Oleh : Hadi Abu.
Maksud hadith : Kamu melihat sesiapa yang menjual atau membeli di masjid maka katakanlah: Allah tidak akan menguntungkan perniagaan kamu, dan apabila kamu melihat sesiapa yang meninggi suara mencari barangnya yang hilang maka katakanlah: Allah tidak mengembalikan kepada kamu.
Mungkin saudara pernah tertanya dalam hati, apakah hukum berjual beli dalam masjid? Adakah perbuatan itu termasuk di dalam perkara yang diharamkan oleh Allah dan rasulnya ataupun ianya merupakan rukshah ( kebenaran ) yang dibenarkan untuk kemaslahatan umatnya. Sekiranya demikian di manakah dalilnya? Apakah hujah yang mengatakan ianya haram, makruh atau sebaliknya.
Jika tiada ada apa-apa hujah, bolehkah kita kategorikan ia di dalam lingkungan perkara yang dimaafkan dan tidak dinyatakan hukumnya oleh Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, ia dibolehkan berdasarkan kaedah Asal sesuatu itu harus. Dan sekiranya ada dalil, apakah sandarannya? Bagaimana tentang kekuatan dalil tersebut? Apakah dalil tersebut tetap atau ia boleh dimasuki tafsiran lain?
Untuk menjawab persoalan di atas sukalah penulis membawa hadith yang menceritakan tentang perkara yang menjadi sandaran para ulama dalam membina hukum di dalam masalah seperti ini. Hadith tersebut diriwayatkan oleh Abu Huriarah ra. daripada Rasulullah SAW.
Maksudnya : Kamu melihat sesiapa yang menjual atau membeli di masjid maka katakanlah : Allah tidak akan menguntungkan perniagaan kamu, dan apabila kamu melihat sesiapa yang meninggi suara mencari barangnya yang hilang maka katakanlah: Allah tidak mengembalikan kepada kamu.
Hadith ini telah diriwayatkan oleh Imam Tarmizi dalam kitab sunannya, begitu juga Ad-Darizi dan Imam Malik dalam Muata ( rujuk mukjam al alfaz al-hadith m/s 240 jld 1). Namun begitu Imam Tarmizi telah menjelaskan bahawa hadith Abu Huriarah ini adalah hadith Hassan Gharib ( rujuk Tuhfatul Al-Ahwazi bab jual-beli m/s 40 ) oleh sebab itulah berlakunya perselisihan hukum antara ulama. Ada yang mengatakan ianya haram secara mutlak (langsung) sebagaimana yang tertera di dalam hadith di atas, malahan ada pula yang mengatakan bahawa ia hanyalah makruh dan tidak sampai martabat haram. Itu adalah kerana lafaz hadith tersebut tidak menunjukkan secara jelas tentang larangan mutlak ataupun pengharaman terhadap perkara tersebut. Begitu juga sanad (jalan riwayat) hadith menunjukan hadith tersebut termasuk dalam perkara yang boleh dipersoalkan, oleh sebab itulah ianya diterima oleh sesetengah ulama dan diketepikan oleh yang lainnya seterusnya menyebabkan hukum dalam masalah ini juga berbeza.
Untuk itu penulis membawa kata-kata Sayyid Sabi dalam kitabnya Fiqh Sunnah mengenai perkara ini. Katanya: Imam Abu Hanifah (Mazhab Hanafi) membolehkan jual beli dalam masjid, manakala membawa barang-barang jualan itu dilarang (Makruh), begitu juga Imam Malik dan As-Syafie, tetapi Imam Ahmad (Mazhab Hambali) melarang perbuatan tersebut dan mengharamkannya.
Perkara ini juga telah disebut secara terperinci oleh Abdul Rahman Al-Jaziri dalam kitab feqahnya dengan memberikan perincian-perincian tersendiri terhadap setiap pandangan-pandangan ulama mazahab. ( rujuk al fiqh ala mazahib arbaah jld 1 m/s 260 ). Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa hukum berjual beli di dalam masjid adalah makruh, pendapat ini telah disokong oleh Imam Sayutti dan Imam Malik walaupun beliau meriwayatkan hadith yang demikian di dalam kitab Muwattanya, namun begitu ianya telah disangkal oleh imam Mubarak Furi- Syarah kepada Sunan Tarmizi.
Akhirnya mereka berpendapat bahawa berjual beli dan pinjam meminjam dalam masjid adalah haram, sekiranya ianya terjadi maka akadnya batal (tidak sah) tetapi akad nikah adalah disunatkan dalam masjid. ( rujuk al fiqh ala mazahib arbaah ).
Pun begitu penulis merasakan pendapat mengatakan makruh itu adalah lebih benar memandangkan beberapa perkara sebagaimana yang telah disebutkan diatas.
1) Lafaz hadith telah menunjukkan pengharaman total dalam perkara ini.
2) Hadith hassan gharib yang mana ianya diterima oleh sesetengah ulama dan tidak sahih disisi yang lain, hadith ini juga didatangkan dengan sanad yang satu dan tiada hadith-hadith lain untuk menguatkannya.
3) Hadith dan lafaz hadith juga tidak menunjukan haram yang mutlak bahkan ianya -ditujukan sebagai petunjuk kepada orang muslim bahawasanya masjid adalah satu tempat yang mulia- rumah Allah yang menjadikan kunjungan para hambanya untuk beribadat dan bukannya sebagai tempat jual-beli. Tempat jual-beli adalah di kedai-kedai dan di pasar-pasar dan tempat sebegini adalah tempat yang paling dibenci oleh Allah, adakah kita hendak menyamakan antara masjid dan pasar.
Sesungguhnya perkara ini telah ditafsirkan sendiri oleh Nabi Muhammad di dalam kalamnya : Sesiapa yang meninggi suara mencari barangnya yang hilang maka katakanlah: Allah tidak mengembalikan kepada kamu. Kerana masjid tidak dibina untuk berjual beli.
Begitu juga hadith riwayat Buraidah dalam perkara yang sama : Adapun masjid dibina untuk tujuan binaannya (beribadah).( lihat Tuhfatul al-ahwazi ).
Akhirnya dalam masalah ini penulis membuat kesimpulan bahawa haram menjadikan masjid sebagai tempat menjual-beli sehingga menjatuhkan kemuliaan tempat ibadah tersebut. Tetapi jika ianya berlaku kerana hajat dan dharurat ( seperti menjual alat-alat ibadah dan buku-buku untuk kegunaan umum dan ibadah, tambahan pula ia tidak mencemarkan kemuliaan masjid dan tidak menggangu para jemaah yang bersembahyang - hukumnya adalah antara harus tetapi makruh.
Begitulah perbahasan para ulama tentang perkara ini, pandangan-pandangan mereka adalah berdasarkan dalil-dalil yang dipegang masing-masing. Dalam kita menangani persoalan yang sama, adalah lebih penting bagi kita berusaha sedaya upaya untuk menjaga kemuliaan masjid dengan baik tanpa membawa masuk anasir-anasir yang boleh menconting arang ke muka masjid, cukuplah peristiwa kaki babi di masjid pada satu ketika dulu menjadi pengajaran buat kita.
Wassalam