|
TITAH RAJA, RAKYAT BAHAGIA
SISTEM berkerajaan dan bernegara berpayungkan
Raja adalah sebahagian daripada budaya Melayu. Institusi Raja adalah sistem
berkerajaan yang mempunyai landasan sejarah dan tradisinya sendiri.
Institusi Raja telah lama berakar di bumi Melayu dengan sistem pemerintahan
yang didukung oleh pentadbiran yang cekap lagi tersusun; berjaya menyatukan
warga berupaya memelihara keamanan - bertenaga mencetus kemakmuran.
Sebuah negeri bernama Melaka telah dibangunkan oleh Raja Iskandar Shah. Apa
yang dikenali sebagai Melaka, pada asalnya hanyalah sebuah perkampungan
nelayan dengan pen-duduk sekitar 200 orang. Dengan kebesaran daulat Baginda,
kampung nelayan tersebut akhirnya berkembang pesat; diiktiraf sebagai pusat
maritim di rantau ini, terkenal sebagai pelabuhan dan pusat persinggahan,
berperanan sebagai pusat perdagangan. Melaka berfungsi sebagai pusat
penyebaran Islam, dihormati sebagai pusat pemerintahan yang mempunyai
hubungan diplomatik dengan kuasa-kuasa besar, diiktiraf sebagai sebuah
empayar yang agung. Melaka agung kerana di sinilah berputik dan
berkembangnya budaya, penulisan. Kesusasteraan, sosialisasi dan tamadun
bangsa. Semuanya dicapai melalui sistem pe-merintahan yang cekap, dengan
hier-arki pembahagian tanggungjawab yang tersusun antara Raja dan rakyat.
Raja yang bersemayam di puncak struktur pemerintahan, merupakan lambang
kuasa dan simbol perpaduan. Raja berperanan utama menguruskan rutin harian
negara dengan dibantu oleh barisan pembesar negeri. Bahawa sistem kerajaan
berteraskan Raja ketika itu lagi, tidak pernah bersifat mutlak dalam erti
kata sebenar. Struktur pemerintahan begitu tersusun dengan lapisan
pembahagian tugas dan perwakilan kuasa di antara Raja dengan pembesar negeri.
Raja, setelah disembah maklumkan maklumat dari rakyat, me-ngamalkan sistem
perundmgan, bermesyuarah untuk memperoleh nasihat dan pandangan dari
pembesar negeri. Sistem perundingan dan mesyuarah amat diutamakan, dijadikan
amanat penting kepada pewaris takhta seperti yang terkandung dalam wasiat
Sultan Alauddin Shah kepada anakanda Baginda Sultan Mahmud Syah:
Petikan:
"Hai anakku, ketahui olehmu ba-hawa dunia ini tiada akan kekal ada-nya...
melainkan iman... Adapun pe-ninggalku ini hendaklah anakku ber-buat ibadat
sangat-sangat, jangan anakku mengambil hak segala manusia dengan tiada
sebenarnya, kerana segala hamba Allah semuanya terserah kepadamu. Jikalau
kesukaran baginya hendaklah segera engkau tolong: jikalau teraniaya ia hen-daklah
segera engkau periksa baik-baik supaya di akhirat jangan diberatkan Allah
atasnya lehermu.... Syahadan hendaklah engkau muafakat dengan segala perdana
menteri dan segala orang besar-besar, kerana raja-raja itu jikalau bagaimana
se-kalipun bijaksananya dan tahunya sekalipun, jikalau tiada ia muafakat
dengan segala pegawai tiada akan sentosa adanya, dan tiada akan dapat ia
melakukan adilnya; rakyat itu umpama akar, raja itu umpama pohonnya; jikalau
tiada akar nescaya tiada akan dapat berdiri. Adapun segala anak Melayu,
jikalau bagaimana sekalipun besar dosanya jangan segera kau bunuh, melainkan
yang patut pada hukum Allah. ....Jikalau kau bunuh ia dengan tiada dosanya,
ba-hawa kerajaanmu binasa." (Petikan Sulalat-al-Salatin).
