden itu awal pagi ini.

Ketika diminta untuk mengulas lebih lanjut tentang kejadian itu, beliau berkata, mangsa dipercayai dirogol sekitar jam 12.30 pagi ini oleh lelaki yang dikenalinya.

Suspek jelasnya, merupakan penghuni salah sebuah rumah panjang berasingan yang terletak tidak jauh dari kediaman mangsa.

Sebelum insiden itu berlaku, mangsa dikatakan telah diugut oleh suspek agar tidak menjerit sekiranya tidak mahu dicederakan apabila terjaga dari tidur.

Menurut ASP Aspri, kakak mangsa hanya mengetahui sesuatu berlaku setelah terdengar jeritan adiknya.

Katanya, laporan polis telah dibuat oleh mangsa kira-kira jam 3 pagi ini. "Sejurus selepas menerima laporan itu, sepasukan polis telah bergegas ke kediaman suspek dan berjaya menangkapnya kira-kira jam 4.30 pagi ini.

"Suspek ditangkap di kediamannya di Rumah Imban dan kini masih dalam tahanan polis dan akan direman bagi membantu siasatan lanjut polis.

"Buat masa sekarang kita (polis) masih menjalankan siasatan berhubung kes itu," jelas beliau lagi.

Suspek yang ditangkap itu merupakan seorang kakitangan kerajaan yang berusia 31 tahun dan telah berumah tangga.

Tambah ASP Aspri lagi, mangsa kemudiannya telah dibawa ke Hospital Kanowit dan dirujuk ke Hospital Sibu untuk pemeriksaan lanjut pagi ini juga.

Katanya, buat masa sekarang pihaknya masih menunggu laporan pemeriksaan badan mangsa.


Pengambilan ke Kolej Ibukota dilanjutkan

KUCHING, Khamis - Kolej Ibukota Kinabalu akan melanjutkan tempoh pengambilan pelajarnya sehingga 8 Jun 199 bagi Diploma Sains Komputer-UPM, Diploma dalam Perdagangan -Murdoch Universiti & Diploma Lanjutan dalam Pelancongan dan Hospitaliti- Canberra Institute of Technology Program.

Demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakap Kolej Ibukota Kinablu Encik Ahmad Nizam Aminnudin di sini hari ini.

Menurut Ahmad Nizam, maklumat lanjut mengenai perkara ini orang ramai boleh menghubungi beliau (Nizam) atau Normah/June melalui talian 088-222502 atau 088-221492.


Jun 03(Utusan Sarawak)

Jangan peralatkan pelajar - Isa

REMBAU, Ahad - Menteri Besar Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, pelajar-pelajar sekolah tidak harus digunakan untuk menyebarkan fahaman politik pelbagai pihak.

"Kita jangan peralatkan pelajar kerana sepatutnya, pelajar kita didik supaya terus belajar dan mencapai kejayaan yang tertinggi," katanya ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Dr Mahathir dilaporkan sebagai berkata, parti-parti pembangkang semakin bertindak keterlaluan dengan meracuni pemikiran generasi muda terutamanya pelajar universiti untuk berkempen bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Mohd Isa berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Ihtifal dan Silaturahim Darul al-Quran Rembau di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Pedas, dekat sini, hari ini.

Mohd Isa berkata, pelajar-pelajar ini mudah dipengaruhi dengan pandangan sebelah pihak itu dan mungkin terikut-ikut dengan fahaman politik yang disebarkan itu.

Sehubungan itu beliau mengingatkan pelajar supaya berhati-hati kerana banyak bidang lain yang boleh diceburi tetapi ja-ngan terlibat dalam kumpulan yang menghasut mereka yang boleh merugikan mereka pada keseluruhannnya nanti.

Ketika berucap pada majlis itu, beliau berkata Islam bukan sahaja mesti ditunjukkan kepada umat Islam tetapi Islam sebagai agama yang diredai Allah mesti ditunjukkan kebaikannya di kalangan masyarakat bukan Islam.

Ini salah satu bentuk dakwah yang paling tinggi tetapi kalau umat Islam terutama mereka yang mengelar diri sebagai berpengetahuan agama membuat sesuatu kenyataan yang kadang-kadang boleh menimbulkan keraguan semata-mata kerana mempertahankan kepentingan kelompok mereka, ini merugikan, bukan sahaja umat Islam tetapi Islam itu sendiri.

Orang melihat dan kita tahu ada juga yang bukan Islam mengetahui akan hal ehwal Islam tetapi apabila orang Islam tersilap membuat kenyataan seperti itu, ia boleh menjatuhkan imej Islam, tambahnya.