BIDADARI DI SYURGA

SOALAN

Dalam Al-Quran diceritakan bahawa kaum lelaki akan dikahwinkan atau dengan kata lain mereka boleh berseronok dengan para bidadari.Soalannya,bagaimana dengan kaum perempuan,adakah mereka juga diberi kelebihan yang sama ?

Fazli Ya..

JAWAPAN:

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Terima kasih diatas persoalan yang ditimbulkan.

Syurga merupakan satu tempat yang amat dirindui oleh setiap mereka yang mengaku beriman dengan Allah Taala . Ia dijanjikan oleh Allah kepada orang yang bertakwa dengan sebenar takwa . Nabi S.A.W telah menyuruh umatnya sentiasa berdoa memohon kepada Allah agar ditempatkan didalam Syurga dengan firmannya " Apabila kamu memohon kepada Allah akan Syurga , pohonlah Syurga Firdaus yang tinggi"

 Sebelum kita melihat nikmat yang akan diperolehi oleh wanita didalam Syurga , terlebih dahulu kita mengakui bahawa nikmat yang akan diperolehi oleh setiap ahli syurga adalah sama samada lelaki ataupun perempuan . Cuma timbul persoalan , apakah yang akan diperolehi oleh wanita sedangkan orang lelaki mendapat bidadari syurga?

Jika kita merujuk kepada kepada Ayat Al-Quran dan Hadis Rasulullah nescaya kita akan melihat nikmat yang bakal diperolehi oleh kaum wanita juga tidak kurang hebatnya .

Saya ingin mengajak kepada saudara/ri kepada kenyataan yang diberikan berdasarkan tafsiran Ayat Al-Quran dan terjemahan hadis supaya ianya lebih diyakini.

1) Isteri bagi orang mukmin sekiranya dia beriman adalah isteri baginya didalam syurga . Ini tidak bermakna apabila orang mukmin dikurniakan bidadari syurga maka isteri mereka tidak diendahkan . Ini berdasarkan Firman Allah taala didalam ayat yang kelapan dari surah al mukminun yang bermaksud "Ya tuhan kami masukkanlah mereka itu kedalam syurga yang kekal yang telah engkau janjikan kepadamereka dan masukan pula orang –orang salih diantara bapa-bapa, isteri-isteri dan anak-anak cucu mereka &ldots;..". Manakala yang tidak berkahwin mereka akan dikahwnkan dengan ahli syurga.

2) Didalam sepotong hadis Rasulallah bersabda (apabila ditanya oleh Ummu Salamah dengan katanya : Ya Rasulullah perempuan duniakah (yakni isteri-isteri ) lebih baik ataupun bidadari syurga ? maka baginda menjawab :bahkan perempuan dunia lebih baik daripada bidadari syurga sepertimana (pandangan) zahir lebih baik daripada (pandangan ) batin –ini kerana pandangan zahir dapat dilihat- maka dia bertanya lagi: Dengan apa ?–yang menyebabkan mereka lebih baik – Baginda pun bersabda : dengan solat mereka,puasa mereka dan ibadat mereka kerana Allah . Malah Allah memakaikan pada muka mereka cahaya, pada badan mereka sutera, kulit mereka berwarna puteh, pakaian mereka berwarna hijau, malah mereka dipakaikan dengan perhiasan berwarna kuning –yakni emas- rantai mereka daripada permata ,sikat mereka daripada emas . Lalu mereka berkata : kami kekal –didalam syurga- dan kami tidak akan mati lagi , kami memperolehi nikmat dan kami tak akan bersedih lagi, kami akan kekal –didalam syurga dan kami tidak akan berpindah , kami adalah orang yang redha dan kami tidak akan marah , beruntunglah sesiapa yang kami (dijadikan )untuknya dan (dijadikan) dia untuk kami . Lalu Ummu Salamah bertanya lagi : Wahai Rasullallah , ada dikalangan kami yang berkahwin dengan dua orang lelaki , atau tiga orang lelaki atau empat orang lelaki (bukan dikumpulkan sekali tetapi merupakan perkahwinan yang kedua selepas kematian , cerai atau lainnya) , kemudian perempuan itu mati dan dapat masuk kedalam syurga begitu juga bekas-bekas suaminya juga masuk syurga , maka siapa yang akan menjadi suaminya (didalam Syurga) , Baginda menjawab : dia akan memilih yang terbaik dikalangan mereka dari segi akhlak . Nah ! Hadis ini dengan jelas menampakkan kelebihan orang wanita daripada bidadari .

