Laporan Kongres Anak Muda dan Pelajar (JERIT)
Ini adalah kongres pertama untuk kumpulan anak
muda pelajar, salah satu jaringan yang wujud di dalam JERIT, selain jaringan
pekerja ladang, jaringan pekerja kilang, aringan petani dan jaringan peneroka
bandar. JERIT adalah singkatan kepada Jaringan Rakyat Tertindas. Ia adalah
inisiatif baru untuk menggabungkan dan mewujudkan satu jaringan baru semua
kumpulan masyarakat yang menjadi mangsa sistem politik, sosial, ekonomi dan
pentadbiran negara yang berat sebelah kepada segelintir kecil golongan
berada dan kaya.
Kongres ini diadakan pada 17 November 2002 (Ahad)
bertempat di DEMA house, Petaling Jaya. Ia sepatutnya bermula pada pukul 10 pagi,
tetapi kerana menunggu kehadiran semua perwakilan, ia dimulakan pada pukul 10.30
pagi. Jumlah perwakilan yang datang pada hari itu adalah 20 orang termasuk
koordinator kongres.
Agenda pertama adalah sesi suai-kenal dimana setiap peserta memperkenalkan nama masing-masing dan juga kumpulan apa yang mereka sertai. Wakil daripada setiap kumpulan menerangkan secara ringkas perihal kumpulan masing-masing disusuli oleh soalan-soalan daripada perwakilan yang lain. Kumpulan-kumpulan yang hadir pada hari itu adalah Network of Solidarity Collective (NOSC), Food Not Bombs (FNBKL/PENANG), Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JKMI), Peka Tegas Ikhlas (PTI), dan Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA) yang juga selaku koordinator kongres. Dukacitanya Universiti Bangsar Utama (UBU) tidak menghantar sebarang wakil mungkin kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan.
Lebih kurang pukul 11.00 pagi, kongres bergerak
kepada agenda kedua yang difasilitatorkan oleh dua orang wakil daripada DEMA.
Tetapi sebelum agenda diteruskan, diadakan satu permainan yang bertujuan supaya
setiap orang mengingati nama rakan-rakan baru daripada perwakilan yang lain.
Selepas itu kongres terus kepada pengenalan mengenai JERIT (Jaringan Rakyat
Tertindas). Agenda ini merangkumi; apa itu jerit secara umum, tujuan penubuhan,
bagaiman ia akan berfungsi dan gabungan-gabungan kumpulan lain yang telah ada di
dalam JERIT. Sesi soal jawab dibuka semasa penerangan ini dijalankan. Selepas
itu, fasilitator memberi penerangan mengenai Gabungan Anak Muda dan Pelajar,
mesyuarat-mesyuarat awal yang telah mereka jalankan dan juga kumpulan-kumpulan
yang ada sekarang dalam gabungan ini (iaitu NOSC, FNB, JKMI, PTI, DEMA dan UBU).
Dalam sesi ini juga diberikan secara detail mengenai objektif JERIT dan juga apa
yang kita akan lakukan dengan gabungan anak muda dan pelajar ini. Pada pukul
11.45, kongres ke agenda seterusnya iaitu sejarah perjuangan pelajar. Seorang
wakil daripada persatuan bahasa Tionghua (PBT), Universiti Sains Malaysia yang
juga ahli DEMA menceritakan sejarah PBT dan penindasan-penindasan yang telah
mereka yang menyebabkan mereka bangun dan memperjuangkan hak mereka, terutamanya
dalam hak berpersatuan dan beraktiviti. Pada pukul 12.00 tengahari, diadakan
tayangan VCD mengenai JERIT selama lebih kurang 15 minit disusuli dengan satu
permainan supaya keadaan menjadi tidak membosankan kepada semua. Selesai sahaja
permainan, diadakan satu bengkel dimana perwakilan dibahagikan kepada 3 kumpulan
di mana setiap kumpulan kena berbincang dan mencatatkan idea masing-masing
berpandukan lingkungan topik yang telah diberi untuk dipersembahkan
(presentation) selepas perbincangan selesai. Secara keseluruhannya, hasil
daripada pengumpulan idea daripada setiap kumpulan tadi menjawab: masalah utama
yang gabungan ini akan tangani, misi penggabungan ini dan yang paling penting
tuntutan-tuntutan relevan yang gabungan ini laksanakan dalam konteks
menghapuskan penindasan. Secara kasar, hasil daripada agenda bengkel ini
wujudlah rangka perkara fokus yang akan dijuangkan dan dihadapi oleh gabungan
ini. Perbincangan dan presentation berakhir pada pukul 1.30 petang di mana
selepas itu kongres berehat untuk makan tengahari, solat dan sebagainya.
Kongres disambung balik lebih kurang pukul 3.00
petang. Sebelum misi dan tuntutan-tuntutan ini disenaraikan secara rasmi
diadakan perbincangan mendalam dan perdebatan ke atas idea-idea yang telah
tersenarai tadi untuk mencapai konsensus keatas tuntutan-tuntutan yang
dipersetujui oleh semua perwakilan. Aktivit ini selesai pada pukul 3.30 dan
diadakan satu lagi permainan sebelum kongres bergerak pada aktiviti seterusnya
iaitu perancangan aktiviti lanjutan untuk gabungan ini dan kalendar aktiviti.
Permainan terakhir ini agak menarik dimana setiap perwakilan kembali bertengan
selepas sesi perbincangan yang cukup meletihkan.
'Brainstroming' ke atas aktiviti - aktiviti
bersama yang dirasakan relevan untuk masa - masa hadapan dijalankan. Beberapa
aktiviti seperti membuat leaflet, promosi gabungan, piknik dan pelancaran kempen
tersenarai daripada 'brainstorming' itu. Selepas itu dirancang aktiviti -
aktiviti untuk masa 6 bulan terawal bermula pada Disember 2002 hingga Mei secara
lebih terperinci dalam kalendar aktiviti. Agenda terakhir ini berakhir lebih
kurang pukul 4.45 petang. Sebelum kongres ditamatkan, setiap perwakilan diminta
menyatakan komen dan kesimpulan ikhlas masing - masing ke atas kongres yang
pertama ini. Kongres ditamatkan selepas setiap perwakilan menyatakan komen
mereka. Para perwakilan bersalam - salaman dan perwakilan beransur pulang.
Laporan oleh: Pudin (NOSC/FNBKL)