Mukadimah
BEKERJA dari rumah dan memperoleh pendapatan RM1 juta! Bunyinya mungkin
pelik tetapi itu yang telah dibuktikan oleh anak muda bernama Irfan Khairi,
28. Lebih membanggakan, pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Rekabentuk
Multimedia dari Universiti Staffordshire, United Kingdom (UK) ini mula
memegang status jutawan muda sejak tiga tahun lalu.
Ketika rakan-rakan sebayanya sibuk membina keyakinan diri menerusi bidang
pekerjaan yang diceburi, Irfan anak kelahiran Perak tetapi dibesarkan di
Selangor dan kini menetap di Seremban, telah mampu memiliki apa sahaja
yang diingini. Kejayaan yang dimilikinya itu, walaupun nampak mudah, namun
menurut bapa kepada dua anak ini, memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh
dan terancang.
"Saya bukan bergelar jutawan dalam sekelip mata, tetapi mengambil masa
tujuh tahun untuk sampai ke tahap ini,'' katanya kepada wartawan SITI
MARIAM MD. ZAIN dan jurugambar RASHID MAHFOF ketika ditemui di Kelana Jaya
baru-baru ini.
Menurut Irfan, semuanya bermula apabila beliau mula berminat mendalami
kejayaan orang lain dalam bidang-bidang tertentu.
"Saya dapati mereka berjaya kerana melakukan apa yang disukai. Dan ini
yang saya lakukan untuk diri saya,'' katanya.
Menarik tentang Irfan ialah beliau juga bertanggungjawab mereka cipta
sistem pembelajaran Internet untuk sekolah-sekolah di UK, dinamakan
Learning Grid. Pernah mengikuti kursus Ekonomi di Institut Teknologi Mara
(kini UiTM), Irfan mengakui ketiadaan minat menyebabkan beliau beralih
arah ke bidang multimedia.
Berbekalkan semangat, kreativiti dan komputer ribanya, anak muda pemalu
dan suka merendah diri ini akhirnya menemui impian yang dicari-cari -
duduk sebaris dengan tokoh jutawan Internet yang lain. Dengan kepakaran
yang ada, Irfan kini mendedahkan segala rahsianya menerusi buku bertajuk
Rahsia Jutawan-jutawan Internet Terbongkar yang ditulis sendiri, selain
sibuk menganjurkan seminar-seminar tentang kejayaannya.
Irfan berasal daripada keluarga yang menjalankan perniagaan?
Dalam keluarga, saya orang yang pertama menceburi bidang perniagaan.
Bila mula terfikir untuk terlibat secara serius dalam bidang
perniagaan seperti ini?
Semasa kecil saya minat melukis dan mereka bentuk. Minat dalam perniagaan
bermula semasa remaja, setelah saya membaca buku-buku tentang perniagaan.
Ketika berumur 18 tahun saya mula terfikirkan masa depan dalam bidang
perniagaan ini.
Bila mula serius
dengan komputer?
Semasa saya melanjutkan pelajaran dalam bidang multimedia design di UK.
Siapa yang banyak mendorong minat ini?
Diri sendiri. Selain saya mendapat banyak sumber inspirasi melalui
buku-buku tentang kejayaan orang lain yang saya baca.
Orang yang paling dikagumi?
Bill Gates.
Kenapa?
Antara sebab ialah dia merupakan manusia yang paling kaya di dunia. Saya
kagum dengan idea, konsep yang diketengahkan. Bill Gates juga seorang ayah
yang baik. Walaupun dia orang yang terkaya di dunia tetapi masih tetap
merendah diri. Kalau boleh saya ingin menjadi seperti dia.
Apa yang Irfan belajar tentang Bill Gates?
Dari awal sehingga menjadi kaya, dia buat perkara yang dia minat -
pengaturcaraan (programming). Dia jadi kaya sebab buat apa yang dia minat.
Saya juga selalu sarankan kepada peserta-peserta bengkel supaya buat apa
yang mereka minat, jangan terikut-ikut dengan industri lain yang kita
sendiri tidak tahu keadaannya. Kalau hendak mencapai kejayaan sebenarnya
industri apa pun boleh tetapi yang paling penting, kita minat.
