WARTA KERAJAAN NEGERI TERENGGANU
RANG UNDANG-UNDANG
KESALAHAN JENAYAH SYARIAH ( HUDUD DAN QISAS ) TERENGGANU
1423H/2002M
SUSUNAN FASAL-FASAL
BAHAGIAN I
MUKADIMAH
Fasal
1. Tajuk Ringkas
2. Tafsiran
3. Jenis-Jenis Kesalahan
4. Kesalahan-Kesalahan Hudud
BAHAGIAN II
SYURB
5. Syurb
6. Syarat-Syarat Dikenakan Hukuman Hudud Syurb
BAHAGIAN III
QAZAF
7. Qazaf
8. Hukuman Qazaf
9. Kesalahan Yang Dikira Kesalahan Qazaf
10. Al-li'an
11. Akibat Al-li'an
BAHAGIAN IV
ZINA
12. Zina
13. Hukuman Zina
14. Liwat
15. Hukuman Liwat
16. Membuktikan Liwat
17. Bilakah Hukuman Zina Tidak Boleh Dikenakan
18. Zina Mahram
BAHAGIAN V
SARIQAH
19. Sariqah
20. Hukuman Kerana Melakukan Sariqah
21. Bilakah Hukuman Hudud Sariqah Tidak Boleh Dikenakan
BAHAGIAN VI
HIRABAH
22. Hirabah
23. Hukuman Hirabah
24. Bilakah Hukuman Hudud Hirabah Boleh Atau Tidak Boleh Dikenakan
BAHAGIAN VII
IRTIDAD atau RIDDAH
25. Irtidad Atau Riddah
26. Hukuman Irtidad Atau Riddah
BAHAGIAN VIII
QISAS
27. Qisas
28. Jenis Kesalahan Menyebabkan Kematian
29. Qatlul-al 'Amd
30. Hukuman Qatlul-al 'Amd
31. Pengampunan
32. Ganti Kepada Hukuman Qisas
33. Qatlul Syibhu-al 'Amd
34. Hukuman Qatlul Syibhu-al 'Am
35. Qatlul Al-khata'
36. Hukuman Qatlul Al-khata'
37. Menyebabkan Kecederaan Badan
38. Hukuman Kerana Menyebabkan Kecederaan Badan
39. Jenis-Jenis Kecederaan Badan
40. Bilakah Hukuman Qisas Tidak Boleh Dikenakan
41. Akibat Apabila Hukuman Hukuman Qisas Tidak Dikenakan
BAHAGIAN IX
KETERANGAN
42. Bagaimana Membuktikan Kesalahan
43. Bilangan Saksi
44. Syarat-Syarat Kelayakan Menjadi Saksi
45. Kualiti Keterangan
46. Menarik Balik Keterangan
47. Iqrar
48. Menarik Balik Iqrar
49. Keterangan Qarinah
50. Takzir Sebagai Ganti Hukum Hudud Apabila Keterangan Tidak Memenuhi Syarat-Syarat Untuk Membuktikan Kesalahan Hudud
BAHAGIAN X
BAGAIMANA HUKUMAN DIJALANKAN
51. Hukuman Hudud Tidak Boleh Diubah
52. Pengesahan Hukuman Sebelum Perlaksanaan
53. Pemeriksaan Pegawai Perubatan Sebelum Dilaksanakan Hukuman
54. Cara Hendak Melaksanakan Hukuman Bagi Kesalahan Berbilang
55. Cara Memotong Tangan Dan Kaki
56. Cara Melaksanakan Hukuman Sebat
57. Hukuman Rejam Ditangguh Bagi Perempuan Yang Hamil Dan Yang Menyusukan Anak
58. Hukuman Sebat Keatas Perempuan Yang Hamil
BAHAGIAN XI
PERUNTUKAN UMUM
59. Pemakaian Enekmen Ini
60. Persubahatan Atau Komplot
61. Niat Sama
62. Sariqah Berkumpulan
63. Mencuba Melakukan Kesalahan
64. Prosiding Dibawah Kanun Keseksan Tidak Boleh Diambil
65. Pemakaian Hukum Syarak Dalam Tafsiran
BAHAGIAN XII
MAHKAMAH
66. Mahkamah Bicara Syariah Khas
67. Mahkamah Rayuan Syariah Khas
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
RANG UNDANG-UNDANG
Bernama
Satu Enakmen untuk melaksanakan Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah bagi Hudud dan Qisas,dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
Firman Allah swt :
Maksudnya :
"Dan hendaklah engkau menjalankan hukum diantara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka,dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkan engkau dari suatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu.Kemudian jika mereka berpaling ( enggan menerima hukum Allah itu ),maka ketahuilah,hanya sanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab sesetengah daripada dosa-dosa mereka ,dan sesungguhnya kebanyakan daripada umat manusia itu adalah orang-orang yang fasiq"
( Al-Quran Al-Karim, Surah Al-Maidah, 5:49 )
MAKA DENGAN INI DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Kuasa Undangan Negeri Terengganu Darul Iman seperti berikut :
BAHAGIAN I
MUKADIMAH
Firman Allah swt :
Maksudnya :
"( Katakanlah wahai Muhammad) :"Patutkah aku (terpedaya dengan kata-kata dusta syaitan itu sehingga aku ) hendak mencari Hakim selain dari Allah,padahal Dialah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas dan nyata kandungannya satu persatu ( tentang yang benar dan yang salah ) ?,dan orang-orang yang kami berikan kitab.mengetahui bahawa Al-Quran itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya.Oleh itu,jangan sekali-kali engkau menjadi ( salah seorang ) dari golongan yang ragu-ragu "
( Al-Quran Al-Karim,Surah Al-An'am,6:114 )
1 - Tajuk Ringkas Dan Permulaan Kuat Kuasa
Enakmen ini bolehlah dinamakan "Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah ( Hudud dan Qisas ) Terengganu 1423H/2002M dan hendaklah mula berkuat-kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan melalui pemberitahuan dalam Warta.
