Aku memandang dia dari jauh. Budak kecil hingusan itu sudah besar sekarang. Budak kecil yang sering kubuli dan menangis pulang..merajuk kerana tak dapat aiskrim atau gula-gula dariku. Kini dia sudah besar..menjadi dewasa dan tidak layak lagi untuk kubuli seperti dulu-dulu. Namun, hatiku pedih mengenangkan dia kini semakin jauh dariku. Hampir 4 tahun aku tidak menemuinya, lantaran diriku merantau jauh. Perhubungan mesra sejak kecil akhirnya merenggang pabila masing-masing meniti dewasa.
Aku memerhatinya lagi. Sedang menyanyi-nyanyi kecil sambil tangannya cekap menyidai kain. Budak kecil yang berbasikal ke sekolah seiringan denganku kini sudah jauh berubah. Budak kecil itu sudah besar sekarang...paling manis senyumannya..paling memikat bicaranya..paling bersinar bundar matanya. Sikap manjanya tidak hilang. Bila ketawa, begitu manja bunyinya dan kedengaran merdu. Ibarat lagu yang tidak pernah jemu diputar. Buat hatiku berdegup kencang. Tidur tak lena, makan tak kenyang, mandi tak basah. Begitulah perumpamaan paling tepat untuk mengungkap betapa dia begitu memberi kesan dalam hidupku.
Di taman perumahan damai inilah tempat kami membesar bersama. Dan di sinilah taman permainan kami sedari kecil. Bertahun-tahun dia menjadi jiranku yang hanya selang dua buah rumah. Kini, dialah paling ayu dan comel di taman ini. Lebih tepat..taman hatiku.
Namun tidak semua mawar yang kembang mekar di taman itu dapat dipetik dan dicium wanginya. Berkali-kali aku mencuba, tetapi asyik terkena duri. Reaksinya ketika aku cuba berkias, sentiasa menganggap aku tak lebih seorang abang. Tak pernah dia mengambil serius kata-kataku yang penuh makna. Paling tidak dia akan berkata, "Abang ni suka bergurau laa".Kemudian cepat-cepat menukar topik yang langsung tiada kaitan. Mengikut rentaknya yang jinak-jinak merpati, aku cuba bertahan hajatku ingin menyuntingnya. Aku sering berkata.."Masih ada masa.." Aku tahu dia pasti terkeliru kerana selama ini aku dan dia ibarat hubungan adik-beradik. Tapi itu dulu. Sebelum aku cukup dewasa untuk mengenal apa itu cinta, sayang dan rindu. Kini baru kumengerti penantian itu suatu penyeksaan.
Namun, sepulanganku dari perantauan, aku menerima khabar yang paling mengusik naluri kelakianku. Kini mawar pujaan bakal menjadi milik orang. Sungguh sayu hati ini. Aku menyalahkan diriku..Mungkin aku agak terlambat menyuarakan isi hati secara terus-terang dan tulus. Salahku kerana tidak bertegas tentang soal hati dan perasaan dengannya dahulu. Budak kecil yang sudah besar sekarang sudah semakin jauh dariku. Si comel ini akan melalui peralihan hidup yang paling penting dalam kehidupan seorang gadis. Sayangnya...aku tidak akan lagi menjadi seseorang yang menjadi keutamaan dalam hidupnya. Benarlah, dia semakin jauh..jauh dariku.
Aku sedar..aku hanyalah seorang abang bagi dirinya. Tempatnya mengadu dan kadangkala bergantung dahulu. Tempatnya merajuk dan berkongsi cerita. Saat-saat indah itu akan berlalu sebaik saja dia menjejak gerbang perkahwinan. Aku tidak akan lagi didatanginya untuk duduk berbual-bual mesra atau meminta pertolongan. Dia akan mendapat teman baru yang merupakan sebahagian dari hidupnya. Aku tidak akan lagi menjadi orang penting. Aku bukan lagi keutamaannya untuk merujuk atau meminta pendapat. Watakku sebagai abang akan berakhir sudah. Dia akan pergi ke tempat baru..jauh-jauh dariku. Dan sekiranya dia pulang ke taman perumahan ini, aku pula yang akan pergi. Aku tidak sanggup lagi bertentangan mata dengannya setelah dia bergelar isteri orang....apabila impian dan angan-anganku musnah untuk memilikinya secara sah.
Aku ingin menyapanya seperti kebiasaanku dahulu. Tetapi suaraku tidak keluar. Aku cuma memerhati. Setiap gerak langkahnya kuamati. Dia sudah habis menyidai. Ampaian sudah penuh dan tidak mungkin lagi dia akan keluar untuk menyidai basuhan kedua. Dia melangkah masuk ke dalam rumah. Tutup pintu dan hilang dari pandanganku.
Aku termenung lagi. Kepulanganku kini ibarat tiada makna. Tiga tahun aku bertungkus-lumus belajar di luar negara dan membawa segulung ijazah. Kini memiliki perkerjaan yang baik dan bertungkus-lumus pula mencari rezeki di ibu negara. Segalanya kerana dia. Aku menghimpun segalanya untuknya...untuk membina mahligai bahagia yang cukup stabil dari segala segi. Aku tidak mahu dia merana keranaku..lantaran itu aku tidak pernah menyesal bersusah-payah dahulu demi kebahagiaannya. Namun kini aku menyesal tak sudah kerana lamaranku telah didahului oleh orang lain.
