umno
losers
Ketua Wanita Umno Sabah Kalah


KOTA KINABALU, Ahad 15 April – Ketua Pergerakan Wanita Umno Sabah, Dayang Mahani Pengiran Ahmad Rafie gagal dalam percubaannya untuk menduduki kerusi ketua Umno Bahagian Sipitang apabila beliau tewas di tangan penyandang jawatan, Sapawi Ahmad.

Dayang Mahani, kini ahli Dewan Negara, memperolehi 235 undi manakala Sapawi pula 284 undi. Sapawi yang juga timbalan menteri negeri Sabah, menang dengan majoriti 49 undi.

Sebelum dilantik sebagai senator, Dayang Mahani adalah bekas menteri kabinet kerajaan negeri Sabah.
idiots win
-
idiots lose
TIMBALAN MB SELANGOR TEWASKAN ADUN BERANANG


Oleh Wakil Khas AM

BANGI, Ahad 15 April – Timbalan Menteri Besar Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad dan seluruh pasukannya berjaya menyapu bersih jawatan-jawatan utama pada pemilihan Umno Bahagian Hulu Langat yang baru sahaja selesai malam ini.

Dr Zainal yang diramal akan tersingkir pada pemilihan kali ini dalam satu percubaan nekad untuk “mengulingkannya” di peringkat bahagian menewaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Beranang, Ahmad Kuris Mohd.Noor dengan kelebihan 103 undi. Dr Zainal memperolehi 246 undi manakala Kuris sekadar 143 undi.

Regu Kuris, Datuk Badrul Hisham Abdul Aziz yang juga ahli Parlimen Hulu Langat turut tewas di tangan orang Dr Zainal. Badrul mendapat 130 undi manakala lawannya, Basri Kasim yang merupakan setiausaha bahagian mendapat 180 undi. Seorang lagi calon, Datuk Said Mohamad sekadar mendapat 80 undi.

Kekalahan Badrul menjadikannya sebagai ahli Parlimen yang kedua tewas dalam pertandingan jawatan di peringkat bahagian selepas ahli Parlimen Wangsa Maju, Datuk Zulhasnan Rafique tewas di tangan Datuk Astaman Aziz untuk kerusi ketua Umno Bahagian Wangsa Maju.

Bagi jawatan naib ketua pula, Markiman Korbin berjaya menewaskan seorang lagi calon dari pasukan Kuris, iaitu Othman Mohtar dengan kelebihan 94 undi. Untuk jawatan ketua Pemuda pula, penyandang jawatan, Ismail Sani tewas di tangan muka baru, Johan Abdul Aziz dengan majoriti 50 undi. Johan memperolehi 155 undi manakala Ismail 105 undi sahaja.

Untuk jawatan ketua Wanita pula, Hasanah Saadin memperolehi 132 undi untuk menewaskan Dr Rosnah Shamsuddin yang mendapat 104 undi.

Jumaat lalu, Badrul ketika ditemui selepas majlis pertemuan antara perwakilan Hulu Langat dan Gombak dengan Presiden Umno, Datuk Sri Dr Mahathir Mohamad, berkata pasukan mereka tidak akan berkompromi lagi dalam soal pertandingan kali ini.

Malah beliau dipetik sebagai berkata; “kompromi boleh tapi merekalah (pasukan Dr Zainal) kena turun bagi laluan pada kita (pasukan Kuris).” Manakala Kuris pula dipetik sebagai berkata; “Nak kompromi apa lagi…?”

Dengan kekalahan itu juga para pemerhati menyifatkan politik Kuris dan Badrul di Hulu Langat berada di hujung senja. Ini kerana Dr Zainal yang telah melalui pengalaman paling getir dalam sejarah politiknya malam ini akan menggunakan segala pengaruh serta kekuatan politik yang beliau miliki untuk memastikan kedua-dua tokoh muda tersebut tersingkir dari kerusi ahli Yang Berhormat pada pilihan raya akan datang.

