![]()
|
|
Soalan : |
Assalamulaikum Inilah masalah saya........ Saya telah berumahtangga sejak lima tahun yang lalu dan kini mempunyai 2 orang anak. Pada pandangan saya, keegoan suami saya terlalu tinggi . Saya tidak boleh menegur kesalahan yang dilakukannya kerana pasti dia akan tersinggung dan berkecil hati. Setiap kali berlaku perselisihan faham, saya yang mengalah demi menjaga hatinya. Walaupun asas agama kami tidak kuat, tetapi dia tidak mahu memperbaikinya. Setakat ini dia memang tidak pernah melakukan perkara seperti berjudi, minum arak atau sebagainya tetapi dia tidak mahu mengerjakan sembahyang walaupun saya sudah berkali-kali menyuruhnya. Setiap kali saya menyuarakan hal ini, dia akan memberikan pelbagai alasan, malah menjauhkan diri dari saya. Kini saya cuma berserah kepada Allah agar pintu hatinya terbuka . Wang gaji saya habis untuk membayar sewa rumah, belanja anak-anak serta kegunaan harian. Sebenarnya saya tidak merelakan semua ini kerana pada pandangan saya, seorang suami sepatutnya menyediakan nafkah untuk keluarganya. Apa yang saya kesalkan dia lebih mementingkan hal-hal lain hiburan seperti membeli CD, melancong dan kebendaan seperti memiliki telefon bimbit. Pada pandangan saya, semua itu tidak penting. Sebenarnya saya banyak memendam perasaan di atas tingkah laku suami saya. Selain daripada hal-hal di atas, dia juga agak berat untuk membantu saya menguruskan kerja-kerja rumah. Apabila kami balik kerja, saya akan terus memasak serta mengemaskan rumah tetapi dia hanya duduk membaca surat khabar atau menonton televisyen. Pernah juga dia membantu saya tetapi setelah saya berleter kepadanya. Pada suatu tahap, saya akan menangis didalam bilik air untuk melepaskan tekanan perasaan kerana tidak tahan dengan sikapnya itu. Pada pertengahan tahun ini, saya telah mendapat tahu bahawa suami saya telah mempunyai hubungan dengan seorang gadis hampir 2 tahun lamanya. Dipendekkan cerita, kami telah bertengkar disebabkan dia tidak mahu mengaku hubungan mereka dan dia telah meninggalkan saya selama 4 hari tanpa sebarang pesanan - cuma nota ringkas sahaja. Malah sehingga hari ini, dia tidak pernah menerangkan perkara yang sebenarnya kepada saya. Apa yang saya kesalkan ialah dia tidak sepatutnya meninggalkan saya untuk menunjukkan bahawa dia tidak bersalah. Beberapa bulan sebelum saya mengetahui rahsia ini, dia menunjukkan sikap yang agak berlainan seperti biasa dan saya amat kecewa. Malah saya sudah memikirkan untuk meminta cerai daripadanya. Untuk pengetahuan tuan doktor, bila kami berselisih faham, dia akan masuk bilik dan menutup pintu kuat-kuat atau keluar dari rumah. Hal hal seperti ini juga membuatkan saya banyak memendam perasaan. Sejak kejadian itu (dia tinggalkan saya), hati saya telah tawar hati terhadapnya. Alam rumahtangga kami pada saya sudah tiada keseronokkannya. Saya tetap melayan dia seperti biasa dan melakukan kerja-kerja hanya untuk menjalankan kewajipan sebai seorang isteri. Baru-baru ini, bekas kekasih saya telah menhubungi saya . Sebenarnya dia sering menghubungi saya namun layanan saya terhadapnya digin. Tetapi, tidak kali ini. Saya telah mencurahkan segala masalah yang saya pendam selama ini dan dia amat memahami hati dan perasaan saya. Kami sering berjumpa untuk mencurahkan segala masalah saya dan pada suatu hari, kami telah terlanjur. Saya amat menyesali keterlanjuran kami dan berasa amat berdosa kepada suami saya. Saya merasakan saya tidak layak untuk hidup bersama suami saya lagi dan ingin meminta dia melepaskan saya. Saya sudah memikirkan hal ini berulangkali dan saya rasa inilah jalan terbaik yang perlu saya ambil Ditambah pula dengan sikapnya seperti yang saya terangkan tadi. Perasaan saya amat tertekan sekarang, saya harap pihak tuan doktor dapat membantu saya menyelesaikan masalah saya yang rumit ini. Patutkah saya meminta dia melepaskan saya? Hamba Allah yang buntu |
|
Jawapan : |
Assalamualaikum saudari. Ada beberapa perkara yang kurang jelas bagi kami disini. Oleh kerana itu sambil kami memberi penjelasan kami akan timbulkan soalan-soalan yang kami rasa kurang jelas. Mengikut penilaian kami saudari sekarang sedang menghadapi masalah-masalah seperti berikut :- Tentang suami Siti - Dia seorang :- 1.
