Pengetua ke-11
Vimala Mathew
SMK Convent Bukit Nanas 1993-1999


Mrs Vimala Mathews
Yang kurik itu kundi
yang kilat itu suasa
yang cantik itu budi
yang diingat itu jasa.

Tanggal 1944
di Sungai Siput lahirlah permata
hari demi hari semakin gemerlapan
memahat keunggulan mengukir cita-cita
tabah dan gigih mengharungi cabaran

Di Methodist Sungai Siput pendidikan asas diterima
Hinggalah ke Treachers Methodist Girl dan
Anderson High School ilmu ditimba
Ketua pengawas dan olahraga
Pintar dan aktif menjadi idola

Di Universiti Malaya terus terkemuka
Di bidang hoki nama ditempa
Wakil kampus ke seluruh negara
Meraih kemenangan kejayaan dicipta

Duhai Serikandi Pendidik
Meski jutaan insan mengejar kebendaan
Dunia koprat dunia profesional dunia perniagaan
Engkau tetap bergelut di dunia pendidikan
Di SM Maxwell bermulanya perkhidmatan

Seluruh ceruk rantau engkau jelajahi
Lorong dan denai mana yang tidak engkau suluhi
Convent Sentul, Maxwell, Padang Tembak dan Titiwangsa
1989 dari guru dimartabatkan sebagai pengetua
Pingat AMN membuktikan jasa

Hampir suku abad tanpa lelah dan bosan
Guru biasa dan jurulatih sukan
Guru kaunseling mahupun penolong kanan
Menjadi amanah di bahumu
Mengkamilkan sahsiah anak watanmu
Mudah-mudahan mereka dari bertatih bisa berlari
Menuju menara gading bestari

1994 tanggal keramat
Di Bukit Nanas tertumpahlah keringat
Akademik mahupun kesukanan terus cemerlang
Martabat CBN terus gemilang
Oleh mapan wawasanmu
Oleh bertuahnya kehadiranmu

Alangkah bahagianya puteri manis kita
Betapa syahdu CBN dan warganya
Oleh telusnya kepimpinanmu
Tunggak kejayaan semangatmu yang jitu

Sesungguhnya Srikandi pendidik
Meski tidak pernah engkau pinta
Namun sejarah tidak tahu memungkiri tinta
Akan khidmat dan bakti
yang telah engkau taburi
Dari zaman alif hingga ke alaf baru
Tersohorlah sudah jasa dan budimu
Di persada dunia pendidikan
Akan gemilanglah dunia keilmuan.