saya malas sembahyang

    Soalan :

    Assalamualaikum Ustaz...

    Alhamdulillah... Saya tersrempak dengan laman web ini semasa melayari net mencari bahan untuk assignment saya... syukur juga saya temui tempat untuk mengadu...

    MAsalah saya...Saya marah jika orang menghina ulama dan Islam... saya marah jika lihat kemungkaran... saya tak suka terlibat dengan maksit.... kalau saya tahu adanya berlaku dimana-mana... sayalah orang pertama yang marah... tapi.... saya tak tahu kenapa saya amat berat untuk mengerjakan solat... saya tahu ia amat berdosa... saya belajar hukum agama tapi hati saya amat berat... untuk mengerjakannya...

    Satu lagi Ustaz... saya begitu mudah marah... pelbagai cara saya cuba untuk mengurangkan amarah saya tapi tak berhasil.... saya tak bolehtersentuh walau sedikit... saya akan melenting... dan mangsa kemarahan saya biasanya teman lelaki saya...

    HArap Ustaz dapat memberi nasihat dan panduan buat saya... saya tak mahu berterusan meninggalkan solat dan menjadi manusia pemarah....

    Sekian... Assalamualaikum...

    "res res" <r_res@hotmail.com>


    Jawapan :

    Setiap individu muslim (yang telah baligh) dituntut untuk mengerjakan solat lima waktu sehari semalam. Perintahnya jelas di dalam Al Quran, Hadis Rasulullah SAW dan Ijma’.
    Di antara ayat-ayat Al Quran ialah :
    Firman Allah Ta’ala :
    Terjemahannya :
    "Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang yang beriman".( An Nisaa’:103)

    Firman Allah juga:
    Terjemahannya:
    "Katakanlah kepada hamba-hambaKu yang telah beriman:"Hendaklah kamu mendirikan solat, menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka secara sembunyi ataupun terang-terangan sebelum datang hari (Kiamat) yang pada hari itu tidak ada jual beli dan persahabatan".(Ibrahim:31)

    Firman Allah Taala juga di dalam Surah Thaahaa: 132:

    Terjemahannya :

    "Dan perintahkanlah kepada ahli keluargamu supaya menegrjakan solat dan bersabarlah dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat yang baik itu adalah bagi orang-orang yang bertaqwa".

    Manakala hadis-hadis pula terlalu banyak juga. Diantaranya:

    Daripada Ibnu Umar RA, daripada Nabi SAW bersabda yang maksudnya :

    "Islam dibina di atas lima perkara : Mengucap dua kalimah syahadah (Lailahaillah Muhammadur Rasulullah), mendirikan solat, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan dan mengerjakan haji".(Diriwayatkan oleh Al Bukhari dan Muslim).

    Diriwayatkan juga bahawa Rasulullah SAW bersabda :

    " Sebaik-baik amalan ialah solat pada awal waktunya ".( Diriwayatkan oleh Abu Daud, At Tirmizi dan Al Hakim).

    Maka di atas dalil-dalil di atas para ulama telah bersepakat akan kewajipan solat dan meletakkannya sebagai perkara utama di dalam Islam. Tidak seorangpun diterima keuzuran di atas kejahilannya mengenai solat kecuali mereka yang baru memeluk Islam atau jauh daripada masyarakat Islam.Sesiapa yang meninggalkannya serta mengengkari kewajipannya, hukumnya kufur (terkeluar daripada Islam).

    Cuma seseorang muslim yang mengerjakan solat kebiasaannya menempuh tahap-tahap berikut :

      1 . Tahap ilmu.

    Seorang muslim setelah mengetahui kewajipan solat, kemudian mempelajarinya secara detail melalui ilmu Fiqh iaitu syarat wajibnya, sahnya, rukun-rukunnya, sunat-sunatnya, perkara-perkara yang membatalkannya dan sebagainya. Tetapi ilmu mengenainya tidak memadai sekiranya tidak disertai keyakinan dan amal. Ertinya ilmu hendaklah diselaraskan dan diselarikan dengan hati, akal dan perbuatan kita dengan apa yang dikehendaki oleh Allah. Bila mana Allah suruh kita solat dan memberitahu kita bahawa kejayaan itu terletak pada solat , maka akal kita tidak boleh ragu dan was-was. Akal mesti mengakuinya. Tetapi bila akal sudah yakin, itu belum cukup. Kita mesti pergi ke tahap yang kedua.