Di bawah pentadbiran Inggeris, orang Melayu masih belum memiliki institusi
politik secara tersusun hatta tidak mempunyai saluran perwakilan secara
formal lagi berkesan. Raja-Raja Melayu secara kolektif berperanan sebagai
jurubicara, menzahirkan suara Melayu. 'Durbar' adalah mesyuarat pertama yang
menghimpunkan empat Raja Melayu dari Negeri-negeri Bersekutu di Kuala
Kangsar pada 1897. 'Durbar' merupakan forum Raja-Raja menyuarakan nasib dan
kepentingan Melayu.
Rejimen Askar Melayu Diraja, The Malay College Kuala Kangsar, Sultan Idris
Training College, Kolej Tunku Kursiah, Pegawai Tadbir Melayu agama Islam,
penggunaan Bahasa Melayu dalam pentadbiran, milik tanah, pendidikan bangsa,
bidang kuasa penghulu dan kadi, emansipasi wanita Melayu, adalah antara
tuntutan yang disuarakan oleh Raja-Raja Melayu melalui 'Durbar'. Melalui
'Durbar', Raja-Raja melahirkan kebimbangan terhadap sektor perlombongan yang
meminggirkan orang Melayu sedangkan sektor pertanian yang merupakan sumber
ekonomi utama orang Melayu, begitu diabaikan. Penubuhan tabung pen-didikan
dan biasiswa di setiap negeri adalah atas titah Raja-Raja Melayu.
Kebimbangan mengenai kemasukan kaum imigran secara besar-besaran dizahirkan.
Raja-Raja Melayu memberikan saranan kepada pentad-biran Inggeris supaya
tenaga kerja turut diambil dari kalangan orang Jawa, demi memastikan orang
Melayu tidak akan menjadi minoriti di bumi dan tanah air warisan pusaka
bangsanya. Raja-Raja Melayu men-zahirkan kebimbangan terhadap pelantikan Sir
Henry Gurney sebagai Pesuruhjaya di Tanah Melayu pada 1948 berasaskan apa
yang pernah dilakukan terhadap penduduk Arab, ketika Henry Gurney bertugas
sebagai Setiausaha Negara di Palestin. Raja-Raja Melayu turut menegur ran-cangan
penempatan semula yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu.
Malayan Union merupakan kerangka pertama yang menampilkan perkumpulan formal
semua sembilan Raja Melayu dalam tahun 1946. Tentangan terhadap Malayan
Union digerakkan atas sentimen mempertahankan kedudukan dan kedaulatan
Raja-Raja Melayu. Gerakan menentang Malayan Union mematahkan usaha pecah -
perintah pentadbiran Inggeris untuk memisahkan Raja dengan rakyat. Malah
gerakan menentang Malayan Union mengembalikan hubungan erat - menjalinkan
semula kerjasama antara Raja dengan rakyat. Raja bersama rakyat, bertutur
dalam satu bahasa - bersuara dalam satu nada, menyampaikan tuntutan
memerdekakan warga - menggerakan hasrat memerdekakan negara. Gerakan
menentang Malayan Union turut merintis kesedaran bangsa akan pentingnya
penyatuan, lalu lahirlah institusi politik Melayu secara formal lagi
tersusun.
Apabila orang Melayu mencapai kata sepakat menubuhkan Umno, Raja-Raja Melayu
bukan sekadar memberikan restu perkenan, malah secara langsung berada di
belakang usaha tersebut. Pada 11 Mei 1946, Umno secara rasmi ditubuhkan di
perhimpunan yang berlangsung di Istana Besar Johor Bahru. Pada usia awal
penubuhannya, beberapa per-jumpaan dan mesyuarat Umno, berlangsung di
persekitaran istana; di hadapan Istana Iskandariah, Kuala Kangsar; di Balai
Rong, Arau: di Is-tana Besar, Johor Baru; di Balai Besar, Alor Setar; di
Balai Besar, Kota Baru lahirlah institusi politik Melayu secara formal lagi
tersusun.
Malah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar serta Duli Yang Maha Mulia
Tengku Ampuan Negeri Sembilan turut berangkat mencemar duli di Mesyuarat
Agimg Umno di Kelab Seremban pada 1 Mac 1947, sementara Duli Yang Maha Mulia
Sultan Johor berangkat mencemar duli, berkenalan dengan wakil-wakil di
Mesyuarat Agung Umno pada 2 September 1947 di Istana Besar, Johor Baru.