2 - Tafsiran
(1) Dalam Enakmen ini melainkan konteksnya mengkhendaki makna yang lain :
- "Anak" termasuklah cucu dan keturunan dibawah atau selepasnya.
- "Diyat" maknanya satu jumlah wang atau harta yang dikenakan bayarannya sebagai pampasan kerana kematian atau kehilangan akal atau kecederaan anggota yang sempurna atau kecederaan anggota yang berpasangan atau kehilangan fungsi anggota-anggota tersebut yang telah dilakukan keatas seorangmangsa jenayah.Jumlah satu Diyat ialah seratus ekor unta atau nilai harganya atau satu jumlah yang ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan dari semasa ke semasa mengikut Hukum Syarak.
- "Hakim" maknanya Hakim yang dilantik dibawah bahagian XII
- "Irsy" maknanya suatu jumlah wang atau harta atau bahagian daripada Diyat yang dikenakan sebagai pampasan kerana kecederaan (Jurh) yang dilakukan keatas seorang mangsa jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam Jadual II,III dan IV.
- "Jawatankuasa Fatwa" maknanya Jawatankuasa Fatwa yang ditubuhkan dibawah seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam (Terengganu) 1422H/2002M [En.Tr. 2/2001]
- "Mahkamah" maknanya Mahkamah Bicara Syariah Khas dan Mahkamah Rayuan Syariah Khas yang ditubuhkan dibawah Bahagian XII.
- "Penjara" termasuklah perintah menghadkan seseorang pesalah tinggal dalam suatu kawasan atau daerah dalam negeri.
- "Mohsan" dan "Ghairu Mohsan" maknanya adalah sama seperti ditakrifkan dalam subseksyen 12 (2).
- "Mukallaf" maknanya seseorang sudah mencapai umur 18 tahun dan sempurna akalnya.
- "Nisab" maknanya suatu jumlah wang yang bersamaan dengan harga emas seberat 4.45 gram atau suatu jumlah wang yang akan ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan dari semasa ke semasa mengikut Hukum Syarak.
- "Qisas" maknanya hukuman balas balik dan persamaan yang digunakan untuk menghukum kesalahan melakukan kematian atau cedera jasmani keatas seseorang.
- "Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri" maknanya Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri yang ditubuhkan dibawah Perkara LVI Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu (Bahagian Pertama)
- "Wali" maknanya waris mangsas jenayah yang berhak memaafkan pesalah yang melakukan kesalahan keatas mangsa jenayah itu.
(2) Bagi mengelakkan keraguan tentang identiti atau tafsiran perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini yang disenaraikan dalam Jadual I ,rujukan bolehlah dibuat kepada tulisan Arab bagi perkataan dan ungkapan itu yang ditunjukan bersetentangan dengannya dalam Jadual itu.
(3) Semua perkataan dan ungkapan yang digunakan dalam Enakmen ini dan yang tidak ditakrifkan dalamnya tetapi ditakrifkan dalam Akta-Akta Takrifan 1948 dan 1967 [Akta 388] hendaklah mempunyai erti yang diberikan kepadanya masing-masing dalam Akta-Akta itu setakat yang erti sedemikian tidak beracanggah dengan HukumSyarak.
(4) Melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki makna yang lain apa-apa rujukan dalam Enakmen ini mengenai sesuatu bahagian atau seksyen atau subseksyen atau jadual tertentu adalah rujukan mengenai sesuatu bahagian atau seksyen atau subseksyen atau Jadual tertentu dalam Enakmen ini.
3 - Jenis-Jenis Kesalahan
Semua kesalahan dibawah Enakmen ini dibahagi kepada tiga jenis iaitu :-
(a) Kesalahan yang mana hukumannya telah ditetapkan oleh Al-Quran Al-Karim dan Sunnah.Kesalahan-kesalahan itu dipanggil dengan nama kesalahan-kesalahan Hudud dan hukumannya dinamakan hukuman Hudud.
