ong
ka
ting
a member of
the national
idiots
team
MCA Teladani "Semangat Seputih" Dan Jamin Ikhlas Bantu UMNO
  
   Kuala Lumpur – MCA memberi jaminan kepada UMNO bahawa ahli dan pemimpin parti itu akan bekerja kuat dan sedaya upaya bagi menjaminkan kemenangan UMNO di semua kerusi pilihanraya ditandingi oleh UMNO.

Malah, MCA juga mahu menjemput pemimpin UMNO bersama dan dalam merasmikan majlis mahupun mesyuarat yang dianjurkan parti berkenaan seperti dilakukan oleh UMNO Bahagian Seputeh.

Naib Presidennya, Datuk Seri Ong Ka Ting berkata, ini adalah semangat jati Barisan Nasional yang akan dipelihara oleh MCA seperti perikatan keramat yang dilakukan dua parti ini (UMNO dan MCA) pada 1952. 

Katanya, sejarah ini nampaknya berulang lagi dan pastinya lebih kukuh menerusi `Semangat Seputeh” di mana kali pertama seorang pemimpin MCA diberi penghormatan merasmikan mesyuarat UMNO. Ia sudah tentu amat besar ertinya kepada MCA dan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum sebagai bukti pertalian kukuh keluarga BN.

“Ikatan UMNO dan MCA berusia hampir 50 tahun dan ia sudah banyak teruji tetapi di bawah semangat setiakawan dalam BN kita terus utuh biarpun cuba dipecah-belahkan oleh pembangkang.

“Jika kita semua bekerja kuat dengan semua komponen bersama di bawah satu perjuangan, kita pasti akan menang pilihanraya akan datang dengan cemerlang,” katanya semasa merasmikan mesyuarat Pemuda dan Wanita UMNO Bahagian Seputeh.

Menurutnya, langkah UMNO Seputeh bukan saja telah mencipta sejarah bahkan telah juga menunjukkan keikhlasan dan kesungguhan UMNO untuk menghormati kaum bukan Melayu serta benar-benar hendak memupuk perpaduan dan mempereratkan lagi hubungan antara parti komponen BN khasnya dan hubungan antara kaum amnya.

Beliau berkata, sebagai seorang Naib Presiden MCA dan juga Menteri Kabinet BN, beliau sentiasa berhasrat untuk melihat UMNO kekal dalam keadaan stabil dan kukuh. 

“Saya percaya dan yakin bahawa apabila UMNO stabil dan kukuh, maka BN akan jadi stabil dan kukuh. Oleh kerana BN mempunyai pengalaman yang luas dalam usaha memupuk perpaduan dan keharmonian kaum dan seterusnya menjadikan masyarakat kepelbagaian kaum ini sebagai satu aset kepada negara.

“Adalah menjadi harapan MCA supaya UMNO berpegang teguh kepada prinsip bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang bermasyarakat majmuk di mana pelbagai kaum masing-masing mempunyai kebebasan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan yang telah dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin semua kaum semasa negara kita mencapai kemerdekaan,” katanya.

Datuk Seri Ong berkata, pembangkang sedang menunggu peluang untuk mengeksploitasikan apa saja isu. Mereka berharap UMNO, MCA, MIC dan parti-parti komponen lain supaya berpecah-belah dalam parti sendiri dan juga di antara parti-parti komponen BN. 

Katanya: “Mereka juga berharap dan manganggap bahawa semua kawasan bandar, terutamanya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah kubu kuat mereka. Saya rasa kita seharusnya mengejutkan mereka daripada mimpi dengan memastikan rakyat di bandar benar-benar tahu tentang helah dan taktik puter belit mereka. 

“Di samping itu, pemimpin-pemimpin BN semua peringkat perlu benar-benar berkhidmat dan berdamping rapat dengan rakyat untuk menjamin agar sokongan rakyat terhadap BN akan menjadi lebih kuat,” katanya.

Datuk Seri Ong mendedahkan bahawa pakatan pembangkang adalah pakatan tidak jujur dan tidak ikhlas kerana suka berjanji kepada orang Melayu perkara yang lain dan bertentangan dengan apa yang mereka janji kepada masyarakat bukan Melayu. 

Katanya, apabila PAS cuba mengamalkan dasar-dasar yang sempit terhadap masyrakat bukan Islam, DAP cuba mambantah dan memprotes dengan kuatnya di media massa terutamanya akhbar Cina. 

Bagaimanapun katanya, apabila timbulnya sesuatu isu yang sensitif terhadap masyarakat bukan Melayu, DAP membawa pemimpin PAS dan pemimpin Melayu dari Parti Keadilan untuk bersandiwara dan menunjukkan bahawa PAS dan keadilan adalah lebih liberal daripada pemimpin UMNO. 

Menurutnya, barisan tiruan ini “cakap tak serupa bikin”. Mereka boleh bercakap secara berlain-lain di hadapan kaum-kaum yang berlainan apabila timbulnya isu yang tertentu. Kita perlu dedahkan muka sebenar mereka kepada rakyat secara berkesan.

Beliau berkata, BN jauh lebih konsisten dari segi pendirian terhadap isu dan kita bercakap dengan faktar yang sama apabila menghadapi kaum-kaum yang berlainan bila-bila masa. 

“BN berbincang dan berbahas jika perlu dalam mesyuarat-mesyuarat tertutup sehingga mencapai keputusan yang sesuai dan adil untuk semua. Sikap kesederhanaan dan toleransi pemimpin-pemimpin Parti Komponen BN memang adalah kunci kepada keharmonian masyarakat dan pembangunan negara.

“Untuk mempereratkan lagi hubungan parti-parti komponen BN dan juga hubungan antara kaum, saya berpendapat adalah lebih bermakna dan berkesan jika pemimpin UMNO selain daripada memperjuangkan nasib dan berkhidmat untuk masyarakat Melayu juga memberi perhatian kepada masalah yang dihadapi oleh masyarakat bukan Melayu dan seterusnya membantu mereka untuk mengatasi masalah masalah yang sesuai untuk dibantu oleh UMNO. 

“Begitu juga pemimpin MCA sebaliknya memberi perhatian kepada masalah yang dihadapi oleh masyarakat Melayu dan seterusnya membantu untuk menyelesaikannya,” katanya.

Menurutnya, betapa baiknya pada masa akan datang, apabila timbulnya sesuatu isu atau masalah di sesuatu komuniti, semua pemimpin BN yang berlainan bangsa akan membantu komuniti itu sebagai satu pasukan BN.

“Dengan sikap dan semangat sedemikian, tidak wujud lagi apa-apa ketegangan antara parti-parti komponen yang masing-masing mewakili sesuatu kaum nanti. 

"Ini akan membolehkan Parti BN menumpu perhatian untuk membangun negara dan membela nasib rakyat berbilang kaum sekaligus dan seterus melindungkan negara daripada apa saja bentuk ancaman dari luar,” ujar beliau.