Adalah sukar untuk diramalkan ke manakah hala tuju politik kedua-dua tokoh muda dari Hulu Langat ini pada masa akan datang kerana mereka telah mengambil risiko yang paling besar dengan “meredah” seorang yang bertaraf timbalan Menteri Besar.

Badrul yang merupakan bekas penolong pengarang berita kumpulan akhbar Utusan Melayu juga adalah bekas anak murid Dr Zainal ketika belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dahulu. Ini adalah penggal kedua beliau terpilih sebagai ahli Parlimen Hulu Langat selepas menang buat pertama kali pada tahun 1995. Di peringkat bahagian pula, beliau adalah naib ketua Umno bahagian sebelum bertanding jawatan timbalan ketua malam ini.

Kuris pula sebelum ini, pernah disebut-sebut sebagai salah seorang calon Menteri Besar Selangor selepas Datuk Abu Hassan Omar meletakkan jawatan. Beliau dikatakan dipilih secara pribadi oleh Abu Hassan untuk bertanding di DUN Beranang pada pilihan raya umum 1999.
: MEGAT JUNID TEWAS, RAMLI NGAH TALIB MENANG


Oleh Razak Ali

IPOH, Ahad 15 April – Pertandingan dua heavyweight Umno Perak di bahagian Pasir Salak yang dinanti-nanti malam ini berakhir dengan bekas Menteri Besar, Tan Sri Ramli Ngah Talib berjaya mempertahankan jawatannya sebagai ketua bahagian dengan menewaskan Tan Sri Megat Junid Megat Ayub dengan kelebihan 11 undi sahaja.

Kemenangan ini sudah tentulah satu kelegaan buat Ramli yang terpaksa berhadapan dengan bekas timbalan ketua bahagiannya sendiri apabila beliau dikatakan telah kehilangan taring sejak tidak lagi memegang jawatan pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perak.

Dalam pertandingan yang baru sahaja tamat sebentar tadi, Ramli memperolehi 202 undi manakala Megat Junid yang juga merupakan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mendapat 191 undi.

Adalah menjadi rahsia umum bahawa Megat Junid “berdendam” ke atas Ramli yang disifatkannya sebagai “seorang yang lupa jasa kawan” menerusi bukunya yang berjudul GETEK. Buku tersebut mula dijual sejurus sebelum pertandingan Majlis Tertinggi (MT) Umno, Mei tahun lalu.

Dalam buku itu, Megat Junid mendakwa beliaulah yang bertanggungjawab menaikkan Ramli dalam politik Umno dan menjelang pemilihan bahagian ini, beliau muncul dengan sebuah buku lagi berjudul GAYAT di mana Megat Junid “berkhutbah” bagaimana hendak menjadi ahli Umno yang tulen pula.

Dengan kekalahan ini, bermakna, Megat Junid masih gagal untuk bersaing dengan Ramli dalam politik Umno Perak. Pada pemilihan jawatan MT, Ramli berjaya mempertahankan jawatannya walaupun telah “diturunkan pangkat” dari seorang Menteri Besar ke hanya jawatan timbalan Menteri Pengangkutan sedangkan Megat Junid tewas setelah kehilangan kerusi Parlimen dan jawatan menteri.

Megat Junid juga dikatakan “berdendam” dengan Ramli apabila beliau terpaksa bertukar kerusi Parlimen dengan ketua bahagiannya itu pada saat-saat akhir sebelum pilihan raya umum November 1999.

Sebelum Parlimen dibubarkan, Megat Junid adalah ahli Parlimen Pasir Salak manakala Ramli pula bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri.

Megat Junid dikatakan tidak puas hati kerana Ramli yang ketika itu Menteri Besar telah “memaksanya” bertanding di Parit yang diketahui umum sebagai kubu kuat Pas manakala Ramli sendiri mengambil tempatnya di Pasir Salak. Megat Junid khabarnya tidak dapat memaafkan Ramli di atas kekalahannya di Parit sedangkan Ramli menang di tempat yang sebelum ini “miliknya” di Pasir Salak.

