Jangan Dolak-Dalih Muzakarah - Hadi Mesti TarikBalik Amanatnya Bercanggah Dengan Islam Kuala Lumpur - Muzakarah `Amanat Hadi’ perlu diteruskan untuk menerangkan kepada Haji Hadi sendiri mengenai kesalahan fatwa beliau itu yang ternyata bercanggah dan memecahbelahkan masyarakat Islam di negara ini. Muzakarrah ini lebih menjuruskan kepada kesedaran dan meminta Haji Hadi supaya akur dengan tuntutan Islam serta keputusan dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan 1986 memintanya menarik balik amanatnya itu. Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Paduka Dr Hamid Othman berkata muzakarah berkenaan bukanlah bertujuan untuk merombak keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan sebaliknya hanya sebagai medan penerangan aspek-aspek yang tidak betul yang boleh memudaratkan umat. Beliau tidak nampak mengapa Haji Hadi dan Pas begitu keberatan meneruskan muzakarrah berkenaan dengan menetapkan pelbagai perkara kecuali jika mereka mempunyai muslihat tersendiri. Malahan, muzakarrah ini juga sudah diajukan kepada mereka sejak 1986 lagi. Katanya, tindakan Haji Hadi dan Pas berdolak-dalik sudah diduga seperti yang dilakukan dalam Pertemuan Perpaduan Melayu UMNO-Pas. Ia jelas membuktikan mereka tidak dapat menerima kenyataan kerana agenda politik. “Kami bertegas muzakarah perlu diadakan jika kita mahu menerangkan perkara-perkara yang mengelirukan akidah dan kepercayaan pegangan umat Islam di negara ini ekoran `fatwa’ Haji Hadi itu. “Ia adalah cara yang dapat menjelaskan kesalahan dan kekeliruan beliau (Haji Hadi) dan bukannya bertujuan untuk kepentingan politik tetapi untuk kemaslahatan ummah. Haji Hadi perlu menarik balik amanatnya dan menerangkan kepada masyarakat apa yang dicakapkannya itu tidak betul sejajar tuntutan Islam,” katanya. Dr Hamid juga berkata muzakarah yang bakal diadakan nanti sebaik-baiknya tidak melibatkan atau disertai oleh UMNO atau Pas, sebaliknya hanya melibatkan para ilmuan agama untuk menentukannya. Mengenai keengganan Pas yang tetap mahu mempertahankan Amanat Haji Hadi, beliau berkata, Pas sepatutnya akur dengan keputusan yang telah ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1986. “Keputusan itu muktamad dan tetap. Baru-baru ini pun Majlis Raja-raja Melayu juga telah menegaskan, melarang apa-apa juga kenyataan yang mengelirukan yang berhubungkait dengan penggunaan nama Islam. “Pas kena patuh dengan fatwa yang dikeluarkan iaitu guna nama Islam boleh tetapi dilarang sama sekali menggunakannya bagi tujuan menimbulkan sebarang kekeliruan seperti mengkafirkan orang Islam lain atau tidak boleh janjikan syurga, neraka berasaskan parti. “Kalau didapati ianya tidak dipatuhi maka sesuatu tindakan boleh diambil mengikut undang-undang yang sedia ada. Mereka boleh dikenakan tindakan di mahkamah syariah ataupun ‘penal code’ jika didapati mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan”, katanya lagi. Mengenai usaha ke arah perpaduan Melayu, Dr Hamid sememangnya sudah menjangka bahawa Pas akan terus mengamalkan sikap dolak dalihnya. Sikap tidak ikhlas itu terserlah apabila pihak Pas awal-awal lagi sudah menetapkan tiga syarat sebelum bersetuju mengadakan pertemuan dengan UMNO. “Pas tidak sepatutnya menuntut UMNO untuk memenuhi syarat yang ditetapkan itu kerana pertemuan yang akan diadakan itu adalah untuk kepentingan Melayu dan umat Islam. UMNO hanya mahu menjadikan pertemuan itu sebagai satu landasan bersama bagi mempertahankan empat perkara yang terkandung dalam perlembagaan. “Syarat yang ditetapkan itu seperti penerbitan Harakah, wang royalti adalah yang berhubungan dengan kerajaan tetapi pertemuan dengan UMNO adalah untuk kepentingan bersama iaitu mempertahankan kepentingan orang Melayu keseluruhannya. Tidak ada siapa pun yang rugi dalam hal ini”, katanya. |
![]() |
![]() |
hamid o - mahathir's favourite ulamak |