Perkara yang tidak disukai?
Saya suka kalau tidak berfikir negatif tentang orang lain. Memang Bill
Gates pun ada perkara-perkara negatif tetapi saya lebih suka mengambil
yang positif sahaja.
Apa makna kekayaan bagi Irfan?
Wang bagi saya bukanlah keutamaan. Apa yang paling saya pentingkan ialah
keluarga. Ramai yang tanya kalau perniagaan baik kenapa tidak mahu buka
pejabat, ada pekerja sendiri. Tetapi bagi saya, kalau sudah ada wang cukup,
saya lebih suka duduk rumah bersama keluarga. Memanglah kita perlu duit,
tetapi yang lebih penting ialah membina sebuah keluarga bahagia.
Bagaimana keadaan bekerja di rumah?
Saya ada satu bilik khas yang dijadikan pejabat. Apabila saya buat kerja
saya akan tumpu sepenuh perhatian kepada kerja. Saya bekerja waktu malam
sampai subuh. Selepas (solat) subuh, baru saya tidur.
Kenapa tidak buka pejabat sendiri?
Saya suka menghabiskan masa bersama keluarga. Kalau boleh saya mahu terus
begini. Saya selesa dengan cara ini.
Irfan tidak gemar bersosial?
Saya tidak menafikan kalau dibandingkan dengan rakan-rakan lain, mereka
lebih gemar menghabiskan masa dengan bermain futsal, tengok wayang dan
sebagainya. Tetapi bagi saya, sejak dulu lagi sudah fokus untuk kerja,
menjana pendapatan, minat saya di situ. Saya tidak berapa suka keluar
dengan kawan-kawan begitu (ketawa).
Lagipun pilihan ini terpulang kepada individu. Saya jadi begini mungkin
sebab banyak membaca. Adik saya tidak macam saya, abang saya pun begitu.
Mungkin juga faktor pergaulan dengan rakan-rakan semasa kecil banyak
mempengaruhi sikap saya sekarang. Dulu, kawan-kawan saya kebanyakannya
bukan daripada keluarga berada. Saya pun daripada keluarga sederhana, bila
tengok rakan-rakan kaya, kami segan nak bercampur, tidak selesa bila
bersama mereka. Sekarang saya telah buktikan walaupun kita hidup sederhana,
peluang untuk kita mencipta kekayaan tetap terbuka. Ini juga salah satu
daripada matlamat hidup saya.
Bila Irfan menetapkan
sasaran untuk bergelar jutawan?
Semasa berumur 18 tahun, saya sudah menetapkan matlamat hendak jadi
jutawan sebelum berumur 30 tahun. Saya tulis di atas kertas dan simpan
dalam dompet. Saya baca apa yang saya tulis itu setiap hari. Saya percaya
apa yang dibaca jika selalu diulang-ulang, akhirnya akan termakbul. Sampai
hari ini pun setiap perancangan saya yang akan datang, saya akan baca
tiap-tiap hari.
Apa perancangan akan datang Irfan?
Saya hendak cuba memperkenalkan diri di seluruh negara sebagai motivator
pula, terutama kepada anak-anak muda kita.
Bagaimana perasaan Irfan bila berjaya mencapai matlamat sebelum masa
yang ditetapkan?
Semestinya saya seronok. Tetapi apa yang lebih penting ialah saya rasa
lebih yakin dengan kemampuan diri sendiri.
Irfan terlalu merendah diri, kenapa?
Macam saya kata tadi, mungkin dari segi pergaulan dengan kawan-kawan saya
terbawa-bawa sikap ini. Kawan-kawan saya memang begitu, tambahan pula dari
tingkatan satu sampai tingkatan lima kami dalam satu kumpulan. Persepsi
kami semasa itu ialah orang kaya ini biasanya sombong dan suka berlagak
tetapi sekarang saya sedar mereka pun sama macam kita sahaja.
Semasa sekolah pernah kena buli?