Sementara itu, bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia yang pernah mendapat jolokan “the six million dollar man” dan kemudian telah digantung keahliannya oleh Umno kerana dituduh terlibat dengan percubaan untuk menjatuhkan Ramli di Pasir Salak telah memenangi kerusi timbalan ketua tanpa bertanding.
SEGERA: DATUK AZIZ SHAMSUDDIN TEWAS DI GOPENG



IPOH, Ahad 15 April – Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin tewas enam undi di tangan Mustapha Kamal Mat Nawi untuk kerusi ketua Umno Bahagian Gopeng dalam satu pertandingan sengit malam ini.

Pada tahun 1995, Mustapha menewaskan Aziz yang ketika itu adalah ketua bahagian dan setiausaha politik kepada Perdana Menteri. Bagaimanapun, beliau yang sebelum ini disebut-sebut akan memenangi semula jawatannya itu gagal untuk merebut balik jawatan lamanya.

Aziz mendapat 129 undi manakala Mustapha pula memperolehi 135 undi. Aziz tidak hadir pada persidangan perwakilan yang berlangsung di sini malam ini kerana sedang menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

Dengan kekalahan ini, beliau menjadi ahli Majlis Tertinggi Umno yang pertama tewas dalam pemilihan bahagian yang sedang berlangsung di seluruh negara sepanjang bulan ini.
Seorang Lagi Exco Pemuda Umno Malaysia Tewas


KUALA LUMPUR, Ahad 15 April – Kepimpinan di peringkat nasional kini bukan lagi menjadi kayu ukuran dan tiket ekspres untuk dipilih sebagai ketua Umno di peringkat bahagian dan akar umbi sepertimana masa-masa lalu ekoran kekalahan mengejut beberapa tokoh muda yang sedang mengukir nama dalam politik Umno kebangsaan.

Trend ini terbukti apabila seorang lagi Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia tewas dalam pemilihan bahagian di Sungai Siput semalam manakala di Kota Bharu, seorang exco Pergerakan Wanita Umno Malaysia menempah nasib yang sama.

Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Dr Shamsul Anwar Sulaiman gagal mempertahankan kerusi ketua Pemuda Sungai Siput apabila tewas kepada seorang pengusaha syarikat bas, Zamri Abdullah. Zamri menang dengan kelebihan 10 undi sahaja.

Ini menjadikan dua orang Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia tewas di peringkat bahagian di mana politik akar umbi menjadi teras aktiviti Umno.

Minggu lalu, seorang lagi Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Wan Khairil Anuar Wan Ahmad tewas pada pertandingan jawatan timbalan ketua bahagian di Kuala Kangsar. Wan Khairil adalah exco Pemuda yang memenangi undi terbanyak pada pemilihan jawatan tersebut tahun lalu. Beliau tidak dapat mempertahankan kerusi ketua Pemuda bahagian yang disandangnya pada tahun 1998 kerana faktor umur.

Bagaimanapun beliau gagal menterjemahkan prestasi cemerlangnya di peringkat nasional ke peringkat bahagian apabila gagal menewaskan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Chandan, Ahmad Jaafar yang bermastautin di daerah Kuala Kangsar. Wan Khairil menetap di Kuala Lumpur dan berulang-alik ke kampungt halamannya apabila ada aktiviti bahagian.

Di Kota Bharu, Exco Pergerakan Wanita Umno Malaysia, Hajah Ilani Ishak gagal mengugat kedudukan bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Fatmi Che Salleh untuk jawatan timbalan ketua bahagian. Fatmi yang merupakan penyandang jawatan memperolehi 140 undi berbanding Ilani, 123 undi.

Hajah Ilani adalah seorang tokoh yang tidak asing lagi dalam politik tempatan apabila beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Kota Bharu atas tiket Semangat 46. Beliau juga bertanding pada pilihan raya umum 1999 tetapi tewas.

Peguam Zaid Ibrahim telahpun memenangi jawatan ketua bahagian selepas beliau berjaya menumpaskan Datuk Ahmad Rastom Ahmad Maher, bekas timbalan menteri besar Kelantan dalam percubaan yang ketiga.