Suami yang tidak mengerti perasaan saudari Jika dikaji sikap suami saudari, semua sifat-sifatnya ini menunjukkan bahawa dia seorang yang tidak mengambil berat dalam hal ehwal agama. Jika perkahwinan ini berdasarkan kerana ingin menegak agama Allah, insyaAllah masalah ini tidak akan timbul. Sebagai suami isteri yang mencintai satu sama lain kerana Allah akan dapat membina sebuah rumah tangga mengikut kehendak Allah dan RasulNya. Tetapi mereka yang bina rumahtangga dengan maksud lain dan tidak pula berusaha mendekati diri kepada Allah, mudah syaitan memainkan peranannya. Soalannya adakah saudari sedar sebelum berumahtangga bahawa dia seorang yang lebih bersifat keduniaan? Jika jawapannya : Ya, kami berpendapat saudari perlu lebih bersabar dan cuba mendidiknya. kerana saudari telah mendapat hidayah Allah di mana saudari ingin kembali ke pangkuanNya. Jadi sebelum saudari mengambil keputusan untuk meninggalkannya wajarlah saudari mendidiknya semoga Allah tidak akan menyoal saudari : Kenapa tidak menyelamatkannya ?. Lagipun dia adalah ayah kepada 2 orang anak saudari. Pengorbanan saudari ini supaya anak-anak saudari dapat menjadikan saudari sebagai contoh hidup kepada mereka. saudari mesti ingat anak-anak ini akan melihat segala sikap saudari dan cara saudari membawa diri dalam menghadapi masalah hidup ini. Janganlah saudari kecewakan mereka. Dalam hidup ini tidak ada satu perkara yang boleh dibanggakan jika anak yang dikandung tidak menghargai ibu bapanya. Oleh kerana itu kami ingin saudari cuba sekali lagi sebelum mengambil keputusan yang memang dinanti-nantikan oleh syaitan laknatullah itu. Caranya : saudari perlu belajar dan meluangkan masa untuk kelas-kelas pengajian agama dan pastikan setiap kali saudari membawa anak-anak bersama-sama saidari. Di mana sahaja saudari pergi kecuali di tempat kerja bawalah anak-anak saudari supaya mereka dapat mengenal siapakah ibu mereka sebenarnya. Luangkanlah seberapa banyak masa yang ada untuk mendidik mereka. Terdapat banyak buku-buku di mana saudari boleh membeli dan mendidik anak-anak. Tanamakan nilai-nilai agama dan adab-adab Islam kepada anak-anak. Contohnya yang paling mudah ialah : ajarlah mereka makan dengan tangan kanan, jangan membazirkan makanan, ajar doa-doa yang paling ringkas sebelum makan, tidur dll. Kemudian ceritalah kepada mereka berpandukan buku-buku cerita kanak-kanak yang berkaitan dengan moral atau kisah-kisah tentang perjuangan nabi-nabi dll. Setiap hari aturlah program untuk anak-anak saudari dan cubalah mengenal siapa mereka ini. Setiap anak tidak serupa perwatakannya jadi cubalah memahami perasaan mereka. Pokok nya didiklah mereka supaya mereka akan menjadi insan yang di sayangi oleh Allah dan manusia. Tidak rugi segala masa yang saudari luahkan untuk mereka kerana merekalah yang bakal akan mendoa untuk saudari. Allah juga akan sayang dan menghargai segala usaha saudari kerana saudari tidak mengabaikan amanah yang Allah beri kepada saudari iaitu 2 orang anak yang bakal mewarisi ajaran Rasulullah s.a.w. Keseronokan yang sebenarnya ialah melihat kejayaan anak-anak kerana hasil usaha kita kerana segala nilai-nilai murni yang ada pada kita telah di tanam dalam generasi kita. Jangan silap tafsir keseronokan. Selalu buat segala tafsiran dan penilian menurut kaca mata Islam dan bukan hawa nafsu atau hati atau perasaan kerana semua ini mudah menjadi permainan syaitan. Kami yakin dengan kesabaran dan ketekunan saudari kepada anak-anak , mungkin suami saudari akan terbuka matanya. Jika dia masih dalam dunia sendiri, saudari tidak rugi sedikit pun kerana saudari sudah lebih kuat menghadapi cabaran yang bakal menunggu. Buat masa ini saudari masih lemah kerana saudari sendiri tidak kuat berpegang kepada agama Allah. Oleh kerana itu lah saudari telah termakan pujukan syaitan dan telah melakukan perkara yang terkeji itu. Saudari! untuk mengatasi masalah ini bukanlah dengan cara berkongsi dengan bekas kekasih saudari. Apa yang telah berlaku di antara saudari dan bekas kekasih saudari telah lama di tunggu oleh syaitan. Selama ini saudari telah menang dalam pertempuran iaitu saudari tidak melayan bekas kekasih saudari. Tetapi kerana hati saudari tidak sentiasa berdamping dengan Allah, mudah syaitan memperalatkannya dan akhirnya syaitan mendapat kepuasan. Ini tidak bererti saudari mesti berdamping dengan bekas kekasih untuk menyelesaikan masalah saudari. Jangan lupa , Allah sentiasa menunggu kita supaya kita meluahkan segala masalah kita kepadaNya. Palingkanlah hati dan wajah kepada Allah dan sentiasa berdoa dan menyeru hanya kepadaNya Mohonlah kekuatan dan ketabahan hati kepada Nya. Jika saudari ikhlas dan bersungguh-sungguh Allah tidak akan mengabaikan saudari. InsyaAllah dalam dunia ini tidak ada satu perkara yang boleh memberi ketenangan hati kecuali ingat kepada Allah. Ikutlah segala perintahNya dan tinggalkan segala laranganNya. Buat masa ini ketepikan bab ingin bercerai sehingga saudari sendiri sudah arif dan faham selok belok agama Allah. Selepas itu , jika keadaan masih tidak mengizinkan saudari mencapai kebahagiaan yang diimpikan dan merasa diri saudari di zalimi oleh suami waktu itu terserahlah kepada saudari untuk mengambil tindakan ke atas nya. Jika saudari lakukan kerana Allah, insyaAllah Allah akan beri penganti yang baik dan sholeh. Kami doa semoga saudari bahagia dunia dan akhirat bersama-sama anak-anak yang disayangi. Wallahuklam |