Biro-biro
Barisan
Alternatif
Biro
Perpaduan
Nasional
KENYATAAN MEDIA
BIRO PERPADUAN NASIONAL BARISAN ALTERNATIF (BA)

6 Februari 2001

Siapa Musuh Sebenar?

Biro Perpaduan Barisan Alternatif amat kecewa dengan tindakan beberapa
golongan yang tidak bertanggungjawab dalam beberapa bulan yang lalu yang
dengan sengaja membangkitkan isu-isu perkauman untuk kepentingan politik
sempit mereka.  Perhimpunan Badan Bertindak Melayu (BBM) di Pusat
Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang diadakan pada 4 Februari 2001 adalah
satu lagi bukti tentang arah aliran yang bahaya ini dalam politik tanah
air.

Isu-isu utama yang menggerakkan politik dewasa ini adalah isu-isu yang
berkaitan dengan keadilan sosial -- bukan perkauman.  Isu-isu yang kita
maksudkan adalah isu-isu tentang kepimpinan politik yang autoritarian;
pencerobohan terhadap hak asasi manusia; pencabulan terhadap
prinsip-prinsip demokrasi; jurang perbezaan pendapatan antara golongan
yang berada dan yang kurang berada yang kian melebar; salah pengurusan
ekonomi; tindakan-tindakan kerajaan yang lebih memihak pada
syarikat-syarikat gergasi yang mempunyai pertalian dengan elit politik;
rasuah di kalangan elit ekonomi dan politik; penghakisan nilai-nilai
moral di peringkat atasan masyarakat dan sebagainya.

Rakyat jelata lebih sedar akan cabaran-cabaran genting yang menghadapi
negara selepas pemecatan Anwar Ibrahim dari kerajaan dan UMNO pada awal
September 1998.  Itulah sebabnya masyarakat tempatan dan masyarakat
antarabangsa menganggap faktor Anwar sebagai pencetus pada krisis
nasional.  Krisis inilah yang membawa pada situasi di mana sebahagian
besar daripada rakyat kita tidak lagi yakin terhadap kepimpinan Dr.
Mahathir Mohamad.

Dr. Mahathir tidak mahu menerima realiti politik ini.  Beliau cuba
mengalihkan pandangan rakyat dengan menimbulkan beberapa isu-isu
perkauman.  Isu Suqiu merupakan contoh yang paling ketara.  Kini senjata
perkauman Dr. Mahathir sudah mula 'makan tuan'.

Kumpulan-kumpulan yang memperalatkan isu perkauman untuk kepentingan
politik mereka kini mengecam Dr. Mahathir sendiri.  Ucapan beberapa
penceramah di perhimpunan BBM membuktikan bahawa individu-individu
tertentu dari dalam UMNO yang kurang senang dengan kepimpinan Mahathir
sekarang memberanikan diri untuk menyelar tindakan-tindakan politik
Perdana Menteri.  Mereka menggunakan isu-isu kaum dan isu-isu lain untuk
mengkritik Mahathir.

Inilah risiko yang ada pada politik perkauman .  Akhirnya, pemimpin yang
memanipulasikan sentimen kaum pada peringkat awal akan menjadi mangsa
politik perkauman.

Biro Perpaduan BA menasihatkan pengkritik-pengkritik Mahathir dalam UMNO
memfokuskan pada persoalan-persoalan utama yang menghadapi masyarakat
Melayu dan semua kaum di negara kita dewasa ini.  Jangan bermain dengan
api perkauman.  Orang Melayu dan bukan Melayu yang menuntut keadilan
tahu apa yang sedang berlaku di negara kita.  Masalah pokok yang
menggugat keutuhan bangsa adalah penyelewengan daripada prinsip-prinsip
pemerintahan adil.  Penyalahgunaan kuasa adalah cabaran besar yang di
hadapi semua kaum.  Kesan-kesan negatif daripada penafian kebebasan dan
hak rakyat dirasai oleh semua kaum. Kemerosotan integriti sistem
kehakiman, pasukan polis dan media awam adalah bebanan yang ditanggung
oleh rakyat Malaysia keseluruhannya.  Dengan lain perkataan musuh Melayu
bukan Cina dan musuh Cina bukan Melayu. Musuh Melayu, Cina, India,
Kadazan dan Dayak adalah ketidakadilan.  Dan sahabat setia semua kaum
adalah perjuangan untuk mencapai perubahan berdasarkan lunas-lunas
keadilan.


Dr. Chandra Muzaffar
Pengerusi
Biro Perpaduan Barisan Alternatif