SOALAN
Assalamuaikum ustaz,terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terimakasih kerana menyediakan ruangan klinik hati ini.Telah lama saya tercari-cari dimanakah pedoman untuk saya cari demi memperbaiki kesalahan dan keterlanjuran yang telah saya lakukan...
Begini, ustaz saya mempunyai tunang dan kami saling cinta-menyintai antara satu sama lain. Setengah tahun menjankau usia pertunangan kami hubungan kami menjadi semakin rapat,didalam hati saya, dialah bakal suami saya dunia dan akhirat.Perjalanan waktu terus menghayut diri kami,mungkin juga hidup dirantau orang menyebabkan kami sedikit demi sedikit terlupa akan batasan pergaulan lelaki dan perempuan.
Ustaz, adakah setiap lelaki kalah bila berhadapan dengan perempuan?..Saya tak pernah menduga perkara ini akan berlaku...mungkin ini kelemahan saya juga,kami terlanjur.Saya amat menyesali perbuatan kami ini dan pernah saya menyatakan kepada dia untuk memutuskan hubungan kami andai perkara ini berterusan.Tapi ustaz...adakah tuhan masih menyayangi umatNya yang telah banyak menginkari perintahNya? Saya tahu jalan penyelesainya kami kahwin tapi waktu itu tidak mengizinkan kami berbuat demikian ...
Alhamdulillah tak lama lagi kami akan melangsungkan perkahwinan.Perkara lepas sering menghantui fikiran saya, berbagai persoalan yang bermain di fikiran saya sekarang ini.Saya mengharapkan satu kehidupan yang mendapat keberkatan dari Allah SWT. Tetapi permulaan perhubungan kami telah kami cemarinya, saya takut untuk menerajui alam rumahtangga yang pasti besar tanggungjawabnya,bukan kerana tidak bersedia tapi kerana memikirkan bagaimana akan saya didik anak-anak saya nanti,bolehkah saya menjadi seorang ibu yang baik dan seorang isteri yang soleh.
Ustaz, saya rasa bersalah yang amat sangat terutama bila memikirkan hal ibubapa yang memberikan kepercayaan penuh kepada saya, dan kepercayaan itu telah saya hancurkan. Jika dulu saya rasakan Allah dekat di sisi diri ini tapi kini...
Ustaz, adakah saya masih berpeluang untuk hidup bahagia selepas ini dalam erti kata mendapat keredhaan dari Allah? Bagaimanakah dan apakah yang harus saya lakukan untuk mendapatkan kembali keberkatan, keredhaan dan pedoman dari Allah?
Diharap ustaz dapat memberikan nasihat kepada hamba Allah yang kerdil lagi hina
ini.Wassalam.
HAMBA ALLAH...
JAWAPAN
Alhamdulillah kerana Allah telah menggerakkan hati saudari untuk kembali menilai perbuatan setelah lama bergelumang dengan kehinaan tersebut . Tidak ada seorang pun di kalangan kita dapat lari daripada dosa . Cuma yang berbeza adalah besar atupun kecilnya dosa tersebut . Di sinilah terzahirnya kasih sayang Allah s.w.t. kepada kita apabila ia memberi TAUBAT sebagai hadiah untuk kita membersihakan dosa kita selagi nyawa kita belum berada di halkum .
Di dalam hadis Imam At-Tarmizi , Rsullulah telah bersabda yang bermaksud : " Allah s.w.t. akan menerima taubat hambanya selagi ruh belum sampai ke halkum .
Saudari ,
Islam terlalu menjaga hubungan di antara lelaki dan perempuan .Ia telah menyedari desakan seks tidak akan dapat dikawal apabila kedua jenis yang berlainan ini dibiarkan bebas . Ini adalah kerana kita bukan malaikat , biarpun setinggi manapun ibadat kita .Semenjak lebih kurang 1418 tahun yang lampau Rasullullah telah bersabda mafhumnya : " Tidakku tinggalkan selepasku ujian yang lebih besar kepada lelaki melainkan wanita .
Begitu juga dengan sabdanya : Tidak akan berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan melainkan yang ketikanya syaitan .
Oleh itu Islam telah meletakkan beberapa gate line di antara lelaki dan perempuan . Tetapi malangnya , serangan pemikiran yang dilancarkan oleh Barat ke atas umat Islam telah membuatkan sebahagian daripada kita memandang dingin apa yang telah digariskan oleh Islam . Ungkapan ketinggalan zaman , tidak up to date , dilontarkan kepada sesiapa yang berpegang teguh gate line yang telah ditetapkan oleh Islam . Akhirnya apa yang terjadi . Berapa ramai wanita yang menjadi mangsa mainan lelaki ? Berapa ramai bayi yang dibuang ke dalam tong-tong sampah ? Berapa ramai yang sedang menanti saat-saat akhir kehidupan akibat Aids , syphilis, gonorrhea dan sebagainya .
Berbalik kepada kepada masalah saudari , pintu taubat terbuka luas untuk saudari . Mintalah keampunan dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan. Di dalam sebuah hadis Qudsi Allah s.w.t berfirman dengan maksud : " Wahai anak Adam , apa yang kamu doa dan harapkan daripadaku kuberi keampunan buatmu biarpun apa dosa yang telah kamu lakukan dan aku tidak peduli . Wahai anak Adam sekiranya dosa sebanyak awan-awan di langit kemudian engkau memohon keampunan daripadaku , ku ampunkan kamu . ( Hadis riwayat At-Tarmizi )
Apa yang berlaku telah berlalu . Saudari mesti sentiasa yakin dengan rahmat Alllah untuk hari esok . Masa untuk menebus kesalahan yang lalu masih panjang . Tiada siapa yang boleh menghalang kasih sayang Allah Yang Maha Pengasih kepada saudari . Biarpun hari ini hidup saudari mendung , tidak semestinya esok tetap mendung untuk saudari . Peluang saudari untuk menjadi seorang isteri yang solehah tetap terbuka luas . Peluang untuk menjadi ibu mitahli masih ada . Mungkin apa yang berlaku mengajar saudari apa yang perlu dilakukan terhadap puteri dan puteri yang bakal lahir menghiasi hidup saudari agar tidak terjebak dengan dosa yang pernah dilakukan oleh ibu dan bapanya . Oleh itu , kembalilah melakukan ibadat untuk mencari keredaanNya . Banyakkanlah bermunajat dimalam hari kerana di sini saudari akan medapat ketenanagan . Banyakkan membaca Al-Quran kerana ia merupakan penawar bagi jiwa . Begitu juga dengan buku agama .
Akhir sekali hayatilah firman Allah di dalam surah Az-Zumar , ayat 53 bermaksud : "Katakanlah : Wahai hamba-hambaKu yang telah melampau terhadap diri sendiri ( akibat berbuat dosa) janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah . Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya . Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang .