BAYANGKAN KAABAH DALAM SOLAT

Soalan :

Assalamualaikum Ustaz,

Bolehkah seseorang itu semasa mendirikan solat baik solat waktu atau sunat menghadirkan diri atau membayangkan seolah-olah dia berada di depan Baitullah.Begitu juga semasa berdoa dia membayangkan seolah-olah berada di Hijir Ismail atau di Multazam.

Sekiranya perbuatan ini tidak mengapa, adakah ganjaran pahala lebih daripada orang yang sembahyang secara biasa tanpa menghadirkan diri didepan Kaabah.

Hamba Allah


Jawapan :

Waalaikumussalam

Terima kasih diatas keperihatinan saudara terhadap persoalan sembahyang ini . Sesungguhnya solat itu adalah tiang kepada agama dan ianya merupakan syiar yang paling tinggi dalam Islam itu sendiri.

Allah menggesa umat Islam untuk khusyuk dalam sembahyang dan menghadirkan hati dalam solat dengan mengingati Allah swt kerana itulah Allah telah berfirman yang bermaksud : " Dirikanlah solat untuk mengingati aku " dan inilah solat yang diterima dan memberi makna yang sebenarnya bertepatan dengan dengan firman Allah yang bermaksud: " Solat itu dapat menjaga diri manusia daripada maksiat dan kemungkaran".

Jesteru itu para ulamak menyeru dan membenarkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan khusyuk dalam solat. Antaranya kita digesa tunduk dan melihat ketanah sahaja dan tidak berpaling-paling untuk melahirkan rasa kerdilnya kita di depan Allah Taala. Kita diminta bertakbir dalam setiap pergerakan kita untuk mengatakan Allah Maha Besar dalam semua urusan kehidupan kita. Jadi, bila kita meneliti gesaan diatas sekiranya menghadirkan bayangan kaabah semasa solat dapat membangkitkan rasa khusyuk maka ianya diharuskan akan tetapi jika ia melalaikan kita dan mengganggu kita umpamanya dengan berfikir tentang dekat mana kita sekarang depan kaabah sebelah mana.. maka ianya tidak dibenarkan dan tidak dituntut.

Cuma dalam masalah pahala ianya bukan kerja kita, akan tetapi ianya berdasarkan kepada rahmat dan ihsan anugerah Allah Taala kepada kita dan kita tidak mengetahuinya. Namun yang pasti Allah akan mengganjari solat dan doa orang-orang yang khusyuk dan satu lagi nasihat kami daripada kita membuat perkara yang tidak pasti. Ada baiknya kita praktikkan "Sunnah" dan cara terbaik yang Nabi ajarkan dalam beribadat itu sendiri dengan mengikut pentafsiran Al-Ihsan dalam Hadis Jibrail di mana Nabi menggesa umatnya untuk beribadat kepada Allah dengan menghadirkan hati dan perasaan rendah diri kepada Allah Taala dengan katanya: "Beribadatlah kepada Allah seumpama kamu melihatnya dan jika sekiranya kamu tidak dapat melihatnya, yakinilah bahawa Dia tetap melihat kamu".

Wallahuaklam..