Biro-biro
Barisan
Alternatif
Biro
Media
dan
Penerangan
Tindakan Polis Berpilih-pilih Berasaskan Berita Akhbar dan
Laporan Polis Tambah Mengaibkan Lagi Amalan Demokrasi di Malaysia

Penangkapan Ezam Mohd. Noor, Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional,
sendirinya sudah cukup untuk sesiapa sahaja di seluruh dunia untuk menuduh
demokrasi yang di amalkan di Malaysia sebagai demokrasi palsu. Tidak
payahlah Dr Mahathir Mohamad bertegang leher membuat tuduhan terhadap media
antarabangsa, kerana seluruh dunia tahu siapa yang sebenarnya memutarbelit
berita dan memperlat media.

Apa yang lebih menjelekkan ialah sikap berpilih-pilih yang dilakukan oleh
pihak berkuasa melalui pasukan polisnya yang sudah dikenali ganas dan tidak
berperikemnusiaan itu. Rumah Ezam telah digeledah kira-kira dua jam setelah
Pemuda UMNO mengemukakan laporan polis menuduh beliau membuat kenyataan
bahawa beliau akan menganjurkan tunjuk perasaan setiap hari demi menjatuhkan
kerajaan – sedangkan Ezam sudah menafikan kenyataan tersebut.

Dalam simpanan polis sekarang terdapat puluhan laporan tentang salah laku
dan rasuah para menteri kabinet – sebahagian besarnya telah dikemuakakan
oleh Ezam sendiri. Namun setelah berbulan-bulan berlalu tidak ada sebarang
tindakan yang diambil oleh pihak polis. Sebaliknya, Ezam sendiri telah
ditahan selepas beberapa jam sahaja Pemuda UMNO membuat laporannya.

Selain itu, tindakan polis tersebut dilakukan berasaskan laporan sebuah
akhbar arus uatma yang diketahui umum memang telah diperalat oleh
pemerintah. Beberapa bulan lalu akhbar yang sama telah melaporkan ancaman
oleh Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO untuk membakar Dewan Perhimpunan
Cina Selangor. Namun tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap ahli
politik tersebut.

Nyatalah bahawa pihak pemerintah kini sudah menemui satu lagu kegunaan baru
bagi media arus utama negara ini yang memang telah dipegunakan dan
diperalatkannya selama ini. Media tersebut digunakan untuk memutarbelit
berita dan membuat laporan palsu, dan kemudian berdasarkan laporan palsu
tersebut penangkapan polis akan dilakukan. Demikianlah peranan media arus
utama yang baru-baru ini  beria-ia benar didakwa oleh Senator Datuk
Zainuddin Maidin, Setiausaha Parlimen Kementarian Penerangan Malaysia,
sebagai sudah dapat dipulihkan kredibilitinya.

PRM dan BA membantah sekeras-kerasnya penangakapan Saudara Ezam Mohd Noor,
di samping mengecam sekuat-kuatnya penodaan institusi media bebas yang
semakin berleluasa di negara ini. Kini media arus utama dan polis merupakan
rakan kongsi yang erat dalam usaha pihak kerajaan menodai hak asasi rakyat
negara ini.


Rustam A. Sani
Naib Presiden, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan
Pengerusi,  Biro Media dan Penerangan, Barisan Alternatif (BA).