Dalam usaha pertama Umno mengadakan kutipan derma, sejumlah RM19,266.75
berjaya dipungut. Sebanyak RM6,000 atau satu pertiga dari jumlah derma
tersebut adalah sumbangan Raja-Raja Melayu.
Peranan Raja di belakang penubuhan organisasi politik Melayu itu diberikan
pengiktirafan secara simbolik tetapi amat signifikan. Ketika Datok Onn
meminta anak saudara-nya, Syed Muhammad Naquib al-Attas (kini bergelar
Profesor), melukis bendera Umno, Onn meminta Syed Muhammad Naquib
menggabungkan warna-warna Hang Tuah, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan
kekuatan pengaruh Islam dalam dunia Melayu. Mengambil panduan Onn itu, Syed
Naquib lalu meletakkan bulatan berwarna kuning di antara jalur merah putih,
melambangkan penyatuan Raja-Raja Melayu. Keris, melambangkan alat kebesaran
Raja-Raja Melayu, diwarnakan hijau, selaras dengan tanggung jawab Raja-Raja
mempertahankan Islam.
Sokongan Raja-Raja Melayu di belakang penubuhan Umno tidaklah bermakna
Raja-Raja terlibat aktif dalam kegiatan politik berparti. Sokongan tersebut
adalah sebahagian da-ri pendirian Raja-Raja, secara simbolik - secara
semangat, menyokong usaha untuk warga dan negara memperoleh kemerdekaan.
Kerana itu juga Raja-Raja Melayu memberi perkenan untuk diwakili menyertai
rombongan kemerdekaan ke London. Pendirian tegas dan sekata oleh
wa-kil-wakil Raja-Raja Melayu kepada Kerajaan Inggeris adalah antara faktor
utama yang tidak membolehkan Kerajaan Inggeris berlengah daripada memenuhi
timtutan kemerdeka-an.
Dalam usaha menuntut kemerdekaan, rakyat digerakkan melalui organisasi
politik. Gerakan politik berjaya menyusun barisan rakyat, bangkit secara
aktif menyuarakan tun-tutan kemerdekaan. Rakvat ketika itu memiliki pilihan
untuk menen-tukan rupa bentuk dan kerangka kerajaan. Rakyat di Tanah Melayu
telah memilih untuk mengekalkan institusi Raja, lalu dimaktubkan secara
perundangan dalam 'Periembagaan Merdeka'. Maka lahirlah sebuah negara
merdeka yang berpegang kepada prinsip Raja berperlembagaan dan demokrasi
berparlimen. Kuasa Raja dan kuasa rakyat digabung dan diimbang. dalam
semangat mengekal yang dikendong sementara berusaha mencipta yang baru.
Pengiktirafan tinggi kepada Raja tertera pada bendera Persekutuan Tanah
Melayu. Bulan bintang yang melambangkan status agama Islam di dalam negara,
diwarnakan kuning, simbol peranan Raja sebagai ketua agama Islam: di samping
warna yang menjadi lambang daulat payung negara. Lirik lagu kebangsaan
negara, diakhiri dengan kata-kata 'Raja kita selamat bertakhta'. Bahawa Raja
itu kekal dinobatkan menjadi simbol kedaulatan negara.
Pemilihan mengekalkan Institusi Raja, memberi kesinambungan kepada amalan
tradisi negara beraja. Institusi Raja diperlengkap dengan institusi rakyat
melalui amalan demokrasi berparlimen. Sistem demokrasi yang diputuskan oleh
pimpinan politik Melayu merumuskan untuk tidak mengambil alih kesemua
peranan Raja. Kedudukan Raja ber-daulat tidak berubah, malah diselaraskan,
diinstitusikan secara legal di dalam 'Perlembagaan Merdeka'. Peranan Raja
telah dikanunkan secara perlembagaan dengan menggaris bidang dan pembahagian
kuasa. Pendekatan tersebut bukan sahaja meneruskan kesinambungan tamadun dan
sejarah, malah turut menyuntik roh - membentuk wajah kepada kerangka negara,
meletakkan identiti, terutamanya, lambang mengekalkan warisan sejarah
kerajaan Melayu di bumi ini. Sistem demokrasi yang menjadi pilihan,
mengujudkan mekanisme semak dan imbang, bertujuan untuk menjamin kestabilan
negara yang lebih utuh lagi diyakini.
