gerak7.gif (42442 bytes)

 

Afghanistan Dan Sudan Mangsa Keangkuhan Amerika

Seluruh dunia dikejutkan keberanian pengebom Kedutaan Amerika Syarikat di Tanzania dan Kenya pada 7 Ogos 1998. Siapakah yang begitu berani menggebom "Pejabat Polis Dunia" itu? Berdasarkan laporan Barisan Pembebasan Islam (FIS), sejumlah 257 orang disahkan terbunuh termasuk 12 orang warga Amerika Syarikat (AS) dan hampir 5,000 lagi cedera apabila pengganas melancarkan serangan bom tersebut. Sebanyak 247 terbunuh di Nairobi, manakala 10 lagi terbunuh di Dar es Salaam.

Sebelum ketibaan pasukan penyelamat AS, sepasukan penyelamat Israel telah dihantar ke tempat kejadian. Kononnya, atas permintaan Washington. Persoalannya, mengapa Washington meminta pertolongan Israel? Tindakan ini yang pastinya akan meningkatkan lagi reputasi Israel dalam rancangannya untuk menjadikan kawasan Arab sebagai wilayahnya.

Sebelum keputusan siasatan dikemukakan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan AS (FBI), Presiden AS, Bill Clinton membuat pengumuman di Rumah Putih pada 21 Ogos 1998 untuk melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Sudan dan Afghanistan. Ini adalah sebagai membalas serangan terhadap Kedutaan Amerika di Tanzania dan Kenya. International Herald Tribune (IHT) menyiarkan kata-kata Clinton: ''Saya mahu dunia memahami bahawa tindakan kita hari ini tidak ditujukan kepada Islam. Islam adalah agama ratusan juta manusia yang baik, cintakan perdamaian di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat. Tidak ada agama yang membenarkan pembunuhan lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang tidak bersalah. Tetapi tindakan kami ditujukan kepada fanatik dan pembunuh yang melakukan pembunuhan di atas hujah kebenaran dan dalam waktu yang sama mencemarkan agama besar itu dengan menjadikan serangan itu dibuat atas namanya. Keganasan bukan suatu bentuk pengungkapan politik dan sudah tentu bukan penzahiran sesuatu kepercayaan agama. Ia adalah pembunuhan yang tulen dan mudah. Kami mahu berkata pada umat Islam; Ia bukan ditujukan kepada kamu. Kami juga menentang keganasan Katolik di Ireland".

Jabatan Pertahanan AS(Pentagon) dengan jelas mengaitkan sasaran serangan di Sudan dan Afghanistan dengan Usamah Bin Laden. Serangan yang dilancarkan melibatkan peluru berpandu Tomahawk yang dilancarkan dari kapal-kapal Tentera Laut AS di Laut Merah dan Laut Arab. Menurut pegawai pentadbiran dan Kongres AS, tiada pesawat pengebom terlibat dan tiada kemalangan jiwa di pihak AS.

Tomahawk Varian Block III yang digunakan adalah peluru berpandu yang mempunyai jarak sasaran sejauh 1,600 km. Ini membolehkan kapal-kapal yang berada di selatan pantai Pakistan di Laut Arab masih dapat membedil Afghanistan. Masa serangan-serangan tersebut ditentukan dengan teliti supaya semua peluru berpandu berkenaan tiba serentak di sasaran masing-masing. Serangan terhadap kilang senjata kimia di Khartoum; mengikut dakwaan AS melibatkan peluru berpandu yang dilancarkan dari dua buah kapal Tentera Laut di Laut Merah. Manakala empat kapal Tentera Laut dan sebuah kapal selam melancarkan Tomahawk dari Laut Merah ke sasarannya di Afghanistan.