(b) Kesalahan-kesalahan yang tertakluk kepada Qisas yang juga ditetapkan oleh Al-Quran Al-Karim dan Sunnah.Kesalahan-kesalahan itu dinamakan Qisas dan hukumannya dinamakan hukuman Qisas.
(c) Kesalahan yang lain daripada kesalahan-kesalahan Hudud dan kesalahan-kesalahan Qisas,tetapi hukumannya diserahkan kepada budi bicara badan perundangan atau mengikut Enakmen ini hukumannya diserahkan kepada budi bicara Mahkamah.Kesalahan-kesalahan itu dinamakan kesalahan-kesalahan Takzir dan hukumannya dinamakan dengan hukuman Takzir.
- Dengan syarat bahawa bahawa apabila sesuatu kesalahan Hudud atau Qisas tidak boleh dihukum dengan hukuman Hudud atau hukuman Qisas kerana tidak dapat memenuhi syarat-syarat yang dikhendaki bagi hukuman-hukuman itu,maka kesalahan itu adalah menjadi suatu kesalahan Takzir dan hendaklah ia dihukumkan demikian.
4 - Kesalahan-Kesalahan Hudud
Kesalahan-kesalahan Hudud adalah seperti berikut :-
(a) Syurb ( Meminum arak atau minuman memabukkan )
(b) Qazaf ( Membuat tuduhan bahawa seseorang itu melakukan zina yang mana tuduhan itu tidak dapat dibuktikan dengan empat orang saksi )
(c) Zina ( Melakukan persetubuhan haram )
(d) Sariqah ( Mencuri )
(e) Hirabah ( Merompak )
(f) Irtidad atau Riddah ( Keluar daripada agama Islam )
BAHAGIAN II
SYURB
Firman Allah swt :
Maksudnya :
"Hai orang-orang yang beriman ! Sesungguhnya ( meminum ) khamar,berjudi,berkorban untuk berhala dan mengundi nasib dengan anak panah,adalah perbuatan keji,pekerjaan syaitan (kerana itu) jauhilah (tinggalkanlah) agar kamu menang (dunia akhirat)"
( Al-Quran Al-Karim,Al-Maidah,5:90 )
5 - SYURB
(1) Syurb adalah kesalahan meminum arak atau sebarang minuman yang sifatnya memabukkan, samada orang yang meminumnya mabuk atau tidak, dan tanpa mengira kuantiti yang diminumnya.
(2) Sesiapa yang melakukan kesalahan Syurb hendaklah dihukum dengan hukuman seperti berikut :-
(a) Bagi kesalahan pertama atau kedua dengan sebat tidak kurang daripada empat puluh sebatan.
(b) Bagi kesalahan ketiga dengan sebatan tidak kurang daripada empat puluh sebatan atau tidak lebih daripada lapan puluh sebatan.
(c) Bagi kesalahan keempat dan seterusnya dengan sebat tidak kurang daripada empat puluh sebatan dan tidak lebih daripada lapan puluh sebatan dan boleh juga dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang difikirkan patut oleh Mahkamah.
6 - BILAKAH HUKUMAN HUDUD KERANA KESALAHAN SYURB TIDAK BOLEH DIKENAKAN
Hukuman hudud kerana kesalahan Syurb tidak boleh dikenakan kepada sesiapa melainkan dia seorang :-
(a) Mukallaf.
(b) Tidak dipaksa, tidak uzur syarie atau tidak terdesak.
(c) Mempunyai dua orang saksi atau seorang saksi dan Qarinah.
(d) Berupaya mengetahui jenis kesalahan itu.
BAHAGIAN III
QAZAF
Firman Allah swt :
Maksudnya :
"Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan ( zina ) kepada perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebatan dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya, kerana mereka adalah orang-orang yang fasiq"
( Al-Quran Al-Karim, Surah An-Nur, 24:4 )
7 - QAZAF
(1) Qazaf ialah membuat tuduhan zina yang tidak dibuktikan oleh empat orang saksi lelaki terhadap seseorang Islam yang Mukallaf dan dikenali sebagai seorang yang bersih diri daripada kelakuan zina.
(2) Qazaf juga boleh dilakukan dengan membuat suatu pernyataan dengan cara yang nyata seperti menyatakan bahawa seseorang tertentu telah melakukan zina atau dengan cara tersirat seperti menyatakan bahawa seseorang itu bukannya bapa ataupun bukannya anak kepada seseorang yang tertentu.
(3) Pernyataan dibawah subseksyen (2) adalah dianggap sebagai Qazaf melainkan ia dibuktikan dengan empat orang saksi lelaki, dan jika pernyataan itu tidak boleh dibuktikan sedemikian maka orang yang membuat tuduhan itu adalah melakukan kesalahan Qazaf, tetapi sekiranya pernyataan itu dibuktikan, maka orang yang terhadapnya kenyataan itu dibuat adalah melakukan kesalahan zina.