Tetapi sayangnya dia tidak tahu. Dia tak pernah tahu rancanganku yang begitu rapi untuk melakar kehidupan dan masa depan bersamanya. Aku telah memendamnya sekian lama. Mungkin aku begitu yakin dia tidak akan jatuh ke tangan orang lain. Aku begitu pasti lambat-laun dia akan menerimaku bukan hanya sebagai seorang abang, tetapi seorang kekasih dan nyawanya. Aku telah merancang segala-galanya...Tetapi benarlah kata orang, kita hanya mampu merancang, tetapi segala-galanya di tangan Tuhan. Salahku kerana tidak pernah berkongsi perancangan yang satu ini dengannya. Dia tidak boleh dipersalahkan kerana sememangnya dia tidak tahu. Dia tidak pernah tahu betapa dia begitu penting dan bermakna dalam hidupku.
Empat tahun tidak bertemu, memang rinduku sarat padanya. Selama aku bekerja di ibu kota, bukan aku tidak pernah pulang ke taman ini.Tetapi kesempatan bertemunya tidak ada. Bukan seperti dulu, sebelum pemergianku ke luar negara. Di zaman persekolahan, boleh dikatakan hari-hari kami bertemu. Sekolah kami sama, tempat tuisyen sama, malah jalan yang kami lalui pun sama untuk pulang ke rumah. Di zaman kanak-kanak, aku sering ke rumahnya dan dia juga sering bermain di rumahku. Kami sebaya cuma aku lebih tua beberapa bulan dengannya. Lantaran itu aku memaksanya memanggilku abang kerana aku sememangnya tiada adik untuk memanggilku dengan panggilan itu. Setiap kali dia memanggilku abang, aku berasa begitu perkasa dan naluri untuk melindunginya dari sebarang bahaya datang dengan sendiri. Dia memang selamat disisiku kerana aku tidak akan membenarkan sesiapa pun mengusiknya atau membuatnya menangis. Bagiku, hanya aku saja yang dibenarkan untuk membulinya dan bukan orang lain. Kerana buliku bukan tanda penguasaan tetapi tanda kemesraan dan gurauan. Aku begitu senang menyakatnya dan rasa seronok melihatnya mencebik muka kerana aku tidak melakukan apa yang dia mahu. Setelah merajuk, barulah aku menunaikan permintaannya. Seringkali dia meminta aku membelinya cokelat dan gula-gula. Dan aku pasti akan membelinya walaupun sekadar lolipop perisa sarsi.
Pabila aku meningkat remaja, mula bergetar rasa sayang yg aneh padanya..yg waktu itu aku masih mentah soal cinta. Aku membelinya cokelat yg lebih mahal dan istimewa...Vochelle. Dan bila kumula faham soal hatiku yg selama ini terkeliru, aku membelinya gula-gula HACKS yg kebiasaannya dijual di warung dan di mana-mana. Dia terkejut melihat perubahan ritma pemberianku. Namun tetap diterima dengan senyuman. Aku ikhlas memberi dan dia ikhlas menerima. Tak pernah mencebik walau tidak mendapat Vochelle seperti selalu. Tapi alangkah indahnya jika dia tahu di sebalik pemberian gula-gula itu terdapat kiasan yang paling agung dari sudut hatiku....Hanya Aku Cinta Kau Seorang.... Kini, setelah berita itu kuterima, aku mula faham kiasan itu tidak pernah sampai kepadanya. Salah aku juga kerana terlalu konservatif meluahkan isi hati.
