PANDANGAN " BERCINTA DENGAN SUAMI ORANG"

Soalan :

A'kum,

Seperti apa yang telah saya bacakan dengan jawapan "bercinta dengan suami orang". Saya ingin meminta pandangan tambahan daripada pihak tuan.

Untuk pengetahuan Tuan, si lelaki ini, tidaklah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai suami . Dia masih memberi nafkah dan batin terhadap isterinya. Dia jua sayangkan isterinya.Dia jua menyatakan bahwa dia bahagia bersama keluarganya dan lebih membahagiakan apabila kehadiran saya.

Tetapi permasalahan nya pada saya. Saya menyintai dia, tetapi dia seolah-olah takut untuk mengambil saya sebagai isteri keduanya. Tetapi dia sayangkan saya, dia mengatakan dia tidak dapat melupakan saya. Saya serba salah dan tidak tahu akan kedudukan saya sebenarnya. Setelah saya membaca akan pandangan Tuan, saya merasa terharu. Ada jua si lelaki ingin mengambil saya sebagai isterinya, tetapi cara tidak rasmi (gurau). Risiko besar bagi saya dan pihak keluarga lelaki dan perempuan. Bolehkah mereka menerima saya, adakah mereka akan menuduh saya sebagai perampas kasih orang? Bagi saya melihat daripada pandangan kasar, isteri bagi si lelaki ini, tiada kekurangannya, cantik, menarik perawakan seorang ibu dan mempunyai anak-anak yang comel, dan apakah alasan si lelaki untuk memiliki orang lain iaitu saya?

Saya serba salah dalam memikirkan perasaan ini. Saya ingin melupakan si lelaki, tetapi saya tidak berjaya. Adakah jikalau lelaki ini boleh melakukan tidak kejujuran pada isterinya, dia jua boleh melakukan perkara yang sama terhadap saya kelak? Adakah lelaki ini semua sama, lelaki ini manis dengan kemanisan kata-katanya.....

Terniat jua saya ingin meninggalkan dia, tetapi masalahnya, saya bimbang tidak dapat membawa diri ini, kerana si lelaki ini telah banyak memberi saya nasihat dalam memnempuh kehidupan ini. Mungkin dengan kematangannya, membuatkan saya terpikat. Ingin saya membuat pilihan lain, tetapi saya takut saya akan tersalah membuat pilihan.Saya harap tuan dapat memberikan penjelasan yang lebih lanjut.

Saya ingin melakukan sembahyang istikarah.... boleh tuan memperjelaskannya secara terperinci.... waktunya, dapat petunjukNYA, cara yang lebih afdal. Adakah melakukan sembahyang istikarah ini melibatkan kekeliruan untuk membuat keputusan?

Sekian terima kasih.

Hamba Allah


Jawapan :

Bercinta Dengan Suami Orang

Terlebih dahulu ingin kami ucapakan terima kasih kerana masih ingin bersama kami.

Sekarang topiknya ialah saudari sedang di lamun cinta ( in love ). Bercinta dalam Islam adalah satu perkara yang suci dan murni. Kuasa cinta sangat kuat sehingga tidak mengira bangsa, warna kulit, kekayaan, status dan rupa paras. Begitulah hebatnya cinta. Tetapi persoalannya ialah adakah saudari ingin bercinta menurut kehendak Allah s.w.t.atau kehendak syaitan lak'natullah.

Inilah yang perlu di perhatikan. Jika saudari benar-benar mencintainya , kami yakin saudari tahu peraturan-peraturannya. Islam telah mengariskan panduan-panduan nya semata-mata untuk menjaga maruah dan kemuliaan seseorang itu. Juga kerana Allah tidak mahu kita menjadi mangsa syaitan yang sentiasa menyediakan umpannya supaya kita ikut terbakar bersamanya.

Saudari perlulah berfikir secara rasional dan janganlah berfikir dengan menggunakan hati sahaja. Kalau hendak menggunakan hati terlebih dahulu siramilah dengan banyak zikirullah sehingga terasa tenang . Jika tidak kami nasihatkan janganlah dengar dan ikut sangat suara hati kerana di situ tempat syaitan mudah bertapa. Untuk makluman saudari manusia ini memang pelupa. Oleh kerana itu lah Allah telah berulangkali menyebut hukum-hakam dalam Al Quran. Bukan itu saja beribu-ribu nabi telah di hantar untuk mengingatkan kita cara untuk mencapai syurga. Kami beri satu lagi contoh yang paling mudah, berapa orang yang ingat waktu atau jam yang tepat mereka berijabkabul atau berapa ramai ibu yang ingat bila waktunya anak mereka dilahirkan. Tanyalah berapa isteri atau suami yang ingat berapa tahi lalat yang ada pada pasangan mereka.

Jadi tentang bab saudari tidak dapat lupa dia atau dia tidak dapat lupa saudari bukanlah isu yang sangat serius. Lainlah kalau saudari atau dia bercinta atas dasar ingin mendekati Allah. Cinta kerana Allah. Ingin bersama-sama supaya dapat memperjuangkan dan menegakkan agama Allah. Ingin menyelamatkan umat manusia daripada melakukan kemungkaran. Jika ini lah alasannya kami yakin dia akan menerima saudari sebagai isterinya tanpa mengira segala risiko yang akan dihadapi nya begitu juga dengan saudari.

Jawapannya terserah lah kepada saudari. Saudari lebih kenal perasaan diri sendiri dan niat sebenar saudari. Tentang mencari pasangan hidup janganlah saudari bimbang. Berdoalah kepada Allah dan mintalah Dia yang memilih untuk saudari. Allah lebih tahu siapa yang sesuai untuk saudari. Kembalilah ke jalan Allah secara meyeluruh dan insyaAllah, Allah akan pasti membantu saudari.

Kami juga cadangkan agar saudari berdamping dengan kawan-kawan yang solehah dan melibatkan diri dalam pertubuhan Islam. Ini akan menolong saudari agar selalu mengingati Allah.

Cara Sholat Istiqarah :Solat dua rakaat. Pada Rakaat pertama dibaca Surah Al-Faatihah dan Surah Al-Kaafiruun ( Qul yaa ayyuhal kaafirun) dan di rakaat kedua dibaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlaas ( Qul hua Allahu ahad).

Solat Istikharah ini dilakukan sebelum tidur atau ketika sembahyang tahhajud dikahir malam (selepas jam 3 pagi) dan yang paling afdhal dilakukan sebelum tidur.

Cara yang laing afdhal atau terbak untuk saudari lakukan solat istikaharah dan mendapat petunjuk dari Allah ialah sengan melakukan perkara berikut sebelum tidur:-

1. Ambil wudhuk ( akan tidur dalam keadaan berwudhuk)

2. Sembahyang sunat taubat 2 rakaat Pada Rakaat pertama dibaca Surah Al-Faatihah dan Surah Al-Kaafiruun ( Qul yaa ayyuhal kaafirun) dan di rakaat kedua dibaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlaas ( Qul hua Allahu ahad).

3. Bertaubat kepada Allah dengan sesungguhnya dengan menyesali perbuatan maksiat yang dilakukan dan berazam tidak akan mengulangi lagi dosa-dosa tersebut.

4. Sembayang solat hajat agar diberi petunjuk untuk menyelesaikan masalah. Bacaan adalah sama dengan solat taubat.

5. Membaca Al-Quraan sebaik-baiknya surah Yasin

6. Sembahyang Istikharah sebagaimana yang diterangkan. Selepas sembahyang terus tidur dengan membaca doa sebelum tidur dan juga ayat-ayat quraan yang menjadi amalan RAsulullah untuk menghindarkan dari gangguan syaitan.

Doa istikharah dibaca ketika sujud atau selepas solat:

Mafhumnya:- Wahai tuhanku, aku memohon pilihan dengan ilmuMu dan memohon takdirMu dengan kekuasaanMu. Dan aku memohon daripada kelebihanMu yang amat besar. Sesungguhnya Engkau sahaja mampu segalanya dan aku tidak mampu dan Engkau amat mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui. Engkau mengetahui segala perkara ghaib. Wahai tuhanku sekiranya /engkau ketahui bahawa perkara ini adalah yang terbaik buatku dalam perkara agamaku, didalam kehidupanku serta kehidupanku selanjutnya, maka takdirkanlah perkara itu untuk ku serta permudahkannya untuk ku dan berkatilah aku padanya. Sekiranya Engkau ketahui baha perkara ini adalah bukan yang terbaik buatku dalam perkara agamaku, di dalam kehidupan ku serta kehidupan ku selanjutnya, maka jauhilah daripadanya serta takdirkanlah yang terbaik buatku serta berkatilah aku.

 

Doa Solat hajat:

 

Mafhumnya:- Tiada tuhan yan disembah melainkan Allah yang bersifat maha mengetahui dan mulia. Maha suci Allah tuhan kepada arays yang maha besar. Segala puji bagi Allah tuhan sekelian alam. Aku momohon rahmat Mu serta keampunan Mu, perlindungan daripada segala dosa, serta pertolongan Mu dalam melakukan kebaikan, serta perlindungan daripada setiap perkara buruk serta aku memohon darjat syurga yang tinggi. Jangan Kamu tinggalkan dosa terhadapku kecuali Engkau mengampuninya, tidak ada kesulitan kecuali Engkau permudahkannya, tidak ada hutang kecuali Engkau permudahkan urusan pembayarannya, tidak ada hajat dunia dan hajat akhirat kecuali Engkau perkenankan hajat tersebut wahai tuhan yang pemurah.

Kemudian baca doa yang sepatutnya.

Petunjuk yang akan didapati ialah segala keputusan yang terbetik dihati kita selepas kita melakukan solat istikharah tersebut. Apa saja kecendrungan hati kita selepas itu adalah dikira petunjuk dari Allah Taala. Ramai yang menganggap bahawa petunjuk adalah berbentuk mimpi ketika tidur selepas melakukan solat istihkarah dan tanggapan ini adalah meleset kerana ianya begitu jarang berlaku dan tidak menjadi syarat kepada petunjuk. Memadailah dengan kecenderungan hati kita dalam membuat keputusan. Tetapi kita jangan lupa bahawa kita hendaklah sentiasa mengingati Allah Taala dan bertawakkal kepadanya disamping kita menjauhi segala amalan dan perbuatan yang tidak di redhai Allah demi yuntuk mengelakkan gangguan dari syaitan.

Kekeliruan untuk membuat keputusan selepas sembahyang istikharah tidak akan tiimbul apabila kita telah bertawakkal kepada Allah dengan sepenuhnya. Apabila kekeliruan masih timbul, ini menunjukkan kurangnya bertawakkal kepada Allah. Buatlah satu keputusan dan terus berpegang kepada keputusan itu tanpa was-was. Sentiasalah berdamping kepada Allah dengan zikir dan Istighfarr. Bercintalah Dengan Allah kerana Allah samasekali tidak akan menolak cinta hambanya apatahlagi mengecewakan hambanya...berlainan dengan cinta manusia yang bersifat sementara dan hipokrit dan sebagainya..Semoga saudari berjaya. Amiin.