(4) Sesuatu pernyataan dibawah subseksyen (2) adalah dianggap tidak terbukti, sekiranya seseorang atau beberapa orang saksi yang berempat yang dipanggil untuk memberi keterangan itu atau jika keterangan itu diberi keterangan itu bercanggah dengan pernyataan itu, dan dalam hal yang seperti itu maka tiap-tiap orang saksi yang memberi keterangan yang menyokong pernyataan itu hendaklah dianggapkan telah melakukan kesalahan Qazaf.
8 - HUKUMAN QAZAF
Sesiapa yang melakukan kesalahan Qazaf hendaklah dihukum dengan hukuman-hukuman sebat sebanyak lapan puluh kali sebatan dan keterangannya sebagai saksi tidak boleh diterima lagi sehingga dia bertaubat atas kesalahannya itu.
9 - KESALAHAN YANG DIKIRA KESALAHAN QAZAF
(1) Seseorang yang menuduh dirinya dirogol oleh orang tertentu dengan tidak mengemukan bukti (nyata) yang dikehendaki oleh Syarak berkaitan dengannya atau dengan tiada sebarang Qarinah bagi menyokong tuduhannya itu telah melakukan kesalahan Qazaf.
(2) Aduan oleh seorang perempuan yang dia dirogol oleh orang tertentu tanpa berupaya membawa saksi yang disyaratkan tetapi ada Qarinahnya, hendaklah disiasat dan jika syarat-syarat yang dikehendaki syarak tidak dipenuhi untuk menghukum pesalah dibawah hukuman Hudud dan sebaliknya ada cukup bukti yang tidak boleh disangkalkan dengan keterangan samada secara langsung atau tidak langsung yang menunjukan pesalah telah melakukan persetubuhan keatasnya dengan kekerasan dan tanpa kerelaannya maka pesalah itu hendaklah dihukum dengan hukuman Takzir dan perempuan itu tidak boleh dikatakan telah melakukan Qazaf.
10 - AL-LI'AN
(1) Al-Li'an adalahsuatu tuduhan zina secara bersumpah yang dibuat olehseorang suami terhadap isterinya manakala isterinya pula dengan secara bersumpah menolak tuduhan itu, yang mana tuduhan itu dan penolakannya adalah dibuat dihadapan seorang Hakim dengan menyebutkan kata-kata yang menurut hukum Syarak cukup untuk membuktikan Al-Li'an, dan kata-kata itu hendaklah seperti yang terkandung dalam subseksyen (2), (3), (4), (5).
(2) Suami yang membuat tuduhan itu hendaklah melafazkan empat kali berturut-turut lafaz berikut :-
"Aku bersaksi dengan Allah bahawa aku bercakap benar bahawa aku menuduh isteriku .............(nama)................berzina."
(3) Apabila genap empat kali dia mengulang-ngulangkan lafaz yang terkandung dalam subseksyen (2), maka dia hendaklah menyebut lafaz yang kelima dengan berkata :-
"Laknat Allah akan jatuh keatasku sekiranya aku bercakap bohong."
(4) Bagi menolak tuduhan itu, maka isterinya hendaklah pula melafaz empat kali berturut-turut lafaz yang berikut :-
"Aku bersaksi dengan nama Allah bahawa suamiku .........(nama)......... adalah bohong membuat tuduhan zina keatasku"
(5) Apabila genap empat kali dia mengulang-ngulangkan lafaz yang dinyatakan dalam subseksyen (4), maka dia hendaklah membuat lafaz yang kelima dengan berkata :-
"Kemurkaan Allah akan jatuh keatasku sekiranya suamiku bercakap benar"
(6) Jika isteri itu telah melahirkan anak atau sedang hamil yang dianggap sebagai hasil daripada zina yang dituduh oleh suaminya, maka suami itu hendaklah menafikan menjadi bapa kepada anak yang sudah dilahirkan itu atau yang masih dikandung itu dengan menambah kepada lafaz dibawah subseksyen (2) yang mesti diulang empat kali sebutannya, lafaz yang berikut : -
"Bahawa anak ini atau apa yang dikandung oleh isteri aku bukanlah daripada aku."
11 - AKIBAT AL-LI'AN
Apabila suatu pasangan suami isteri melakukan Al-li'an untuk menyelesaikan tuduhan zina diantara mereka berdua, maka suaminya tidak bersalah melakukan Qazaf dan isterinya tidaklah pula bersalah melakukan zina, dan kedua-duanya terlepas daripada hukuman bagi kesalahan tersebut, tetapi perkahwinan mereka dengan secara sendirinya dan dengan serta merta menjadi bubar, dan Hakim hendaklah menceraikan mereka, dan pasangan itu selama-lamanya tidak lagi boleh berkahwin semula dan jika selepas itu mereka melakukan persetubuhan, maka perbuatan itu adalah haram dan persetubuhan itu adalah zina.