Pengekalan Raja bukan sekadar memenuhi nilai sejarah dan nilai sentimental
bangsa. Kehadiran Raja sebenarnya sangat membantu keberkesanan mekanisme
semak dan imbang, sekali gus memperkukuhkan institusi lain ciptaan demokrasi.
Raja memenuhi satu keperluan per-lembagaan secara simbolik - secara fungsi.
Selaku ketua negara - Raja berperanan sebagai tonggak kestabilan - sumber
keadilan, teras perpaduan - payung penyatuan; lantas meningkatkan tahap
keyakinan rakyat kepada sistem berkerajaan dan sistem bernegara berteraskan
amalan demokrasi, berakarkan doktrin pengasingan kuasa.
Institusi Raja telah melalui proses evolusi secara dinamik, dibina semula
dan mentafsir semula kewujudannya sejajar dengan perkembangan semasa.
Penghayatan akan se-mangat Raja berperlembagaan amatlah penting. Amatlah
perlu bagi Raja untuk memenuhi amanah dan me-menuhi harapan tersebut
berlandaskan semangat perlembagaan, mengisi ruang-ruang yang
dipertanggung-jawabkan, menurut yang diperuntukkan oleh undang-undang. Raja hendaklah arif memenuhi peranan supaya kata dan laku, tidak disalah lihat
dan tidak disalah tafsir sebagai bercanggah dengan semangat demokrasi. Raja
perlu mengamalkan ke-bijaksanaan, bersifat tidak memihak - tidak partisan -
tidak berkepentingan, demi menjamin keadilan kekal berlaku di dalam negara
dan di kalangan warga. Dalam memenuhi tanggung jawab melindung hak orang
Melayu, Raja juga perlu mencerminkan pendirian saksama, men-jamin
penghidupan sejahtera warga berbagai kaum.
Ketika negara melangkah masuk tahun kedua belas mencapai kemerdekaan, warga
menghadapi ujian getir. Pilihan raya umum tahun 1969, disusuli dengan
peristiwa perselisi-han kaum di antara orang Melayu dengan bukan Melayu.
Peristiwa yang dikenali sebagai 13 Mei itu, merupakan satu ujian kepada
perjalanan sebuah negara yang mengamalkan formula perkongsian kuasa politik
di antara kaum. Orang Melayu resah apabila kuasa politik Melayu kelihatan
tergugat. Institusi Yang di-Pertuan Agong berperanan penting menyelamatkan
keadaan. Dengan perkenan Seri Paduka Baginda, institusi Parlimen digantung;
kuasa pentadbiran negara diserahkan kepada Majlis Gerakan Negara. Isu-isu
sensitif antara kaum ditegah daripada dibincangkan secara terbuka.
Perundmgan secara tertutup dilakukan dalam usaha merangka pendekatan yang
dapat menjamin berlakunya pembangunan lebih se-imbang di antara kaum,
sebagai pra-syarat menjamin kestabilan politik.
Bahawa politik negara tidakkan stabil, sekiranya orang Melayu merasakan
kedudukan mereka, ibarat anak diriba mati tak makan, ayam di kepuk mati
kelaparan, itik di air mati kehausan. Pendekatan pembangunan dengan matlamat
menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan secara agihan ekonomi
yang lebih saksama diperkenalkan melalui Dasar Ekonomi Baru. Dasar tersebut
pada tafsiran Raja-Raja Melayu adalah selaras dengan semangat yang
terkandung dalam Perkara 153, Perlembagaan Negara, sebagai satu perkayasaan
dasar untuk membela nasib Melayu. Apabila Parlimen dipulihkan dalam tahun
1971, 'Rukun Negara' diperkenalkan sebagai piagam pegangan warga. 'Kesetiaan
kepada Raja' merupakan salah satu komponen dalam piagam 'Rukun Negara'.