Ketika aku diperantauan, memang kami kerap berutusan. Dia menceritakan pengalamannya bekerja di sebuah syarikat swasta sebagai kerani. Bagaimana dia tertekan kerana longgokan tugas dan bagaimana dia dibuli oleh rakan sekerja kerana dia paling adik di syarikatnya. Aku sering memberinya nasihat. Mengajarnya supaya tegas dan tabah. Dan dia juga sering mengingatkan aku agar belajar rajin-rajin, ingat pada Tuhan dan jangan lupa sembahyang di perantauan. Nasihatnya menjadi azimat bagiku ketika bergelumang dengan buku dan masalah hidup di perantauan. Tetapi isi surat kami hanya terkandung ayat-ayat persahabatan dan persaudaraan. Tidak pernah penanya tergelincir mengutarakan soal hati dan perasaan. Dan aku juga tidak pernah cuba menyentuh isu yang satu ini walaupun hatiku hanya Allah saja yang tahu. Aku tidak pasti samada dia tidak menyentuh hal itu kerana sememangnya dia tidak pernah memikirkannya. Dan dia tidak pernah memikirkannya kerana perasaannya memang tiada padaku. Sememangnya aku tidak tahu kerana aku juga tidak pernah bertanya padanya..Salah aku kerana tidak bertindak sedari dulu...Kenapalah aku tidak berterus terang saja dari memendam isi hati?? Itulah kesilapan terbesar dalam hidupku.~~~~~~~~~~~~
Di taman permainan perumahan ini, yang hanya beberapa langkah dari rumahku dan dia, aku mencari kembali bangku panjang marmar yg pernah aku duduk-duduk bersamanya 4 tahun lalu. Ketika aku menyampaikan berita gembira tentang penerimaan permohonanku ke luar negara. Waktu mendengarnya, dia menjerit kesukaan. Terloncat-loncat seolah-olah dia yang diterima masuk ke universiti tersohor itu. Dia begitu gembira. Abangnya sudah berjaya katanya. Namun aku tahu di sudut hatinya yang paling dalam, dia resah. Permohonannya sekadar ke IPTA masih tiada jawapan. Sedangkan hari mendaftar IPTA untuk semester baru semakin hampir. Dan paling sedih, tika berita di TV dan akhbar menunjukkan kegembiraan pelajar baru mengangkat sumpah varsiti, dia terperosok di bilik, menangis kerana tidak bersama kelompok pelajar yang berjaya itu. Melihat dia bersedih, aku lagi bersedih. Namun aku tidak dapat berbuat apa-apa. Kecuali menasihatnya agar tidak putus asa dan mencuba saluran lain untuk sambung belajar. Selain IPTA, bukankah ada kolej, institusi dan IPTS yang lain. Malangnya dia mengubati kekecewaannya dengan menyambar peluang pekerjaan pertama yang ditawarkan kepadanya. Kerani Akaun di sebuah syarikat kontraktor. Dia kelihatan gembira bekerja, dan aku berasakan aku patut gembira dengan keputusannya. Aku melakar rencana utk membantunya belajar lebih tinggi di masa depan...Tapi masa depan aku bersamanya sudah musnah...ditiup angin kencang berita persandingannya yg bakal berlaku.
Bangku panjang itu masih ada. Walau nampak kusam dimamah cuaca yang berubah-ubah. Terdapat retakan marmar bersama serpihannya yg pecah di sana-sini. Tetapi fungsinya sebagai bangku tempat orang duduk menghilang penat atau sekadar duduk-duduk masih kekal. Masih berguna dan semakin banyak peristiwa yang dilakarkan. Aku membersih daun kering yang terdapat di atasnya. Pohon kemboja bersebelahannya pun sudah tinggi. Masih kukuh berdiri. Bunga-bunganya ada yang jatuh layu di atas bangku. Harumnya tetap ada. Dulu aku sering mengutip bunga-bungaan ini dan membuat kalungan buatnya. Dia menghargainya dan akan menyimpan kalungan bunga itu hingga kering dan reput sendiri. Aku tersentuh kerana dia tidak pernah memperlekehkan sebarang pemberianku walau nilai materialnya tidak seberapa. Mungkin dia tidak pernah menilai sebarang hadiah melalui harganya, tetapi melalui nilai sentimental yg tersirat dalamnya. Itulah yang membuatkan jiwa lelakiku bergetar dan bertambah sayang padanya... Seorang gadis ayu yang sederhana tetapi sungguh memikat naluri lelaki yang rindukan kelembutan gadis Melayu.Kicauan burung yang pulang ke sarang menyedarkan aku tentang waktu yang berlalu.. Ah! Cukup lama aku di sini..mengimbau nostalgia lama yang indah bersamanya. Benarlah..hatiku ini terasa begitu dekat padanya walaupun di hari-hari terakhirnya meniti zaman gadis yang manis. Aku tak tahu bagaimana mungkin aku meluputkan segala keindahan nostalgia bersamanya..insan pertama yang kucintai....cinta pertama yang tidak pernah terucap...
Kakiku menapak pulang. Derap langkahku terasa berat. Dari jauh, aku dapat melihat riuh rendah suasana di perkarangan rumahnya. Kanak-kanak masih leka bermain walau langit makin menjingga. Kemeriahan sudah terasa. Pasti banyak sanak-saudara dan rakan taulannya bertandang membantu apa yang patut, menghulur bantuan seberapa yang terdaya. Aku melangkah dan terus melangkah.....
"Eh!! Abg Zal datang!!! Abg Zal datang!!! " kecoh Annie, anak saudaranya yang berwajah manis mengumum kehadiranku. Aku sendiri terkejut dengan gerak hatiku yang membawa aku ke muka pintu rumahnya.
"Annie..jangan kecoh2. Abg Zal nak balik ni.. Singgah sekejap saja.." kataku agak tersipu. Aku langsung tidak menyedari langkahku telah membawa jasadku ke sini, sedangkan fikiranku tadi di awang-awangan...bergelumang dengan perasaan sedih, rindu, hiba dan sebak.
Kehadiranku tidak semena-mena menarik perhatian kumpulan anak-anak kecil yang tadinya asyik bermain sesama sendiri. As Comel, Cindai, Acik, Ayu, Bedah, Maf, ILL, Eja, Nita, Fiera, Eaz, Ina dan beberapa lagi anak buah dan sepupunya mula mengerumuni aku. Bagai kanak-kanak Ribena...menyambut kedatanganku dengan riang ria. Sebagai anak bongsu dari 8 orang adik beradik, dia memang kaya dengan anak saudara. Tak dapat kuingat nama semuanya. Joe yang pemalu tersengih-sengih menunjukkan 'braces'nya, sambil tangannya menggengam tangan Enny. Mereka berdua memang tidak boleh terpisah. Selalu bermain bersama.