BAHAGIAN IV
ZINA
Firman Allah swt :
Maksudnya :
"Perempuan yang berzina dengan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat dari tiap-tiap orang dari keduanya seratus kali sebat, dan janganlah kamu dipengaruhi dengan perasaan belas kesihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum Din Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman"
( Al-Quran Al-Karim, Surah An-Nur, 24:2 )
12 - ZINA
(1) Zina ialah suatu kesalahan yang merupakan persetubuhan diantara lelaki dengan seorang perempuan yang bukan pasangan suami isteri dan persetubuhan itu tidak termasuk dalam taarif Watie Syubhah sebagaimana yang dinyatakan dalam subseksyen (3).
(2) Jika pesalah itu sudah berkahwin dengan sah dan telah menikmati persetubuhan dalam perkahwinan itu, maka pesalah itu dinamakan Mohsan tetapi apabila pesalah itu belum berkahwin atau sudah berkahwin tetapi belum merasai nikmat persetubuhan dalam perkahwinan itu maka pesalah itu dinamakan Ghairu Mohsan.
(3) Watie Syubhah ialah persetubuhan yang dilakukan oleh seorang lelaki dengan seorang perempuan yang bukan isterinya dan persetubuhan itu dilakukan :-
(a) Dalam keadaan yang meragukan dalam mana dia menyangka bahawa perempuan yang disetubuhinya itu ialah isterinya, sedangkan perempuan itu bukan isterinya.: atau,
(b) Dalam keadaan yang meragukan dalam mana dia menyangka perkahwinannya dengan perempuan yang disetubuhi olehnya itu adalah sah mengikut hukum Syarak, sedangkanpada hakikatnya perkahwinannya itu adalah tidak sah.
13 - HUKUMAN ZINA
(1) Jika pesalah yang melakukan Zina itu Mohsan, maka pesalah itu hendaklah dihukum dengan hukuman Rejam, iaitu dilontar dengan batu yang sederhana besarnya sehingga mati.
(2) Jika pesalah yang melakukan Zina itu Ghairu Mohsan, maka pesalah itu hendaklah dihukum dengan hukuman sebat sebanyak seratus kali sebatan dan sebagai tambahan hendaklah dipenjara selama satu tahun.
14 - LIWAT
Liwat ialah suatu kesalahan yang menrupakan persetubuhan diantara seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau diantara seorang lelaki dengan seorang perempuan selain daripada isterinya, yang dilakukan diluar tabie' iaitu melalui dubur.
15 - HUKUMAN LIWAT
Sesiapa yang melakukan kesalahan liwat hendaklahlah dihukum dengan hukuman yang sama seperti yang ditetapkan bagi zina.
16 - MEMBUKTIKAN LIWAT
Kesalahan liwat hendaklah dibuktikan dengan cara yang sama dengan cara yang dikhendaki untuk membuktikan zina.
17 - BILAKAH HUKUMAN HUDUD ZINA TIDAK BOLEH DIKENAKAN
Hukuman Hudud Zina tidak boleh dikenakan dalam keadaan seperti berikut :-
(a) Apabila pesalah tarik balik pengakuannya.
(b) Apabila saksi tarik balik penyaksiannya.
(c) Bagi perawan apabila daranya (hymen) tidak terkoyak.
(d) Persetubuhan yang dilakukan melalui Watie Syubhah.
(e) Apabila penzina lelaki berkahwin dengan penzina perempuan tersebut.
(f) Keatas perempuan, apabila perbuatan zina berlaku dengan cara kekerasan, paksaan, sihir, pukau, minuman atau digunakan ubat-ubatan.
(g) Pesalah belum capai tahap Mukallaf dan kesalahan itu dilakukan tanpa kesedaran, kerelaannya dan dengan shubhah.
(h) Persetubuhan yang dikatakan zina itu gagal membuktikan berlakunya kemasukan (penetration) kepada tahap takak zakar kedalam faraj perempuan.
18 - ZINA MAHRAM
(1) Zina Mahram adalah kesalahan kerana melakukan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang mengikut syarak diharamkan perkahwinan.
(2) Sesiapa yang melakukan Zina Mahram jika dibuktikan zina, hendaklah dihukum dengan hukuman Hudud dibawah kesalahan zina. Jika pembuktian zina mengikut kehendak pembuktian zina tidak dapat diadakan tetapi persetubuhan boleh dibuktikan dengan apa-apa keterangan samada secara sains atau sebaliknya, pesalah hendaklah dihukum dengan hukuman Takzir.
BAHAGIAN V
SARIQAH
Firman Allah swt :
Maksudnya :
" Dan pencuri lelaki dan pencuri perempuan maka (hukumannya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang telah mereka usahakan, juga sebagai pencegah dari Allah "
( Al-Quran, Al-Karim, Surah Al-Maidah, 5:38 )
19 - SARIQAH
Sariqah adalah perbuatan mengambil atau memindah dengan cara curang sesuatu harta alih daripada jagaan atau milikan pemilik tanpa pengetahuan dengan niat hendak menghilangkan hak milikan keatas harta itu daripada jagaan atau milikan pemiliknya.
