Dewasa kini, kita sering mendengar
tentang permasalahan yang menimpa umat Islam di seluruh dunia. Umat Islam
di seluruh dunia sedang menghadapi krisis rohani yang mencampakkan diri
mereka ke lembah kehinaan di sisi Allah SWT khususnya, dan di kaca mata
masyarakat dunia amnya.
Umat Islam telah hilang keperibadian
orang-orang yang beriman di mana suatu masa dahulu pernah dimiliki oleh
para sahabat dan para salafus soleh yang datang selepas mereka. Kehilangan
ini sekaligus melontarkan umat Islam kembali mengamalkan cara hidup yang
berlandaskan norma-norma yang sememangnya telah wujud dan dipraktikkan
oleh manusia di zaman jahiliyyah.
Oleh yang demikian, garis
pemisah yang membezakan antara mereka dengan orang-orang kafir telah terhapus
lalu kehidupan mereka juga tidak jauh berbeza dengan kehidupan orang-orang
kafir. Akibatnya, turunlah azab Allah SWT ke atas mereka, sebagaimana yang
sedang dihadapi oleh umat Islam di dunia sekarang ini.
Lihatlah bagaimana nasib
yang telah menimpa saudara seIslam kita di seluruh dunia. Mereka hidup
dalam keadaan kesengsaraan yang mana mereka telah menerima penindasan yang
cukup hebat dari golongan-golongan yang sememangnya benci dan tidak mahu
melihat Islam gah di muka bumi ini.
Walaupun menerima nasib yang
sedemikian, namun rintihan-rintihan suara mereka yang sayu, langsung tidak
pernah dihiraukan oleh umat Islam yang lain supaya mereka dapat dibantu
untuk menghapuskan kekejaman musuh-musuh Islam ke atas mereka.
Malah terdapat juga orang-orang
Islam yang telah diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam supaya menjatuhkan
serta menindas umat Islam yang lain. Pemimpin-pemimpin Islam yang zalim
telah dijadikan sebagai boneka mereka untuk melaksana dan meneruskan cita-cita
serta impian keemasan mereka selama ini.
Ini terjadi akibat tiada
lagi kekuatan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT serta sensiviti terhadap
Islam itu sendiri sehingga sanggup mengabaikan kepentingan Islam semata-mata
untuk mencapai dan memenuhi kepentingan diri sendiri.
Kita seharusnya mengimbau kembali
sejarah perkembangan Islam di zaman Rasulullah SAW
dan selepasnya agar ia dapat
dijadikan sebagai panduan dalam kehidupan. Menelaah dan meneroka sejarah
adalah adalah salah satu faktor terpenting untuk pembentukan peribadi Muslim
sejati serta dapat mengenal dengan lebih jauh lagi tentang keadaan umat
islam itu sendiri.
Seseorang itu tidak akan
dapat merasakan keterikatannya dengan umat melainkan ia telah menyatukan
diri dengan sejarah umatnya. Jika pengetahuannya tentang umat sudah cukup
baik, maka perasaan dan kesedarannya terhadap Islam akan berkembang. Rasulullah
SAW pernah bersabda dalam hadithnya yang bermaksud : “Barangsiapa yang
tidak memerhatikan (memikirkan) masalah kaum Muslimin, maka dia bukan dari
golongan mereka”. ( Riwayat Baihaqi dari Anas ).
Dalam keghairahan umat Islam
ingin memajukan diri dan negara mereka sama ada dalam bidang teknologi
atau ekonomi adalah penting untuk menumpukan perhatian yang berat terhadap
Islam. Umat Islam hanya akan menjadi mulia sekiranya mereka mengamalkan
Islam dalam kehidupan sebagai suatu cara hidup.
Malangnya umat Islam amat
jumud pemikiran sehingga definisi Islam telah silap dan disempitkan tafsirannya.
Mereka hanya memahami bahawa Islam hanya terhad kepada pengamalan ibadah
seperti solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan sebagainya.
Sebenarnya Islam adalah amat
luas ruang lingkupnya. Sekiranya sesuatu urusan atau pekerjaan yang dilakukan
dengan landasan hukum-hukum mutlak Allah SWT maka ia pun dikira sebagai
telah mengamalkan Islam.
Sebab itulah turunnya bala’
dari Allah SWT terhadap sekalian manusia sebagai suatu peringatan
kerana tidak mengamalkan Islam dalam kehidupan sehari-harian malah menggantikannya
dengan pengamalan yang melanggari batas-batas hakikat perintah Allah SWT
terhadap hamba-Nya.
Namun, yang menyedihkannya
ada di kalangan umat Islam yang tidak mengaku bahawa kemudaratan yang telah
ditimpakan ke atas mereka adalah suatu bala’ dari Allah SWT tetapi menganggap
bahawa ia adalah suatu fenomena yang biasa sahaja.
Janganlah menganggap bahawa
sekiranya mengamalkan Islam sampai bila-bila pun tidak akan maju. Ingatlah
bahawa Islam tidak menghalang kemajuan tetapi kemajuan tersebut mestilah
berlandaskan dengan hakikat perintah Allah SWT. Segala urusan dan pekerjaan
yang hendak dilakukan mestilah dilakukan semata-mata kerana Allah SWT.
Sekiranya kemajuan secara fizikal diimbangi dengan dengan kemajuan rohani
di situ akan ada keberkatan dan keredaan dari Allah SWT.
Hanya dengan memberatkan
kemajuan duniawi tanpa mengiraukan kemajuan rohani dan Islam akan mengakibatkan
banyak masalah akan timbul dan muncul. Umpamanya, keruntuhan akhlak umat
Islam dan institusi umat Islam yang langsung tidak mempunyai ciri-ciri
keIslaman bahkan lebih mirip kepada keyahudian dan kenasrian.
Selain daripada itu, keyakinan
umat Islam terhadap perintah Allah SWT telah pudar dan sebaliknya mereka
telah mempermain-mainkan serta memperlekeh-lekehkan perintah-perintah Allah
SWT sama ada melalui perkataan atau perbuatan. Keyakinan terhadap hikmah
daripada perintah Allah SWT tidak lagi bertapak kukuh di hati-hati umat
Islam adalah berpunca dari kelemahan iman yang tidak diperbaiki dari sehari
ke sehari.
Umat Islam perlu diberikan
kesedaran tentang Islam dan perbezaan antara ciri-ciri Muslim sejati dengan
ciri-ciri Kuffar dari segi amalan-amalan dan iktiqad. Gerakan besar-besaran
dan usaha yang bersungguh-sungguh perlu dijalankan ke atas umat Islam supaya
mereka didorong dan digesa untuk berusaha memperbaiki keimanan mereka.
Pengamalan baik dan mungkar adalah penentu keadaan kestabilan alam ini.
Pilihlah yang terbaik antara keduanya.
Suasana yang melingkungi
kehidupan orang-orang Islam pada hari ini telah menjadi buruk dan dicemari
dengan perbuatan-perbuatan mungkar manusia. Keadaannya menjadi terlalu
dahsyat sehinggakan di dalam masjid pun orang-orang Islam masih melakukan
kemungkaran seperti bercakap-cakap mengenai hal ehwal keduniaan, mengumpat
sehinggakan ada yang bergaduh dalam perubatan untuk menjadi ahli jawatankuasa
masjid.
Sekiranya di dalam masjid
pun masih wujud kemungkaran, bagaimana rahmat Allah SWT yang diharapkan
akan turun ke atas umat ini ? Rahmat Allah SWT inilah satu kurniaan yang
amat berharga daripada-Nya di mana tanpa rahmat ini, tentu sekali
kehidupan umat Islam akan hilang
kehormatan, keizzahan, kemuliaan dan kesatuan.
Nu’man bin Bashir r.a telah
meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Terdapat segolongan
manusia yang mentaati perintah-perintah Allah dan segolongan manusia yang
lain melanggari batas-batas Allah. Perumpaan mereka adalah seperti dua
golongan yang menaiki sebuah kapal di mana satu golongan berada di atas
dan satu golongan lagi berada dalam perut kapal. Apabila golongan yang
berada dalam perut kapal inginkan air mereka menyuruh golongan yang di
atas supaya mengambilkan air untuknya sehinggalah mereka berkata : “Adakah
patut kita kita menyusahkan golongan di atas apabila kita memerlukan air
sedangkan kita boleh mendapat air yang banyak dengan melubangi bahagian
bawah kapal ini”. Maka sekiranya golongan di atas tidak mencegah mereka
dari kebodohan ini, nescaya mereka akan karam kesemuanya”. ( Riwayat Bukhari
dan At-Tirmidzi ).
Di dalam hadith di atas jelas
menunjukkan bahawa perlu ada suatu golongan yang menyeru ke arah ma’ruf
dan mencegah dari sebarang unsur kemungkaran. Kewajipan untuk melaksankannya
di kuat lagi dengan firman Allah SWT yang bermaksud : “Hendaklah ada di
kalangan kamu satu umat yang menyeru ke arah makruf dan mencegah dari sebarang
kemungkaran, sesungguhnya mereka itulah golongan yang berjaya”. ( Surah
Ali Imran : 104 )
Terdapat banyak hadith lain
yang menyatakan bahawa apabila sesuatu maksiat dilakukan secara rahsia,
maka kesan buruknya secara amnya terbatas kepada orang yang melakukannya.
Walaubagaima-napun apabila sesuatu maksiat dilakukan secara terang-terangan
dan tidak dicegahi oleh masyarakat sekitarnya maka kesannya akan menimpai
semua orang tidak kira yang melakukan maksiat atau tidak.
Perkara ini adalah disebabkan
fikiran orang-orang yang tidak melakukan maksiat mungkin akan terpengaruh
kepada maksiat yang dilakukan oleh orang lain akibat suasana maksiat yang
terserlah. Mereka yang tidak benci kepada maksiat pasti tidak akan mencegah
maksiat oleh pelaku maksiat.
Lantaran itu Rasulullah SAW
telah bersabda di dalam hadithnya yang bermaksud : “ Apabila umatku telah
membuat lima belas perkara maka bala’ pasti akan turun ke atas mereka iaitu
:
.
1. Apabila kekayaan negara hanya
dimiliki oleh orang-orang yang tertentu sahaja.
2. Apabila amanah dijadikan sumber
memperolehi keuntungan ( khianat terhadap amanah ).
3. Zakat dijadikan hutang ( tidak
mengeluarkan zakat ).
4. Suami taat pada isteri ( dayus
).
5. Anak menderhakai ibu bapa.
6. ( Sedangkan ia ) berbaik-baik
dengan temannya ).
7. ( Dan ) menjauhkan diri dari
ibu bapanya.
8. Suara-suara ditinggikan di dalam
masjid.
9. Seseorang dimuliakan kerana
kejahatannya.
10. Arak diminum di mana-mana sahaja
tanpa kawalan.
11. Ramai kaum lelaki memakai sutera.
12. Artis-artis disanjung tinggi
dan dipuja.
13. Orang yang paling hina di kalangan
sesuatu kaum diangkat sebagai pemimpin.
14. Banyak jenis muzik dimainkan.
15. Generasi umat Islam kini menyalah-nyalahkan
umat Islam terdahulu ( Para sahabat : sebagaimana yang dilakukan oleh puak
syiah yang telah terkeluar dari landasan Islam yang sebenar )”.
( Riwayat At-Tirmidzi )