Di Dungun, Terengganu, Ketua Penerangan Umno Bahagian Dungun, Senator Rosli Mat Hassan menang tanpa bertanding jawatan ketua selepas pencabarnya, Awang Jabar mencapai kompromi untuk memegang jawatan timbalan ketua. Jawatan ketua bahagian menjadi rebutan ekoran keputusan bekas exco kerajaan negeri, Datuk Syed Omar Mohamad untuk berundur secara aktif dalam politik.

Di Setiu pula, bekas Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Dr Tengku Mahmud Mansor mengekalkan jawatan ketua bahagian selepas Dr Abdul Wahab Ngah gagal memperolehi jumlah pencalonan yang mencukupi untuk mencabarnya.

Sementara di Pulau Pinang, bahagian yang sering menarik perhatian ramai kerana semua jawatan di semua peringkat tidak pernah dipertandingkan sejak tahun 1989, iaitu Umno Bukit Bendera sekali lagi mencatatkan sejarah apabila ketua bahagiannya, ketua Pemuda dan Wanita menang tanpa bertanding. Begitu juga untuk jawatan-jawatan timbalan ketua dan naib ketua turut menang tidak bertanding.

Bahagian itu diketuai ahli perniagaan terkenal, Datuk Ahmad Ismail yang juga seorang senator.

Di Sungai Petani, Kedah, bekas Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Arzmi Hamid yang juga Setiausaha Politik kepada Tun Daim Zainuddin diumumkan menang tanpa bertanding sebagai ketua Umno Bahagian Merbok setelah tiada calon yang berani mencabarnya.

Beliau kini mengetuai Umno bahagian tersebut untuk penggal kedua selepas memenangi jawatan itu pada tahun 1998. Anak kepada Perdana Menteri, Datuk Mokhzani Mahathir yang menyandang jawatan ketua Pemuda bahagian itu mengambil keputusan tidak akan mempertahankan jawatannya dengan alas an beliau tidak dapat memberi tumpuan kepada bahagian kerana komitmen lain di Kuala Lumpur.

Di Sik pula, seorang peguam muda, Shafaruddin Hanafiah memenangi kerusi ketua Pemuda tanpa bertanding manakala di Mersing, Johor, Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mohd. Youzaimi Yusof menang kerusi ketua Pemuda dengan majoriti tujuh undi.

Di Batu Berendam, Melaka, Naib Ketua Pergerakan Pemuda, Ramli Maarof memenangi jawatan ketua Pemuda Umno bahagian setelah menewaskan pencabarnya Ali Mohamad semalam. Beliau memperolehi 122 undi berbanding 112 oleh lawannya.

Bagaimanapun di Jerantut, Pahang, Ketua Pemuda, Azman Ismail gagal mempertahankan kerusinya apabila beliau ditewaskan oleh Wan Amizan Wan Abdul Razak yang memperolehi 140 undi berbanding 107 oleh Azman.

Di Bahagian Gopeng pula, Ketua Pemudanya, Saidel Khazri Malek berjaya mempertahankan jawatannya Jumaat lalu apabila beliau menewaskan Shamsuddin Ariff. Saidel mendapat 76 undi berbanding Shamsuddin 55 undi. Persaingan sengit itu diumumkan pada jan 4.00 pagi selepas undi terpaksa dikira semula.

Pada satu lagi pertandingan jawatan ketua Pemuda, Ketua Pergerakan Pemuda Bahagian Marang, Terengganu, Tengku Zainuddin Tengku Zahid mengekalkan jawatan itu apabila menewaskan pencabarnya Mohd Sukri Razib pada mesyuarat perwakilannya Jumaat lalu.Beliau memperolehi 172 undi sementara Mohd Shukri 112 undi.
Pertandingan Sengit Umno Bahagian Kota Bharu


KOTA BHARU, Sabtu 14 April – Impian peguam terkenal, Zaid Ibrahim untuk duduk di takhta Umno Bahagian Kota Bharu akhirnya tercapai juga - bukan sekali tetapi selepas percubaan kali ketiga untuk menumbangkan penyandang jawatannya, bekas Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Rastom Ahmad Maher.