Nyatalah dalam urutan sejarah ne-gara, institusi Raja melalui proses evolusi
yang dinamik berhubung pe-ranannya. Amatlah penting bagi Raja memenuhi
peranannya bersan-darkan semangat yang termaktub di dalam perlembagaan, peka
terhadap pengharapan yang diletakkan oleh rakyat, arif mentafsir dinamik
yang sedang dan terus berlaku. Raja perlu melengkapkan diri untuk memenuhi
peranan dan tanggungjawab yang telah diperuntukkan. Raja harus mempunyai
kedudukan yang kukuh untuk membolehkannya berpendirian tegas - bersikap
berani, adil lagi saksama. Dalam memenuhi peranan berasaskan nasihat, Raja
sama sekali tidak harus merasakan tekanan dan tidak semestinya memberikan
perkenan, jika nasihat yang disembahkan bercanggah dengan semangat
perlembagaan dan bertentangan de-ngan undang-undang. Raja sama sekali tidak
boleh memihak kepada perbuatan dan tindakan yang tidak mencerminkan keadilan.
Sebagai lambang perpaduan negara, Raja perlu berada di atas politik
kepartian. Kerana itu. setelah Umno ditubuhkan dan setelah negara mencapai
kemerdekaan, Raja melangkah ke belakang, tidak lagi kelihatan terlibat
secara zahir dan tidak lagi berangkat hadir dalam kegiatan-kegiatan yang
dianjurkan atas nama parti politik. Berada di atas politik men-jadi
bertambah penting kerana dalam amalan membentuk kerajaan berasaskan pilihan
rakyat, banyak kumpulan yang bersaing dalam gelanggang politik. Raja hendaklah berada di luar gelanggang politik dan tidak seharusnya terlibat
dalam persaingan tersebut. Raja perlu berada di atas politik kepartian, di
atas setiap instrumen kerajaan, di atas pasukan keselamatan dan angkatan
pertahanan, di atas cabang perundangan, cabang eksekutif dan cabang
kehakiman.
Keberkesanan peranan amat bergantung kepada daya usaha yang dirintis oleh
Raja. Integriti institusi Raja amat bergantung kepada disiplin yang
diamalkan oleh Raja untuk tidak memperlihatkan cacat dan cela. Raja perlu
berada di atas segala hierarki, tidak terbendung dengan mana-mana gerakan
politik, dengan mana-mana persukuan atau dengan mana-mana kumpulan agama.
Apa-bila Raja, sama ada secara perkataan mahupun perbuatan, membuka ruang,
membolehkan berlakunya kritikan dilakukan kepada institusi Raja secara
berlebihan, maka orang Melayu akan turut menanggung kesan jangka panjangnya.
Raja Melayu yang tercalar kedudukannya adalah pembuka laluan kepada
tercabarnya kedudukan bangsa.
Pada umumnya, demokrasi dianggap sebagai sistem kerajaan yang terbaik;
tetapi sistem demokrasi se-mata-mata belum pasti menjamin ke-sempurnaan.
Bahawa pada era ini, masih belum wujud sistem kerajaan yang dapat dianggap
sempurna sepenuhnya. Demikian juga dengan sistem demokrasi. Dunia menjadi
saksi, melihat wajah buruk betapa sistem demokrasi di dunia ini ada kalanya
boleh disalahgunakan. Dengan semangat untuk memperelok amalan demokrasi,
dalam proses untuk menyempurnakan sistem demokrasi, Institusi Raja
berkedudukan untuk mengisi ruang-ruang kosong yang masih terdapat. Raja yang
berada di atas politik kepartian perlu dimanfaatkan bagi mengisi ruang yang
kosong, sebagai penjamm kepada pelaksanaan undang-undang secara adil,
sebagai pengawas memas-tikan bahawa instrumen kerajaan tidak disalahgunakan,
sebagai pelindung terakhir kepada orang Melayu, sebagai pemelihara kesucian
Islam, sebagai payung pelindung kepada warga dan negara.
Untuk itu institusi Raja kekal relevan. Perubahan yang berlaku ha-nyalah
dari mekanisme dan kaedah memenuhi peranan. Raja mempunyai ruang berperanan
secara pro-aktif. Raja harus menguasai pengetahuan serta mempunyai barisan
pakar-pakar dalam bidang-bidang yang relevan. Raja perlu disembah nasihat
dengan maklumat yang tepat, secara objektif - secara rasional, berasaskan
data - berasaskan fakta, untuk membolehkan Raja berada dalam kedudukan
terbaik memenuhi peranan secara arif- secara bijak, secara adil - secara
saksama.
