KENYATAAN MEDIA BIRO PENDIDIKAN BARISAN ALTERNATIF
MENGENAI SEMINAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Biro Pendidikan Barisan Alternatif (BA) akan menganjurkan satu Seminar
Pendidikan Kebangsaan 2001 selama dua hari pada pertengahan bulan Julai
tahun 2001 ini. Seminar tersebut telah dirancangkan sejak awal tahun ini
lagi.

Tujuan utama Seminar  ialah untuk menilai semula sistem pendidikan dari
sudut matlamat, polisi serta pelaksanaan, dan mengkaji isu-isu kritikal
serta masalah-masalah pokok dalam bidang pendidikan,  bagi merumuskan satu
Sistem Pendidikan Alternatif yang baru untuk abad ke-21.

Setelah 43 tahun Malaysia merdeka, masih banyak lagi isu serta masalah 
pendidikan yang masih belum dapat ditangani dengan memuaskan, meskipun
beberapa Laporan Pendidikan dan Akta Pendidikan telah bertukar ganti dan
dipinda. Isu dan masalah yang berbeza melibatkan  peringkat pendidikan yang
berlainan, dari pra-sekolah membawa kepada sekolah sehingga ke universiti.

Antaranya ialah: pendidikan dan perpaduan negara; pendidikan dan pembangunan
ekonomi, sosial serta moral; mutu pendidikan dari segi penuntut, guru,
kurikulum, kelengkapan sekolah dsb.; perbezaan kemudahan pendidikan mengikut
wilayah, kaum serta lapisan masyarakat; hubungan  pendidikan dengan pelbagai
nilai, budaya, sejarah, pemikiran, kepercayaan serta peradaban dalam
masyarakat; soal-soal bahasa Melayu, bahasa ibunda, bahasa Inggeris dll.
dalam sistem pendidikan; dan banyak perkara lagi.

Seminar ini diadakan secara tertutup. Seramai kira-kira 120 orang akan
diundang untuk menyertainya. Mereka terdiri daripada para pemikir, pendidik,
ahli politik, aktivis masyarakat serta individu yang berminat atau bergerak
cergas dalam bidang pendidikan. Kira-kira 20 buah kertas kerja akan
disediakan oleh pakar-pakar pendidikan, guru, pelajar, anggota masyarakat 
serta NGO yang diketahui membuat kajian atau menjalankan kegiatan
pendidikan.

Berikutan seminar ini beberapa buah bengkel pula akan diadakan secara
berkala untuk membincangkan dengan lebih mendalam lagi perkara-perkara
penting yang dikemukakan dan mungkin tidak dapat dibincangkan sepenuhnya
dalam seminar itu. Akhir sekali, sebagai kemuncak, satu Kongres Pendidikan
Kebangsaan akan diselenggarakan pada awal tahun 2003. Kongres ini akan
diadakan secara terbuka.

Dr Syed Husin Ali
Pengerusi
Biro Pendidikan
Barisan Alternatif (BA)

19hb April 2001
Biro-biro
Barisan
Alternatif
Biro
Pendidikan