20 - HUKUMAN KERANA MELAKUKAN SARIQAH
Sesiapa yang melakukan Sariqah, melainkan dalam keadaan yang nyata dalam seksyen 21, hendaklah dihukum dengan hukuman Hudud seerti berikut :-
(a) Bagi kesalahan pertama dengan dipotongkan tangan kanannya.
(b) Bagi kesalahan yang kedua dengan dipotongkan kaki kirinya.
(c) Bagi kesalahan-kesalahan yang ketiga dan berikutnya dengan dipenjara selama tempoh yang munasabah diatas pertimbangan dan budi bicara Mahkamah untuk menjadikan pesalah itu sedar dan menyesal.
21 - BILAKAH HUKUMAN HUDUD SARIQAH TIDAK BOLEH DIKENAKAN
Hukuman Hudud Sariqah tidak boleh dikenakan dalam keadaan yang sepeti berikut :-
(a) Apabila nilai harta yang dicuri itu kurang daripada nisab.
(b) Apabila kesalahan itu tidak dapat dibuktikan dengan keterangan yang dikhendaki dibawah peruntukan-peruntukan Bahagian IX
(c) Apabila pesalah itu bukan Mukallaf.
(d) Apabila pemilik harta yang dicuri itu gagal meletakkan harta alihnya ditempat yang sesuai bagi keselamatannya atau pemilik mendedahkan kepada kecurian dalam keadaan tertentu.
(e) Apabila pesalah itu belum lagi mendapat milik yang sepenuhnya terhadap harta yang dicuri itu, walaupun tuan punya tidak lagi mempunyai jagaan dan milikan keatas harta tersebut.
(f) Apabila harta yang dicuri adalah daripada jenis harta yang tidak ada nilai dan boleh terdapat dengan banyaknya dimerata-rata tempat ataupun daripada jenis harta yang mudah musnah.
(g) Apabila harta yang dicuri tidak mempunyai apa-apa nilai mengikut hukum Syarak seperti minuman yang memabukkan atau alat-alat melekakan.
(h) Apabila kesalahan mencuri itu dilakukan oleh pemberi hutang keatas harta orang yang berhutang dengannya yang enggan membayar hutang itu :
Dengan syarat bahawa nilai harta yang dicuri itu tidak melebihi jumlah hutang atau nilai harta yang dicuri itu melebihi jumlah hutang tetapi tidak melebhi nisab.
(i) Apabila kesalahan itu dilakukan dalam keadaan yang amat mendesak, seperti perang, kelaparan, penyakit dan bencana alam.
(j) Apabila kesalahan itu berlaku dalam keluarga seperti isteri mencuri daripada suaminya dan sebaliknya atau anak mencuri daripada bapanya dan sebaliknya.
(k) Apabila kesalahan itu dilakukan oleh sekumpulan orang yang mana bahagian yang diperolehi oleh tiap-tiap seseorang daripada pesalah itu setelah dibahagikan harta yang dicuri atau hasilnya sesama mereka adalah kurang daripada nisab.
(l) Apabila pesalah itu mengembalikan harta yang dicuri itu sebelum hukuman Hudud dilaksanakan.
(m) Apabila tuan punya harta yang dicuri itu tidak mengaku bahawa hartanya telah dicuri, walaupun pesalah itu telah membuat ikrar mencurinya.
(n) Apabila pesalah itu membuat bantahan yang boleh diterima oleh hukum Syarak terhadap saksi-saksi.
(o) Apabila harta yang dicuri itu atau keadaan dalam mana kesalahan itu dilakukan mengikut hukum Syarak tidak ada hukuman Hudud yang boleh dikenakan keatasnya.
(p) Apabila kesalahan Sariqah disabitkan atas iqrar pesalah, tetapi dia menarik balik iqrar sebelum perlaksanaan hukum Hudud.
(q) Apabila pesalah memiliki harta yang dicuri secara sah selepas mencuri dan sebelum keputusan atas kesalahan Sariqah dibuat.
(r) Apabila pesalah itu diizinkan masuk dalam tempat simpanan.
(s) Apabila perlaksanaan hukuman potong tangan membahayakan atau mengancam nyawa penjenayah, atau ;
(t) Apabila tangan kiri pesalah tidak berfungsi, kudung atau terpotong.
BAHAGIAN VI
HIRABAH
Firman Allah swt :
Maksudnya :
"Hanya sanya balasan orang-orang yang memerangi (Hirabah) Allah dan Rasulnya serta melakukan bencana kerosakan dimuka bumi, ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka dengan bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka mengganggu ketenteraman awam). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan didunia bagi mereka, dan diakhirat kelak mereka beroleh azab yang amat besar"
( Al-Quran Al-Karim, Surah Al-Maidah, 5: 33 )
22 - HIRABAH
Hirabah adalah perbuatan merampas harta orang lain dengan kekerasan atau dengan ugutan hendak menggunakan kekerasan yang dilakukan oleh seseorang atau sekumpulan orang-orang yang bersenjatakan apa-apa senjata atau alat-alat yang boleh digunakan sebagai senjta.