" Laa Faizal...kenapa tak masuk rumah?? Dah sombong ye sekarang ni..Balik diam-diam, langsung tak berbunyi..Apa engkau sudah tak ada hidungkah??" Entah dari mana datangnya, Ojay, abang sulungnya, meleteriku sambil menarik tanganku masuk ke dalam. Aku sedikit gementar. Aku belum bersedia untuk bertemu dengannya, tetapi ekor mataku tak dapat kutahan dari menjeling-jeling ke segenap ruang mencari kelibatnya.
Di sudut ruang tamu, kakak-kakaknya, Kak Uda, Kak Jaz, Kak Zeha dan Kak Zie sibuk mengarang jambangan bunga-bungaan. Ayahnya yang sejak kecil kupanggil U.N.C.L.E pula sedang sibuk melayan karenah cucu-cucunya, Hanie dan Fara bermain anak patung itik dan beruang.
"Eii... main itik jauh-jauh..... gelilah dengan anak itik ni..." Kak Jaz cepat-cepat menolak anak patung itik yang dibaling oleh U.N.C.L.E. Aku hanya ketawa geli hati melihat karenah Kak Jaz yang sedari dulu geli dengan itik.
"Papa! Papa! Jom main yoyo dengan Kuzi..." si comel Kuzi menarik-narik baju Abg Jef, abang ke-2nya, yang sebelum ini merantau ke Eropah, berkhidmat dengan pasukan keamanan. Kemudian datang pula Aida dan Didie, merengek meminta Abg Jef membeli 'Lastik Kapalterbang' pula untuk mereka. Aku kagum dengan Abg Jef, seorang ayah dan abg penyayang bagi anak-anak dan adik-beradiknya. Sentiasa padat dengan kata-kata nasihat.
"Jangan main kat luar..dah senja ni..nanti kena sakat Toyol NaKaL" pesan Abg Jef.
"Toyol Nakal???? Papa!!!!! Takut!!!" teriak Aida dan Didie lalu bertempiaran lari.
"Didie takut??Boo!!! Orang tak takut hantulah!!! " sampuk si tomboy Eaz, menyakat Didie.
Di depan TV, Ayu dan Zain, sepupunya yang cilik sedang bermain congkak.
"Alaaa Zain, kasi can laa Ayu menang pulak..asyik Zain je menang.."rengek Ayu, merungut.
"Mana boleh..tak macho ler kalau Zain kalah.." jawab Zain tersenyum-senyum.
"Kalau cam tu, Ayu tak nak kawan ngan Zain lagi laa....Zain jahat!" rajuk Ayu sambil memuncung.
"Ayu, janganlah merajuk macam tu.Zain tak jahat... Zain suka kawan dengan Ayu. Ok..besok Zain bawa Ayu ronda-ronda naik basikal ye..."pujuk Zain.
"Ok!! Nak! Nak!" Hilang muncung Ayu. Senyum balik.
Dalam aku asyik memerhatikan kemeriahan kasih sayang dalam rumah ini, bau aroma segar melewatiku..cukup kukenal aroma itu. Naluriku kuat mengatakan sesuatu. Cepat-cepat aku menoleh. Berdiri dibelakangku adalah seorang gadis berambut basah dengan aroma syampu buahan-buahan sitrus yang tidak pernah berubah.
Anak mata kami bertemu. Aku terkaku. Tiada suara yang mampu terkeluar kerana diriku sudah terfana dalam mencurahkan kerinduan yang sarat. Semakin ayu dia....malah semakin memukau jiwaku setelah bertahun tidak bersua.
Jika tidak kerana aku lelaki Melayu yang masih berpegang kepada agama dan nilai ketimuran, aku pasti memeluknya dalam keharuan.
"Zal...bila balik? " Pertanyaan pertama yang keluar dari bibirnya. Aku terpaksa meraup wajahku untuk kembali ke realiti.
"Baru semalam. Cuti sampai hujung minggu ini..."kataku sambil cuba berlakon bagai tiada apa-apa yang bergelumang dalam lubuk jiwaku.
"Untuk Reen?" tanyanya lagi. Ringkas tapi pertanyaan yang cukup bererti...
"Ya..untuk Reen. Sempena meraikan hari bersejarah dalam hidup Reen.." nada suaraku amat perlahan. Tapi dia mendengar.
"Terima kasih, Abang...." Perkataan abang yang terucap dibibirnya membuat hatiku kembali bergetar. Indahnya sekiranya aku mendengar perkataan itu terucap selalu dari bibirnya sepanjang hayatku.
Kemudian kami terdiam lagi. Terperangkap dalam emosi masing-masing. Aku tidak pasti apa yang sedang bermain di fikirannya tetapi aku cukup pasti dengan perasaanku. Aku terlalu merinduinya. Tak terdaya rasanya menanggungnya.
Matanya memandangku begitu tajam. Seperti ada kuasa telepati , aku dapat merasakan dia ingin mengatakan sesuatu yang penting kepadaku. Isyarat matanya begitu jelas. Tetapi ia ternoktah apabila UNCLE tiba-tiba datang menepuk bahuku.