Memang pernah, biasalah kena buli sebab saya ini lemah sedikit (ketawa).
Antara kejadian yang saya masih ingat ialah semasa saya menyertai kelas
tae kwan do. Ada seorang budak yang sedang buat latihan secara tidak
semena-mena terajang saya. Sikap saya pula ialah tidak suka melawan.
Sebenarnya saya memang diajar begitu, sentiasa menghormati orang lebih
dewasa.
Sekarang Irfan sudah berjaya, adakah masih berasa rendah diri lagi?
Saya suka begini. Kalau tidak merendah diri saya akan rasa tidak selesa (ketawa).
Mungkin sebagai motivator, sikap rendah diri begini tidak begitu
sesuai?
Saya rasa itu bergantung kepada cara pembawaan kita. Bagi saya, yang
penting ialah keikhlasan. Saya biasanya akan mengadakan seminar (bengkel)
setiap sekali atau dua kali sebulan cara bagaimana untuk menjadi jutawan,
tetapi cara saya berpakaian misalnya, jelas dapat dilihat yang para
peserta lagi segak bergaya daripada saya.
Bagaimanapun saya rasa masyarakat sudah mula menerima gaya penyampaian
begini (berpakaian ringkas). Sebelum ini bila kata jutawan, orang itu
mesti pakai kot, tali leher, bawa kereta mewah dan sebagainya. Tetapi di
Amerika Syarikat seperti Bill Gates sendiri, dia beri ceramah pakai baju T
biasa sahaja. Yang penting kejayaan dia. Saya kalau boleh hendak menjadi
seperti resmi padi - semakin berisi semakin tunduk.
Pertama kali bertindak sebagai motivator, apa pengalaman yang
dialami?
Kelam-kabut kerana saya lupa banyak fakta dan saya buat banyak kesilapan.
Saya cakap tergagap-gagap. Tetapi ini memang saya jangka dari awal. Di
sekolah saya tidak pernah buat pengucapan awam. Itu kali pertama seumur
hidup saya berucap depan 20 hingga 30 orang. Sampai sekarang saya masih
gementar. Tetapi biasanya ia berlaku dalam 10 minit pertama kemudian semua
berjalan lancar.
Orang kata kalau terlalu merendah diri, pihak lain mudah mengambil
kesempatan?
Ada betulnya juga, tetapi itu mungkin berlaku dalam dunia korporat atau
perniagaan yang banyak persaingan. Macam saya kerja di rumah dan
mengadakan bengkel mungkin keadaan itu tidak terasa sangat.
Sebelum terlibat dalam bidang multimedia, Irfan mengambil jurusan
ekonomi di UiTM. Mengapa beralih bidang?
Semasa itu saya sendiri tidak tahu hendak pilih jurusan atau bidang apa
yang patut saya ceburi. Jadi ibu banyak mendorong saya supaya mengambil
jurusan itu.
Persepsi orang tua, untuk berjaya kena jadi ahli ekonomi, doktor atau
peguam, itu sahaja. Walaupun saya telah ada minat melukis, mereka bentuk
tetapi ketika itu saya tidak nampak boleh mengembangkan bakat yang ada.
Sehinggalah selepas UiTM, kerajaan mula memperkenalkan MSC. Saya lihat
inilah peluang saya. Dan pada masa sama, saya memohon di Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang
multimedia. Alhamdulillah saya diterima. Saya merupakan pelajar pertama
yang JPA hantar untuk buat jurusan multimedia di luar negara. Untuk ini
saya berterima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir
Mohamad yang telah mencetuskan idea ini.
Apa pendapat Irfan
tentang Tun?
Beliau banyak memberi galakan kepada orang Melayu untuk berjaya. Saya
sensitif bercakap fasal Tun (sebak).
Kenapa Irfan sebak?
Saya kagum dan hormat pada beliau. Saya sukar menerima kritikan negatif
orang lain terhadap beliau. Bagi saya, manusia memang tidak terlepas
daripada melakukan kesilapan tetapi Tun telah melakukan banyak perkara
baik untuk orang Melayu.
