Muslim yang sejati tidak mudah menyangka buruk pada manusia, tidak akan tergamak membiarkan khayalan dan fikirannya mereka-reka dan mencipta tuduhan palsu dan kesalahan terhadap manusia padahal mereka bersih daripada perkara yang sedemikian.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa."
l-Hujurat - 12)
Hidayah Nabi Muhammad S.A.W mengecam dengan kerasnya Muslimin yang mengamal prasangka buruk sangka terhadap manusia. Dan melemparkan tuduhan jahat serta palsu kepada mereka, tuduhan yang jauh dari kebenaran dan keyakinan sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :
" Awaslah terhadap buruk sangka, kerana sesungguhnya sangkaan itu adalah perkataan yang paling bohong"
(Muttafaq Alaih-Bukhari dan Muslim)
Rasulullah saw telah menetapkan bahawa sangkaan itu adalah sebesar-besar dusta. Jika seorang Muslim yang sejati tidak suka mengucapkan kata-kata dusta, sudah tentu dia tidak akan membuat sangkaan-sangkaan buruk kerana hal itulah sebesar-sebesar dusta.
Hidayah Nabi yang tinggi inilah yang melarang Muslimin daripada berburuk sangka terhadap manusia. Baginda mengarahkan kaum Muslimin supaya memandang perbuatan lahir manusia sahaja tanpa menuduh sesuatu hanya kerana prasangka, kata-mengata, tuduhan yang keji dan berbagai-bagai bayangan yang sengaja direka-reka. Segala rahsia dan batin mereka, kita serahkan kepada Allah. Demikianlah sikap para Rasul, pengikut-pengikut mereka dan Mukmin yang mengikuti mereka sepanjang masa. Mereka menikmati hidayah agama ini kerana mereka bertaqwa kepada Allah, bersih dari segala noda, suci dari dosa.
Oleh kerana itu, seorang Muslim yang bertaqwa dan sedar, mereka sentiasa berwaspada dari tiap-tiap perkataan yang diucapkannya, sentiasa berfikir panjang sebelum menjatuhkan sesuatu hukuman atau keputusan. Tidak luput dari perasaan dan fikirannya firman Allah, maksudnya :
"Dan janganlah mengikuti apa yang kamu tidak tahu tentangnya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan dipertanggungjawabkan"
Lantaran itu, seorang Muslim yang sejati mestilah patuh dan tunduk kepada hidayah ini, tidak bercakap, bertindak dan menjatuhkan hukuman tanpa ilmu dan keyakinan. Selain itu, manusia juga akan merasa gerun dan gementar untuk menyelami rahsia manusia lain, takut untuk membuat tuduhan dan menyangka buruk terhadap mereka. Hal ini kerana kesedaran yang wujud dalam diri mereka mengingatkan adanya malaikat yang sentiasa mencatat dan merekod segala tindak-tanduk dan perbuatannya.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud :
"Tidak ada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada malaikat yang mengawasi dan memerhati (yang selalu hadir).
(Qaf - 18)
Seorang Muslim yang merasai pengertian ayat-ayat ini akan gementar dan takut dari tanggungjawab setiap patah perkataan yang dituturkannya, lantaran dia mengetahui bahawa kata-kata yang diucapkannya itu akan membawa kepada makam (martabat) yang diredhai atau membawanya kepada kehinaan dan dosa yang dimurkai oleh Allah.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :
"Sesungguhnya seorang lelaki yang mengucapkan perkataan yang diredhai Allah S.W.T, tidak menyangka ke manakan kata-katanya itu akan sampai, adakah ia akan diredhai-Nya dan dibawa ke hari qiamat? Dan sesungguhnya seorang lelaki yang mengucapkan perkataan yang dimurkai Allah, yang dia sendiri tidak pernah menyangka bahawa perkataannya itu tidak akan sampai ke mana-mana, lalu Allah S.W.T memurkainya hingga hari Kiamat"
(Riwayat Imam Malik)
Alangkah besarnya risiko sepatah kalimah. Alangkah besarnya dosa yang didatsngkan oleh lidah yang celupar, mulut yang jahat dan selalu berbual kosong dan berseronok mendedahkan urusan peribadi manusia dan rahsia-rahsia mereka.
Muslim yang bertaqwa dan hatinya penuh dengan sinar iman tidak suka mendengar perbualan kosong manusia yang membuang masa. Mereka tidak mempedulikan segala kata-mengata, berita-berita angin dan berita keji dan sangkaan-sangkaan buruk yang melulu yang selalu melanda masyarakat kita pada hari ini.
Lebih dari itu, dia tidak menyambung berita-berita tidak baik yang didengari daripada manusia tanpa usul periksa, tanpa ilmu dan keyakinan. Kerana semuanya itu termasuk di dalam kata-kata dusta yang diharamkan oleh Rasulullah di dalam sabda baginda yang bermaksud :
"Cukup besar dustanya orang yang memberitakan segala apa yang didengarnya"
(Riwayat Muslim)