"Faizal..dah besar sekarang. Bila kamu pula nak kahwin? " soalan cepu emas sudah sampai. Sebenarnya aku amat tidak seronok diajukan persoalan kahwin. Bukankah harapanku sudah musnah sekarang? Tidak dapat kubayangkan duduk di atas pelamin dengan wanita selainnya....
"Tak tahulah UNCLE.. hati Zal rasa dah tertutup..belum terbuka lagi untuk orang lain..."Ayat itu tanpa sedar tergelincir dari bibirku. Dia merenungku semakin tajam. Aku rasa seperti kena panah!
"Eh..macam orang patah hati aje..Kamu frust bercinta ke Zal?? Biasalah anak muda..cepat jatuh cinta...cepat juga terluka.." UNCLE mula berfalsafah tanpa mengetahui apa sebenarnya maksud tersirat di sebalik kata-kataku.
"Abg Faizal..dah pukul 0710 hours...Dah Maghrib" celah Didie yang sejak dulu sentiasa menjaga waktu. Didie kadangkala dipanggil Dahan oleh sepupu-sepupu nakalnya.
Azan Maghrib sememangnya telah menyelamatkan aku. Aku meminta diri untuk pulang bersolat. Reen menghantar aku pulang dengan renungan matanya yang tak dapat kutafsirkan...
~~~~~~~~~~~
Dinihari.....
Bunyi unggas memecah kesunyian malam. Lenaku hanya sekejap cuma. Aku terjaga dalam keresahan. Terus kucapai gitarku yang berhabuk kerana lama tak terusik. Ah...memang lama aku tidak memetik gitar yg penuh nostalgia ini. Dulu, Reen selalu memintaku mengalunkan lagu-lagu kesukaannya. Setiap kali aku memetik gitar untuknya, dia akan mendengar penuh asyik seolah-olah aku sudah berjaya menawan hatinya dengan melodi yang kualunkan. Aku juga pernah mencipta lagu istimewa untuknya. Lagu yang masih tidak bertajuk tetapi ia sarat dengan melodi cinta yang tiada berlirik. Liriknya hanya hati aku saja yang tahu... Pertama kali kutujukan untuknya, dia cukup gembira tanpa menyedari ia adalah sebuah lagu cinta untuknya.
Aku lantas keluar menghirup angin malam yang segar. Bersama gitar usang, aku melangkah kembali ke taman. Dulu aku mempunyai grupku sendiri yang akan berkumpul pada malam-malam tertentu di taman ini untuk bermain gitar. Kadang-kadang sampai lewat malam kami duduk-duduk di taman ini sambil menghayati keindahan malam. Bukan kami kaki lepak..grup kami tidak pernah ditegur kerana menganggu ketenteraman awam, tidak pernah diusir dan tidak pernah dijadikan port utk aktiviti-aktiviti yang tidak sihat. Kami cuma berkongsi hobi bermain gitar. Malah grup kami yang terdiri dari anak-anak muda selalu dipanggil untuk membantu aktiviti2 kemasyarakatan di perumahan ini. Dan kesemua kawan-kawanku kini telah berjaya dalam bidang masing-masing. Aku merindui Beluncas, Salim, 'Ikan Masin', Body, Kantoi, Qusay, Sapi dan beberapa kawanku yang telah membawa haluan hidup sendiri. Tak silap kawanku Sapi yang bertubuh kurus itu telah berkahwin dengan Hannis, rakan sekelasku dahulu. Kini Hannis sudah bergelar pendidik bangsa.
Aku mencari bangku marmar di bawah pohon kemboja. Di situ aku kembali bersunyi-sunyi sambil memetik gitarku.. Di malam sepi ini barulah kudapat kembali semangatku yang hilang..Kualunkan sebuah lagu yang mendayu-dayu...ibarat melagukan bisikan hatiku sendiri....
Aku bersandar...termenung..dan kembali memetik gitar. Habis satu lagu, termenung lagi. Kemudian bersandar dan mengalunkan satu lagu lagi...Begitulah sehingga aku tidak sedar ada mata yang sudah lama memerhati gerak lakuku.
"Reen!" Terkejut aku bila sekujur tubuh itu berada di sisiku. Jika bukan kerana aku mengenali Reen, sudah tentu aku ingat penunggu pohon kemboja yang menanti peluang mencekikku.
"Kenapa keluar waktu malam begini?? Kalau tertangkap basah nanti, kan susah!" Dalam keadaan kelam-kabutku, sempat mengusiknya. Dia hanya tersenyum..
"Dulu boleh..." jawabnya ringkas.
"Dulu lain Reen..zaman budak-budak. Lagipun ada Abg Ojay, Abg Jef, Abg Arm dan geng abang.." kataku mengingati peristiwa yang pernah terlakar di taman ini. Abang-abang Reen dulu rajin menyertai aku dan kawan-kawan bermain gitar, sambil bercerita hantu di malam buta. Reen akan merengek-rengek untuk turut serta. Sebagai adik paling bongsu dan manja, pastilah abang-abangnya akan menuruti kehendaknya. Dan aku cukup senang melayan karenah Reen yang mahu lagu itu dan lagu ini...
Reen menunduk..kemudian bersuara perlahan.."Angin malam telah membawa alunan gitar abang yg mendayu kepada Reen.."
