![]()
|
|
Soalan : |
Bagaimanakah caranya untuk mengetahui sesorang itu adalah jodoh kita mengikut cara Islam? Adakah ibubapa tidak merestui tetapi tetap berkahwin kerana yakin mempunyai jodoh. Adakah perkara ini sering berlaku dan adakah hubungan itu berpanjangan? Harap Ustaz dapat membantu
intan zainorifah |
|
Jawapan : |
Sebenarnya jodoh setiap manusia telah ditetapkan oleh Allah Taala secara azali lagi. Namun didalam Al-Quraan Allah menyatakan didalam firmannya yang bermaksud: "Wanita-wanita keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik" Surah An-Nuur ayat 26. Disini jelas kepada kita bahawa Allah mempertemukan jodoh mereka yang soleh dengan perempuan yang solehah dan orang-orang yang buruk perangainya dengan perempuan yang setaraf dengannya. Didalam islam, dalam perkara mencari jodoh, islam meletakkan satu ukuran diantara si lelaki dan si perempuan apa yang diistilahkan sebagai "kufu" atau didalam bahasa kita dinamakan sebagai setara, persamaan taraf. Didalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali RA dimana Rasulullah SAW bersabda: "Wahai Ali! Tiga perkara yang mana kamu tidak boleh berlengah-lengahkannya: Sembahyang apabila tib waktunya, mengebumikan jenazah dan mengahwinkan perempuan-perempaun apabila kamu dapati mereka yang sekufu baginya" Konsep kufu ini hanya dikira disebelah pihak perempuan sahaja. Ini bermakna perempuan boleh membatalkan akad nikah sekiranya wali baginya menikahkannya dengan lelaki yang tidak sekufu dengannya. Begitu juga wali perempuan berhak membatalkan pernikahan sekiranya anak perempaunnya bernikah dengan lelaki yang tidak setaraf dengannya. Manakala bagi pihak lelaki tidak disyaratkan kufu baginya. Ini bermakna lelaki bebas mengahwini perempuan samaada perempuan itu setara dengannya ataupun tidak setara. Kufu bagi perempuan dilihat dari bebarapa sudut:- 1 . Dari sudut agama. Contohnya seorang yang fasik tidak layak untuk mengahwini perempuan yang solehah. 2 . Dari sudut keturunan. Contohnya perempuan yang berbangsa arab tidak setara dengan lelaki yang berbangsa lain. 3 . Merdeka diri. Contohnya perempuan merdeka diri tidak kufu dengan hamba. 4 . Pekerjaan dan nilai diri. Contohnya perempuan yang mempunyai maruah yang tinggi tidak layak dengan pemungut sampah. Dan banyak lagi aspek-aspek yang dinilai didalam menentukan samaada perempuan adalah kufunya dengan lelaki. Ulamak berselisih pendapat didalam menentukannya. Apa yang saya sebut diatas adalah bebarapa aspek yang dikira didalam mazhab Syafie. Tentang hak Ibu bapa melarang anaknya berkahwin mengikut pilihannya, didalam mazhab Syafie, wali atau bapa berhak mengahwinkan anak perempuannya yang masih dara tanpa meminta izin daripada anak perempuanya tersebut, dan meminta izin ini adalah sunat sahaja, kerana ibu bapa lebih mengetahui tentang maslahat anaknya. Kekadang perempuan sukakan lelaki berdasarkan perasaan cinta dan sebagainya. Juga didalam mazhab Syafie wali berhak melarang anaknya yang masih dara merkahwin dengan lelaki bukan pilihannya. Berlainan dengan perempuan yang pernah bersuami, dia bebas memilih pasangan hidupnya. Tetapi ibubapa haruslah meraikan suasana sekarang yang mana kebanyakan anak muda sekarang lebih suka mencari pasangan jodohnya sendiri. Ini memerlukan kepada saling memahami diantara ibubapa dan anak-anak. Imam Ibnu Jauzi menyebut didalam kitabnya "AHKAMUN NISA" bahawa: "Ibu bapadisunatkan mencari jodoh anak perempuannya dengan lelaki yang hensem, kerana biasanya perempuan juga sukakan sebagaimana lelaki sukakan perempaun yang cantik" Walau bagaimana pun. Seorang perempuan yang masih lagi dara boleh berkahwin dengan jejaka pilihannya tanpa izin wali dengan berwalikan hakim dan berkahwin dikawasan yang jauh daripada wali sebenar sebanyak dua marhalah. Perkara ini tidak mustahil berlaku sebagaimana kita dengar ramai yang berkahwin di Thailand. Tentang persoalan saudari, kalau Allah berkehendakkan sesuatu, pastinya akan berlaku. Begitu juga dengan jodoh. Jika Allah kehendaki pastinya akan kejinjang pelamin walaupun tanpa restu daripada kedua Ibu bapa. Tetapi pada pandangan saya, sebenarnya Ibu bapa kita menghendaki sesuatu yang terbaik buat kita, biasanya pilihan ibubapa adalah satu pilihan yang menghendakkan kita mempunyai kehidupan yang sejahtera dimasa hadapan. Kita menghormati pandangan dan pilihannya menandakan ketaatan dan kecintaan kita kepada kedua ibubapa kita. Tentang hubungan yang berpanjangan didalam perkahwinan yang didirikan tanpa restu kedua ibubapa, saya tidak tahu. Hanya Allah sahaja yang mengetahui perkara-perkara yang akan datang. Apa yang penting, cuba dapatkan restu kedua ibubapa supaya rumahtangga yang bakal didirikan diredhai oleh Allah dan dibina diatas asas-asas ketaqwaan. Tidak ada disana pertelingkahan baik dari pihak keluarga perempuan mahupun dari sebelah pihak keluarga lelaki. Wallahuaklam.. |