SOALAN
Assalamualaikum wr. wb.Tuan,
Saya mempunyai anak berumur 8 tahun. Saya ingin membentuknya agar menjadi anak yang soleh. Beliau adalah anak yang sulung. Saya telah melatihnya sembahyang 5 waktu sejak berumur 7 tahun. Kadang-kadang saya rasa dia sembahyang bukan dengan kehendaknya sendiri. Bila ambil wudhu' dia tidak ambil dengan sempurna, bila kita tidak melihat, dia hanya sapu-sapu anggota wudhu dengan air dan menyatakan bahawa dia telah ambil wudhu'. Dia sembahyang sekadar syarat sahaja. Bila saya tidak lihat, dia kata dia dah solat. Saya kadang-kadang tidak mempercayai pengakuannya dan mengatakan dia berbohong dan menyuruh dia sembahyang semula.
Hal ini menimbulkan masalah kepada saya kerana saya tidak mahu mengawasinya sentiasa, untuk membentuk sifat tanggung jawab dan tidak menipu. Kadang-kadang ada yang mengatakan kepada saya jangan memaksa sangat kerana anak-anak sememangnya tidak dapat memenuhi 5 waktu sehari semalam. Saya sedaya upaya akan memastikan dia menunaikan 5 waktu tersebut. Walaupun bila dia telah tertidur saya akan kejutkan dan menyuruhnya solat. Sekian. Harap dapat pihak tuan memberi tunjuk ajar kepada saya, kerana ini anak saya yang sulung jadi saya tiada pengalaman di dalam hal tersebut.
Tuan,
Bagaimana untuk mengatasi masalah anak yang degil dan tidak minat belajar?.
Sekian.
Naemah, Malaysia
JAWAPAN
Wa'alaikumussalam wbt.
Puan yang bertanya yang saya hormati,,,
Sebelum saya meneruskan kalam ini, suka saya rangkapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas kepercayaan yang telah puan berikan kepada kami. Terutama untuk menyelesaikan atau lebih tepat lagi saya katakan untuk memberi pandangan terhadap persoalan yang puan utarakan.
Sebenarnya puan, perkara akhlaq, hati dan tarbiah diri ini sebenarnya berkait rapat dengan ikatan dan pergantungan kita kepada yang Esa. Sejauh mana pegangan kita kukuh, dan keimanan kita teguh insya-Allah swt. Dia akan permudahkan segala permintaan dan doa kita.
Berbalik kepada soalan yang puan utarakan, puan mempunyai anak yang baru berumur 8 tahun, dan puan inginkannya menjadi seorang yang soleh. Secara ikhlas saya katakan yang puan mempunyai niat yang cukup baik malah ia memang terpuji. Saya harap, puan lafazkan niat ini secara ikhlas dan dengan hati yang suci murni. Perkara tersebut dapat saya kesan apabila melihat kepada tindakan yang puan telah ambil, iaitu menyuruh anak puan solat sejak kecil lagi.
Satu perkara yang puan perlu ingati ialah, persoalan didikan rohani ini tidak terjadi dengan sempurna ataupun 'complete' dalam masa sehari dua, ataupun setahun dua. Malah ia beransur-ansur, dan kita akan dapat mengesannya pabila anak-anak tadi mencecah umur 15 tahun, iaitu baligh. Manakala dalam tempoh 1-15 tahun, anak-anak lebih kepada meniru alam sekelilingnya dan mereka tidak dapat membuat keputusan, mana satu betul dan mana satu salah. Alam sekeliling yang saya maksudkan ialah suasana rumah, ayah, ibu, adik beradik, kawan-kawan dan masyarakat. Jika alam sekeliling ini Islam maka anak ini akan jadi muslim begitu juga sebaliknya.
Anak-anak yang baru memang tidak boleh dipaksa, sebab fikiran mereka tidak mantap lagi, dan mereka lebih suka meniru daripada menerima arahan. Pengalaman saya masa kecil dulu, saya suka sangat buat kerja yang orang tidak suruh, iaitu secara sukarela. Mana kerja yang mak saya suruh saya malas! Saya cakap betul, saya kata: "Mak, saya malas!" Mak kata "Kalau malas tak apalah, bila rajin nanti buatlah" dan bila dia berundur sedikit dan mula tak kisahkan saya lagi, saya pun buat. Contohnya pergi mengaji, beli gula, sayur dan membaca buku. Saya ni pelik sikit, bila orang suruh saya mudah marah dan tak buat !!. Sebaliknya saya mudah nak buat perkara baik dan tiru kakak saya yang selalu dipuji oleh mak, saya suka sangat bila mak puji saya dan tidak suruh saya.
Itu cerita saya, dan pengalaman saya, dan saya ni tidaklah terlalu baik dan saya takut nak mengaku sebagai anak soleh, tetapi saya selalu doa dan harapkan begitu.
Daripada kisah saya tadi, kita boleh ambil dua perkara, satunya budak-budak tidak suka dipaksa. Cukup sekali suruh sahaja, dan sekali peringatan. Kita dinasihatkan lebih banyak perhatikan gerak geri dia. Tengok dia buat atau tidak arahan kita tadi. Kalau dia tidak buat, tentu ada satu masalah yang belum selesai. Diri kita, suami kita, kawan-kawan dia, suasana rumah kita dan sebagainya, iaitu alam sekeliling sebagaimana yang saya sebutkan tadi.
Perkara kedua pula ialah, budak-budak memang suka meniru, dan suka buat kerja sendiri-sendiri dengan kata lain suka mencuba benda baru. Bila dia lihat. Dia nak buat. Hal ini hakikat, samada kita nak terima atau tidak dia adalah fitrah. Jadi marilah sama-sama kita wujudkan alam sekeliling Islam itu sendiri. Sebab bila Islamnya alam sekeliling Islamlah penghuninya. Ini juga satu fitrah. Kita tidak boleh sekali-kali, menunjukkan perkara tak baik pada anak-anak kita seperti marah-marah pada suami ataupun sesiapa sahaja di depan mata mereka. Merokok, mengumpat, merotan dan mendenda kakak atau abangnya depan mata. Kita digalakkan lebih bertanya dan lebih memujuk, contoh soalan: "apa yang adik hendak sebenarnya?" atau "adik nak masuk syurga tak?" dan pelbagai lagi soalan. Satu lagi soalan yang sering dikemukan oleh ibu saya ialah "sekarang ni abang malas ke rajin?" dia panggil saya 'abang' sebab saya anak sulung lelaki. Kalau saya kata "rajin" dia tunjuk muka senyum dan bagi arahan, lepas tu saya minta upah lah apa lagi,, dia seronok aje bila saya minta upah, tandanya dia menanglah tu. Dan kalau puan nak tahu upahnya seperti telur ikan goreng, tumbuh kelapa dan kalau nasib baik sangat saya dapat duit, tu pun 10 sen. Banyak dah tu. Saya kata dia menang sebab saya jarang kata "Rajin". Kalau saya dengar dia panggil nama saya aje, saya dah kata malas!! Lepas tu dia jawab: "Kalau rajin mak nak suruh itu dan ini.." lepas tu saya buatlah.
Sebenarnya kita selaku pendidik ni lebih sebagai pemerhati sahaja. Jangan kita mudah buat dan jatuhkan hukuman, sebaliknya kita hendaklah memuji anak-anak kita walaupun dia buat salah. Syaratnya jangan lebih-lebih. Pandailah berpada-pada.
Satu lagi perkara yang saya perhatikan sendiri di dalam kampung saya, kebanyakan ibu suka sangat menyumpah seranah anak-anak mereka. Natijahnya, anak anak semakin liar, dan mereka semakin menyumpah, kata babi, anjing dan sebagainya pada anak-anak. Sebenarnya saya percayakan kalau orang atau pepatah yang mengatakan "segala ucapan ibu terhadap anak-anak adalah DOA". Kata-kata ibu terangkat terus kepada Allah swt. tanpa perantaraan. Doa ibu sangat dimakbulkan, lagi-lagilah apabila dia menitiskan air mata abapila menyebutnya. Saya amat sedih apabila mendengar seorang jiran yang menyumpah anaknya yang sangat degil sambil menangis-nangis.
Mak saya selalu ugut saya, katanya: "Abang kena ingat, doa mak mudah makbul, abang nak ke kalau mak doakan abang jadi orang baik-baik tetapi abang tak nak jadi baik, semua orang akan kata abang baik malah hati abang sendiri tak nak baik, nanti hidup abang tak seronok&ldots;" sampai sekarang saya ingat kata-kata ini, saya sangat takut saya jadi baik sekarang ini (kalau baiklah, dan isya-Allah) hanya kerana doa mak saya nak saya jadi baik padahal saya amat buruk, wal 'iya zubillah.
Sebut tentang alam sekeliling Islam ini, suka saya bawakan satu contoh (kalau ia bertepatan) iaitu selalu membawa anak-anak ke masjid. Keluarga saya jarang sangat menunaikan solat maghrib dan isya' di rumah kecuali jika ada tetamu. Itu pun kadang-kadang mereka bawa tetamu sekali ke masjid (lelaki sahaja). Kebetulan rumah saya tu dekat dengan masjid dan saya amat suka dengan bilal masjid yang selalu bacakan cerita-cerita nabi. Bila dia mengajar saya suka sangat tidur atas ribanya, dan ayah saya ataupun orang lain tak marah. Satu lagi yang saya suka, dia selalu buat contoh pada saya.
Daripada sini juga kita dapati budak-budak suka pada cerita. Oleh itu kita ambillah kesempatan untuk menceritakan kisah-kisah Islam pada mereka. Selain mereka mendengar cerita pada masa yang sama mereka bermanja.
Akhirnya, inilah apa yang saya dapat perkatakan, apa yang penting diambil ialah kita selaku ibu ini sebagai pemerhati yang pertamanya dan keduanya baru tindakan. Lebih banyak berfikir. Hidupkan suasana Islam di rumah kita. Satu lagi, banyakkan sabar di dalam mendidik kerana urusan hidayah merupakan urusan Allah swt. dan ia memakan masa yang lama. Suka saya tegaskan di sini bahawa, kalau alam sekeliling anak-anak kita baik, mereka akan jadi baik. Ini adalah fitrah dan kita kena yakin dengannya.
Minta maaf, satu perkara perlu ingat, ayah jangan suka masuk campur dalam urusan memujuk anak-anak, dia perlu tegas. Terutama di dalam perkara solat, puasa, baca al-Quran dan perkara-perkara asas dalam Islam. Kalau kita suruh dan anak-anak degil sangat, terakhir sekali kita mengadu pada suami. Selagi kita ada helah, kita cuba helah kita, sebab orang laki ni kasar sikit tabiatnya. Mak saya sangat marah kalau saya kata "malas" bila dia suruh saya mengaji. Dia kata "Abang!!" ayah saya. "Datang sini kejap, saya ada masalah sikit, dan jangan lupa bawakan rotan tu,, sebab ada budak degil&ldots;" Saya tika tu kecut perut sakan la, bila dengar mak sebut nama ayah aje, terketar-ketar padahal saya tak pernah pun kena apa-apa, tapi nama ayah saya tu macam&ldots; tak leh cakap, seram!.
Inilah sahaja daripada saya yang serba lemah ini. Minta maaflah sebab terlalu banyak menceritakan kisah hidup saya, sebab pada saya, emak sayalah orang pertama selepas nabi saw. yang saya ambil teladan dalam hidup yang sementara i. Semoga Allah swt. mengampunkan dosa-dosa kedua ibu bapa saya, dan memasukkan mereka ke dalam golongan orang-orang yang soleh. Sekian.
Kalau ada persoalan secara peribadi alamatkan : ibnrajab@hotmail.com