MASALAH ADIK

SOALAN

Assalamu`alaikum w.b.t.

Saya mempunyai seorang adik lelaki yang berumur 17 tahun dan masih bersekolah. Masalahnya ialah beliau adalah seorang yang degil, baran, sukar untuk berkomunikasi dengan bahasa yang baik dengan ibu bapa dan sekarang beliau sudah mula `panjang tangan'. Walaupun kami tidak mempunyai bukti yang kukuh tetapi cukup untuk meyakinkan yang beliau melakukannya. Beliau adalah seorang yang apabila sudah melakukan kesalahan tetapi bermati-matian untuk tidak mengaku akan perbuatan beliau. Apabila diajukan persoalan adakah beliau mengaku, beliau mengatakan yang sekiranya tiada sesiapa yang percaya kata-kata beliau, maka beliau akan melarikan diri dari rumah.

Mohon ustaz beri pendapat dan nasihat. Saya kesiankan ibu saya yang kadangkala terpaksa bertegang urat dengan ayah untuk mempertahankan adik kerana sekiranya ayah sudah naik darah, beliau tidak dapat mengawal dirinya.

Terima kasih.

JAWAPAN

Walaikumussalam

Terima kasih atas persoalan yang di timbulkan ,

Mengenai masalah yang dihadapi oleh saudari tersebut , saya berpendapat – mungkin ianya benar atau mungkin sebaliknya ( saya minta maaf)- :-

1) Sentiasalah berdoa agar dia berubah dari sifat yang buruk kepada sifat yang baik.. Ini kerana dengan pertolongan daripada-Nya semua perkara boleh berlaku . Cuma kadangkala memerlukan kesabaran dalam menanti natijah yang diharapkan . Namun begitu nabi besar kita pernah bersabda yang maksudnya : -" Sesunguhnya Allah malu ketika mana seorang hamba yang menadah kedua tangan memohon sesuatu yang baik maka dikembalikan kedua-dua tangan tersebut dengan tangan yang kosong." (hadis riwayat Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Majah), Manakala dalam hadis yang lain pula Rasullallah sekali lagi bersabda :-" Tidak ada di atas muka bumi seorang lelaki muslim yang berdoa kepada Allah dengan satu doa kecuali Allah akan memperkenankan akan hajatnya, atau dielakkan (dengan doa tersebut) bala yang akan menimpa, selagi mana doa itu tidak mengandungi dosa atau memutuskan sillatirrahim." ( Riwayat Tarmizi) .Oleh itu , kita berharap dengan doa itu dia akan berubah atau dapat mengelak keburukan yang besar lagi .

2) Perkara yang kedua , pastikan siapakah kawan yang paling rapat denganya . Perlu diingat bahawa kawan ini tebahagi kepada dua golongan :-

a) Kawan yang boleh dijadikan cermin atau model . Mereka ini berakhlak mulia , berhemat serta berpegang dengan agama . Sekiranya mereka ini adalah sahabatnya maka mintalah bantuan mereka dalam menasihatinya . Ini kerana kadangkala manusia lebih menerima pendapat atau nasihat dari orang yang tidak ada pertalian darah dengannya .

b)Kedua, sahabat yang sebaliknya. Maka seboleh-bolehnya hendaklah kita cuba pisahkan dia dengan mereka ini . Fikirlah cara yang terbaik yang sesuai untuk pisahkan dia daripada mereka akan tetapi jangan sampai dia membenci mereka . Ini kerana mungkin dia dapat mengubah keadaan mereka pula pada suatu hari nanti.. Disini sebagai satu caranya ialah banyakkan kegiatan yang berfaedah sesama ahli keluarga yang mana dengan ini berkurangnya hubungan dia dengan kawan-kawan dia tersebut.

 

3) perkara yang ketiga , cuba –ahli keluarga sendiri- tunjukkan qudwah/ contoh yang terbaik ketika bersamanya .

4) Jangan terlalu zahirkan buruk sangka kita dihadapannya walaupun perasaan ini wujud dalam diri kita yang mana perasaan ini wujud kerana kita sayangkan dia dan kita tidak mahu dia melakukan sebarang perbuatan yang tidak disukai > Namun begitu cuba kita berikan perhatian terhadap masalah yang beliau hadapi , ajak berbincang dalam semua perkara bukan mengenai kesalahan dia sahaja , disampig itu cuba hormati pendapat yang dia berikan . Dengan ini lama kelamaan dia akan merasa dirimya tidak dketepikan dan ada tempat didalam keluarga . Akhirnya sedikit demi sedikit dia akan rasa malu bila dtegur atau dia menyadari kesalahannya.

5) Cuba beri kepercayaan kepada kata-katanya sekiranya kita tidak ada bukti ,disamping itu cari bukti yang kukuh yang mana dengan bukti itu dia terperangkap dan tidak mampu berdolah-dalih lagi. Dimasa ini berilah nasihat yang terbaik untuknya . Ini kerana ketika mana seseorang itu apabila berada dalam keadaan salah yang nyata kesalahannya , biasanya nasihat dan tunjuk ajar kita didengari.

6) Manakala tentang masalah ayah saudari – maaf sekiranya menyentuh hal peribadi- cuba nasihatinya agar dia dapat mengawal perasaan marahnya . Ini kerana hal ini membawa kesan kepada adik saudari itu sendiri . Iaitu dia melihat ayah saudari yang tidak mahu kalah , dia pun merasa ' aku juga tak boleh mengaku kalah , aku juga lelaki'. Dan elakkan pertelagahan (mengenai dirinya/kesalahannya) dihadapannya.

Kesimpilannya;-

Bertindaklah dengan baik dan berhikmah dalam hal ini bak kata pepatah " menarik rambut didalam tepung , rambut tak putus ,tepung tak berselerak ".

Akhirnya:-

Saya memohon berbanyak kemaafan sekiranya apa yang saya cakapkan ini tidak sesuai untuk dilaksanakan . Ini sekadar pendapat . Lebih-lebih lagi ianya merupakan suatu yang baru bagi diri saya . Namun begitu sekiranya pendapat yang diberikan ini adalah baik ,ambillah dan sekiranya tidak saya sekali lagi pohon berbanyak kemaafan . Sekian , terima kasih .

Wassalamu Alaikum Warahmatulllah