Jauh di sudut hati, aku amat gembira dengan kehadiran Reen yang tidak diduga ini..Seperti magis, hatiku seakan menyanyi girang. Tetapi aku berasakan pertemuan ini tidak sepatutnya berlaku. Apatah lagi Reen akan bergelar 'Pengantin Baru'.
"Reen..baliklah. Tak manis kalau orang nampak.." Mataku memerhati sekeliling. Tiada orang tetapi aku tetap tak sedap hati. Takut juga jika ia menimbulkan fitnah.
"Reen akan pergi dengan syarat..jelaskan dulu beberapa perkara yang Reen benar-benar ingin tahu dari abang..."
Aku menjadi musykil. Apa perkara itu?? Apa yang Reen ingin sangat tahu dariku??
"Apa dia Reen? Kalau abang boleh jawab, abang akan jawab.." ujarku ingin tahu..
"Tapi abang mesti janji..jawab dengan sejujurnya. Jika abang tak jawab jujur, tak ada gunalah soalan ini berjawab..." katanya. Ada ketegasan pada nada suaranya. Aku pasti dia benar-benar mengharapkan suatu jawapan yang tulus dariku. Sedetik aku dapat meramal persoalan yang bermain di mindanya.
"Kita sudah dewasa sekarang. Sudah cukup matang utk menerima sesuatu dengan hati terbuka. Dan dalam usia kita yang sebegini sudah pastilah jua kita sudah cukup berani untuk berterus-terang..." Dia memulakan keseriusan bicara dengan begitu tersusun. Ah!! Terperangkap aku! Di manakah jalan keluar???.
"Apa maksud abang dengan kata-kata abang petang tadi??" Soalan pertamanya menuntut jawapan. Aku sudah agak!!
"Err..soalan apa Reen?" Aku pura-pura tidak ingat...pura-pura tidak mengerti.. Buat-buat tak tahu.
"Abang...masih mahukah berselindung dengan perasaan abang sendiri?? Kenapa abang masih tiada cukup keberanian untuk meluahkan isi hati?? katanya sambil menunduk. Sebak...
"Jika abang jujur..jawablah...Siapakah insan yang telah menutup pintu hati abang utk mencintai perempuan lain??" Dia masih mengharap suatu jawapan yang mungkin sudah terlalu lama membuat hatinya tertanya-tanya.
Apakan daya kelu lidahku. Terasa amat berat untuk menjawab soalannya. Perlukah aku menjawab soalan itu dengan jujur sekarang sedangkan kata-kataku mungkin akan menyebabkan dia rasa bersalah.. Atas kesalahan yang bukan dia yang patut memikulnya??
Aku berdegil. Tak mahu menjawab. Biarlah dia pulang dengan hampa asalkan dia tidak mengetahui kebenaran yang pahit. Biarlah aku seorang saja yang menelannya....Mengapa harus aku mengheretnya sama?? Ini soal hati dan perasaanku.
Malam kian kelam. Sepi..Tiada suara yang memecahkan keheningan di antara aku dan dia. Dia masih berdegil dan aku juga sepertinya. Degil! Aku menguis-guis rumput berembun dengan kakiku..sekadar mengisi masa yang bagai terhenti.
"Jika seorang Faizal Tahir tidak mampu menjawabnya, biarlah seorang Adriana Adelina yang menjawabnya..." Dia akhirnya beralah. Meroboh tembok kebuntuan.
Hatiku berdebar-debar. Sudah lama kutahu jawapannya tetapi aku ingin tahu jawapan yang keluar dari mulutnya pula.
"Insan itu adalah Reen..bukan? " Jawapannya bagaikan bom yang meledak. Tepat sekali!! Dalam keheningan malam inilah baru kuyakini selama ini aku tidak pernah bertepuk sebelah tangan. Tergerak ilham bahawa dia juga selama ini memendam perasaan... Namun apa ertinya lagi?? Dalam tempoh kurang 48 jam...dia akan memperolehi status isteri kepada seorang lelaki bertuah. Bukan aku...yang sungguh malang.
"Benarkah abang?" Dia bertanya serius. Aku mengangguk perlahan. Anggukan itu sudah lebih dari jawapan. Rasa beban perasaan yang kutanggung selama ini melayang keluar. Akhirnya dia tahu isi hatiku..
Dia menarik nafas panjang. Wajah yang tadinya serius menjadi muram.
" Kenapa abang tidak pernah berterus-terang?? Tidaklah hati ini tertanya-tanya..." katanya lemah.
Aku akur. Memang selama ini akulah yang bersalah. Malah rasa bersalah ini yang bakal kutanggung seumur hidupku nanti.
"Abang pernah mencuba...Reen.. Pernah berkias. Tapi Reen bagai tidak mengerti..." Aku cuba mempertahankan diri dan ego lelakiku...Dia menjeling tajam.
"Abang tetap abang. Selalu bermain dengan kata-kata berbunga. Kiasan tidak cukup, bang.. Soal hati perlu keberanian untuk meluahkannya. Mana mungkin Reen hendak mengerti sedalamnya jika kiasan itu tidak cukup jelas? Abang tiada kesungguhan. Kerana itu Reen kecewa..." Dia berhenti untuk menahan sebak.
