Pengendalikan Sorotan Bahan (Literture Review) dalam Kajian Kualitatif

Hamida Bee Bi Abdul Karim
University Utara Malaysia
Sintok
Kedah

Date: 26 October 2001
Time: 10.00-10.30
 

Seseorang pengkaji mestilah mengkaji sebanyak mungkin bahan kajian yang telah dijalankan sebelumnya.  Proses ini  bermula di peringkat awal kajian, iaitu sebelum sesuatu masalah dikenal pasti, di sambung hingga sewaktu membuat kajian, dan dikaji semula selepas pengkaji selesai menjalankan kajian.  Ini bermakna sorotan bahan adalah suatu proses yang berterusan atau on-going (Merriam, 1990).
Seorang pakar dalam bidang tertentu akan menjalankan sorotan kajian yang meluas sebelum memulakan sesuatu kajian kualitatif.  Walaupun beliau mungkin tidak mendapat sebanyak bantuan yang diharapkan, namun ianya akan membantu mengelakkan beliau dari mengulangi semua kesilapan pengkaji yang lalu.  Bagi seorang pengkaji baru pula, beliau akan bersemangat atau excited dengan apa yang ingin dikajinya.  Oleh itu, menjalankan sorotan bahan akan membantunya melihat dulu apa yang telah dijalankan oleh orang lain.  Adalah penting juga bagi beliau mengetahui bagaimana dan di mana untuk memulakan pencarian bahan bagi sesuatu kajian kualitatif itu.
Kertas ini akan membincangkan apa itu sorotan bahan  dalam kajian kualitatif, dan menumpukan perhatian pada dua jenis bahan iaitu dari  kajian yang berasaskan data (data-based research)  dan penulisan yang tidak menggunakan data (non-data based research).  Seterusnya, perbincangan akan ditumpukan pada fungsi sorotan bahan,  dan saya telah  merumuskan sepuluh (10)  fungsi semuanya. Antara fungsi ini  termasuk memahami dan mengenali bidang kajian yang diminati; mendapat bantuan bagi mengenal pasti idea, objektif kajian, reka bentuk kajian dan kaedah kajian yang akan dijalankan; membantu pengkaji memahami kaedah atau prosedur yang sesuai bagi sesuatu kajian kualitatif yang akan dijalankan; mengenal pasti sempadan (boundary) kajian dan seterusnya mengelak menjalankan kajian tentang bidang atau tajuk yang kurang disenangi, kurang popular, atau sensitif di kalangan masyarakat setempat atau pihak tertentu.
Seterusnya, pembentangan ini akan membincangkan kenapa seorang pengkaji perlu menjalankan sorotan bahan dalam kajian kualitatif.  Menurut Dewey, sorotan bahan adalah satu pelaburan yang amat berguna, terutama dari segi masa yang digunakan di perpustakaan.
Aspek terakhir yang akan disentuh ialah cara mengenal pasti bahan yang sesuai atau patut dibaca dan dinilai oleh pengkaji, dan proses ini boleh dilakukan melalui penggunaan 'bahan utama' (primary sources) dan 'bahan sekunder' (secondary sources).