     2 . Tahap kedua: menundukkan hati.

    Sekiranya akal kita sudah tahu secara keseluruhan tentang kepentingan solat tapi hati kita masih berat untuk mengerjakannya seolah-olah menganggap solat itu tidak penting. Sebab itu tahap kedua ini dinamakan tahap mujahadah. Iaitu bermujahadah supaya apa yang diselaraskan oleh akal dan ilmu itu juga diakui oleh hati. Kalau hati sudah tunduk, tandanya apa yang kita buat terasa lazat. Kalau tidak rasa lazat, kalau rasa menderita sahaja, terasa berat untuk mengadap Allah, maka hendaklah bermujahadah bersungguh-sungguh sehinggalah sampai ke peringkat ketiga.

    3 . Tahap ketiga :menjadi tabiat dan istiqamah.

    Maknanya solat itu sudah menjadi amalan dalam hidupnya secara istiqamah. Tidak perlu dipaksa-paksa lagi. Sebab itu di dalam Islam, para ibubapa hendaklah mengajar anak-anak solat semenjak umur tujuh tahun lagi dan anak-anak tadi boleh dipukul ketika umur sepuluh tahun ke atas sekiranya mereka cuai dan meninggalkannya. Tujuannya supaya solat itu menjadi tabiat dan kebiasaannya sehingga ke akhir hayat.

    Kemungkinan juga saudara/ri terasa berat untuk mengerjakan solat kerana tidak merasai kebesaran dan keindahan solat itu sendiri. Bila menyentuh soal solat ini , kita tidak boleh menganggap bahawa kita sedang surut ke belakang semula. Sebenarnya tidak, kerana solat adalah perkara yang penting.

    Kalau hendak dilihat pada kepentingan solat adalah seperti berikut :

    1. Ia merupakan tiang agama.

    Jika iman diibaratkan akar tunjang bagi pokok, solat pula ialah batangnya. Kalau hendak mendirikan sebuah rumah, perlu ada tapak dan tiang-tiang serinya. Rumah tidak akan dapat dibangunkan kalau tidak ada tiang serinya. Begitulah Islam, tidak akan dapat dibangunkan jika solat tidak didirikan. Sebab itu dikatakan, solat adalah tiang agama. Sesiapa yang mendirikan solat, maka dia telah mendirikan agama. Sesiapa yang meninggalkan solat, maka dia telah meruntuhkan agama.

    Jadi, sekiranya kita memperumpamakan Islam itu sebagai rumah, maka Islam yang global itu umpama rumah yang serba lengkap - ada atap,tiang, dinding, ada segalanya, maka tiang kepada Islam itu adalah solat. Sebab itu kalau kita hendak membina bina Islam yang syumul... solat hendaklah mula-mula kita kemaskan. Segala kerja-kerja kita dalam apa bidang sekalipun sekiranya solat tidak kemas dan dicuaikan, maka kerja-kerja kita itu tidak membuahkan hasil yang baik. Kita sibuk dengan kerja, peranan dan khidmat sedangkan waktu itu kita semakin cuai dengan solat... ertinya tertipu dalam hidup.

     2.Amalan yang mula dihisab di akhirat.

    Ia akan mula-mula sekali diperiksa di akhirat. Jika ia baik dan sempurna, maka mudahlah pemeriksaan pada amalan-amalan selepasnya. Jika ia baik, baiklah amalan-amalan yang lain. Sebaliknya, jika solat tersangkut, maka tersangkutlah amalan-amalan yang lain.

    Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya :

    " Sesungguhnya yang paling mula-mula dihisab pada seorang hamba di hari Kiamat daripada amalannya ialah solat . Sekiranya solatnya baik, maka dia akan berjaya dan selamat. Sekiranya solatnya rosak, maka dia akan kecewa dan rugi &ldots;.. (Riwayat At Tirmizi, An Nasaei dan Ibnu Majah ).

    3. Mengandungi ikrar setiap hamba.

    Di dalam solat ada ikrar yang dilakukan oleh setiap yang mengerjakannya kepada Allah SWT. Solat yang pertama adalah ikrar yang mula-mula sekali dibuat oleh hamba kepada Tuhannya. Solat yang kedua, ketiga dan seterusnya merupakan ikrar pembaharuan sahaja. Inilah kehebatan solat. Kerana sehari semalam ada 5 kali ikrar yang dibuat sebagai taat setia kepada Tuhan.