Kalau diberi peluang berjumpa Tun?
Sebenarnya saya memang teringin sangat untuk berjumpa dengan Tun.
Tiga perkara yang Irfan suka lakukan?
Saya suka bermain dengan anak-anak, melayan isteri dan keluarga, melukis
selain menonton cakera padat digital (DVD).
Tiga perkara yang tidak suka dilakukan?
Saya tidak suka bersukan (ketawa), membuang masa dan kalau saya tidak ada
kerja untuk dilakukan (menambah pendapatan).
Semasa kecil pernah berlaku perkara yang Irfan tidak boleh lupakan
sehingga membentuk sikap Irfan hari ini?
Tidak ada perkara luar biasa yang berlaku dalam hidup saya. Sebenarnya
hidup saya agak bosan juga (ketawa). Yang banyak mempengaruhi diri saya
ialah mungkin minat membaca. Boleh dikatakan waktu dulu, buku adalah teman
baik saya.
Semasa remaja, saya suka tengok dan membaca kisah kehidupan
bintang-bintang terkenal dunia seperti penyanyi Kylie Minogue, Micheal
Jackson dan lain-lain lagi. Bila saya tengok mereka, mereka seronok
bekerja (menyanyi atau berlakon) kerana mereka dapat buat apa yang mereka
suka. Bila kaji kehidupan mereka, rumah mereka besar-besar kerana berjaya
dalam hidup. Dari situ, saya tanam cita-cita untuk jadi seperti mereka.
Disebabkan saya tidak pandai menyanyi, maka saya perlu mencari jalan lain
untuk mencapai kejayaan.
Siapa pelakon yang diminati?
Tom Cruise, Tom Hank dan Nicole Kidman.
Apa kelemahan Irfan?
Saya mudah lupa terutama membabitkan nombor. Semasa sekolah dulu, saya
tidak minat dengan subjek Matematik dan subjek-subjek lain yang berkaitan
dengan nombor. Semasa sekolah dulu, saya selalu tidak lulus subjek
Matematik dan Perakaunan.
Apa falsafah hidup Irfan?
Kejayaan tidak akan datang bergolek. Kita perlu sentiasa bekerja keras
untuk mencapai matlamat. Masalahnya sekarang, ramai yang suka mengambil
jalan singkat.
Tetapi Irfan sendiri membuktikan kejayaan boleh dicapai dengan jalan
singkat?
Tidak, saya tidak mendapatkan kekayaan ini dengan jalan singkat. Saya mula
menetapkan sasaran saya pada umur 18 tahun. Hari-hari saya mengulangi
hasrat saya, hari-hari juga saya membaca buku ke arah merealisasikan
hasrat saya. Setiap satu atau dua minggu, saya akan menghabiskan sebuah
buku. Kalau bukan bersungguh-sungguh, orang lain tidak akan melakukan apa
yang saya lakukan. Usaha ini berterusan sehingga tujuh tahun. Tujuh tahun
bukanlah satu jangka masa yang singkat. Saya berjaya semasa berumur 25
tahun.
Apa perasaan menjadi jutawan pada usia muda?
Saya rasa ada ramai lagi jutawan muda di luar sana. Mungkin kejayaan
mereka tidak dihebahkan. Saya pula lebih suka berkongsi pengetahuan yang
ada dengan orang lain.
Sukarkah untuk menjadi kaya?
Tidak susah kalau kita tahu jalannya. Paling penting kita mesti buat apa
yang kita minat. Kalau kita minat, kita kerja dari pagi ke malam, tidak
akan rasa ia sebagai beban.
Apa makna wang pada Irfan?
Walaupun saya kata wang perkara kedua dalam hidup, tetapi saya tidak
pernah ada tanggapan negatif pada wang. Sesetengah orang kata, duit banyak
bukan boleh bawa masuk ke kubur. Tetapi kita kena terima hakikat dengan
duit, kita boleh buat keluarga gembira selain kalau kita mati pun, wang
masih berguna kerana kalau kita ada yayasan, ia masih boleh membantu
kerana ia merupakan amal jariah berterusan kita.