Walaupun untuk kali ketiga (mungkin ini adalah satu rekod untuk seseorang bertanding menentang penyandang jawatan) tetapi keputusannya jelas menunjukkan betapa sengitnya mereka beradu.

Dalam persidangan perwakilan bahagian yang berlangsung di dewan Umno Negeri Kelantan, semalam, Zaid cuma berjaya menewaskan Ahmad Rastom dengan kelebihan empat undi sahaja.

Zaid mendapat 134 undi manakala Ahmad Rastom yang telah memegang jawatan ketua bahagian sejak era Barisan Nasional (BN) memerintah Kelantan mendapat 130 undi.

Sementara itu, di Gerik Perak, Timbalan Presiden Umno, Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi ketika merasmikan sidang perwakilan bahagian itu di Dewan Bandaran Gerik mengingatkan para calon bahawa mana-mana calon yang menang tetapi kemudiannya didapati terlibat dengan politik wang akan dibatalkan kemenangannya.

“Walaupun dia dah menang tetapi jika gunakan wang ,tindakan tetap diambil. Yang bersalah tetap bersalah dan mereka tidak boleh terlepas,” tegasnya.

Amaran tersebut dilihat sebagai tepat pada masanya memandangkan pertandingan merebut jawatan-jawatan utama dalam parti itu kini hampir sampai ke kemuncaknya apabila laporan berhubung amalan politik wang berlaku di beberapa bahagian tertentu.

Menurut Abdullah, Lembaga Disiplin Umno sudah menubuhkan empat pasukan khas untuk menimbang surat-surat rayuan dan bantahan yang dikemukakan dari seluruh negara.
Kekosongan Jawatan Ketua Pemuda Umno WP


Oleh Rosli Ismail

KUALA LUMPUR,Rabu 11 April – Seorang lagi clan Sheikh Fadzir disebut-sebut akan dilantik sebagai ketua Pergerakan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan yang baru ekoran kekalahan mengejut ketua sekarang, Fauzi Zahari pada pemilihan bahagian hujung minggu lalu, demikian menurut sumber-sumber parti itu hari ini.

Beliau ialah Haidar Sheikh Fadzir, adik kepada Menteri Kebudayaan dan Pelancongan, Datuk Kadir Sheikh Fadzir. Haidar adalah ketua Pemuda Umno Bahagian Kepong. Di kalangan 11 ketua pemuda bahagian di Wilayah Persekutuan, Haidar dikira antara yang paling senior selepas Fauzi.

Dua lagi orang lama yang berpotensi dilantik ke jawatan itu ialah Ketua Pemuda Umno Bahagian Cheras, Mahadi Shukor dan Lembah Pantai, Ramlan Askolani.

Fauzi yang dihubungi oleh AgendaMalaysia(AM) kelmarin berkata, beliau sendiri berpendapat di kalangan ketua pemuda sekarang, Haidar adalah yang paling layak.

Namun begitu, katanya, keputusan itu terletak pada budicara Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Hishammuddin Tun Hussein.

Fauzi terpaksa mengosongkan jawatannya sebagai ketua Pemuda Wilayah Persekutuan selepas tewas tiga undi di tangan calon muka baru, Datuk Izuddin Ishak dalam pemilihan di bahagiannya Sabtu lalu.

Mahadi sebelum ini memangku jawatan ketua pemuda bahagian dan menang tanpa bertanding jawatan itu dalam sidang perwakilan hujung minggu lalu.

Manakala Ramlan pula selain dari ketua pemuda bahagian, adalah naib Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan sekarang. Namun begitu, beliau sedang berdepan dengan saingan hebat untuk pemilihan jawatan ketua pemuda bahagiannya.

Lain-lain ketua pemuda bahagian seperti Titiwangsa, Bukit Bintang, Bandar Tun Razak, dan Batu  terdiri dari muka baru.

Sumber Pemuda Umno Wilayah Persekutuan memberitahu, setakat ini, ramai di kalangan ahli pergerakan itu di wilayah favour kepada Haidar mengetuai mereka.