Peranan dan pengaruh Islam di rantau ini dan di kalangan orang Melayu
berkait rapat dengan Raja dan istana, bermula dari era Kesul-tanan Melayu
Melaka. Keputusan Sultan Melaka memeluk Islam menjadi pemangkin kepada
berlakunya kegiatan dakwah Islamiah yang hebat. Peringkat demi peringkat,
pembesar dan isi istana, membawa kepada penduduk di bandar dan di desa
menerima Islam sebagai agama. Islam tidak sekadar menjadi pegangan
kepercayaan beragama kepada batang tubuh Raja. Islam mempenga-ruhi dan
mengubah corak pemerintahan, beralih dari pemerintahan berpaksikan individu
kepada pemerintahan berpaksikan undang-undang.
Undang-undang Melaka menjelaskan bahawa martabat tinggi seseorang Sultan itu
dinilai dari sudut amal makruf Baginda menyempurnakan tanggung jawab.
Terkandung di dalam Kanun bahawa seseorang Raja perlu mengamalkan
sifat-sifat perkasa lagi tegas, adil lagi saksama, pengampun lagi belas
kasihan. Sifat mengampun dan belas kasihan ada-lah antara sifat yang
diutamakan di dalam Islam. Allah itu Maha Pemu-rah - Maha Mengasihani
sifat-Nya, seperti yang terkandung dalam ka-limah 'Bismillahi Rahmani Rahim';
diulang sebanvak 114 kali di dalam al-Quran, ditempatkan pada permulaan
setiap surah di dalam al-Quran melainkan surah 'At Taubah'; ka-limah 'Bismillahi
Rahmani Rahim* diulang dua kali dalam surah 'An-Namli'. Hukum syarak, hukum
kanun, undang-undang laut Melaka, adat, resam dan fahaman, yang di-jadikan
sandaran melakukan pemerintahan, saling lengkap melengkapi. Raja berperanan
sebagai penaung kepada sistem pemerintahan yang ber-paksikan undang-undang.
Islam juga telah membawa Raja Melayu kepada dua konsep murni, adil dan
muafakat. Konsep adil dapat dibuat tafsiran lanjutan kepada perjanjian di
antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba yang dijadikan 'magna carta'
orang Melayu. Konsep keadilan politik Melayu dibayangkan oleh kata-kata
'Raja adil Raja disembah - Raja zalim Raja di-sanggah'. Konsep taat setia
rakyat kepada Raja tidak bererti bahawa Raja boleh melakukan apa sahaja
menurut sesuka hati. Konsep muafakat menekankan kepada semangat bermesyuarah.
Istana terlibat secara langsung dalam mengembangkan Islam dan menempatkannya
sebagai agama resmi negara. Ajaran Islam begitu sebati dengan Institusi
Kesultanan Melayu kerana terkandung perselarian nilai dan amal antara yang
dianjurkan oleh Islam dalam sistem pemerintahan kesultanan Melayu. Sejarah
tentang peranan dan hubungan Raja dengan Islam, memberikan kelebi-han yang
memihak kepada Raja dalam urusan Islam. Peranan Raja se-bagai ketua agama
tetap kekal. Raja telah berjaya membawa penyatuan, menyeru kepada kebaikan,
meluaskan penerimaan.
Islam menyeru kepada penyatuan - kepada perpaduan. Islam itu adalah
persaudaraan. Perkataan dan perbuatan atas nama Islam hendaklah
memperlihatkan persaudaraan, hendaklah bermatlamatkan penyatuan dan
hendaklah membawa perpaduan. Persaudaraan, penyatuan dan perpaduan adalah
komponen-komponen penting, menjamin warga hidup dalam aman dan muafakat,
makmur lagi sejahtera. Penggunaan Islam dalam apa jua bentuk yang tidak
menghasilkan persaudaraan, penyatuan dan perpaduan amatlah bercanggah dengan
semangat Islam itu sendiri.
Dalam memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan oleh Duli Yang Maha Mulia
Paduka Seri Sultan Perak, ke atas bahu Beta sebagai Yang Dipertua Majlis
Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Beta berpegang teguh bahawa kegiatan atas
nama Islam hendaklah dikawal kesuciannya -hendaklah dipertahankan
kemurniannya. Kesucian Islam tidak harus dicemari - kemurnian Islam tidak
harus dinodai oleh sebarang muslihat dan agenda terselindung bertopengkan
Islam. Untuk itu amatlah penting bagi anggota Majlis Agama Islam Perak,
demikian juga para pegawai dan kakitangan Majlis, berada di atas sebarang
pengaruh politik dan pengaruh kumpulan - Jabatan dan pejabat agama Islam
hendaklah membina integriti hingga diterima dengan keyakinan tinggi sebagai
tempat yang dapat melakukan timbang tara secara adil.