3) Didalam surah Al-Waqiah kita akan dapati dengan jelas kelebihan wanita antaranya Allah berfirman :

A) "Sesungguhnya kami akan ciptakan mereka secara langsung ". (ayat 35 )Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa wanita baik mereka itu tua atau tidak mereka akan dibangkitkan dengan ciptaan yang baru . Dalam keadan mereka itu muda dan perawan . Ini dikuatkan lagi dengan ayat yang berikutnya " dan kami jadikan mereka itu gadis perawan " (ayat 36) . Manakala Hadis Rasullullah menyebut ketika baginda berkata kepada seorang yang tua : sesungguhnya di syurga tidak terdapat orang tua , maka orang tua ini menangis lalu Rasullallah menyuruh sahabatnya memberitahu kepada orang tua ini maksud sabda baginda iaitu mereka akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan perawan . Disamping itu dalam hadis yang lain pula Rasulullah bersabda " ahli Syurga ,apabila mereka mendatangi ahli mereka –isteri- maka isteri mereka ini kembali menjadi anak dara (perawan ) ". Apakah disana nikmat yang lebih diharapkan oleh orang wanita?Bukankah kejelitaan menjadi suatu idaman /impian semua wanita ? bukankah "ketuaan" itu sering dibimbangi oleh semua orang ? Namun kuasa Allah mengatasi segalanya .

B) Dalam ayat yang seterusnya Allah berfirman lagi " (–tentang wanita-) penuh cinta (–kepada suami mereka- ) lagi sebaya umur " (ayat 37) . Dalam Ayat ini , Allah menerangkan mereka ini-wanita- terlalu asyik mereka hanya kepada suami mereka sahaja manakala suami mereka juga asyik kepada mereka . Cinta mereka hanya kepada suami mereka sahaja. ( Tafsiran Ibn Abbas) . Bukankah ini sebaik-baik wanita ? . Manakala tafsiran mengenai " lagi sebaya umur" ,ramai para penafsir mengatakan mereka itu –wanita- "mutasawiyah" yakni sama keadaan mereka itu dengan bidadari syurga dari segi kejadian ( iaitu mereka dijadikan oleh Allah dan dalam keadan perawan ) akan tetapi wanita ini lebih cantik dan akan menjadi ketua kepada bidadari di syurga ..

C) Mereka juga akan dibangkitkan dalam keadaan mereka itu suci daripada haid dan benda lain yang kotor serta tidak akan melahirkan anak lagi.

Kesimpulannya:

Wanita yang merupakan ahli syuga juga mendapat nikmat yang tak ternilai banyaknya . Dan nikmat yang diperolehi oleh wanita atau lelaki didalam syurga adalah sesuai dengan fitrah kejadian kejadian mereka. Cubalah kita renungi baik lelaki atau pun perempuan , apakah yang amat dihajati oleh mereka dan sekiranya mereka diberi peluang nescaya mereka akan mendapatkannya ? Pada pandangan saya , orang lelaki lebih berhajat kepada wanita manakala wanita pula disamping berhajat kepada suami -akan tetapi kecantikan dan kejelitaan lebih menjadi tumpuan pada mereka . Bukankah semua ini terdapat di dalam syurga ?

Satu perkara lagi yang harus diingat ialah , didalam syurga segala perasaan buruk seperti hasad , dengki dan lain-lain lagi tidak wujud lagi dalam perasaan manusia bahkan mereka bagaikan bersaudara .

Sama-samalah kita berdoa agar kita tergolong dalam golongan ahli syurga . Amin.

  Wallahu A'lam.

Sekian , terima kasih.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh