|
Sejarah al-Azhar secara umum
Al-Azhar adalah sebuah universiti Islam pertama di dunia yang telah
diasaskan oleh Khalifah Aziz Billah. Masjid Al-Azhar telah dimulakan
pembinaannya pada tanggal 4 April 970 M di ibu negara Mesir, Kota Kaherah.
Kerja-kerja pembinaannya selesai pada hari Jumaat 22 Jun 972 M. Pada tahun
988 Masihi seorang wali kerajaan Abbasiyyah di Mesir - Yaakub bin Kals
telah mencadangkan kepada pemerintah zamannya iaitu Khalifah Aziz Billah
untuk menjadikan masjid tersebut sebagai sebuah Jamiah (universiti) yang
menawarkan pelbagai bidang ilmu pengetahuan.
Pelajar Melayu telah mula
merantau ke Al-Azhar sejak tahun 1918 lagi. Sejarah perjuangan
penuntutan ilmu di kalangan pelajar-pelajar Melayu di Mesir telah
berpusat di Kaherah daripada tahun 1918 sehinggalah ke tahun 1991
apabila 18 orang mahasiswi mula dihantar ke cawangan Al Azhar di
Iskandariah. Ini bermakna perjuangan pelajar-pelajar Melayu terutamanya
pelajar-pelajar daripada tanah nusantara sehinggalah pelajar Malaysia
kini telah berpusat di Kaherah selama 73 tahun sebelum mereka dipecahkan
ke muhafazah-muhafazah (cawangan) yang pelbagai bermula tahun 1991 dan
1992 kepada 4 muhafazah iaitu Damanhur, Tanta, Shibin el Kom dan
Mansurah. Pada tahun 1994 pula, Mahasiswa Malaysia telah dihantar ke 2
buah muhafazah lain iaitu Dumyat dan Zaqaziq.
|
|
|
Universiti Al-Azhar Cawangan
Mansurah
Universiti Al-Azhar Mansurah adalah salah satu cawangan dari Universiti
Al-Azhar yang berpusat di Kaherah.Bermula pada tahun 1992, penghijrahan
pelajar Malaysia ke bumi Mansurah membawa seribu kenangan pahit manis
yang tidak dapat dilupakan. Al-Azhar Mansurah menyediakan
dewan kuliah bagi siswa dan siswi secara berasingan.
Fakulti siswa bertempat di sebelah Murur manakala fakulti siswi bertempat di
Dirasat. Menyentuh mengenai sistem pembelajaran di Universiti Al-Azhar
Mansurah, terdapat perbezaan antara Universiti Al-Azhar dan universiti
tempatan di Malaysia. Dari sudut bahasa,bahasa penghantar yang digunakan
adalah bahasa Arab sepenuhnya. Manakala sukatan pelajaran adalah sama
dengan pelajar Arab lain dan tidak wujud perbezaan antara pelajar asing
dan pelajar tempatan.
Pada setiap hari kuliah akan dijalankan melainkan pada hari Jumaat. Jika
ditinjau, seawal jam 8.30 pagi sudah ramai siswa dan siswi yang
berpusu-pusu menuju ke kuliah masing-masing bagi mengutip mutiara hikmah
yang akan diajarkan oleh Doktor di kuliah sehinggalah lewat jam 3 petang.
Kesungguhan ini menjadi medan ujian bagi ikhwah mahupun akhawat yang
bakal bergelar graduan Al-Azhar walaupun terpaksa berhadapan perubahan
cuaca yang bermusim di bumi Anbiya' ini. Bidang pengajian yang
ditawarkan di Universiti Ál-Azhar Mansurah ialah Fakulti Usuluddin dan Fakulti Bahasa Arab bagi siswa.
Manakala bagi siswi pula Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab yang
meliputi Jabatan Usuluddin, Jabatan Bahasa Arab dan Jabatan Syariah Islamiyah.
|
|