Wahai manusia dengarlah baik-baik apa yang hendak ku katakan !!!
Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu
lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu dengarlah dengan teliti
kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat
hadir di sini pada hari ini.
Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap
bulan ini dan kota ini sebagai suci maka anggaplah jiwa dan harta setiap
orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada
kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar
orang lain tidak menyakiti kamu pula. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu
akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti akan membuat perhitungan atas segala
amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba’, oleh itu segala urusan yang
melibatkan riba’ hendaklah dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap
syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan
kamu dalam perkara-perkara besar maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak
mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai
hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai atas kamu. Sekiranya mereka
menyempurnakan mereka ke atas kamu maka mereka juga berhak untuk diberi
makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu
dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya
mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas
mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu
tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh
kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah
di Bulan Ramadhan, tunaikanlah zakat dan harta kekayaan kamu dan kerjakanlah
ibadah haji sekiranya mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara
kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak ada seorangpun yang
lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam taqwa dan amal soleh.
Ingatlah bahawa kamu akan mengadap Allah
pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala apa yang telah
kamu lakukan. Oleh itu, awasilah tindak-tanduk kamu agar jangan sekali-kali
kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau
Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh
itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang
telah disampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu
dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya
nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan Sunnahku.
Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku
ini menyampaikannya pula kepada orang lain dan hendaklah orang yang lain
itu menyampaikannya pula kepada orang lain dan begitu seterusnya. Semoga
orang yang terakhir yang menerimanya lebih memahami kata-kataku ini dari
mereka yang mendengar terus dariku.
Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya aku telah
sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu.
- rijaluddakwah -
sasician98
@ hotmail.com