23 - HUKUMAN HIRABAH
Sesiapa yang melakukan Hirabah hendaklah dihukum dengan hukuman Hudud seperti berikut :-
(a) Dihukum bunuh dan selepas itu disalib, jika mangsa kesalahan itu dibunuh dan hartanya atau harta orang lain diambil ;
(b) Dihukum bunuh sahaja, jika mangsa kesalahan itu dibunuh dengan tidak ada apa-apa harta yang diambil ;
(c) Dihukum potong tangan kanan dan kaki kirinya, jika harta sahaja yang diambil dengan tidak menyebabkan kematian mangsa atau mencederakannya, tetapi sekiranya harta diambil dan kecederaan dilakukan keatas mangsanya, maka Diyat atau Irsy hendaklah dibayar sebagai tambahan kepada hukuman potong tangan dan kaki yang mana jumlah Diyat atau Irsy itu hendaklah tertakluk kepada apa yang munasabah memandangkan kepada jenis dan keadaan kecedraan yang dilakukan itu sebagaimana yang ditentukan dalam Jadual II, III dan IV.
(d) Dipenjarakan selama tempoh yang difikirkan patut oleh Mahkamah yang akan membawa pesalah itu kepada kesedaran dan kekesalan, sekiranya ugutan sahaja digunakan dengan tidak mengambil apa-apa harta atau tidak menyebabkan apa-apa kecederaan.
24 - BILAKAH HUKUMAN HUDUD HIRABAH BOLEH AYAU TIDAK BOLEH DIKENAKAN
(1) Kesalahan Hirabah akan dikenakan hukuman Hudud sekiranya mengandungi ciri-ciri tersebut :-
(a) Pesalah seorang Mukallaf dan dilakukan dengan niat, tiada paksaan, tidak terdesak dan tidak berhajat.
(b) Apabila berlaku diluar kawasan kediaman mangsa jenayah.
(c) Apabila ia berlaku didalam kawasan kediaman mangsa dan mangsa sukar mendapat bantuan pertolongan.
(2) Hukuman Hudud Hirabah tidak boleh dikenakan dalam keadaan berikut :-
(a) Apabila pesalah meninggalkan perbuatan jenayah Hirabah atau Sariqah sebelum proses undang-undang berjalan keatas perbuatannya dan mangsa jenayah belum mempuyai pengetahuan dengan jelas keatas perbuatan pesalah dengan syarat pesalah mengisytiharkan taubatnya dihadapan Hakim atau Pendakwa Syarie dan menyerah balik harta yang dirampas kepada pihak berkuasa atau pemilik yang daripadanya harta itu dirompak.
(b) Apabila pesalah menyerah diri dengan sukarela sebelum proses undang-undang mula digerakkan.
BAHAGIAN VII
IRTIDAD atau RIDDAH
Firman Allah swt :
Maksudnya :
" Dan sesiapa antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari agamanya (Islam), lalu ia mati sedang dia tetap kafir, maka orang yang demikian rosak binasalah amal usahanya (yang baik) didunia dan akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal didalamnya "
( Al-Quran, Al-Karim, Surah Al-Baqarah, 2:217 )
25 - IRTIDAD atau RIDDAH
(1) Irtidad ialah apa-apa perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebutkan oleh seorang Islam yang Mukallaf yang mana perbuatan atau perkataan itu mengikut Hukum Syarak adalah merosakkan atau berlawanan dengan Aqidah agama Islam.
- Dengan syarat bahawa perbuatan itu dilakukan atau perkataan itu disebutkan dengan niat, dengan sukarela dan dengan pengetahuan dan tanpa apa-apa paksaan oleh sesiapa atau oleh keadaan.
(2) Perbuatan-perbuatan atau perkataan-perkataan yang menjejaskan Aqidah itu ialah perbuatan-perbuatan atau perkara-perkara mengenai atau bersabit dengan perkara-perkara asas yang dianggap mesti diketahui dan dipercayai oleh tiap-tiap orang Islam sebagai pengetahuan am sebagai seorang Islam seperti perkara-perkara mengenai Rukun Islam, Rukun Iman dan lain-lain perkara yang secara umumnya diketahui oleh orang Islam.
26 - HUKUM BAGI KESALAHAN IRTIDAD atau RIDDAH
(1) Sesiapa yang disabit melakukan kesalahan Irtidad hendaklah sebelum dijatuhkan hukuman keatasnya dikehendaki oleh Mahkamah supaya bertaubat dalam tempoh yang tidak kurang daripada tiga hari setelah dia didapati bersalah.