    Ikrar itu jelas di dalam doa iftitah iaitu ketika mengucapkan :"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku daan matiku untuk Allah Tuhan sekalian alam".

    4. Menggambarkan amalan-amalan para malaikat.

    Jumlah malaikat yang terlalu banyak itu beribadah kepada Allah dengan cara mereka yang tersendiri. Ada yang asyik sujud, ada pula yang asyik rukuk dan lain-lain. Para malaikat ini kekal dengan satu-satu amalan itu dengan istiqamah. Yang takbir, takbir sahaja. Begitulah yang bertasbih, asyik bertasbih sahaja. Tetapi dalam solat, manusia telah melakukan berbagai-bagai amalan para malaikat. Di sinilah kehebatan manusia berbanding dengan malaikat. Amalan manusia walaupun tidak sebanyak para malaikat tetapi kepelbagaiannya mengatasi amalan malaikat.

    5. Bermacam-macam bentuk ibadah.

    Dilihat dari bacaannya sahaja, bacaan solat terdiri daripada pelbagai bentuk yang mengandungi zikir, selawat, ayat Quran, hadis dan lain-lain. Bacaan Fatihah, adalah ayat Quran. Bacaan tahayyat diambil daripada hadis. Dalam solat juga ada tasbih, tahmid dan doa.

    6. Melibat seluruh anggota lahir dan batin.

    Solat melibatkan banyak anggota lahir dan batin manusia. Rukun Qalbi, Qauli dan Fi'li telah melibatkan hati, akal dan anggota badan manusia. Rukun Qauli misalnya, melibatkan lidah dan akal. Lidah menyebutnya, akal memahaminya.

    Malah berbagai lagi kelebihan dan kebesarannya yang tidak dapat dinyatakan di sini.

    Bagaimana mengawal sifat marah ?

    Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa seorang lelaki pernah berkata kepada Rasulullah SAW," Wasiatkanlah untukku". Maka Rasulullah bersabda," Janganlah kamu marah". Baginda mengulanginya beberapa kali". (Diriwayatkan oleh Al Bukhari).

    Diriwayatkan juga bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :"Seorang yang kuat itu bukanlah dilihat dengan kuatnya ketika bergusti, tetapi yang kuat itu ialah seorang yang dapat mengawal dirinya ketika marah". ( Bukhari dan Muslim).

    Diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA katanya," Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, apakah yang dapat menjauhkan diri saya daripada kemurkaan Allah Azza wa Jalla? Baginda menjawab," Janganlah kamu marah".(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Hibban).

    Begitulah beberapa hadis yang menyatakan sifat pemarah adalah termasuk di dalam sifat-sifat terkeji (mazmumah).

    Perbicaraan mengenai sifat ini secara detailnya terdapat di dalam buku-buku Tasauf dan akhlak. Di antaranya, buku Ihya Ulumiddin, karangan Al Imam Al Ghazali. Saudara/ri boleh merujuk kepada buku tersebut untuk mendapat huraian yang jelas.

    Saya juga ingin menyatakan di sini ialah beberapa petua untuk mengawal sifat marah ini seperti berikut:

      1 . Mengucapkan : A’uuzubillah minasy syaitanirrajim" ketika marah.

    Ini berdasarkan firman Allah Ta’ala :

    " Jika kamu ditimpa satu godaan syaitan, maka mintalah perlindungan dengan Allah (dengan menyebut A’uuzubillah minasy syaitanirrajim). Sesungguhnya Allah Maha mendengar lagi Maha Mmengetahui".(Al A’raaf:200)

    Al Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa seorang lelaki pernah kemarahan dan mukanya menjadi merah&ldots;Tingkahlakunya dilihat oleh Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda yang maksudnya:" Sesungguhnya saya akan mengajar satu kalimah sekiranya ia diucapkan, nescaya hilanglah ia (marah) daripadanya iaitu : A’uuzubillah minasy syaitanirrajim".

     2 . Berwudhuk :

    Ini kerana marah adalah daripada syaitan. Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya :

    " Sesungguhnya marah itu datang daripada syaitan, dan syaitan itu dijadikan daripada api. Api hanya dapat dipadam dengan air. Maka sekiranya salah seorang daripada kamu marah, maka hendaklah dia berwudhuk".