![]() |
![]() |
|
![]() |
||
![]() |
||
Air Kuning Selatan, 2 September 1996 - Majlis Sambutan Jubli Perak dan perasmian SMK Bukit Jalor yang telah dilaksanakan oleh YB Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Hj Abd Razak dalam penuh meriah semalam. Di antara tetamu yang hadir ialah Dato' Waad bin Mansur selaku Exco Pendidikan Negeri Sembilan, Dr. Azmi Zakaria Pengarah Pendidikan Negeri dan dif-dif kehormat yang lain.
Majlis bermula dengan perarakan masuk Menteri Pendidikan Malaysia itu dengan disambut oleh persembahan budaya etnik masyarakat Air Kuning seperti kompang dan muzik tradisi India. Kemudian hadirin dihiburkan dengan persembahan muzik tradisional dan tarian asli masyarakat Negeri Sembilan.
Dalam ucapan alu-aluannya Pengetua mengucapkan setinggi penghargaan kepada Dato' Sri Mohd Najib kerana sudi hadir ke Majlis Sambutan Jubli Perak dan Perasmian SMK Bukit Jalor. Beliau juga menyatakan kepada semua yang hadir beberapa pencapaian terbaik sekolah seperti menjadi sekolah luar bandar terbaik pencapaian PMR pada tahun 1996 dan beberapa pencapai yang lain.
Dato Sri Mohd Najib dalam ucap utama beliau mengingatkan pelajar-pelajar SMK Bukit Jalor supaya belajar bersungguh-sungguh dengan menggunakan kemudahan yang sedia ada seperti perpustakaan, komputer dan pusat sumber sekolah.
Beliau juga menasihatkan pelajar-pelajar bahawa tiada sebab untuk pelajar di luar bandar seperti di kawasan Felda Bukit Jalor dan kampung pedalaman di Air Kuning tidak boleh berjaya di dalam bidang pelajaran. Ini telah dibuktikan dengan rekod pencapaian PMR/SPM yang baik dan beberapa orang anak tempatan yang telah berjaya dalam karier profesional masing-masing.
Beliau juga menasihatkan hadirin supaya tidak ketinggalan dalam arus perdana dunia teknologi maklumat. IT telah menjadi satu revolusi baru dalam kehidupan kini dan golongan celik komputer adalah golongan yang tidak buta huruf masa kini. Internet telah menjadi satu jambatan ke arah komunikasi dunia kampung (world village) dan dunia tanpa sempadan (borderless world).
Majlis diakhiri dengan jamuan teh dan sesi fotografi bersama Menteri Pendidikan Malaysia yang tentunya memberi memori yang manis kepada warga SMK Bukit Jalor.
Sesungguhnya, kedatangan Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Hj. Abd Razak ke SMK Bukit Jalor telah memberikan inspirasi dan motivasi yang tinggi kepada anak didik dan guru-guru dan semua warga SMK Bukit Jalor yang lain. |
||
![]() |
||
|
||
Send comments to:Abd Rahim Said smjalor@tm.net.my |