HUBUNGAN SULIT DENGAN ISTERI ORANG

Soalan :

Assalamualaikum.

Saya berusia 36 thn.sudah berkahwin dan mempunyai 2 org anak. masaalah saya sekarang ialah,saya ada membuat hubungan sulit dengan isteri org.

saya tahu perkara yg saya buat ini adalah satu dosa yg amat besar. tapi susah untuk menhindari dari perbuatan saya ini. saya harap pehak tuan dapat memberi sedikit panduan atau nasehat buatsaya.

terima kaseh.

Hamba Allah


Jawapan :

Kawal Nafsu

Untuk makluman saudara masalah yang saudara hadapi ini tidak lah seberat yang di sangka. Masalah yang sebenarnya di sini ialah saudara telah membenarkan syaitan bertapa dalam sanubari saudara. Saudara telah mengambil syaitan sebagai pengurus dalam menguruskan hawa nafsu saudara. Oleh kerana itu saudara merasa susah untuk menghindari dari perbuatan yang saudara sendiri sedar ia adalah dosa yang amat besar.

Ini menunjukkan saudara tidak jahil dalam hukum-hakam agama Islam. Apa yang menjadi perbincangan tentang masalah ini ialah bagaimana saudara hendak melepaskan diri daripada jerat syaitan (lokap syaitan) . Kenapa kami sebut jerat syaitan : ialah kerana saudara tidak dapat menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan yang terhina dan terkutuk yang telah diajar oleh syaitan walaupun saudara sedar

Allah tidak redha dengan perbuatan saudara itu.

Setakat ini syaitan telah berjaya memperdayakan saudara sehingga saudara telah menjadi berani memperalatkan isteri orang untuk memuaskan nafsu saudara. Bukan itu sahaja, syaitan juga telah mengajar saudara dan juga teman saudara supaya menipu pasangan hidup masing-masing yang kini tidak berdosa pada saudara berdua. Sumpah dan janji di hadapan tuk kadi yang di persaksikan oleh Allah telah di permainkan . Anak-anak yang tidak berdosa pula telah di jadikan mangsa dalam permainan memuaskan hawa nafsu. Siapakah guru saudara dan teman saudara kalau tidak Sang Syaitan yang dilaknati Allah.

Adakah saudara pernah terfikir kenapa saudara boleh berada dalam situasi yang dibenci oleh Allah ini?

Kenapa syaitan memilih saudara sebagai mangsa nya? Apakah yang menyebabkan saudara boleh terjatuh dalam jeratnya? Saudara seorang yang berfikiran waras dan cerdik dan sudah memiliki 2 orang zuriat : iaitu pengikut saudara.yang paling setia bakal mendoa kesejahteraan dan keselamatan apabila saudara berada di dalam kubur. Waktu itu segala hubungan terputus kecuali 2 orang anak yang telah dididik oleh saudara sahaja yang dapat berhubung dengan saudara. Saudara lah contoh bagi mereka. Mereka tidak kenal apa erti hidup sekiranya saudara tidak memberi contoh kepada mereka .

Sekiranya diteliti dengan baik syaitan bukan sahaja ingin merosak saudara dan teman saudara bahkan teman hidup masing - masing dan paling menyedihkan anak-anak yang bakal membantu kedua ibu-bapa mereka di akhirat nanti. Lihatlah betapa kejinya syaitan dan betapa bencinya dia kepada kita.

Sekarang, persoalannya ialah : Adakah saudara benar- benar ingin melepaskan diri daripada genggaman syaitan? Sudah bersediakah saudara ingin kembali ke jalan yang di ridhai Allah dan juga manusia? Adakah saudara sudah insaf dan ingin memberi peluang kepada rumahtangga yang saudara bina dengan wanita yang telah melahirkan zuriat saudara? Dan akhir sekali adakah saudara sanggup membebaskan wanita yang selama ini telah membantu saudara menipu dan mempermainkan suaminya? Jawapan-jawapannya terserahlah kepada saudara dan Allah sebagai saksinya.

Jika saudara benar-benar ingin melepaskan diri daripada syaitan yang dilaknati Allah , insyaAllah kami akan memberi beberapa panduan disini -

Pertama sekali saudara perlu ingat dan yakin bahawa kunci kebebaskan ada di tangan saudara. Syaitan sebenarnya tidak berkuasa atas saudara. Malahan saudara lebih berkuasa daripadanya. Syaitan hanya membisik dan memberi idea-idea sahaja. Oleh sebab pegangan saudara dalam agama Allah ini lemah maka saudara terikut-ikut dengan kata-kata dan pujukannya. Jadi cara untuk menyekat pujuk rayunya dan segala godaannya ialah kembali kepada ajaran Al Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.

Kami nasihatkan

1. Jangan menghubungi wanita ini lagi dan berterus teranglah kepadanya bahawa saudara hendak memutuskan hubungan bersama nya.

2. Selalulah ke masjid dan bercampur dengan orang masjid.

3. Libatkan diri dengan kerja-kerja amal baik dalam masjid atau persatuan.

4. Pastikan setiap hari selepas sholat subuh di masjid , membaca Al-quraan dan sekaligus cubalah memahami maknanya dengan membaca terjemahannya.

5. Sentiasa menghadiri ceramah-ceramah agama

6. Baca lah buku-buku yang berkaitan dengan ilmu-ilmu ketuhanan dan juga hukum-hakam agama semoga mudah saudara pula boleh mendidik anak-anak dan isteri saudara dan sekaligus diri sendiri.

7. Ambil serius lah peranan saudara sebagai seorang suami dan ayah yang lebih bertanggunjawap.

8. Sentiasa meluang masa untuk mendengar isi hati anak-anak dan isteri .

9. Banyakkan lah berzikir dan membaca doa-doa. ( semua buku-buku agama dan doa-doa boleh saudara beli di kedai buku)

10. Juga bawalah anak-anak berjinak-jinak di masjid-masjid , di tempat -tempat berceramah perpustakaan Islam supaya mereka suka membaca buku- buku berkaitan dengan Islam.dan berilah contoh-contoh yang boleh mereka bekal untuk kehidupan mereka suatu hari nanti.

InsyaAllah, dengan sentiasa merasa sibuk dengan urusan-urusan keagamaan dan keluarga di samping pekerjaan saudara, mudah-mudahan saudara tidak dapat melayan bisikan syaitan itu. Ini semua boleh dilaksanakan sekiranya saudara benar-benar ingin kembali ke jalan Allah. Allah telah memberi peluang kepada saudara kali ini jika saudara melepaskan peluang ini tiada siapa yang rugi kecuali diri sendiri bukan hanya di akhirat bahkan di dunia Allah akan tunjukkan dan pengajarannya.

Tambahan : Jika saudara benar-benar cinta isteri orang itu dan tidak bersedia untuk memutuskan hubungan haram ini , kami nasihatkan saudara halalkannya. Iaitu berterus terang dengan suaminya dan juga isteri saudara dan menerima dia sebagai isteri saudara. Risikonya saudara mestilah bersedia menanggung kerana ia lebih baik lagi daripada saudara disiksa di akhirat buat selama-lamanya.

Keputusan di tangan saudara. Kami hanya dapat berdoa semoga saudara akan membuat keputusan yang diredhai Allah. Amin