Tindakan Amerika Syarikat itu dikritik hebat oleh pelbagai pihak di negara-negara Islam dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Serangan ke atas kilang farmasi al-Shifaa di Khartoum, mengakibatkan 10 orang cedera manakala di Afghanistan, 26 orang terbunuh dan 40 yang lain cedera. AS melancarkan di antara 60 ke 75 buah peluru berpandu bagi mengebom tempat yang didakwanya sebagai markas latihan tajaan pengganas Bin Laden. Malangnya, menurut siaran Televisyen Moskow, sebutir roket telah terjatuh di Pakistan, negara jirannya dan mengakibatkan enam orang terbunuh.

Persoalannya, benarkah Bin Laden pengganas ? Adakah pengeboman tersebut dirancang oleh jutawan Arab Saudi itu?

Pada hakikatnya, Bin Laden bukanlah orang asing kepada sebahagian besar rakyat Afghanistan yang bangkit menentang kuasa Rusia. Bin Laden juga bukan orang asing kepada CNN, CIA, White House dan Arab Saudi.

Pada Mac tahun lalu 1997, Peter Arnett dari CNN telah menemubual Bin Laden di tempat persembunyiannya di timur Afghanistan. Wawancara itu berlangsung selama lebih satu jam, dan Bin Laden telah menjawab semua soalan yang dikemukakan kepadanya. Apabila ditanya sama ada dia terlibat secara langsung dalam peristiwa pengeboman di Riyadh dan Dhahran, Arab Saudi, Bin Laden menjawab: "semasa peristiwa itu berlaku dia tidak ada di Saudi". Dia menambah bahawa dia tidak terlibat dalam peristiwa itu, tetapi dia 'menghormati' mereka yang melakukan pengeboman itu. Apabila ditanya samada dia terlibat dalam peristiwa pengeboman World Trade Centre (Pusat Dagangan Dunia) di New York, Bin Laden menjawab dia tidak terlibat. Beliau juga ditanya mengenai peranannya membantu Mujahidin menentang tentera Rusia di Afghanistan, sebab-sebab dia dimusuhi dan akhirnya diusir oleh kerajaan Arab Saudi. Bila ditanya apakah rancangannya pada masa depan, Laden menjawab ''Anda akan lihat dan dengar sendiri nanti dalam media, Insya-Allah''.

Dengan itu, Amerika mendakwa Bin Laden yang bertanggungjawab dalam serangan bom ke atas kedua-dua Kedutaan AS. Bin Laden juga dikatakan pernah mengirim surat pengkeliling menyeru kepada dunia luar dan menggesa semua mujahid Islam untuk bangkit dan memusnahkan segala kekuatan Amerika walau di mana mereka berada.

Jabatan Keadilan Amerika mendakwa bahawa serangan tentera negara itu ke atas satu 'kubu pengganas' di Afghanistan dan satu 'kilang kimia' di Sudan adalah sah dan dibenarkan di bawah perlembagaan negara itu.

Seorang jurucakap jabatan itu, Bert Brandenburg, berkata Presiden Clinton, selaku ketua angkatan tentera bersenjata yang bertanggungjawab memelihara keselamatan negara dan warganegera Amerika, mempunyai kuasa penuh di bawah undang-undang negara untuk memerintahkan tindakan pengeboman itu. Undang-undang yang dimaksudkan oleh Brandenburg itu adalah Anti Terrorism and Effective Death Penalty Act, 1996 yang diluluskan oleh kongres selepas peristiwa pengeboman Bangunan Persekutuan di bandar raya Oklahoma pada 1995. Di bawah akta itu, Presiden Clinton diberi kuasa menggunakan apa jua cara yang perlu termasuk ''covert action and military force'' untuk memerangi dan memusnahkan semua ''international infrastructure'' yang digunakan oleh ''international terrorists'', termasuklah kemudahan-kemudahan latihan pengganas di luar negara dan tempat-tempat perlindungan mereka. Brandenburg juga menyatakan bahawa Clinton telah mematuhi kehendak War Powers Act, iaitu dengan terlebih dahulu memaklumkan dan mendapatkan pandangan kongres sebelum serangan itu dilancarkan.