"Reen sejak dulu menyayangi abang. Kasih sayang itu akhirnya bertukar cinta. Mungkin pada mulanya Reen keliru kerana kita sedari kecil rapat bagai adik beradik. Tetapi sampai masanya Reen sudah cukup matang untuk menafsirkan kekeliruan itu. Reen tidak keliru lagi dengan perasaan Reen, tetapi sebaliknya Reen keliru pada perasaan abang terhadap Reen..Reen tidak pasti samada abang turut menyimpan perasaan yang sama kerana abang tidak pernah memiliki keberanian untuk berterus-terang...Mahu salahkan Reen? Reen seorang wanita yang sudah pasti terlalu malu untuk memulakannya. Adakah abang sememangnya mengharap perigi mencari timba??" Ayat akhirnya memberi tamparan hebat buat diriku.
"Kenapa Reen menerima lamaran dia? Kenapa tidak menunggu lamaran abang??" Aku mencurah pula rasa tidak puas hatiku yang datang tiba-tiba.
Dia tergelak kecil. Mungkin lucu dengan pertanyaanku. Sememangnya dia gelak dalam marah.
"Abang! Lamaran abang tidak pernah sampai! Halangan apakah yang membuat abang begitu bertangguh sedangkan usia kita berdua sudah menginjak dewasa?? Adakah abang pernah memberi bayangan bahawa rombongan peminangan akan muncul di muka pintu?? Tidak abang..abang sama sekali tidak pernah seolah-olah abang langsung tiada perasaan terhadap Reen. Kenapa hati abang terlalu beku??" Dia mula menangis...Hatiku terus robek melihat manik-manik jernih mengalir jatuh ke rerumput..bergabung dengan embun dini...
"Tidakkah abang tahu sudah 3 lamaran ditolak semata-mata Reen masih percaya akan datang lamaran dari abang? Bila datang lamaran ke-4, orang tua mana yang tidak bising jika ia tetap diketepikan? Reen telah berhenti berharap di saat keluarga memberi kata putus menerima lamaran yang terakhir..."ucapnya tersekat-sekat.
Aku terkejut dengan fakta baru yang kuterima. Seakan tidak percaya dia melindungi sesuatu dariku selama ini.
"Reen tak pernah memberitahu abang tentang sebarang lamaran...Selalunya Reen rajin bercerita tentang itu dan ini ..." kataku dalam kekesalan. Dia mengesat air mata. Sendunya sudah terkawal. Dia merenung mataku dalam.
"Kerana Reen mahu abang melamar Reen ikhlas dari hati, bukan kerana terpaksa. Reen tak mahu jika Reen bercerita, ia umpama suatu ugutan bagi abang untuk masuk melamar.."katanya. Aku bungkam. Namun rasa tidak puas hatiku masih terbuku walaupun kesalahan itu sememangnya terletak dibahuku...
"Jika Reen benar menyintai abang, kenapa tidak tunggu saja abang?? Bukankah Reen sendiri dapat mengagak abang menyimpan perasaan terhadap Reen??"
Dia tersenyum tawar. Mungkin mengatakan betapa bodohnya seorang lelaki seperti aku...
" Cinta yang tidak disertai dengan kesungguhan. Cinta tanpa kata dan lafaz. Abang terlalu mengambil mudah dan yakin bahawa abang akan menang dalam setiap perkara. Kita bukan hidup dalam alam novel fantasi, di mana episod cinta, sehebat manapun likunya... selalu berakhir dengan kebahagiaan. "
Dia menyambung lagi...sedang aku tertunduk mendengarnya...
"Bagaimana dengan fitnah setelah 3 lamaran ditolak?? Seorang gadis tidak akan sunyi menjadi buah mulut orang jika setiap lamaran yang datang ditentangnya. Apatah lagi ada hati-hati yang patah kerananya. Abang tidak tahu kesengsaraan yang dilalui Reen. Abang terlalu jauh untuk merasainya. Janganlah abang rasa bersalah pula, kerana abang tidak bersalah. Anggaplah kita tiada jodoh.. Semua ini takdir dariNya...Namun malam ini Reen tetap berpuas hati kerana segala persoalan Reen telah terlerai..walau ia sudah terlalu lewat untuk Reen mengetahuinya.."
Reen kemudian menatap wajahku lama-lama, lalu berlalu pergi dengan wajah yang sungguh tenang...
Bagai ada darah yang mengalir ngilu dalam hatiku. Menghiris, merobek sehingga hatiku menjadi kaku...
"Janganlah Reen berkata begitu. Masih terlalu awal. Jika ada jodoh..kita pasti bersama walau tika itu usia kita sudah lewat senja. Abang akan mencari Reen semula..." bisikku yang hanya didengari angin malam...Tanpa tertahan, air mata lelakiku menitis...Sudah terlalu lama aku tidak menangis sehingga aku terlupa betapa hangatnya air mata itu.....
~~~~~~~~~~~~~
Bunyi kompang bertalu-talu. Meriah suasana menyambut pengantin baru. Anak kecil berlari-larian dengan baju baru. Si gadis cilik sibuk mengagih bunga telur serba ungu. Hanya aku saja bagai orang dungu...Tiada perasaan dan beku...Fikiran diselubungi awan kelabu...