Pernah terfikir untuk menubuhkan yayasan sendiri?
Memang ini sebahagian daripada perancangan saya. Dan saya rasa ini konsep
yang sepatutnya mereka yang mampu, amalkan.
Bagaimana Irfan membelanjakan wang?
Saya banyak belanja kepada perkara yang berkaitan dengan perniagaan saya.
Saya bukan seorang yang boros sebaliknya lebih suka melabur semula wang ke
dalam bidang yang memberi pulangan misalnya hartanah.
Apa aktiviti tahunan yang sering dilakukan bersama keluarga?
Setiap tahun saya akan membawa keluarga melancong ke luar negara. Dalam
negara pula dalam dua atau tiga kali setahun.
Percutian bagaimana yang disukai?
Yang ada permainan atau tempat hiburan seperti Disneyland dan Under Water
World (ketawa). Selain bawa anak-anak, saya dan isteri memang suka
tempat-tempat begini. Satu lagi yang kami tidak akan ketinggalan ialah
melihat rumah mereka yang berjaya kerana ini akan lebih merangsang diri
saya.
Tempat yang menjadi impian Irfan dan keluarga untuk dilawati?
Kami ingin melawat Sepanyol. Di sana ada Under Water World terbesar di
dunia.
Bagaimana Irfan fikir orang lain melihat Irfan?
Penampilan saya atau cara saya membawa diri saya mahu orang senang dengan
saya. Saya lebih suka kalau masyarakat melihat saya sebagai seorang yang
boleh memberi inspirasi dan meningkatkan keyakinan untuk mencapai kejayaan
daripada melihat saya sebagai seorang jutawan.
Apa yang Irfan banggakan tentang diri Irfan?
Saya dapat menggembirakan keluarga dan dapat melakukan kerja yang saya
suka.
Apa yang selalu diimpikan?
Saya mahu semakin maju dan berjaya dalam hidup. Kalau boleh saya hendak
membantu orang lain mencapai kejayaan.
Bila masa paling menggembirakan Irfan?
Sewaktu saya mendapat anak.
Apa yang Irfan rasa sekarang?
Pernah juga saya terfikir dulu saya tidak minat subjek Ekonomi, Matematik
dan subjek-subjek nombor yang lain tetapi sekarang saya terlibat secara
langsung (ketawa). Malah sekarang bila jumpa kawan-kawan, mereka pelik,
macam mana dulu tak suka kira-kira duit, sekarang boleh membuat duit.
Jawapan saya ialah, saya buat apa yang saya minat dan bekerja keras, duit
akan datang dengan sendiri selepas itu.
Siapa yang banyak
mempengaruhi hidup Irfan?
Untuk berjaya dalam bidang yang saya ceburi sekarang kebanyakannya diri
saya sendiri. Emak dan ayah memang ada memberi dorongan tetapi daripada
jauh. Selepas tamat pengajian di UK, saya banyak menghabiskan masa dengan
membaca buku-buku tentang kejayaan orang lain.
Irfan anggap diri terkenal sekarang?
Belum lagi rasa-rasanya (ketawa). Kalau ikutkan saya, saya lagi ramai
kenal wartawan yang interviu daripada kawan-kawan. Dunia luar memang saya
kurang tahu.
Suka dengar muzik?
Saya minat rock tetapi rock Barat. Kalau di Malaysia, saya suka KRU. Saya
pilih KRU kerana mereka business minded. Bila tengok muzik, saya tidak
tengok muzik sahaja tetapi tengok siapa orangnya - apa kejayaan-kejayaan
yang telah mereka capai.
Harapan Irfan?
Mahu membina keluarga yang bahagia dan berjaya. Saya juga harap dapat
meneruskan kerja dengan lebih cemerlang lagi.
Apa yang Irfan kesalkan?
Ada pihak-pihak tertentu menyalahgunakan nama saya. Mereka kaitkan saya
dengan skim piramid online. Saya bimbang orang ramai akan fikir cara itu
betul padahal kejayaan saya tiada kaitan langsung dengan skim piramid yang
dimaksudkan. |