Tindakan ganas seperti ini bukan perkara baru bagi Amerika. Pada 1986, Presiden Reagan telah memerintahkan serangan bom ke atas Libya, sebagai tindak balas pengeboman sebuah disko di Jerman di mana tentera Amerika terbunuh. Pada 1993, Clinton memerintahkan serangan peluru berpandu ke atas Iraq sebagai tindak balas satu cubaan (yang dikatakan dirancang oleh Iraq) untuk membunuh Bush semasa bekas Presiden itu melawat Kuwait. Kerajaan Amerika mendakwa bahawa Bin Laden adalah pengganas yang bertanggungjawab dalam peristiwa pengeboman kedutaan Amerika di Kenya dan Tanzania berasaskan: latar belakangnya, termasuklah peranannya memerangi tentera Rusia bersama-sama Mujahidin di Afghanistan selama ini.

Kesan daripada serangan AS, ABC News (Pakistan) melaporkan, Bin Laden berikrar untuk membalas dendam ke atas AS.

Tetapi tindakan Bill Cilnton memerintahkan serangan itu adalah muslihatnya. Sejumlah 36 peratus rakyat Amerika berpendapat bahawa serangan itu bertujuan mengalihkan pandangan rakyat dari skandal seksnya dengan Monica Lewinsky.

As-Sabeel Newspaper pada keluaran 247 bulan Ogos 1998 melaporkan kilang farmasi yang dibom oleh AS di Sudan, bukan digunakan untuk membuat senjata kimia. Tom Carnaffin, dari Hexham, England (Jurutera British bekerja di Sudan) berkata, beliau bekerja selama empat tahun sebagai pengurus teknikal untuk keluarga yang memiliki kilang farmasi itu. Carnaffin berkata, beliau meragui dakwaan AS bahawa kilang itu mengeluarkan bahan-bahan untuk membuat senjata kimia di bahagian veterinar di kilang itu. ''Saya mempunyai pengetahuan mendalam tentang bahagian itu. Ia tidak mempunyai kelengkapan untuk membuat senjata kimia kecuali terdapat perubahan radikal sejak beberapa bulan lalu. ''Anda memerlukan sesuatu seperti pintu kedap udara tetapi kilang ini mempunyai pintu-pintu yang menuju ke jalan raya,'' katanya. Seorang jurutera Jordan, Mohammed Abul Waheed berkata, kilang itu direka untuk membuat ubat dan adalah mustahil untuk mengubahnya kepada sesuatu yang lain. Seorang lagi jurutera Jordan yang bekerja di kilang itu, Ahmed Salem berkata: ''Bin Laden tidak mempunyai kaitan dengan kilang ini sama ada dari segi kewangan, organisasi, pentadbiran dan sebagainya,'' katanya.

Rakannya, Abu Dalbouh berkata, kilang itu mengeluarkan ubat antibiotik untuk manusia serta haiwan dan tidak mempunyai kelengkapan untuk menghasilkan gas saraf.

Sejak lahirnya revolusi Iran, Barat dan medianya terus-menerus merujuk istilah fundamentalisme kepada gerakan Islam yang menurut Barat sebagai sarang pengganasan, kekerasan, dan segala tindakan melampau lain. Sejak itu setiap kali berlakunya kekerasan dan keganasan antarabangsa, Barat selalu menuduh fundamentalisme Islam yang bersarang di negara Islam sebagai pelakunya. Ketika terjadi letupan pesawat Pan Am 103 di Lockerbie, Scotland pada 1988, Libya dituduh. Ketika peristiwa letupan bom di bangunan Pusat Perdagangan Dunia (WTC) di New York pada 1993, Syaikh Omar Abdul Rahman dan beberapa orang 'Muslim radikal' di Amerika dituduh dan ditangkap. Ketika terjadi peletupan bom di bangunan Federal Oklahoma City pada 1995 yang dituduh juga orang Islam. Dan ketika terjadi serangan letupan bom di kedutaan Amerika di Nairobi, Kenya dan Dar es Salaam, Tanzania, Bin Laden pula dituduh. Semuanya adalah tuduhan yang tidak berasas dan belum terbukti kesahihannya. Hanya dalam peristiwa pengeboman di bangunan Federal Oklahoma City yang sudah terbukti, tetapi pelakunya adalah orang mereka sendiri dan bukan orang Islam.