Bagaimanapun sumber itu tidak menolak kemungkinan berlaku kejutan sekiranya Abdul Raof Yusof memang dalam pemilihan ketua Pemuda Bukit Bintang. Beliau yang merupakan ketua Umno Cawangan Dataran Merdeka akan berdepan dengan ketua Pemuda Cawangannya sendiri, Suleiman Dahlan minggu depan bagi kerusi ketua Pemuda bahagian.

Sekalipun dikira muka baru jika menang, kemungkinan ini dikatakan wujud kerana hubungannya yang diketahui umum sangat rapat dengan Hishammuddin.

Haidar pula telah mengekalkan jawatannya tanpa bertanding untuk penggal kedua. Jika Haidar dilantik, ini bererti clan Sheikh Fadzir mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam politik Umno.

Keluarga mereka kini memegang jawatan menteri, ahli Majlis Tertinggi Umno, naib ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, ketua bahagian, naib ketua bahagian, ahli jawatankuasa bahagian dan ketua pemuda.

Mereka menguasai tujuh Umno bahagian di Pulau Pinang, Kedah dan Wilayah Persekutuan.

Sejak penubuhan Umno tahun 1946, belum ada yang  dapat memintas rekod jaringan keluarga besar mereka dalam Umno.



Datuk Kadir Sheikh Fadzir ialah menteri kebudayaan, kesenian dan pelancongan, ahli Majlis Tertinggi Umno dan ketua Umno Bahagian Kulim-Bandar Baru.

Adiknya, Datuk  Aziz Sheikh  Fadzir pula ialah naib ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan bendahari Pemuda Umno Bahagian Padang Serai.

Di Bahagian Bukit Mertajam, seorang lagi adiknya, Datuk Musa Sheikh Fadzir menang tanpa bertanding jawatan ketua  bahagian apabila Datuk Dr Ibrahim Saad gagal mendapat lesen mempertahankan jawatannya kerana cuma memperolehi satu pencalonan sahaja.

Musa sebelum itu adalah timbalan ketua bahagian itu.

Seorang lagi ahli keluarganya, Nadzir Sheikh Fadzir pula ialah ahli jawatankuasa Umno Bahagian Jelutong.

Di bahagian Bayan Baru, saudara dekat mereka,  Omar Faudzar mengetuai  bahagian itu manakala di bahagian Cheras, Harun Faudzar mengekalkan jawatannya tanpa bertanding sebagai naib ketua bahagian.
UMNO SANA-SINI.....berita-berita ringkas

i) Tokoh-tokoh utama tewas di beberapa bahagian

KUALA LUMPUR - Tan Sri Megat Junid Megat Ayob, Senator Abdul Aziz Shamsuddin dan Datuk Mahadzir Mohd. Khir, Ketua Wanita UMNO Sabah, Dayang Mahani Pangeran Ahmad Raffae, Datuk Napsiah Omar, tewas dalam percubaan merebut dan mengekalkan jawatan Ketua UMNO bahagian pada pemilihan hari ini.

Pemilihan semalam juga menyaksikan Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Khalid Yunus menarik diri daripada bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Jempol pada saat-saat akhir dan begitu juga berlaku ke atas bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Dr. Ibrahim Saad yang menarik diri dari mempertahankan kerusi Ketua UMNO Bahagian Bukit Mertajam.

ii) Calon amal politik wang ke BPR

TANGKAK - Lembaga Disiplin UMNO mungkin menyerahkan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) calon-calon UMNO yang terlibat dalam amalan politik wang bagi di ambil tindakan.

Ini dinyatakan oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang turut menegaskan bahawa mereka yang didapati terlibat dengan politik wang akan digugurkan serta-merta daripada jawatan yang telah dipilih.

Lembaga Disiplin UMNO setakat ini menerima tidak kurang 200 aduan salah laku pada pemilihan bahagian yang sedang berlangsung menurut Timbalan Presiden UMNO itu lagi ketika ditemui selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Ledang.
umno
division