Terngiang-ngiang kata-kata Reen saat aku hilang kewarasan cuba mempengaruhinya membatalkan perkahwinan yang hanya tinggal sehari lagi.
"Apa abang hilang akal?? Kita bukan berada di negara Barat yang perkahwinan senang-senang dibatalkan walaupun seminit upacara akan berlangsung! Reen bukan Julia Robert dalam Runaway Bride... Reen anak menghormati orang tua. Tidak sesekali Reen akan mencemarkan maruah keluarga kerana mengikut kata hati yang tidak waras..sekalipun terpaksa mengorbankan hati dan perasaan Reen sendiri...Apa abang ingat Reen ini Britney Spears..main-main dalam soal nikah kahwin??" Leternya dalam ketidakpercayaan dengan usulan bodohku.
Benarlah kata Reen. Aku sudah hilang akal. Mungkin sakit jiwa. Aku sendiri lucu apabila mengingat kembali. Betapa aku begitu terdesak.. Bersabarlah Faizal.....kamu bukan budak kecil lagi, kataku memujuk hati yang patah.
Di atas pelamin, duduk mempelai anggun bersongket ungu. Pasangan pengantin sama cantik sama padan. Mungkin mereka lebih serasi bersama. Aku perlu menelan hakikatnya.
Dia tersenyum. Renjisan air mawar mengharumi wajahnya. Ucapan tahniah dan puji-pujian dikalungkan. Semua mengatakan dia sungguh berseri di hari bahagia. Pengantin lelaki nampak begitu bangga sekali memiliki hatinya. Tapi benarkah hatinya sudah dimiliki sepenuhnya?? Atau aku masih memegang sebahagiannya??
Ah!! Cukuplah Faizal.... Jangan menyeksa lagi hatimu dan hatinya. Terimalah segala takdir dengan redha. Lepaskan dia pergi dengan hati terbuka...
Setelah sekian lama merenung jauh, pandangan kami akhirnya bertaut. Senyuman yang terukir menjadi tawar. Matanya redup..dan buat sekian kalinya dia menangis keranaku...
Cepat-cepat pengiring pengantin mengesat air mata yang tumpah. Tisu yang harum itu membuat air matanya kering semula. Dia kembali memaksa senyuman. Hadirin yang hadir turut tersentuh....pasti menganggap air mata itu air mata terharu seorang wanita yang kini bergelar seorang isteri kepada lelaki yang dicintainya. Aku tahu dia sememangnya dalam keharuan. Adakah aku silap menghadirkan diri??? Jika aku langsung tidak hadir, pasti segala kacau-bilau perasaan ini tidak akan wujud untuk menganggu hari bersejarahnya.
Kak Jaz menghampiriku. Menarik aku keluar dari ruang persandingan. Dia memandang aku dengan mata berkaca...
"Adik kini sudah selamat bernikah. Dia kini mempunyai tanggungjawab baru terhadap suaminya. Taat seorang isteri adalah suatu kewajipan. Doakanlah kebahagiaan adik...Sekiranya ada kisah lama antara adik dan Faizal...tutuplah kisah itu.. " ucapnya seakan merayu. Kemudian dia menggenggam tanganku...
"Hiduplah dengan memandang apa yang bakal terjadi di depan sana. Walau apa keadaan sekalipun, yang di hadapan perlu Zal hadapi. Jangan toleh cerita di belakangmu. Itu sudah pergi dan mati. Itu sudah jadi sejarah. Yang harus Zal beri perhatian adalah masa di hadapan. Walau pedih masa sekarang namun itulah kenyataannya kerana kita tidak dapat lari dan mencelah dari apa yang bakal terjadi di depan sana..."
Aku mengangguk. Kata-kata Kak Jaz itu membuat aku berpijak semula ke alam realiti.
Aku redha..Reen..Tapi jangan terkejut jika aku menyambar setiap peluang yang ada di masa depan untuk mencarimu semula bagi mengucapkan kata-kata cinta yang tak pernah kuucapkan selama ini. Aku bukan mendoakan perpisahanmu dengan suamimu..jauh sekali mengharapkan sesuatu yang buruk berlaku..Aku cuma percaya dengan kata-kata ada jodoh kita pasti bersatu... walau waktu itu kita sudah dipenghujung usia...
~~~~~~~~~~
Lagu ini khas buatmu,Ade .... Euis pertama yang kucintai....dan masih kucintai...
Bintang Disurga
Masih ku merasa angkuh
Terbang kenanganku jauh
Langit kan menangkapku
Walau kan terjatuh
Dan bila semua tercipta
Hanya untukku merasakan
Semua yang tercipta
Hampa hidup terasa
Lelah tatapku mencari
Arti untukku membagi
Menemani langkahku
Namun tak berarti
Dan bila semua tercipta
Tanpa harus ku merasakan
Cinta yang tersisa
Hampa hidup terasa
Reff:
Bagai bintang di surga
Dan seluruh warna
Dan kasih yang setia
Dan cahaya nyata
Oh bintang di surga
Berikan cerita
Dan kasih yang setia
Dan cahaya nyata(Lagu ini nyanyian PETERPAN)
@a & @de
1983 & 1986