Sememangnya kita mengakui kewujudan gerakan-gerakan yang menggunakan kekerasan di beberapa negara Islam. Tetapi gerakan-gerakan seperti ini yang lahir akibat sikap terlalu emosional, keras seringkali dikaitkan dengan gejala sosial yang selalunya bersifat individu yang cepat timbul dan cepat hilang. Di beberapa negara Arab seperti Mesir dan Algeria umpamanya, kita sering mendengar adanya keganasan dan kekerasan yang dikaitkan dengan beberapa gerakan Islam setempat. Fenomena ektremisme di negara Muslim ini hanyalah gejala sosial yang banyak disebabkan oleh masalah demokrasi. Kalaulah peluang demokrasi semakin luas, ruang kekerasan akan kian mengecut.

Oleh itu, tidak benar jika gerakan Islam selalu dianggap kumpulan jahat, penyamun dan pengganas yang turun dari langit melakukan rompakan antarabangsa dan segala tindakan sadisme. Semua perbuatan melampau harus dinilai secara bijaksana.

Tindakan Amerika itu tidak kurang seperti perbuatan samseng kutu antarabangsa. Dalam beberapa tindakannya AS didapati tidak konsisten dengan langkahnya. Beberapa peristiwa membuktikan hakikat ini. Sebagai contoh; semasa meletusnya perang Arab-Israel tahun 1967, tentera Israel pernah menyerang kapal perisik Amerika; USS Liberty. Dalam serangan itu, seramai 34 anak kapal terbunuh dan 171 yang lain cedera. Tetapi sehingga hari ini pihak kongres AS belum menjalankan siasatan terhadap kes tersebut dan AS juga tidak mengambil sebarang tindakan ke atas Israel! Mengapa? Ironinya, bila hanya satu peluru berpandu Iraq menyasar ke sasaran USS Stark di Teluk Arab, satu penyiasatan besar-besaran dilakukan. Lebih 300 orang disoal dalam siasatan yang memakan sehingga tujuh bulan. Mengapa Amerika tidak bertindak? Sebabnya; penjenayah itu adalah Israel. Jika Israel yang melakukan keganasan, menurut definisi Amerika, ia bukan keganasan namanya walaupun mangsa keganasan adalah rakyat Amerika sendiri

Dengan perkembangan yang berlaku sekarang, umat Islam dan pemimpin mereka mestilah bersatu untuk menghadapi musuh yang satu, iaitu Zionis dan Amerika. Negara itu telah mengisytiharkan umat Islam sebagai musuh mereka. Dengan itu umat Islam mesti bersedia mempertahankan diri mereka dengan segala kekuatannya.

Umat Islam telah lama ditipu oleh kuasa besar itu. Ekonomi negara umat Islam, sejarah dan tamadunnya, malah agamanya telah dimusnahkan. Dengan runtuhnya empayar Soviet Union, Amerika seolah-olah menjadi satu-satunya kuasa dunia yang boleh mencorakkan manusia sekehendak hatinya. Sesungguhnya umat Islam menjadi sasaran utama Amerika, kerana mereka sangat bimbang dengan kebangkitan Islam yang dianggapnya sebagai ancaman kepada negara sekular yang didokongnya.

Justeru itu, sudah sampai masanya umat Islam bersatu tenaga dan buah fikiran untuk menghadapi Amerika dan memang jelas bahawa Amerika adalah musuh bersama umat Islam.