Dalam hasrat menjamin kestabilan negara dan dalam usaha memupuk hidup rakyat
yang sejahtera, amatlah penting bagi generasi muda dan generasi muka
memahami salasilah dan falsafah sesebuah institusi di dalam negara. Kejayaan
masa lampau perlu dijadikan gagasan membina masa hadapan yang lebih gemilang.
Institusi yang telah membina tamadun bangsa di masa lalu hendaklah
dipelihara secara bersama. Iklim politik yang sihat pada masa hadapan amat
bergantung kepada harga dan nilai yang diletakkan kepada sejarah bangsa di
masa lalu. Memahami yang terdahulu, berusaha ke arah memperbaikinya, lalu
diamanahkan pula kepada generasi di hari muka, harus dilakukan demi menjamin
kesinambu-ngan dan penerusan identiri bangsa.
Minda generasi muda jangan sekali-kali diracuni. Institusi Raja ada kalanya
dimomokkan dengan istilah feudalisme. Istilah sedemikian adalah istilah yang
dipelopori oleh mereka yang terpengaruh dengan fahaman kiri; dari kalangan
mereka yang kurang arif mendalami sejarah; dari kalangan mereka yang gagal
membezakan sinar intan dari cahaya kaca. Feudalisme bukan perlakuan yang
dilakukan oleh institusi. Feudalisme berlaku kerana perlakuan individu,
hingga manusia takjub dan taksub kepada individu; berlaku pendewaan terhadap
individu, dan manusia berasa takut yang melampau kepada individu. Dalam niat
mahu menggembirakan individu yang didewakan, manusia sanggup mengorbankan
prinsip, berpura-pura, berkata putih pada yang hitam, berkata hitam pada
yang putih. Dalam mengemis kasih - dalam menagih belas dari individu,
manusia sanggup membenarkan yang salah dan menyalahkan yang benar. Budaya
feudallsnie pernah berlaku dalam istana - pernah berlaku dalam institusi
Raja, tetapi budaya feudalisme tidak terbatas berlaku dalam istana dan dalam
institusi Raja semata-mata. Budaya feudalisme turut berlaku da-lam sistem
demokrasi, dalam sistem komunisme, dalam sistem republik, dalam sistem
pemerintahan berpaksikan tentera, malah dalam kegiatan-kegiatan berlandaskan
agama.
Untuk itu bangsa perlu bijaksana. Akal biar jauh - fikiran biar panjang.
Jangan seluruh ladang dimusnahkan kerana sebatang pokok yang ada penyakit.
Atas fahaman tersebutlah, Hang Tuah terpaksa melakukan pilihan paling getir.
Hang Tuah tidak berhasrat membunuh sahabat tersayangnya Hang Jebat; yang
dibunuh adalah penderhakaan dan perebutan kuasa. Hang Tuah bukan
mempertahankan Raja, tetapi mempenahankan kerajaan. Tanpa kerajaan apalah
ertinya sebuah negara.
Untuk itu amatlah penting faktor sejarah dikenali secara mendalam - dihalusi
secara teliti; difahami - dihayati. Jangan terlalu ghairah mendengar guruh
di langit hingga air tempayan dicurahkan. Takut nanti yang dikendong
keciciran - yang dikejar entah di mana. Ketika mendapat teduh di bawah pohon
rendang, janganlah perdu mahu ditebang.
Semoga Raja kita selamat bertakh-ta. Semoga rakyat hidup bahagia.
Tulisan: Sedutan teks titah Raja Muda Perak
Darul Ridzuan, Raja Dr. Nazrin Shah pada Simposium Budaya Melayu Perak
anjuran Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Perak dengan kerjasama
kerajaan Perak di Pejabat Setiausaha Kerajaan Perak, Ipoh.
Perihal lain:
Dari mana
asalnya Hang Tuah?
Bijaksana
Tun Perak kepada Sultan Muzzafar Shah
|
|