(2) Sekiranya dia enggan bertaubat dan masih lagi berterusan dengan pendiriannya terhadap perbuatan yang dilakukan atau perkataan yang disebutkan itu, maka Mahkamah hendaklah mengistiharkan hukuman bunuh keatasnya dan memerintahkan supaya hartanya samada diperolehi sebelum atau selepas dia melakukan kesalahan itu dirampas dan dipegang oleh Baitulmal.
- Dengan syarat bahawa sekiranya dia bertaubat samada sebelum dijatuhkan hukuman bunuh keatasnya atau selepas dijatuhkan hukuman itu keatasnya tetapi sebelum dijalankan hukuman itu maka hendaklah dia terlepas daripada hukuman bunuh, dan hartanya yang dihukum rampas itu hendaklah dipulangkan kepadanya.
- Dengan syarat selanjutnya bahawa dia hendaklah dipenjarakan selama tempoh yang tidak melebihi lima tahun.
BAHAGIAN VIII
QISAS
Firman Allah swt :
Maksudnya :
" Wahai orang-orang yang beriman ! Diwajibkan keatas kamu menjalankan Qisas (balasan yang seimbang / sama) dalam perkara orang yang mati dibunuh, iaitu orang merdeka dengan orang merdeka, hamba dengan hamba dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan dari saudaranya (pihak yang terbunuh) maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa), dan (pembunuh pula) hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Itu adalah satu keringanan dari Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa melampaui batas (untuk balas dendam) maka baginya azab siksa yang amat pedih "
( Al-Quran, Al-Karim, Surah Al-Baqarah, 2:178 )
27 - QISAS
Qisas dan Diyat kedua-dua hendaklah dikenakan keatas kesalahan-kesalahan menyebabkan kematian manusia dan menyebabkan kecederaan badan.
28 - JENIS KESALAHAN MENYEBABKAN KEMATIAN
(a) Qatlul-Al-'Amd ( Menyebabkan kematian dengan sengaja dan dengan niat membunuh )
(b) Qatlul-Syibhu-Al-'Amd ( Menyebabkan kematian menyerupai pembunuhan dengan sengaja )
(c) Qatlul-Al-Khata' ( Menyebabkan kematian yang tidak disengajakan )
29 - QATLUL-AL-'AMD
(1) Sesiapa menyebabkan kematian seseorang dengan melakukan suatu perbuatan dengan niat untuk menyebabkan kematian, atau kecederaan badan yang pada kebiasaannya memadai atau mungkin akan menyebabkan kematian, atau melakukan suatu perbuatan dengan pengetahuan bahawa perbuatannya itu adalah sebegitu sekali berbahaya hingga mungkin sekali menyebabkan kematian adalah melakukan Qatlul-Al-'Amd.
(2) Sesiapa melakukan suatu perbuatan dengan niat atau dengan pengetahuan bahawa perbuatannya mungkin akan menyebabkan kematian, adalah juga telah menyebabkan kematian mana-mana orang yang kematiannya dia tidak berniat untuk meyebabkan atau tidak tahu mungkin akan menyebabkan, adalah melakukan Qatlul-Al-'Amd.
30 - HUKUMAN BAGI KESALAHAN KESALAHAN QATLUL-AL-'AMD
(1) Kecuali seperti yang diperuntukan dibawah subseksyen (2), sesiapa yang melakukan Qatlul-Al-'Amd. hendaklah dihukum bunuh sebagai hukuman Qisas.
(2) Hukuman bunuh dibawah subseksyen (1) tidak akan dikenakan apabila :-
(a) Kesalahan itu tidak dibuktikan dengan keterangan yang dikehendaki dibawah bahagian IX ; atau
(b) Walaupun ada bukti itu, tetapi wali telah meremit hukuman Qisas itu.
31 - PENGAMPUNAN
Sesorang wali itu boleh pada bila-bila masa sebelum hukuman bunuh sebagai hukuman Qisas dijalankan, mengampunkan pesalah itu samada dengan membayar Diyat atau tidak, dan sekiranya pengampunan itu diberi dengan bayaran Diyat, maka Diyat itu hendaklah dibayar dengan sekali gus sahaja atau dengan beransur-ansur dalam tempoh tiga tahun mulai daripada tarikh keputusan yang terakhir dan sekiranya dalam tempoh itu pesalah itu mati maka Diyat itu hendaklah dibayar daripada pusaka pesalah itu. Jika pesalah itu tiada pusaka, maka Diyat akan ditanggung oleh Baitulmal.
32 - GANTI KEPADA HUKUMAN QISAS
Apabila hukuman bunuh sebagai hukuman Qisas tidak boleh dikenakan, maka pesalah itu bolehlah dikenakan hukuman Takzir dengan dipenjarakan seumur hidup atau tertakluk kepada hal keadaan kes, seberapa lama yang difikirkan oleh Mahkamah akan membawa pesalah itu kepada kesedaran dan penyesalan.