SYARIAT (3) 1)Ia bersumberkan dari Allah. Syariat Islam diturunkan oleh Allah (SWT) ke atas Nabi Muhammad (SAW) dalam bentuk lafaz (Al-Quran) dan juga makna tanpa lafaz (Sunnah ).Ini jelas bertentangan dengan syariat/undang-undang yang dicipta oleh manusia kerana ia bersumberkan dari akal fikiran manusia semata-mata , manakala syariat islam / sistem perundangan islam bersumberkan dari pencipta segala manusia . Maka di sini , kita boleh dapati bahawa syariat islam terhindar dari segala kekurangan dalam bentuk ianya didasari oleh hawa nafsu dan sebagainya. Sedangkan undang-undang ciptaan manusia sering mempunyai kekurangan dan kelemahan lantaran dari kejahilan dan kekurangan yang ada pada diri manusia . Sebagai contoh , di dalam Syariat Islam , terdapat satu prinsip yang utama , iaitu 'persamaan' dikalangan manusia. Apabila seseorang itu memeluk Islam , tidak ada padanya sebarang kelebihan ataupun kekurangan pada dirinya jika dibandingkan dengan muslim yang lain , kecuali pada taqwa. Seorang muslim yang berkulit putih sama sahaja kedudukannya di sisi Allah dengan muslim yang berkulit hitam. Begitu juga perbandingan-perbandingan yang lain dan dari sudut-sudut yang berbeza, seperti rupa paras, harta kekayaan dan lain-lain lagi. Sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah di dalam surah Al-Hujurat (13) : " Hai manusia ! sesungguhnya Kami menjadikan kamu dari laki-laki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa , supaya kamu berkenal-kenalan . Sesungguhnya orang yang termulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa. " Prinsip ini telah didatangkan kepada Islam di dalam keadaan umat Arab pada ketika dahulu yang mementingkan semangat asabiyyah ataupun kepuakan dikalangan mereka. Maka Islam datang dengan membawa satu angin perubahan yang boleh diterima oleh semua masyarakat , iaitu satu bentuk prinsip keadilan di dalam bermasyarakat, iaitu prinsip persamaan antara individu. Perkara ini terbukti apabila telah terjadi satu kisah dimana , apabila seorang wanita bangsawan yang telah mencuri dan disabitkan kesalahannya , lantas ia diminta oleh para sahabat supaya digugurkan hukuman ke atasnya atas alasan , dia adalah seorang yang berketurunan bangsawan.Maka nabi dengan tegasnya menjawab , bahawa jika Fatimah bt. Muhammad sendiri yang mencuri , maka aku akan potong tangannya! Begitulah dia contoh persamaan yang dibawa oleh baginda Rasulullah SAW Persoalan 'persamaan' dari sudut hak individu telah menjadi satu topik serta polemik yang besar di kalangan beberapa buah negara membangun .Seperti contoh, negara Amerika sendiri mempunyai masalah di dalam melaksanakan prinsip keadilan ini di kalangan rakyatnya. Golongan kulit hitam dan kulit putih sering tidak sehaluan di dalam berinteraksi di antara satu sama lain. Golongan kulit hitam dilabelkan sebagai golongan kelas rendah , miskin , tidak berpendidikan , terkenal dengan keganasan dan sebagainya . Malah perkahwinan di kalangan rakyat berkulit hitam dan kulit putih adalah merupakan satu kesalahan dari sudut kanun serta undang-undang negara Amerika. Selain itu, seringkali persoalan keadilan lebih meyebelahi golongan kulit putih apabila berhadapan dengan mahkamah..Inilah dia suatu bukti bahawa manusia tidak mampu mencipta suatu sistem keadilan serta prinsip persamaan ke dalam kehidupan bermasyarakat sebagaimana yang didatangkan oleh Islam. 2) Hukum Syariah memberi kehebatan dan penghormatan kepada manusia. Setiap manusia , tidak kira ia dari kalangan yang memerintah ataupun yang diperintah , akan merasai suatu bentuk kehebatan dan juga suatu bentuk penghormatan terhadap dirinya apabila ia menghayati dengan sebenar-benarnya syariat Islam serta maqasid/kehendak syariat itu sendiri. Ciri-ciri ini wujud hasil daripada ianya bersumberkan dari pencipta segala makhluk, iaitu , Allah . Manakala , kanun undang-undang ciptaan manusia tidak pernah menyamai syariat Islam dari sudut ini . Tiada baginya suatu bentuk kekuatan dan kekuasaan pada dirinya untuk membuatkan dia benar-benar taat kepada perintah undang-undang ciptaan manusia ini . Kerana sesungguhnya , manusia akan cuba mencari jalan untuk mengelak daripada undang-undang sebegini dan akan cuba mencari jalan untuk menghindarkan dirinya dari dikongkong dan dikuasai oleh undang-undang ciptaan manusia ini. Sebagai contoh , undang-undang jalan raya adalah undang-undang yang dicipta oleh manusia . Disebabkan tiadanya roh syariat Islam dari sudut perundangan Ta'zir di dalam kanun undang-undang Islam , maka undang-undang jalanraya ini sentiasa dilanggar oelh manusia apabila ia mempunyai kesempatan dan peluang . Dr. Abd . Karim Zaidan telah memberikan satu permisalan berkaitan dengan noktah yang kedua di dalam ciri-ciri syariat Islam ini. Sebagai misalannya , orang-orang Arab di zaman jahiliyyah mempunyai kegemaran meminum arak . Bagi mereka , arak adalah suatu bentuk minuman asasi dan ianya telah menjadi suatu adat yang telah dipusakai sejak turun temurun . Apabila syariat islam diturunkan , pertamanya Allah menyebut tentang dosa arak lebih besar daripada manfaatnya . Kemudian Allah mengajar mereka dengan menurunkan wahyu melarang perbuatan meminum arak ketika hendak mengerjakan solat . Dan akhirnya Allah terus melarang umat Islam pada ketika itu dan hinggalah ke hari kiamat , perbuatan meminum arak dengan turunnya ayat Al-Quran : "Wahai orang-orang yang beriman ! Sesungguhnya arak , berjudi , menyembah berhala dan bertenung nasib adalah perbuatan keji , ia adalah dari amalan syaitan . maka jauhilah ia mudah-mudahan kamu mendapat kemenangan " (Surah Al-Maidah 90) Maka di sini Allah telah menggunakan kalimat "Fajtanibuuh" (Maka kamu hindarilah ia) . Ini adalah satu bentuk interpretasi yang Allah tunjukkan untuk membuktikan bahawa ini adalah satu bentuk penghormatan dan kehebatan yang dianugerahkan kepada manusia yang mana tidak akan kedapatan sebarang ayat arahan yang memberi maksud sepertimana ayat tadi di dalam kanun undang-undang ciptaan manusia. Inilah serba ringkas apa yang disebutkan sebagai kehebatan dan penghormatan yang Allah berikan kepada manusia di dalam memberi perintah di dalam pelaksanaan syariatnya. InsyaAllah , dikeluaran akan datang kita akan sambung perbincangan kita yang selanjutnya. bersambung...... |