BACK TO MALAYSIA & HUMAN RIGHTS HOMEPAGE
BACK TO MADPET HOMEPAGE

Gantung hukuman gantung?
 

Oleh C Ramasamy
rama@hmetro.com.my


BAHAGIAN PERTAMA

USUL supaya hukuman mati di Malaysia dihapuskan, sebaliknya diganti dengan hukuman penjara seumur hidup atau penalti lain yang lebih sesuai, dikemukakan pada mesyuarat agung tahunan ke-60 Badan Peguam Malaysia, baru-baru ini.

Dan, cadangan itu yang dilontarkan empat peguam muda - N Surendran, Charles Hector, Amer Hamzah Arshad dan Sreekant Pillai - diluluskan dengan 105 menyokong, dua menentang dan 21 berkecuali.

Usul berkenaan mengesyorkan empat perkara, pertama: hukuman mati di Malaysia dihapuskan; kedua: semua pelaksanaan hukuman mati dihentikan serta-merta; ketiga: semua pesalah yang menunggu untuk menjalani hukuman mati diringankan hukuman mereka dan keempat: Malaysia meratifikasi Protokol Pilihan Kedua kepada Perjanjian Antarabangsa berkaitan Hak Sivil dan Politik (ICCPR).

Bagi mengukuhkan hujah, mereka mengemukakan beberapa butiran antaranya 122 negara sudah menghapuskan hukuman mati berbanding 74 negara yang mengekalkannya; secara purata tiga negara menghapuskan hukuman mati setiap tahun sepanjang sedekad lalu dan pemansuhan hukuman mati kini menjadi trend dunia.

Dalam rumusan, mereka berpendapat hukuman mati seharusnya tidak diamalkan dalam masyarakat yang mengutama serta menjunjung hak asasi manusia, keadilan dan belas kasihan.

Mengulas lanjut, Amer berkata meskipun kalangan peguam sering bercakap mengenai penghapusan hukuman mati di negara ini namun ia tidak pernah diutarakan di mesyuarat agung tahunan Badan Peguam.

“Pengutaraan itu penting kerana sebilangan kami mendapati peguam secara kolektif tidak pernah menyatakan pendirian mereka berhubung isu berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Majlis Peguam Malaysia, pihak berkuasa serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menggerakkan usul itu.

Bagaimanapun, keputusan pengamal undang-undang berkenaan jelas tidak dipersetujui umum jika pungutan suara secara rawak yang dikendalikan akhbar New Straits Times diambil kira.

Akhbar itu dalam edisi bertarikh 22 Mac lalu melaporkan majoriti pembacanya, yang menyuarakan pendapat melalui e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS), tidak bersetuju hukuman mati dimansuhkan kerana khuatir kekangan terhadap perbuatan jenayah akan punah.

Luahan rasa orang ramai itu pada hakikatnya tidak mengejutkan kerana rakyat banyak negara termasuk yang sudah menghapuskan hukuman mati, sememangnya tidak bersetuju hukuman mati dilupuskan kerana bimbang tindakan sedemikian menggalakkan percambahan jenayah.

Umpamanya, apabila Malaysia menjalankan hukuman gantung sampai mati ke atas dua rakyat Australia, Kevin John Barlow dan Geoffrey Brian Chambers pada awal Julai 1986 atas kesalahan mengedar dadah, dua stesen televisyen negara itu yang sememangnya sudah memansuhkan hukuman mati menjalankan satu pungutan suara mengenai kewajaran hukuman itu.

Keputusannya: 36,000 menyokong Barlow dan Chambers digantung manakala 31,000 menentang meskipun Perdana Menteri Australia ketika itu, Bob Hawke menyifatkan penggantungan mereka sebagai tindakan orang gasar!