SIDANG MEDIA (23 JULAI 2002)

Bahasa Inggeris : Dr M, Musa Dan Aziz Patut Letak Jawatan

 Dewan Pemuda PAS Pusat (DPP Pusat) memandang serius perkembangan terbaru isu penggunaan bahasa Inggeris untuk subjek metametik dan sains di semua sekolah mulai tahun hadapan. Pengumuman Menteri Pendidikan bahawa bahasa Inggeris hanya dilaksanakan sepenuhnya selepas 2008 adalah sangat bercanggah dengan kenyataan Perdana Menteri, Menteri Pendidikan dan Timbalan Menteri Pendidikan sebelum ini yang menegaskan bahawa bahasa Inggeris akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai tahun hadapan. Ini membuktikan bahawa kenyataan mereka sebelum ini adalah picisan, berbau politik, penuh sentimen dan bersangka buruk tanpa melalui kajian yang menyeluruh. Kerana itu DPP Pusat mencabar Dr Mahathir, Musa Mohammed dan Aziz Samsuddin supaya meletakkan jawatan kerana kenyataannya yang tidak bertanggungjawab sebelum ini. 

Menteri Pendidikan dalam kenyataannya pada Sabtu lepas mengumumkan bahawa bahasa Inggeris hanya akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dengan darjah satu, tingkatan satu dan enam rendah pada tahun hadapan. Manakala di kolej matrikulasi pada 2004 dan di politeknik pada 2008. DPP Pusat melihat fenomena ini berpunca daripada sikap tergopoh-gapah Kerajaan BN dalam melaksanakan sesuatu dasar awam. Pihak kerajaan sepatut bersikap lebih bertanggungjawab dalam membuat dan mengumumkan sesuatu dasar baru dengan meninjau terlebih dahulu pendapat rakyat dan juga melalui kajian yang terperinci. Apa yang berlaku, pemimpin BN mengumumkan sesuatu dasar yang belum dijalankan sebarang kajian menyeluruh sehingga menimbulkan pelbagai polimik di kalangan rakyat. Ini membukti bahawa Kerajaan BN tidak bersikap mesra rakyat dalam menjalankan dasar-dasar awam negara. 

DPP Pusat juga masih hairan bagaimana Kerajaan BN mengambil kesimpulan mudah dengan menjadikan subjek metametik dan sains sebagai mangsa untuk mencapai hasrat kerajaan supaya rakyat negara ini menguasai bahasa Inggeris. Tidak ada usaha untuk mengingkatkan prasarana atau kaedah pembelajaran bahasa Inggeris dibuat, sebaliknya pelajaran metametik dan sains dipaksa untuk untuk diajar dalam bahasa tersebut. Adakah kerajaan telah mengkaji bahawa kelemahan bahasa Inggeris berpunca daripada subjek metametik dan sains, atau kerajaan tidak memerhatikan bahawa pelajar luar bandar masih belum mampu menguasai subjek metametik dan sains walaupun diajar dalam bahasa Melayu, apatah lagi dalam bahasa Inggeris. 

DPP Pusat mengajak Kerajaan BN meninjau semula bagaimana pencapaian pelajar Britain dan Amerika Syarikat dalam dua subjek tersebut walaupun bahasa Inggeris menjadi pengantar. Bukankan laporan pada 1996 menunjukkan bahawa Britain menduduki tangga ke-16 dan AS di tangga ke-28 dalam rangking dunia. Sedangkan negara seperti Jepun (bahasa Jepun) dan Korea (bahasa Korea) yang tidak menggunakan bahasa Inggeris menduduki tiga tangga teratas. Ini menunjukkan bahawa tindakan Kerajaan BN adalah tidak tepat. Mengapa metametik dan sains menjadi mangsa, sedangkan sasaran sebenar adalah bahasa Inggeris.  

DPP Pusat menyokong tindakan kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Profesional Kementerian Pendidikan yang diketuai Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Rafie Mahat untuk mengkaji keupayaan kerajaan dalam melaksanakan dasar baru ini, tetapi DPP Pusat melihat tidak cukup sekiranya jawatankuasa ini hanya mengkaji tentang keupayaan kerajaan dengan tidak mengkaji apakah dasar ini wajar dilaksanakan dan apakah punca sebenar pelajar gagal menguasai bahasa Inggeris. Mengapa jawatankuasa ini tidak mengkaji sama masalah prasarana, pedagogi, kemahiran guru dan sebagainya yang menjadi punca kelemahan bahasa Inggeris. DPP Pusat yakin sekiranya jawatankuasa ini diberi kuasa untuk mengkaji kewajaran perlaksanaan dasar  ini dan punca sebenar kelemahan bahasa Inggeris, maka dasar tersebut tidak akan dilaksanakan.  

DPP Pusat percaya kenyataan terbaru Musa di Seremban tersebut dibuat selepas jawatankuasa profesional membuat laporan kajian isu tersebut. DPP Pusat yakin kajian secara profesional ini lebih lebih tepat dan bermutu berbanding kenyataan-kenyataan picisan pemimpin BN sebelum ini. DPP Pusat juga tidak menolak kemungkinan keputusan terbaru ini dibuat setelah orang-orang Melayu menolak Umno/BN dalam pilihan raya kecil Anak Bukit dan Pendang baru-baru ini yang boleh menggambarkan protes rakyat terhadap dasar-dasar pendidikan Kerajaan BN yang merugikan orang Melayu. DPP Pusat menegaskan penentangan terhadap dasar ini kerana ia akan menjadikan pelajar negara ini sebagai bahan eksperimen selain bercanggah dengan usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Perlaksanaan dasar ini akan mengembalikan kita 30 tahun ke belakang dengan didoktrinkan oleh pemikiran penjajah dan tidak yakin dengan kebolehan bahasa sendiri.

 

 HAJI MAHFUZ HAJI OMAR
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat